Sejak perubahan pucuk pimpinan politik, sama ada era pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun (1981-2003) atau pemerintahan semula selama 22 bulan (10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020), lanskap politik Malaysia menampakkan jelmaan ‘imej gila’ dalam bayangan demokrasi, yang bukan sahaja cacat bahkan menjengkelkan. Begitu juga ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih pentadbiran selepas seminggu Langkah Sheraton dan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ke-7.

Mahathir yang paradok

Pertama, ‘imej gila’ itu muncul akibat nasihat dan muslihat, yang ada kaitan jelas dengan teori pengekalan kuasa atau mendapat kuasa semula selepas lima belas tahun ‘bersara’. Akibatnya, ramai menilai bahawa demokrasi di Malaysia hanya berada di lapisan kulit yang paling luar, manakala kulit-kulitnya yang berada di bahagian dalam (belum kering) itu telah digamkan dengan pelekat autokratik, yang berjaya mencengkam kuasa terlalu lama bahkan lebih panjang daripada masa Tunku Abdul Rahman memerintah, yang turut dikritik keras oleh orang yang memegang kuasa itu kemudiannya.

Dalam tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri ke-4, kita dapat bayangkan, banyak perkara dan tindakan yang bukan sahaja tidak konsisten, bahkan terjadi percanggahan atau paradoks (boleh baca Khoo Boo Teik, Paradoxes of Mahathirism:An Intelectual Biography of Mahathir Mohamad, Shah Alam: Oxford University Press, 1995 ; Khai Leong Ho, Ung-Ho Chin (editors), Mahathir’s Administration:Performance and Crisis in Governance, Singapore: Times Books International, 2001 dan  Keik Yoong Chung, Mahathir Administration: Leadership and Change in a Multiracial Society, Petaling Jaya: Pelanduk Publications, 1987). Di awal pembabitannya dalam politik, Dr Mahathir dilihat sebagai seorang yang ‘ultra left Malay’ tetapi setelah memerintah, menjadi seorang pemimpin yang ‘sangat kejam’ terhadap orang Melayu bila memulakan manteri “Melayu Malas” dan “Melayu Mudah Lupa”.

Semuanya itu dizikirkan untuk memberi gambaran ‘budaya kerja Melayu’ yang tidak cukup kuat menandingi kaum-kaum lain dalam bidang ekonomi, terutama orang China tanpa melihat secara jelas ‘tekanan dan penolakan yang dilakukan oleh penjajah’ ketika Tanah Melayu menjadi penyumbang ekonomi kolonial. (Muhamad Abdul Khalid, Antara Dua Darjat:  Agihan Pendapatan di Malaysia, (terjemahan), Bangi: DuBooks Press Sdn. Bhd,, cetakan ke-4, 2018). Orang Melayu akan dihilangkan ‘tongkat’, mentaliti subsidi dikurangkan secara beransur dan seterusnya digalakkan bersaing secara terbuka dengan kaum-kaum lain sedangkan Dasar Penswastaan dan Persyarikatan Malaysia menjadi wadah memfaraidkan aset-aset agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (juga milik UMNO) secara proksi dan crony-capitalism.

Itulah sebabnya, pemilikan ekuiti Bumiputera yang dilaksanakan menerusi Dasar Ekonomi Baru (1970-1990) bukan sahaja menurun bahkan terus terencat. Statistik menunjukkan peratus pemilikan menurun daripada 19.3 peratus (1990) kepada 18.2 peratus (2004) dan seterusnya 16.2 peratus (2015) (Berita Harian, 13 Ogos 2020 dan Malaysiakini, 31 Mac 2006). Ini bermakna, dalam tempoh 10 tahun pertama (1981-1990) pentadbiran Dr Mahathir masih berlaku peningkatan tetapi ia kemudian menurun dalam period sepuluh tahun kedua dan selepasnya (1991-2003) ekoran pelbagai dasar yang diperkenalkan termasuk konsep built and transfer, penswastaan (1983), pesyarikatan Malaysia (1983) dan smart-partnership (Wawasan 2020).

