Spekulasi Ku Li

Akar umbi lebih selesa UMNO diterajui oleh Mohamad Hassan, yang kini Timbalan Presiden UMNO. Kemunculan semula Tengku Razaleigh Hamzah, walaupun tewas merebut jawatan Presiden UMNO (2018) dan dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO turut menambahkan dilema parti dilihat ‘tidak banyak membantu’.

Tengku Razaleigh turut dilihat hampir berusaha mencalonkan dirinya sebagai Perdana Menteri apabila membuat usul agar undi tidak percaya kepada Tan Sri Muhyiddin diberikan ruang untuk dibincangkan dalam Dewan Rakyat, dipanggil mengadap YDPA selepas Anwar mengadap (spekulasi akan dilantik sebagai Perdana Menteri interim) dan pendiriannya, untuk tidak hadir semasa mempertimbangkan kelulusan Belanjawan 2021 di peringkat dasar (24 November 2020). Ia juga turut dikaitkan dengan beberapa pandangannya yang kontra atau berbeza dengan keputusan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berhubung Perikatan Nasional dan terhadap Tan Sri Muhyiddin.

Ada pihak berspekulasi bahawa Tengku Razaleigh telah menemui Dr Mahathir untuk membentuk pakatan baharu bagi menghalang Anwar terus berjuang untuk jawatan Perdana Menteri atau mengekalkan Muhyiddin yang dilihat tidak menyatakan pendirian yang jelas tindakan memperbaiki masalah ekonomi akibat wabak COVID-19. Beberapa kritikan terhadap sikap dan pendirian Tengku Razaleigh itu menjadikan UMNO semakin ‘berpecah’ dan diselubungi oleh ‘confirmation bias’, terutama masih mempertahankan pemimpin-pemimpin yang bermasalah (salah laku kuasa dan rasuah). Ia menjadi semakin jauh daripada kumpulan besar pengundi yang akan mengundi dalam PRU ke-15, iaitu golongan muda. Pengundi muda dikatakan bakal mempunyai jumlah yang besar, iaitu sekitar 40 hingga 45 peratus daripada pengundi berdaftar kerana umur maksimum telah diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Generasi gajet

Sebahagian besar golongan muda melihat politik sebagai sesuatu yang ‘kotor dan jijik’ berdasarkan laporan-laporan, komen dan perilaku yang mereka peroleh secara langsung mahupun tidak langsung. Generasi ini adalah generasi gajet, yang ‘tidak boleh hidup tanpa gajet’ dan ‘kemudahan internet’. Mereka bukan lagi golongan yang membaca akhbar mahupun menonton siaran televisyen, tetapi lebih mudah percayakan apa yang dibaca menerusi internet walaupun ia adalah hoaxs ataupun dalam kategori post-truth.

Sayangnya, UMNO tidak banyak ‘melabur’ dalam ruang maya, sebaliknya, membiarkan orang perseorangan membantu. Sepatutnya, orang perseorang itu hanya sekadar ‘multiplier’ bukannya ‘anchor’. UMNO perlu adakan pasukan media siber yang kuat, bukan sekadar untuk parti bahkan di luar parti yang lebih cerdas dan bijak menggelecek secara berfakta, bukan berdasarkan hearsay  atau penulisan semberono.  Bahkan untuk ‘melawan’ bekas-bekas ahli UMNO pun tidak ada ‘keberanian’ dan ‘kebijaksanaan’ yang mencukupi atau meyakinkan dengan faktanya.

Hanya sekadar mengharapkan orang membaca ‘UMNO online’ ataupun ‘Sebenarnya’ yang tidak menarik dan lebih bersifat rubber stamp atau menyiarkan apa yang difahami oleh pemimpin UMNO, bukan fakta yang jelas dan memadai, Ia hanya sekadar pendapat dan tidak menepati konsep prevailing the truth, menyatakan kebenaran, kecuali setelah isu dibangkitkan secara meluas (misalnya, surat yang ditulis oleh Ahmad Zahid Hamidi dan disokong oleh Najib untuk menyokong Anwar Ibrahim dalam kemelut ‘nombor yang cukup’).

