Pengembaraan Putera Cilik membawa kita memahami tujuh utama sifat manusia walaupun Saint-Exupery melatarinya dengan persekitaran kehidupan yang serba minimum. Saint-Exupery tidak mahu menambahkan pengaruh-pengaruh persekitaran yang mungkin menjadikan sifat manusia bertambah kompleks, dan apa yang ingin diceritakan ialah dengan sesederhana mungkin, sesuai dengan dongeng untuk kanak-kanak, walaupun orang dewasa turut membacanya.

Tujuh sifat manusia yang diterjemahkan oleh Saint-Exupery menerusi pengembaraan Putera Cilik, yang akhirnya “ketemui diri sendiri” di celah-celah (di antara) pengembaraan  itu ialah:

(1) Seorang raja tanpa rakyat (planet 325);

(2) seorang yang sombong dan angkuh (planet 326);

(3) seorang pemabuk (planet 327);

(4) seorang peniaga yang sentiasa begitu taksub dengan angka-angka (planet 328);

(5) seorang lelaki penyala dan pemadam lampu di planet yang paling kecil (planet 329);

(6)  seorang lelaki tua (ahli geografi) yang menulis buku yang sangat besar tetapi tidak pernah mengembara di mana-mana tempat dan setiap harinya mengumpul, menganalisis dan mempertimbangkan maklumat untuk dijadikan asas atau bukti penteorian (planet 330); dan

(7) keragaman manusia bumi yang dihuni oleh 2 bilion orang dewasa – dengan gabungan 111 orang raja, 7,000 ahli geografi, 900,000 peniaga, 7.5 juta pemabuk, 311 juta ‘egois’  dan 462,511 penyala dan pemadam lampu– yang saling berinteraksi,  sibuk sendiri dan saling berkonflik atau curiga.

Kehidupan di bumi adalah paling kompleks, dan ada kesemua sfifat-sifat manusia yang ditemui oleh Putera Cilik di enam planet yang dijelajahinya. Dengan ‘kehidupan yang sesak’, tanah yang subur dan juga tandus, cahaya lampu yang terang dan gelap, ilmu tanpa amal, pengetahuan yang bercapah, kerjaya dan asas kehidupan yang berbeza menuntut ‘saya’ untuk memahami bahawa walaupun ‘rambut sama hitam’, ‘anda’ dan ‘saya’ tetap berbeza dan kadangkala saling bertentangan ‘emosi’, ‘keputusan’ dan ‘tindakan’ kerana itulah yang di antara kita perlu membina ‘kebersamaan’ menerusi ‘komunikasi berkesan’ dan memperluaskan ‘rangka rujukan’. Jika ‘saya’ terus dengan apa yang saya pegang dan percaya, ‘anda’ akan menilai ‘saya’ sebagai seorang manusia ‘tertutup minda’ yang mungkin menilai ‘anda’ dengan ‘mata tertutup’ atau dengan bingkai sudut pandangan ‘sempit’. Juga, saya boleh melakukan perkara yang sama kepada ‘anda’ sekiranya ‘anda’ tidak mengetahui ‘saya’ dan memahami ‘apa yang saya alami’.

Saya ‘tidak kesal dilahirkan sebagai orang Melayu dan beragama Islam’, tetapi mungkin ‘anda’ menghukum ‘saya’ kerana saya menolak untuk ‘mengambil apa yang bukan milik saya’. Tetapi ‘anda’ tidak merasa bersalah untuk ‘mengambil apa yang bukan milik anda’ atau meminta-minta, atau terus mendesak, walaupun sedar, bila ‘bukan milik anda’ itu bertukar kepemilikannya, ‘anda’ amat gembira. Sebaliknya, ‘saya’ pula  merasa ‘kehilangan’ dan berazam untuk mengambilnya kembali. Itulah yang dirasakan oleh Putera Cilik, tetap akan kembali ke ‘asal’nya kerana sekuntum mawar yang ada di planet asalnya, tidak sama dengan mawar-mawar lain yang ditemui di bumi. Ertinya, semua perkara berlangsung secara simbiosis dan kelangsungan itu sangat mengikat ‘emosi’ dan ‘rasa kepemilikan’, tumbuh dan berkembang erti ‘sayang dan rindu’. Apakah ‘anda’ dan ‘saya’ tidak ada perasaan itu?