hoax dan post-truth

Kedua, ekoran kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2016, Malaysia turut mengalami persoalan persepsi mengatasi realiti akibat kempen parti-parti pembangkang untuk menjatuhkan penguasaan UMNO/BN selama enam dekad. Kebanjiran post-truth atau ciri-ciri pemberitaan hoaks dan churnalism begitu berleluasa bahkan parti-parti pembangkang (Pakatan Harapan) menjadikannya ia sebagai strategi propaganda yang amat berkesan dan sekaligus melihat Akta Anti-Berita Tidak Benar (Akta 803) 2018 sebagai tindakan mengekang semula kebebasan bersuara. Oleh itu, jika kemenangan berpihak kepada Pakatan Harapan, Akta 803 itu akan dihapuskan kerana PH tidak berhasrat menyekat kebebasan bersuara dan ia menucupi untuk mengekang fitnah menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 558) 1998 (pindaan 2004) dan Kanun Kesiksaan (Akta 574) 1936 (pindaan1997, 2001, 2003, 2006, 2007, 2012, 2014 dan 2015).

PRU ke-14 benar-benar membuktikan sokongan pengundi sudah dikuasai oleh Pakatan Harapan dan seterusnya membentuk kerajaan campuran mulai 10 Mei 2018. Akta 803 dimansuhkan pada tahun 2019 (dengan pengundian 92 bersetuju dan  51 tidak bersetuju). Pemansuhan itu telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 16 Ogos 2018 setelah bacaan kali ketiga tetapi gagal mendapat kelulusan di Dewan Negara di mana undian 28 membantah, 21 bersetuju dan 3 orang Senator tidak mengundi (12 September 2018). Ia dibentang semula di mana Dewan Rakyat sekali lagi, diluluskan pemansuhannya pada 9 Oktober 2019 dan Dewan Negara pada 19 Disember 2019.

Menurut timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin, “pemansuhan itu adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk memansuhkan undang-undang zalim serta memastikan pihak media mempunyai kebebasan menjalankan proses semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan”. Akhirnya, kerajaan Pakatan Harapan terus mengalami gugatan setelah Akta itu tidak lagi terpakai sehingga ada cadangan untuk menghidupkannya kembali dengan beberapa pindaan.

ICERD dan Statut Rom

Pemansuhannya telah menyuburkan pelecehan terhadap agama Islam dan institusi Islam, mengkritik kuasa serta kedudukan Raja-Raja Melayu dan Yang di Pertuan Agong, kenyataan-kenyataan bersifat perkauman dan politik kebencian. Akhirnya sebahagian pengundi yang menyokong Pakatan Harapan (PRU ke-14) bertukar moodnya, mula mencela menteri-menteri kabinet Dr Mahathir sehingga hampir kesemua didesak meletakkan jawatan dan membubarkan Dewan Rakyat sejak tercetusnya kes ICERD (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination)  dan Statut Rom.

Statut Rom ialah berkaitan dengan kuasa mendakwa dan membolehkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap genosid (penghapusan etnik), jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan. Statut Rom telah ditanda tangani oleh Malaysia pada 4 Mac 2019. Statut Rom dan ICERD dibimbangkan akan melemahkan kuasa yang ada dalam sesebuah negara, kerana ia melibatkan pindaan undang-undang dan juga amalan ‘budi bicara’ sesebuah negara.

matlamat politik

Ketiga, menteri-menteri PH tidak berusaha melaksanakan ‘manifesto’ yang sangat menjadi harapan pengundi sebaliknya, imej dan ekonomi negara menjadi semakin rosak. Setiap menteri bekerja keras untuk ‘menelanjangkan kisah buruk’ kerajaan sebelumnya yang didakwa salah guna kuasa, rasuah dan berusaha mengekalkan kuasa menerusi pelantikan jawatan awam berdasarkan matlamat politik.

Hal ini menyebabkan kerajaan PH terus memansuhkan beberapa agensi yang telah dikenal pasti sebagai agen propaganda BN, antaranya Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Majlis Profesor Negara, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampong (JKKK) dan mengkaji semula skim pencen penjawat awam serta memperkecilkan saiz penjawat awam.