Kemelut sijil palsu

PH juga dikaitkan dengan pelbagai isu kelayakan akademik daripada menteri hinggalah pemimpin di peringkat bawahan (khususnya wakil rakyat). Lim Guan Eng dipersoalkan kelulusan professional dalam bidang perakauan kerana tidak ada sijil yang dikeluarkan oleh badan professional. Mahfuz dipersoalkan kerana beliau sebenarnya hanya lulus setakat Sijil Rendah Pelajaran (SRP) bukan pengajian tinggi sebagaimana dipaparkan dalam biografi maya, begitu juga dengan Mohamad Sabu yang tidak tamat pengajian di ITM. Marzuki dipersoalkan tentang kelulusan daripada University Cambridge International yang hanya merupakan rumah kedai di Amerika Syarikat. Ahmad Faizal Azumu akhirnya mengakui dirinya tidak tamat belajar di Edith Cowan University. Bekas Menteri Besar Johor, Osman Safian terperangkap bila UPM mengeluarkan kenyataan tidak ada pengajian diploma pernah dilaksanakan oleh Kolej Pertanian Malaya.

Akhirnya Osman mengarahkan semua kelayakan akademiknya dipadamkan kerana dirinya tidak menamatkan pengajian di Kolej Pertanian Malaya. Akhirnya, kredibiliti kepimpinan PH turut diketawakan, sanggup menipu demi kuasa seperti mencipta alasan, ‘manifesto bukan kitab suci’, ‘malaikat pun buat salah’ ‘Nabi pun berbohong’ dan isunya bukan kelulusan akademik, tetapi kebolehan. Itulah kaedah PH untuk mengalihkan isu dan enggan bertanggungjawab mempertahankan ‘kebenaran’ sehingga dilihat nilai-nilai post-truth sedang dibudayakan secara meluas dalam resepi pengekalan kuasa Malaysia Baharu.

Ia menembahkan lagi ‘kemarahan awam’ dan juga ‘kemarahan parti komponen PH’ dengan pelanggaran keputusan yang dibuat bersama, yakni menghalang PM  ‘campur tangan’ dalam pelantikan jawatan utama sektor awam dan pendirian PM terhadap ‘kepalsuan’ sedangkan pada suatu ketika (22 tahun sebagai PM ke-4) sangat kuat mahukan semua pemimpin mempunyai nilai moral yang tinggi. Berhobong dan mempertahankan ‘kepalsuan’ adalah salah satu nilai yang dianggap bertentangan dengan prinsip moral. Mahathir pernah melabelkan Anwar sebagai seorang yang mempunyai masalah moral, yang akhirnya, Mahathir sendiri terpalit dengan kecelaruan moral.

Rashid Jaleel

Lanskap politik Malaysia seterusnya digegarkan dengan ‘tidak tahu’ Dr Mahathir di atas pelantikan Jalil Rasheed sebagai Presiden dan CEO Permodalan Nasional Berhad (1 Oktober 2019). (Baca: https://utusan.com.my/berita/nasional/perdana-menteri-tidak-tahu-pelantikan-jalil-1.962591). Jalil Rasheed juga dikatakan “cucu saudara Mahathir” tetapi Jalil dalam kenyataannya menafikan hubungan tersebut. Menurut kenyataan PNB, Jalil mempunyai kelulusan dari London School of Economics and Political (LSE), University London dalam bidang perakaunan. Memulakan kerjaya (2003) sebagai graduan pelatih di Aberdeen Standard Investment dan tujuh tahun kemudian (2010) dilantik sebagai CEO Aberdeen Islamic Asset Management sebelum menyertai IVECO (2013) sebagai CEO bagi Asia Selatan.

Beliau mula menjadi perhatian apabila dikatakan bakal menjual Plaza Damansara kepada kroni Daim Zainudin  dan pengumuman dividen dan bonus ASB yang terendah dalam sejarah (5.5 peratus). Ia hadir selepas beberapa minggu Dr Mahathir dilantik sebagai Pengerusi Khazanah Nasional dan menjawab kritikan awam mengenai pendiriannya bahawa Khazanah Nasional telah lari daripada tujuan asal penubuhannya. iaitu menjaga kepentingan Bumiputera. Urusan menjaga kepentingan Bumiputera ialah PNB. Tahun 2008, Dr Mahathir pernah menggunakan akhbar Singapura untuk menyerang Khazanah Nasional  yang mengalami kerugian menyebabkan semua Ahli Lembaga Pengarah menawarkan diri meletakkan jawatan.

Aset TH

Ia menjadi lebih parah apabila Tabung Haji diperlekehkan dengan isu pembayaran dividen di luar keuntungan sebenar (menggunakan depositi pelabur) dan masalah aliran tunai sehingga menyebabkan aset-asetnya dipindah ke sebuah syarikat dibawah Khazanah Nasional serta penjualan tanah-tanah ladang (TH Plantations) kepada bukan Bumiputera sehingga hilang lebih 70 peratus.

