Jarang  kita dengar antara permusuhan rakyat membawa kepada permusuhan antara negara, kecuali melibatkan pertembungan ideologi politik atau perihal yang boleh mengancam keselamatan secara meluas. Tetapi, amat kerap kita melihat akibat narsisnya seorang pemimpin, rakyat ikut terlibat dalam sengketa dan peperangan antara negara.

Kajian terbaharu oleh Profesor Peter Hatemi dari Pennsylvania State University, narsisme dilihat sebagai kombinasi antara ego, perasaan untuk mendapatkan yang lebih baik daripada apa yang sudah dimiliki dan keperluan untuk dikagumi. Akibatnya, mereka yang narsis akan melakukan apa sahaja untuk mencapai tahap dikagumi, yang kadangkala menimbulkan lebih banyak tindakan mengubah peraturan dan norma, termasuk norma politik yang pada awalnya dipatuhi sebagai kaedah terbaik.

Kata Profesor Hetemi, apabila lebih ramai politikus narsis membabitkan diri, demokrasi akan menjadi lebih bahaya, sebab masing-masing mahu mendapatkan kuasa atau bagi yang sudah ada kuasa, mereka akan sedaya upaya mempertahankan dan menggunakan kuasa. Dalam pertembungan itu, akan menyebabkan menimbulkan lebih ramai mangsa, yang mungkin ditekan dengan pelbagai ruang undang-undang yang ada. Bagi mereka yang berkuasa, tindakan menggubal undang-undang yang lebih ketat akan dilakukan dengan pelbagai alasan rasional.

Kajian tersebut turut mendapati bahawa tahap narsisme yang lebih tinggi memperlihatkan politikus itu cenderung menjadi lebih vokal ketika bercakap. Nada percakapannya yang tinggi menyebabkan sebahagian politikus yang menyokong atau bergantung harap kepadanya lebih banyak mendengar daripada mengambil jalan lain, kecuali segelintir yang merasakan apa yang berlaku itu sebagai ‘keputusan melampau’ atau ‘biadab’.

Hal ini banyak berlaku di Malaysia. Walaupun kajian mengenai narsisme politik belum dimulakan dalam kalangan ahli akademik, kita boleh melihat contohnya berdasarkan skema Profesor Peter Hetemi dan pasukan penyelidikannya di Amerika Syarikat dan Denmark.

Narsis, dalam istilah psikologi bermaksud, perasaan berlebihan terhadap diri sendiri. Istilah ini pertama kali digunakan oleh Sigmund Freud bagi merujuk kepada satu watak dalam mitos Yunani kuno, iaitu Narkissos. Narkisos terlalu taksub dengan diri sendiri dan juga sangat  mencintai bayangnya sendiri, iaitu tatkala melihatnya dari dalam air di kolam. Akibat ketaksuban itu, beliau mati dalam keadaan ‘ditindih perasaan’. Pada mayatnya ditumbuhi oleh sekuntum bunga.

Dalam bahasa yang mudah, narsisme ialah ketaksuban melampau terhadap diri sendiri, umpama gila bayang, yang mungkin tragedi begini mengingatkan kita kepada perumpamaan ‘anjing gila bayang’. Akibat ‘gila bayang’, tulang yang digonggongnya terjatuh ke dalam sungai, kerana menganggap ‘bayangan tulang’ itu lebih baik dari apa yang digonggongnya. Tulang yang digonggong dilepaskan, manakala ‘bayangan tulang’ tidak lagi muncul di permukaan air. Anjing itu rugi dan menyesal. Namun penyesalan tidak ditunjukkan secara jelas, asyik menuding jari dan menuduh orang lain sebagai punca kegagalan itu.

Ya inilah yang berlaku selepas berakhirnya pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sejak akhir Februari 2020. Ketika petualangan “Langkah Sheraton” masih panas, muncul situasi beradu kekuatan antara dua kelompok dalam PH. Masing-masing saling mendakwa kelompok merekalah yang paling layak dicalonkan sebagai perdana menteri, walaupun keputusan telah dibuat, perdana menteri yang dipilih adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Untuk memberikan gambaran yang berbeza, maka dilancarkan serangan bahawa pelantikan itu bukan ‘keputusan rakyat’ dan dari ‘pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’. Lebih menyedihkan digunakan istilah ‘rampasan kuasa’ sedangkan ianya tidak berlaku. Pengisian itu dibuat ketika jawatan perdana menteri sudah dikosongkan oleh Tun Dr Mahathir dan dipilih berdasarkan ‘sokongan’ wakil rakyat secara majoriti serta sah daripada perspektif undang-undang.

