Ketika PKP 1.0 dilaksanakan, tidak banyak rungutan yang diterima kecuali ada cakap-cakap bahawa ‘guru makan gaji buta’ kerana mereka tidak hadir ke sekolah, setiap bulan gajinya tetap dibayar. Lantaran itu ada yang melihat kerjaya keguruan adalah yang paling relaks dan beruntung ketika itu.

Ketika PKP 2,0 mula dilaksanakan beberapa hari sebelum penggal persekolahan 2021 dimulakan, timbul satu lagi dakwaan yang begitu menyedihkan, ia seolah-olah keseluruhan sistem pendidikan di Malaysia sedang berhadapan dengan krisis.

Para pelajar mempunyai ‘rehat yang panjang’ kerana pada tahun 2020, tidak pun sampai tiga bulan mereka hadir ke sekolah. Pada sesi persekolahan tahun ini, secara jelasnya sekolah belum dibuka sepenuhnya, kecuali bagi mereka yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan yang dianjakkan daripada bulan Oktober 2020 kepada suku pertama tahun 2021.

Bagi pelajar yang bukan berada di kelas peperiksaan, mereka digalakkan untuk menerusi Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR), yang dikendalikan oleh guru-guru secara dalam talian.  Tahun lalu, ia menjadi isu kerana tidak semua keluarga mempunyai sambungan internet, dan kerana itu anak-anak menggunakan gajet yang dipunyai oleh ibu bapa masing-masing. Tahun lalu, juga ada isu, ibu bapa terpaksa mencetak pelbagai latihan kerja yang dihantar oleh guru secara dalam talian untuk ‘kerja sekolah’ anak-anak mereka.

Ada juga ibu bapa mendakwa, guru kadangkala lebih gemar melonggok latihan kepada murid-murid pada suatu masa, setelah memikirkan sasaran tahunan sukar dicapai, seolah-olah guru terdesak mengejar masa. Bayangkan, ada ibu bapa terpaksa menghabiskan masa berjam-jam untuk menyiapkan cetakan yang dihantar oleh guru sebelum membantu anak-anaknya menyiapkan kerja sekolah tersebut.

Kali ini timbul pula cadangan seharusnya KPM menggunakan saluran tv teresterial dengan menghidupkan semula tv pendidikan agar anak-anak boleh mengikuti program PdPDR, bukan hanya menggunakan kaedah dalam talian. Kaedah dalam talian memang boleh menyesakkan hampir semua rakyat Malaysia atas beberapa sebab: peralatan yang digunakan, talian internet (atau wifi di rumah), dan masa yang ditentukan.

Ebiet Liew, seorang pendakwah dermawan menerima permohonan lebih 43,000 pelajar miskin untuk dibantu sekurang-kurangnya tablet yang berharga RM 599 seunit. Setakat ini difahamkan Ebiet Liew sudah membeli 100 unit untuk diberikan kepada keluarga miskin yang anak mereka tidak mempunyai apa-apa peranti untuk digunakan sepanjang PdPDR. Sayu juga bila memikirkan, jumlah keperluan yang diperlukan, RM 25,757,000.

Masyarakat mula mempersoalkan, bagaimana jika peruntukan yang diluluskan oleh PM ke-8 untuk membina sebuah dewan di Pagoh digunakan untuk membeli tablet bagi keperluan 43,000 orang pelajar. Ertinya, masih berbaki lebih RM 9 juta. Jumlah itu cukup untuk menambahkan bilangan pelajar yang boleh dibantu, tambahan 15,430 orang. Wah! Mungkin jika pembelian secara kontrak akan menjadikan harga lebih murah, mungkin boleh dapat sehingga 60,000 unit.

Tetapi, jangan pula berlaku seperti kontrak pembelian Komputer 1Malaysia ataupun ChromeBooks dan Komputer untuk guru-guru pada suatu ketika. Kualiti dan jaminan peralatan itu ‘jatuh ke longkang’.

Kedua, masalah internet di Malaysia. Ia bukan perkara baharu. Sejak bertahun-tahun rakyat merungut, biarpun ketika Jaring menjadi salah satu jenama besar, ketika diperkenalkan teknologi 3G, 4G dan kini 5G, semuanya sangat memalukan dan kadangkala sakit hati. Semuanya dikatakan mempunyai ‘kadar kecepatan’ dan ‘pakej data terbaik’, tetapi bila berlanggan, semuanya ‘jauh panggang dari api’.

Ini mengingatkan kita kepada keluhan para guru yang terpaksa ‘menyiapkan pengisian data’ waktu orang lain nyenyak tidur. Ia berlaku kerana kelajuan internet amat perlahan, loadingnya boleh sampai setengah hari, dan belum tentu berjaya.  Solusinya, macam-macam ada dicadangkan, tetapi akhirnya, KPM mengeluarkan arahan tidak lagi menjadikan itu sebagai ‘beban guru’; eviden tidak perlu diisi secara dalam talian. Sedikit terencat kaedah PBS (Penilaian Berasaskan Sekolah), begitu juga konsep Pembelajaran Abad ke-21.