Misalnya penjualan ladang kelapa sawit seluas 6,514 hektar kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd yang dipersoalkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaari yang kemudiannya dijawab oleh bekas Menteri Agama, Mujahid Yusuf Rawa sebagai “rasis dan bahaya’. Penjualan itu disebabkan TH mengalami kerugian yang besar sejak tahun 2015. Tahun 2018, TH mengalami kerugian RM 1.24 bilion dan tahun 2019 sebanyak RM 1.29 bilion. Namun jawapan Mujahid tidak memuaskan yang kemudiannya beliau terus dipersoalkan sebagai pemangkin kepada ‘hakisan ekuiti Bumiputera’ kerana PAN bersekutu dengan DAP.

hutang negara’

PAN dilihat sebagai sebuah entiti politik DAP yang dijadikan ‘trojan horse’ secara terancang memusnahkan harapan orang Melayu, dan kisah pemindahan aset TH akan kekal sebagai ‘beban bagasi’ yang berat buat PAN. Ia menjadi semakin ‘gila’ bila digandingkan dengan kisah UMNO/BN meninggalkan hutang lebih RM 1 trilion kepada PH untuk menguruskannya sedangkan dalam tempoh 22 bulan PH memerintah, dianggarkan hutang telah dibuat semula sehingga mencecah RM 300 bilion.

Hutang baharu digunakan untuk membayar hutang lama, maka, ‘perkecilkan jumlah hutang’ sudah menjadi mitos dalam kerajaan PH. Rakyat sudah memahami bahawa jumlah hutang lebih RM 1 trilion itu merupakan cita-cita kerajaan PH sehingga selesai sepenggal memerintah. Ketika PH terlucut kuasa, jumlah hutang berada pada nilai lebih RM 800 bilion pada suku ketiga 2019 berbanding ketika akhir pentadiran BN ialah RM 686 billion. Nisbahnya akan meningkat kepada 55 peratus (daripada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK) pada tahun 2021 sedangkan suku pertama 2018 ialah 48.7 peratus. (Rujuk: https://www.sinarharian.com.my/article/63145/BERITA/Nasional/PH-bohong-hutang-negara-bukan-turun-tapi-makin-naik-kata-Najib).  Angka 2017 ialah RM 686 dan meningkat kepada RM 705 bilion pada akhir suku pertama 2018, sebulan sepuluh hari sebelum PH ambil alih kerajaan. (Rujuk: https://www.centre.my/post/jumlah-hutang-negara-angka-mana-yang-benar). Akhir 2018, Jumlah hutang ialah RM 741 bilion. Bertambah lagi kepada RM 791 bilion sehingga akhir tahun 2019, iaitu meningkat kepada 52.5 peratus (KDNK).

Dalam sidang media yang diadakan di Parlimen pada 5 November 2020 oleh Jabatan Audit Negara menjelaskan, tren sebegini amat membimbangkan kerana 59.9 peratus (RM 82.723 bilion) daripada terimaan (RM 138.5 bilion) digunakan untuk membayar prinsipal hutang dalam negeri yang telah matang. Hanya 29.7 peratus (RM 41.151 bilion) boleh digunakan untuk tujuan perbelanjaan pembangunan. Jika tren ini berterusan, menurut Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid lagi, negara terpaksa membayar sebanyak RM 10 bilion pada 2034 berbanding purata RM 2.34 bilion ketika ini. Kerajaan juga mengalami defisit RM 51.370 bilion dengan nisbah defisit kepada KDNK pada kadar 3.74 peratus.

Tahun 2019, kerajaan menerima dividen yang tinggi daripada PETRONAS, iaitu RM 54 bilion berbanding RM 26 bilion pada tahun sebelumnya. Sebenarnya, ia merupakan permintaan khusus daripada PM ke-7 daripada PETRONAS sebanyak RM 30 bilion bagi menampung kekurangan pendapatan hasil pemansuhan GST yang dibuat oleh kerajaan PH. Bila regim percukaian kembali kepada regim percukaian lama (SST), ia mengalami kekurangan pungutan kerana sistem percukaian itu terlalu banyak ‘kekurangan’ dan ‘kebocoran’ di peringkat perniagaan.

SST dan harga barang

Sebahagian syarikat membuat pelbagai kaedah untuk tidak memulangkah jumlah sebenar cukai yang dipungut, sebabnya, premis perniagaan tidak disambungkan terus dengan Jabatan Kastam dan Eksais di Raja, ia dibuat berdasarkan penyata perniagaan di akhir tahun kewangan. GST merekodkan semua cukai yang dipungut oleh premis perniagaan menerusi sambungan secara langsung dengan Jabatan Kastam.