Setelah gagal dalam percubaan untuk mengambil kembali apa yang ‘dilepaskan’, akhirnya Tun Dr Mahathir membuat beberapa pembongkaran mengejutkan. Pertama menjelaskan sikap Anwar Ibrahim yang ‘tergila-gila nak jadi perdana menteri’ dan kedua ialah Anwar Ibrahim tidak menyokongnya, maka peluang itu semakin tipis. Akibat ‘galah Dr Mahathir yang pendek’ dan ‘galah Anwar yang sedikit panjang’ tidak dapat disambungkan, maka hasrat PH untuk kembali berkuasa menemui kegagalan.

Narsisme politik yang dapat dilihat ialah pendedahan Dr Mahathir bahawa dirinya ‘sudah tidak mahu’ tetapi disebabkan ‘ada orang memintanya’ maka beliau bersedia untuk kembali buat kali ketiga. Masyarakat melihat Dr Mahathir begitu ‘bangga diri’ seolah-olah tidak cukup ‘berhasil’ ketika menjadi perdana menteri selama 22 tahun (1981-2003) dan ditambah lagi selama 22 bulan (Mei 2018 hingga Februari 2020).

Apa pun alasan yang diberikan untuk kali ketiga, Dr Mahathir tidak lagi dianggap sebagai orang yang paling layak menjadi perdana menteri akibat 22 bulan terakhir penuh ilusi dan kegagalan. Euforia pada peringkat awal dan harapan kepada beliau telah menjadi pudar sehinggalah sokongan terhadapnya semakin mengecil.

Sebelum keahliannya terlucut daripada Bersatu, Dr Mahathir mempunyai sokongan daripada lima anggota wakil rakyat (termasuk dirinya). Selepas beberapa bulan penubuhan Parti Perjuangan Tanah Air (Pejuang, pendaftaran belum diluluskan), Dr Mahathir mula kehilangan sokongan daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) dan diikuti oleh Dr Mazlee Malik (Simpang Renggam).

Syed Saddiq tidak menyertai Pejuang, kerana berhasrat menubuhkan parti baharu untuk anak muda. Mazlee ikut dilantik sebagai salah seorang jawatankuasa penaja, tetapi membuat keputusan meninggalkan Pejuang (1 November 2020) atas alasan ingin melibatkan diri dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara lebih aktif.

Dr Mahathir hanya tinggal dengan empat kekuatan wakil rakyat (Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu dan Sri Gading). Ini bermakna, Dr Mahathir tidak ada lagi kekuatan dan apa yang diperkatakan kini, dilihat sebagai pembebelan politik yang tidak memberikan apa-apa kesan. Ia seumpama orang meracau,  setelah silap mengejar bayang sendiri atau narsisme politik.

Senario manusia narsis boleh kita lihat dengan jelas setiap hari. Misalnya, apabila melayari laman facebook atau instagram, kita akan menemui perihal seseorang, yang setiap hari mengemaskinikan perihal dirinya, termasuk menyiarkan gambar peribadi hatta ketika membeli ikan di pasar atau menu makanan yang berjaya disiapkan setiap hari.

Jika berkongsi resepi, ramai tidak menganggap ia sebagai tindakan narsis. Tetapi, jika gaya ke pasar, berada dalam kereta untuk bersiar-siar bersama kawan-kawan atau ahli keluarga, mengunjungi premis perniagaan, mempamerkan tudung yang baharu dibeli, aksi berlebihan dengan kawan-kawan atau ahli keluarga, ia dilihat sebagai satu bentuk pola narsisme. Terlalu riak dan menonjol diri.

Sebab itulah ada kajian menunjukkan mereka yang ‘gila berselfie’ atau mengambil  gambar sendiri secara solo atau berkumpulan’ dan kemudiannya memuatnaikkan secara kerap dikatakan sedang dilanda krisis psikologi, atau narsis.

Umumnya, individu yang narsis suka membangga diri secara berlebihan, angkuh, suka memanipulasi dan gemar menuntut sesuatu. Lebih penting ialah amat bijak menyembunyikan kesilapan sendiri. Inilah yang berlaku dalam kanvas politik Malaysia pasca PH. Akibat terlalu obses  dengan kebolehan diri sendiri (termasuk pengalaman silam – track record), dengan menonjolkan diri dan bercakap mengenai kesilapan ‘orang lain’, pada dasarnya sedang berusaha untuk mendapat ‘layanan istimewa’ atau ‘kepercayaan orang ramai’ sekali lagi. Itulah yang dapat kita simpulkan daripada tindakan Dr Mahathir selepas meletakkan jawatan sebagai PM ke-7, mengecam Anwar dan menyalahkan Muhyiddin sejak dilantik sebagai PM ke-8.