Dalam masa yang melanggar prinsip-prinsip yang mereka persetujui bila mengambil mereka yang ada kaitan dengan politik sebagai Pesuruhjaya SPRM (Pelantikan Latheefa Koya) dan Peguam Negara (Tommy Thomas). Di samping mengambil semula mereka yang bersara tetapi ada kaitan dengan penyiasatan 1MDB (Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara dan Datuk Shukri Abdullah sebagai Pesuruhjaya SPRM). Jawatankuasa yang ditubuhkan (PAC) yang sepatutnya mengemukakan cadangan diketepikan dan seterusnya, Mahathir memperlihatkan alasan lamanya, tidak boleh dibiarkan kosong terlalu lama apatah lagi, kewibawaan PAC boleh dipertikaikan daripada perspektif legitimasi undang-undang.

Belum ada kuasa melakukannya kerana Perlembagaan belum dipinda. Untuk meminda Perlembagaan, agak sukar dilaksanakan kerana PH boleh ‘kehilangan pengaruh’ dan tidak mempunyai kekuatan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.  Sokongan ke atas PH semakin menguncup apabila PKR dan DAP mempertikaikan langkah Bersatu memburu ‘katak-katak UMNO’ selanjutnya. DAP dan PKR mempersoalkan kemasukan ‘pintu belakang’ dan risau jika ianya berlaku, DAP dan PKR akan dilihat tidak lagi dominan. DAP dan PKR terus mendesak Dr Mahathir agar mempercepatkan ‘peralihan kuasa’ yang akhirnya, DAP agak ‘dingin’ setelah menyedari bahawa Anwar sebenarnya tidak ada kemampuan yang kuat, hanya bersandarkan kepada propaganda ‘politik nombor’.

bantuan kerajaan

Isu-isu ini menyebabkan Pakatan Harapan dikritik dan dikecam bersama-sama kegagalan menunaikan manifesto menerusi mentera ‘rakyat tidak lagi boleh mengharapkan bantuan kerajaan’. Bahkan sebelum akhir tahun 2019, Malaysiakini, sebuah portal yang dikaitkan dengan agenda politik bukan Melayu membuat rumusan bahawa hanya 10 peratus menteri kabinet Malaysia mencapai skor lebih 50 peratus. Menteri-menteri itu dalam kelompoh DAP dan proDAP. Bahkan Wan Azizah dilihat lebih berprestasi daripada perdana menteri (Dr Mahathir) ataupun lain-lain pemimpin daripada Bersatu.

Asasnya mudah, sebab Bersatu masih mengekalkan agenda Bumiputera. Walaupun PAN juga adalah berteraskan Melayu-Islam, ia mendapat skor yang lebih kerana parti itu adalah ‘trojan DAP’ di mana pemimpin-pemimpinnya tetap membisu bila pemimpin-pemimpin dan aktivitis memperlekehkan statusquo negara dengan menganggap ia adalah ‘kes terpencil’, penghinaan peribadi, ‘salah faham’ dengan mengeluarkan reaksi yang lambat dan menyerahkan kepada pihak polis untuk bertindak.

PAN dilihat lebih gemar ‘cari jalan selamat’ berbanding ketika isu-isu sedemikian dicetuskan oleh UMNO, PAS atau NGO yang pro UMNO/BN dan PAS.   Mujahid juga pernah mengugut ‘bertindak tegas kepada kakitangan JAKIM’ yang cuba mempersoalkan polisi dan keputusan politiknya menerusi laman sosial tetapi bersikap ‘tak akan melayan’ netizen di luar JAKIM yang mengkritiknya.