Selepas BN kalah, tidak lagi bergema isu tersebut. Yang kuat gemanya ialah peruntukan ‘one off’ kepada sekolah-sekolah persendirian vernakular, desakan mengiktiraf UEC dan menyemak semula kouta kemasukan ke Program Matrikulasi selain perubahan warna stoking dan kasut serta isu pembelajaran tulisan jawi dalam kurikulum Bahasa Malaysia Tahun 4 SJKC dan SJKT.

Ia menggambarkan seolah-olah Menteri Pendidikan begitu tertekan sehingga ‘hilang arah’ dan akhirnya terpaksa ‘mengembalikan jawatan’ itu kepada Perdana Menteri dua hari sebelum penggal persekolahan 2020 dijangka bermula. Ia berlaku selepas  menterinya mempamerkan ‘aksi menjolok meja berlubang’ walaupun isunya berkaitan perkhidmatan (pakej BestariNet dan VFrog) yang tidak disambung kontrak bekalan perkhidmatan internet ke sekolah dan kontroversi Sarapan Pagi Percuma.

Saya teringat kepada kontroversi perubahan siaran TV Pendidikan daripada RTM kepada ASTRO yang mula diperkatakan pada tahun 1999. TV Pendidikan mempunyai kerjasama yang baik dengan RTM sejak bertahun-tahun akhirnya terpaksa ditamatkan setelah RTM mengandaikan dengan ‘pengembalian masa siaran’ yang digunakan oleh TV Pendidikan akan meningkatkan pendapatan iklan mereka.

Tahun 1980-an, RTM memperoleh pendapatan iklan lebih RM 300 juta setahun. Dengan membayangkan ‘pulangan masa siaran TV Pendidikan’ akan menambahkan lagi pendapatan iklan, akhirnya RTM meminta siaran TV Pendidikan beralih ke saluran lain. Setelah berbincang dan mencari alternatif, akhirnya KPM mendapat ruang waktu siaran yang dipunyai oleh METEOR, sebuah konsortium beberapa buah IPTA yang menyiarkan program pendidikan jarak jauh.

METEOR pula mengikat kontrak dengan ASTRO, pengendali televisyen satelit. Mutu siaran satelit adalah lebih baik daripada tv teresterial yang berhadapan dengan masalah ‘pocket area’. Siaran satelit pula bermasalah bila berlaku hujan. Namun, apa yang menarik ialah KPM hanya membayar langganan bulanan dan membeli decoder serta ceper satelit dengan harga dipersetujui.

Dalam jangka masa panjang, KPM masih dapat membuat penjimatan yang besar berbanding dengan bayaran yang dikenakan oleh RTM. RTM pula menyewa satelit kepunyaan Indonesia (PALAPA) menerusi Syarikat Telekom Malaysia. Setiap tahun sewaan yang dikenakan ialah RM 30 juta. Pemasangan ceper satellite ditanggung oleh ASTRO. Hasilnya, peringkat permulaan menampakkan kadar kehadiran ke sekolah meningkat terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

TV Pendidikan mula bersiaran semula selepas kegagalan perkhidmatan SchoolNet, akibat kelemahan perkhidmatan internet. BestariNet juga gagal selepas pembekal internet ke sekolah-sekolah tidak memenuhi keperluan KPM sebaliknya meneroka pasaran lebih besar di luar sekolah biarpun menara didirikan di tapak milik sekolah dan menggunakan bekalan elektrik sekolah. Kontraknya turut menimbulkan banyak tafsiran, dan ia merugikan KPM kerana kadar sewaan yang ditetapkan ialah RM 1,000 setahun manakala KPM terpaksa membayar bayaran VFrog dan pakej pembelajaran tersangat mahal.

Realiti sekolah (lokasi), capaian internet, ketiadaan courseware yang menarik, polisi yang berubah-ubah akhirnya menjerut penggunaan teknologi dalam sistem pendidikan di Malaysia. Malaysia masih memerlukan dan akan terus bergantung sepenuhnya kepada pendidikan yang berasaskan sekolah, walaupun sebahagian amalan pendidikan sudah berubah kepada home schooling. Sebab itulah apabila sekolah-sekolah tidak dibuka, ramai ibu bapa merungut, anak-anak mereka akan ketinggalan daripada dunia pengetahuan dan pembelajaran.

Ia berbeza dengan beberapa buah negara di Asia Tenggara. Secara teknikalnya, kelajuan internet di Malaysia adalah yang ‘paling perlahan’ dan amat mahal. Pakej data juga kadangkala mengelirukan, selalu berlaku ketidakjujuran daripada pihak pembekal telekomunikasi, dan kadangkala aduan pengguna terlalu lambat untuk diselesaikan. Biarpun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bersedia tampil membantu, ketidakjujuran pembekal terus berlaku. Denda yang dikenakan tidak menakutkan mereka.