Menurut kajian yang dibuat oleh pakar perubatan, misalnya Mayo Clinic yang beribu pejabat di Rochester, Minnesota, Amerika Syarikat berdasarkan skema Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5), gejala narsisme ditunjukkan seperti berikut: (dengan sedikit penyesuaian daripada bahasa Indonesia dari  https://www.cnnindonesia.com/gaya-hidup/20150107143051-255-22962/mengenal-narsisme-gangguan-jiwa-karena-selfie-berlebihan)

  1. Memiliki rasa percaya diri yang berlebihan
  2. Mengharap diakui sebagai superior bahkan tanpa prestasi yang menjamin itu
  3. Melebih-lebihkan prestasi dan bakat
  4. Sibuk dengan fantasi tentang kejayaan, kekuasaan, kecerdasan, kecantikan atau pasangan yang sempurna
  5. Percaya bahwa dirinya lebih unggul dan hanya dapat difahami oleh atau asosiasi (kelompok atau organisasi) dengan orang-orang khusus
  6. Mempamerkan rasa kagum yang konstan
  7. Mengharapkan bantuan khusus
  8. Mengambil keuntungan dari orang lain untuk mendapatkan apa yang diinginkan
  9. Tidak mampu memahami dan mengenali keperluan dan atau perasaan orang lain
  10. Iri orang lain dan percaya bahwa orang lain iri padanya
  11. Berperilaku dengan cara yang arogan atau sombong

Ciri-ciri narsisme itu ada dalam hampir kesemua politikus, tetapi tahap narsisme adalah berbeza bagi setiap politikus. Politikus yang pernah berkuasa atau ketika menjadi pemegang kuasa dikatakan mempunyai tahap narsisme yang lebih tinggi dan menonjol. Orang awam dapat mengenali narsisme politikus apabila seseorang itu enggan mengakui kesilapan atau kekurangan yang berlaku sepanjang dirinya berkuasa. Sebaliknya, kesilapan atau kelemahan itu cuba disembunyikan dengan menuding jari kepada orang lain, terutama kepada musuh-musuh politiknya.

Tujuannya ialah untuk terus dipersepsikan sebagai orang yang bersalah dan masih hebat. Bila mengakui kelemahan, ia mungkin akan menyebabkan imej dan kre bilitinya sebagai pemimpin jatuh atau tidak lagi dipercayai. Bila berlaku ‘defisit kepercayaan’ maka semerbak harum jasanya akan berubah seumpam ‘nila setitik’ benar-benar merosakkan ‘susu sebelanga’.

Itulah sebabnya, peribahasa Melayu dengan kearifan budaya dan pemikiran bijaksana mengingatkan setiap daripada kita agar menjaga ‘penyudahan’ dan bukannya terlalu menjaga kepada ‘permulaan’ dalam sesuatu tanggungjawab. Penyudahan yang baik akan diingat sebagai sesuatu yang menarik dan positif, manakala penyudahan yang buruk akan membangkitkan rasa benci dan bosan kepada seseorang, termasuklah tingkah laku seorang politikus.

Seseorang politikus yang berhadapan dengan narsisme akan berakhir dengan ‘penyudahan’ yang buruk dan tentunya, akan dikenang sebagai ‘pengkhianat’ walaupun di permulaan kuasanya banyak melakukan pelbagai perubahan dan tindakan yang positif kerana manusia lebih ingat dan mudah melihat hasil akhir, sebagai sesuatu yang cepat melekat dan tersimpan dalam ingatan sendiri sebagai rujukan cepat.

Dalam sejarah politik dunia, kita banyak menemui pemimpin yang narsis, di mana pengakhirannya rosak dan dibenci oleh rakyat sendiri walaupun peringkat pemerintahannya, banyak perkara-perkara positif telah berjaya dilaksanakan. Akibat perilaku narsis itu telah mengusamkan wajah, bahkan dikecam hebat oleh generasi kemudiannya sebagai seorang pemimpin zalim, tamak dan pengkhianat. Ada yang terpaksa mencari perlindungan di negara orang, bahkan tidak kurang juga yang mati dalam buangan dan juga dibunuh oleh rakyat sendiri.

 

Mahanor Saleha

Translate »