Tujuh sifat manusia itu adalah kelaziman yang kita temui tentang realiti kehidupan manusia sejagat. Maka, di situlah saya cuba memahami ‘orang lain’ atau ‘anda’ walaupun ‘anda’ boleh sahaja bersetuju atau menilai ‘saya’ seperti mana yang ‘anda’ mahukan. Terserah. Bagaimana ‘anda’ dapat mentafsirnya, kerana “perkataan adalah sumber salah faham’. Putera Cilik sentiasa menemui perkara baharu dan hasil pengembaraannya di tujuh planet, memberikan satu pengetahuan yang amat berbeza daripada hanya tiga gunung berapi (dua masih aktif dan satu lagi mati atau sedang tidur) dan sepohon Mawar.

Mawar tetap mawar, walaupun ‘empat duri’ tidak merupakan perisai diri yang jelas. Mawar tetap ‘ada duri’ tetapi ia tidak menghalang masuk untuk mendekatinya. Ia tetap ditanam, dibaja, disiram dan seterusnya dibelai dan rasa ‘rindu’ akan menjadikan Putera Cilik tidak bersedia terus tinggal di bumi yang banyak mawar-mawar yang lain. Ia adalah hubungan yang sangat menarik, keinginan terkuat untuk kembali walaupun planetnya sangat kecil dan hanya ada tiga gunung berapi. “Rindu” itulah daya pengikat dan kekuatan seseorang yang menghidupkan ‘jiwa’ yang ‘mati’. Putera Cilik dengan mawarnya manakala juruterbang yang kemalangan tetap ‘memasang skru’ untuk kembali ke tempat asal atau di mana ianya bermula.

 

Secara sedar atau separa sedar, ‘saya’ sangat terkesan dengan apa yang diceritakan oleh Saint-Exupery dalam dongeng kecil (setebal 140 halaman) ini. Kecil tidak bermakna kerdil. Kecil yang sangat memberikan impak yang besar. Ada lima perkara fantasi, yang mungkin dilihat sebagai dongeng, sebenarnya ia sangat memenuhi realiti kehidupan. Iaitu:

Padang Pasir atau gurun. Soalan pertama yang diajukan oleh Putera Cilik kepada juruterbang yang terdampar di gurun ialah “Apa! Anda jatuh dari langit? “. Saint Exupery pernah dua kali ‘kemalangan pesawat’. Kali pertama hampir memecahkan tempurung kepala setelah ‘terjatuh dari langit’. Ia berlaku ketika usianya 23 tahun. Kemalangan kedua ialah pada tahun 1935, iaitu hanya kerana ingin memenangi hadiah 150,000 franc dalam perlumbaan udara dari Paris ke Saigon. Dalam perjalanan itu ia terhempas di gurun Sahara. Setelah empat hari bertarung hidup, tanpa air dan makanan, Saint-Exupery berhalusinasi. Dalam halusinasi itulah hadirnya Putera Cilik setelah diselamatkan oleh seorang Badui.