Para peniaga amat bersetuju dengan regim percukaian lama, boleh mengelak dan seterusnya menipu ketika memulangkan jumlah SST yang dikutip. Sebenarnya inilah kelemahan regim percukaian lama (SST) yang cuba digantikan dengan GST. Bukan menyebabkan peningkatan harga barangan. Dakwaan harga barangan akan turun bila GST dihapuskan hanyalah mitos.

Dalam tempoh tiga bulan tanpa GST dan SST (Julai hingga September 2018), harga barangan tidak turun dengan banyak, sebaliknya, sekitar beberapa sen sahaja (ditolak 6 peratus). Ia naik kembali selepas SST diperkenalkan, malah ada sesetengah menjadi lebih mahal sebelum SST diperkenalkan semula. Ini jelas membuktikan SST atau GST bukan faktor tunggal kenaikan harga barang, malah diakui oleh sekurang-kurang tiga orang menteri Malaysia Baru, peniaga  enggan menurunkan harga barang (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifudin Nasution Ismail; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad).

Rakyat masih ingat apa kata Khalid Samad: “Tidak boleh elak harga mahal, era orang Melayu bergantung pada kerajaan sudah berlalu (Utusan Malaysia, 21 Julai 2018 dan https://cempedakcheese.com/tidak-boleh-elak-harga-mahal-khalid-samad/); Saifudin pula menjelaskan penurunan harga ‘tersangat kecil’ (0.04 hingga 13 peratus) dan tidak dirasai oleh pengguna, kecuali berlaku kenaikan harga makanan di restoran mamak (Berita Harian, 12 Julai 2018); dan, Lim Guan Eng, harga degil tidak nak turun disebabkan monopoli dan peniaga gunakan ‘kuasa monopoli’ untuk tetapkan jumlah keuntungan yang mereka kehendaki (Astro Awani, 20 Ogos 2018).

Ia suatu pengucapan yang mengecewakan kerana tidak benar-benar berani bertindak  berdasarkan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (2011). Hanya sekadar membuat pemeriksaan di peringkat harga runcit, bukan di peringkat pemborong, pengedar dan juga pengeluar. Ia menggambarkan betapa tidak cekapnya menteri-menteri kerajaan PH, yang hanya bijak bercakap ketika di luar kerajaan dan bila diberi kuasa, lain pula bicaranya, mencari jalan untuk mengelak daripada dipersalahkan oleh rakyat (atau pengundi). Begitu juga ‘kehebatan cadangan memecahkan monopoli’, berjanji akan menghapuskan monopoli, tetapi selepas mendapat kuasa, monopoli bukan sahaja kekal bahkan semakin kuat kuasanya sehingga ada yang berkata ‘untuk menyumbang kepada dana politik’.

dana politik

Parti-parti pembangkang (PH) tersangat marah apabila suatu ketika ada cadangan untuk menggubal undang-undang pembiayaan politik. Dr Mahathir pernah berjanji akan menggubal undang-undang tersebut (9 Julai 2018), sehingga hilang kuasa, belum ada drafnya. Untuk perbincangan mengenai bantuan demokrasi dan dana asing, boleh baca, Mohd Takiyudin Ismail, Bantuan Demokrasi dan Pendanaan Asing di Malaysia: Melewati Pertukaran Rejim, K.Lumpur: UM Press, 2019 atau buku, Transparency International Malaysia, Reformasi Pembiayaan Politik di Malaysia, 2010. Isu ini menjadi begitu hangat ketika berlakunya serangan ke atas Anwar Ibrahim yang dikatakan mendapat dana asing (2010) (http://aidcnews.blogspot.com/2010/04/mengenali-penaja-asing-anwar-ibrahim.html);  DAP terima bantuan asing termasuk dari Israel (Sinar Harian, 13 Februari 2019). Isu ini adalah isu yang begitu hangat diperkatakan dan pendedahan Daniel Twinning, anggota Center for Strategic International Studies (CSIS) dari Amerika Syarikat yang berkomplot dengan DAP untuk menjatuhkan BN sejak tahun 2002. CSIS boleh tersenyum lebar kerana 2018, BN sudah dijatuhkan dan digantikan dengan PH. (Dr Shamsul Anuar Nasarah, 6 Ogos 2018 dalam https://pakdin.my/berapa-jumlah-dana-politik-asing-yang-diterima-ph/) —Bersambung

 

Kamarun KH

 

Translate »