Dalam tempoh PKP 2.0, masalah internet dan wi-fi memang menjengkelkan. Bukan sahaja terlalu perlahan, bahkan ada ketikanya tidak berfungsi langsung beberapa jam. Apakah ini menandakan Malaysia sudah bersedia melangkah ke Revolusi Industri 4.0 yang digembar-gemburkan? Apakah kemudahan-kemudahan tersebut hanya menarik untuk dibincang dalam pelbagai forum dan seminar? Malaysia sepatutnya sudah lama boleh berbangga dengan teknologi internet kerana Malaysia adalah negara yang sangat cepat menggubalkan dasar dan merancang. Negara lain belum terfikir untuk mewujudkan Multimedia Supercoridor, Malaysia melancarkan MSC lebih 30 tahun lalu.

Bahkan Jack Ma yang menjadi orang terkaya di China dan pelopor dalam perkhidmatan e-dagang mendapat ilham untuk memulakan platform tersebut setelah kagum dengan dasar dan pernacangan Malaysia. Hari ini, Malaysia jauh ketinggalan daripada Indonesia, Vietnam dan China dalam teknologi internet, seolah-olah Malaysia hanya baharu mahu belajar ‘merangkak’. Ada sesuatu yang tidak kena dalam etika perniagaan dan etos kerja.

Begitu juga dalam sistem pendidikan di Malaysia. Biarpun Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) meletakkan sasaran menjadi ‘terbaik dalam kategori seperti di atas’, nampaknya ia tidak akan mencapai sasarannya pada tahun 2025. Masih berbaki empat tahun lagi, masih banyak masalah yang timbul dan tidak dapat diselesaikan.

Kita telah gagal dengan Sekolah Bestari. Kita juga sudah gagal dengan pencapaian penilaian di peringkat antarabangsa (misalnya TIMMS dan PISA), kita juga mungkin akan gagal dengan TVET dan tentunya kita juga mungkin gagal lagi dengan apa yang diistilahkan  ‘kemenjadian murid’ oleh bekas Menteri Pendidikan, Mahadzir Khalid. (Mahadzir Khalid, Cabaran Pendidikan Dalam Talian –Realiti atau Fantasi, Malaysia Gazette, 23 Januari 2021).

COVID-19 mungkin menjadi salah satu sebab, tetapi sebab yang paling besar ialah bagaimana KPM menyusun arah dan haluannya secara jelas ketika pendamik itu berterusan. Sudah hampir setahun berlaku, sistem pendidikan kita semakin dilihat tidak bermaya, respons yang cepat tidak menyusul bagaimana anak-anak yang ketinggalan (sekolah ditutup) dapat mengejar kurikulum yang tercicir tahun lepas, dan bertambah lagi pada tahun ini.

Tiada penyusunan jadual pembelajaran dalam talian dibuat, bahkan tiada SOP yang dapat membantu ibu bapa bagi menyahut cabaran untuk memainkan peranan sebagai ‘pembantu guru’ telah dikeluarkan. Dan, tentunya, kerana ibu bapa bukanlah daripada golongan yang terlatih dalam pedagogi, sangat terasa bebannya apabila guru-guru hanya sekadar menghantar mesej dua atau sehari sebelum ‘kelas dalam talian’ berlangsung.

Jika ibu bapa daripada kelas menengah, ia tidak begitu merisaukan. Tetapi bagi golongan miskin tegar, bagaimana mereka boleh memainkan peranan yang diharapkan, segala-galanya serba kekurangan. Di rumah tidak peranti yang boleh digunakan apatah lagi talian internet. Kalau sebelumnya ada inisiatif Kampung Tanpa Wayar, akhirnya tinggal namanya, di manakah lagi anak-anak mereka nak mengambil bahagian dalam pendidikan dalam talian.

Kisah sedih –semacam dua darjat-akan terus berulang dalam masyarakat. Anak-anak yang tidak ada kemudahan internet di rumah akan melihat dari jauh anak-anak yang belajar secara dalam talian kerana ibu bapa mereka mampu (membayar langganan internet da nada gajet). Namun, dalam keadaan mampu sekalipun, ramai yang kecewa terhadap perkhidmatan internet yang lembab dan sangat bermasalah hinggakan kisah sedih seorang pelajar terpaksa memanjat pokok (bagi mendapatkan akses internet yang lebih laju) terus berlaku.

Inilah sebenarnya cabaran terbesar dalam PdPDR yang sedang dihadapi sekarang; yang bukan sahaja menuntut perhatian kerajaan dan aktivis sosial. Kerajaan perlu bertegas dengan syarikat telekomunikasi untuk tidak ‘membohongi pengguna’ manakala aktivis masyarakat membantu memperlengkapkan infostruktur di kawasan-kawasan tertentu agar kanak-kanak yang berhadapan masalah tiada peralatan dapat diatasi. Jurang pendidikan dapat dipersempitkan manakala ‘kemenjadian murid’ tetap dapat dihasilkan selepas seseorang pelajar benar-benar ‘keluar daripada sistem pendidikan formal’.

 

MONOSIN SOBRI

 

 

Translate »