Mawar – Putera Cilik meninggalkan planetnya dan muncul di gurun serta bercakap-calap dengan juruterbang yang terdampar di padang pasir. Namun, dalam halusinasi itulah terselit ‘rindu’ dan ‘keterikatan’ yang kuat terhadap sesuatu, yakni simbiosis Putera Cilik dengan mawar yang ditinggalkan. Ada yang mentafsirkan, mawar itu adalah isteri Saint-Exupery yang ditinggalkan. Dalam kesusahan dan kegelisahan itu, Saint-Exupery teringatkan isterinya meskipun ada ‘kisah duka’ antara mereka. Walaupun mawar itu sekuntum, kecil ia tetap ‘indah’ sehingga terbit kata-kata: “Pergi dan lihat lagi pada mawar. Anda akan faham sekarang bahawa anda adalah unik di seluruh dunia. ”

Musang – musang memberitahu Putera Cilik bahawa dirinya boleh dijinakkan. Ia mengingatkan tentang sikap dan pendirian Saint-Exupery sendiri. Disebabkan dalam diri orang Perancis yang selalu bangga dan sentiasa mempertahankan bahasa Perancis, Saint-Exupery yang mewakili asas primodial, sangat enggan belajar bahasa Inggeris. Namun, akhirnya Saint-Exupery berjaya dijinakkan oleh Silvia Hamilton. Watak musang itu dikatakan mewakili Silvia Hamilton, seorang wartawan dari New York. Waktu itu ialah ketika Saint-Exupery berkelana ke Amerika Syarikat setelah hilang ‘kerjaya’ akibat kemalangan. Mereka bertemu di Fifth Avenue selepas Saint-Exupery menikmati makan malam ‘telur’ dan ‘gin-and cokes’ ketika sedang menyiapkan penulisan dongeng ini.

Putera Cilik diterbitkan pada tahun 1943, iaitu setahun sebelum kematiannya. Selepas menulis dongeng Putera Cilik, Saint-Exupery menyertai semula Tentera Udara Perancis secara sukarela. Sebelum kembali ke Perancis, Saint-Exupery dikatakan sempat memberikan Silvia sebuah ‘beg kertas yang rumit’ dan didalamnya adalah manuskrip asal Le Petit Prince, yang penuh tumpahan air kopi, berlubang kesan api rokok dan ilustrasi cat air lukisan tangan. Tahun 2014, ia dipamerkan secara khusus di Perpustakaan dan Muzium Morgan di New York. Musang itu mungkin diwakili oleh Silvia, yang cerdik dan pintar kerana berjaya membuatkan Saint-Exupery berlajar bahasa Inggeris kerana tidak selamanya “perkataan adalah sumber salah faham.”  Ada makna yang berbeza antara bahasa Perancis dan bahasa Inggeris. Bahasa itu adalah ‘jiwa bangsa’ maka kebolehan seseorang dalam memahami bahasa asing adalah suatu kelebihan yang mampu mengikis prasangka dan ‘berkenal-kenalan’ secara lebih baik.

Putera Cilik. Ada yang mentafsirkan bahawa Putera Cilik itu adalah saudara lelaki Saint-Exupery yang meninggal dunia ketika berusia 15 tahun. Saint-Exupery menulis Putera Cilik sebagai penghormatan kepada saudaranya itu. Ada juga telahan bahawa Saint-Exupery menjadikan seorang kanak-kanak Poland yang sedang tidur sebagai Putera Cilik, ketika dalam satu perjalanan menaiki keretapi. Saint-Exupery cuba menjadikan dirinya sebagai kanak-kanak ‘yang berambut pirang’ dan menggelarkan diri sebagai The Sun King. Mereka sama-sama penasaran, berani dan belajar dengan cara yang sukar bagi melihat sesuatu dengan betul berdasarkan ‘ketajaman hati’ agar tidak berkembang menjadi ‘orang dewasa yang tidak faham kanak-kanak’. Sesuatu yang benar dan betul bukan hanya boleh dilihat dengan mata, tetapi perlukan ‘kecerdasan hati’ .