Inilah kroniknya demokrasi yang diamalkan oleh PH sepanjang 22 bulan memerintah dan setahun berkempen untuk menumbangkan UMNO/BN. Akhirnya, PH terpaksa menelan kemarahan rakyat setelah ‘euforia’ bertukar menjadi ‘harapan yang kecewa’ dan terus mempersoalkan kepimpinan politik yang berkuasa selepas PH berantakan dan hilang kuasa. Usaha pertama ialah mempropagandakan pembentukan kerajaan oleh Muhyiddin menerusi gabungan Bersatu, kumpulan Azmin Ali, Muafakat Nasional sebagai kerajaan pintu belakang.

kerajaan pintu belakang

Ia adalah satu bentuk penghinaan kepada nilai demokrasi itu sendiri kerana pemilihan Muhyiddin bukanlah dilakukan menepati istilah coup de tat. Muhyiddin dilantik berdasarkan tahap sokongan yang diperolehnya setelah dua hari dilakukan ‘proses pengumpulan dan pengakuan oleh kesemua wakil rakyat’ oleh Yang di Pertuan Agong dan kemudiannya diperkenan oleh Raja-Raja Melayu. Ini bermakna pemimpin-pemimpin PH Plus cuba mempertikaikan kuasa dan budi bicara YDPA, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Usaha menjatuhkan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional telah gagal beberapa kali. Kali pertama ialah kegagalan usul undi tidak percaya yang cuba dibawa dalam Dewan Rakyat, tetapi dihalang oleh keputusan tidak memanjang Sidang Dewan Rakyat yang dirasmikan pembukaannya pada 18 Mei 2020. Sebelum itu, berlaku sorong tarik antara Anwar dan Dr Mahathir mengenai siapakah yang layak sebagai calon PM PH Plus. Anwar gagal buktikan ‘jumlah yang cukup’ dan kekal dengan keputusan tidak akan menerima Dr Mahathir yang sudah mempunyai ‘galah pendek’.

Anwar kemudian memulakan caranya tersendiri untuk menjatuhan Perikatan Nasional. Sebelum akhir September lalu, Anwar mengumumkan ‘mempunyai nombor’ lebih besar daripada apa yang diperoleh Muhyiddin berdasarkan kedudukan wakil rakyat dalam Sidang Dewan Rakyat yang diadakan pada 18 Mei 2020. Anwar yang bercadang mempersembahkan ‘nombor lebih besar’ sebagai gambaran “kerajaan Muhyiddin telah tumbang” juga dilihat gagal kerana pertemuannya dengan YDPA pada 13 Oktober 2020 tidak memberikan dokumen yang lengkap (senarai wakil rakyat yang menyokongnya). Hal itu mengingatkan rakyat Malaysia propaganda Anwar tentang ‘peralihan kerajaan’ pada 16 September 2008 yang gagal kerana tidak ‘cukup nombor‘.

gagalnya undi belah bahagi

Percubaan seterusnya ialah untuk menolak Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat. Setelah bacaan kali kedua (24 November 2020), PH Plus juga telah gagal apabila hanya 13 wakil rakyat memperlihatkan sokongan kepada ‘undi belah bahagi’. Untuk membolehkan ‘undi belah bahagi’ yang dicadangkan oleh MP Pokok Sena, Mahfuz Omar, ia memerlukan minimum 15 sokongan.

Apa yang berlaku ialah Anwar Ibrahim membuat ‘keputusan sendiri’ walaupun diputuskan ‘menolak Belanjawan 2021’ dengan mandat yang diperolehnya sehari sebelumnya ‘memberi tanggungjawab akhir kepada Anwar’ untuk menentukan ‘sikap dan pendirian’ menjadikan hanya seorang wakil rakyat DAP (Mordi Bimol, Mas Gading, Sarawak), lima wakil rakyat PAN (Khalid Samad, Shah Alam; Dr Zulkefly Ahmad, Kuala Selangor; Hanipa Maidin, Sepang; Hasanudin Mohd Yunus, Hulu Langat; dan Dr Hatta Ramli, Lumut);  empat wakil rakyat Bersatu yang dipecat (Mahathir,Langkawi;  Mukhriz Mahathir, Jerlun; Amirudin Hamzah, Kubang Pasu;  dan Dr Shaharudin, Sri Gading; dan masing-masing satu dari PKR ( Hasan Karim, Pasir Gudang) dan bekas PKR (Baru Bian, Selangau yang menyertai Parti Sarawak Bersatu, PSB).

Kegagalan tersebut menyebabkan pemimpin-pemimpin DAP dipersoalkan oleh penyokong-penyokongnya, sehingga ada yang menganggap parti itu semakin lemah dan tunduk kepada cita-cita besar Anwar Ibrahim. Ia juga sebagai tamparan hebat kepada Dr Mahathir, yang begitu lantang mempersoalkan Belanjawan 2021 sebagai tidak menepati ‘hasrat rakyat’ kerana memperkecilkan peruntukan untuk membendung COVID-19, masih berusaha untuk berbelanja besar terhadap projek-projek pembangunan (yang boleh ditangguhkan atas sebab masalah ekonomi) dan dari manakah sumber kewangan untuk sehingga RM 320 bilion itu diambil?. Apakah kerajaan akan terus menambahkan lagi hutang?

Turut dipersoalkan ialah peruntukan sebanyak RM 85 juta untuk penubuhan semula JASA (dinamakan Jabatan Komunikasi Komuniti atau J-Kom) sedangkan sebelumnya peruntukan tahunan ialah sekitar RM 22 hingga RM 25 juta. Ia dikatakan mempunyai agenda politik yang besar yang dirancang oleh Azmin Ali untuk memperkukuhkan kedudukannya, di samping membina pengaruh setelah menyertai Bersatu. Bersatu perlukan agensi sedemikian untuk meneruskan kuasanya, kerana daripada perspektif politik, ia semakin berhadapan dengan pertelingkahan dan krisis dengan UMNO.

pembahagian kerusi

UMNO yang menjadi tunjang (dari perspektif jumlah kerusi) dilihat semakin tidak berpuashati dengan Bersatu atas pembahagian jawatan dalam kabinet, pelantikan dalam GLC dan GLiC, dan yang paling ‘menakutkan’ ialah pembahagian kerusi dalam PRU ke-15. UMNO dikatakan tidak akan berkompromi dengan Bersatu kerana ada 16 kerusi adalah dimenangi atas tiket UMNO dalam PRU ke-14.

Kerusi-kerusi itu ialah Mersing (Johor);  Larut, Bukit Gantang, Bagan Serai (Perak) ;  Jeli dan Tanah Merah (Kelantan); Masjid Tanah (Melaka); Tasek Gelugor (Pulau Pinang); Sipitang, Beluran, Kudat, Beaufort dan Libaran (Sabah); Hulu Terengganu (Terengganu), Labuan (Labuan) dan Sabak Bernam (Selangor). UMNO mahukan kerusi itu dan tidak sanggup berkompromi dengan ‘katak-katak’ yang melompat ke Bersatu selepas BN tewas.

Sikap itu kemudian sedikit berubah apabila PAS dilihat semakin sukakan ‘poligami politik’ bila menyokong penubuhan Perikatan Nasional sedangkan UMNO melihat ianya adalah kerjasama hanya untuk membentuk kerajaan pasca Langkah Sheraton. UMNO tidak mahu memberikan ‘kelebihan’ yang ada padanya untuk mempertahankan kedudukan Bersatu yang lahir daripada serpihannya sendiri. UMNO masih merasakan kedudukannya ‘masih kuat’ dan ‘boleh menang’ walaupun akar umbinya mula mempersoalkan sifat-sifat dan budaya kepimpinan yang masih diamalkan.

Lebih besar pemimpin akar umbi UMNO mahukan parti itu dipimpin oleh pelapis yang belum mempunyai ‘bagasi berat’ yang turut mencalarkan imej parti dengan politik ‘warlords’ dan ‘salah guna kuasa’. Sedikit sebanyak kes yang dikaitkan dengan 1MDB telah menjejaskan imej UMNO, yang dilihat semakin sukar dipulihkan di bawah kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi. Ahmad Zahid Hamidi, Bung Mokhtar, Mahadzir Khalid, Tengku Adnan Tengku Mansor dan Najib Tun Razak perlu dijauhkan daripada UMNO sehinggalah dakwaan terhadap mereka selesai atau dibuktikan tidak bersalah. (bersambung)

 

Kamarun KH

Translate »