Putera Cilik, kata tulis Saint-Exupery : Saya dapat lihat, ….ada seekor ular, yang lazimnya berwarna kuning dan bolehnya hanya memerlukan tiga puluh saat untuk mati” akhirnya ‘berlalu pergi, menelusuri pepasir bak aliran sungai, dan tidak juga dalam keadaan tergesa. Ia kemudiannya hilang, di antara batu-batu, sambil meninggalkan bunyi denting yang seni’ apabila terdengar bunyi pistol. (Hal.126). Dipanjangkan tangan untuk mencapai Putera Cilik yang ‘pucat, seputih salju’. Ia mungkin sebuah kenyataan, seseorang akan melakukan apa sahaja demi menyelamatkan ‘sahabat’ atau ‘orang lain’ dan paling nekad ialah menyelamatkan orang yang disayanginya. Walaupun akhirnya, orang yang disayangi itu sebenarnya tidak dalam keadaan terancam, dan sedang ‘bercakap dengan ular’. Bagi, ‘anda’ ia mungkin suatu yang bakal berlakunya tragedi (ditelan oleh ular0, walhal bagi Putera Cilik, “saya sangat lega kerana dapat tahu bahawa kamu sudah jumpa masalah yang ingin kamu hadapi’, kata Putera Cilik. “Sekarang, kamu sudah boleh pulang ke rumah”….

Ketika keduanya ‘sudah selesai’ dan ‘akan pulang ke rumah’ telah berlaku ‘sesuatu yang sangat luar biasa’, dan tentunya adalah perpisahan. Perpisahan itu menyebabkan kenangan akan tetap bermain manakala objek yang ada, mempunyai kenangan bersama pasti dijaga dengan baik, kerana itu adalah ingatan yang kekal dalam otak separa sedar. “Saya ada kambing biri-biri kamu. Dan saya ada kotak kambing biri-biri. Dan saya ada muncung pendakap mulut”……dan “jika kamu sayangkan sekuntum bunga yang tinggal di bintang-bintang, memang indah untuk menatap langit malam. Semuanya bintang dihias kembangnya sekuntum bunga” (Hal-127-128). …”semua manusia ada bintang-bintang”…”tetapi ianya bukanlah perkara yang sama untuk setiap orang” kerana ‘kamu seorang sahaja—akan memiliki bintang, dan orang lain tidak milikinya’. Cukup menarik dan penuh makna terutama dalam ungkapan ini:

Dan bila kesedihan kamu hilang (masa akan menyembuhkan peritnya kesedihan) kamu akan berasa puas dan senang, kerana kamu dapat mengenali saya. Kamu akan menjadi sahabat saya. Kamu akan mahu ketawa bersama saya. Dan, kadang-kadang, kamu akan membuka tingkap kamu, supaya kamu dapat menikmatinya,,,,Dan kawan-kawan kamu akan merasa terpegun melihat kamu tertawa sendiri sambil mendongak, melihat ke langit! Kemudian kamu akan kata kepada mereka, ‘ya, bintang-bintang itu seringkali buat saya tertawa!” dan mereka kan fikir kamu gila. Dan ia akan jadi jenaka usang yang diulang, yang saya kenakan kepada kamu….”(hal.130-131).

Ada nilai persahabatan yang akrab bahkan juga ada banyak salah faham. Termasuk antara ‘saya’ dan ‘anda’. Perkara yang penting ialah ‘perlara yang tidak boleh kita nampak’ sebabnya, di dalam hati ‘ada taman’ dan juga ‘api’ yang boleh membakar atau ‘Adakah kambing biri-biri itu sudah memakan bunga itu?”. Sangat jelas, dalam hidup kita, ‘saya’ dan ‘anda’ ada banyak perkara yang boleh menimbulkan konflik akibat ‘hati’ yang sukar dijaga dan dirawat.

Janji – ia merupakan sesuatu yang turut mengikat, dan memberikan harapan kepada manusia. Seperti juga harapan kita yang berbunga-bunga apabila melihat bintang di waktu malam. Dalam gelap itu, “Di salah satu bintang saya akan hidup. Dalam salah seorang daripada mereka saya akan ketawa. ” Ketawa orang lain, kadangkala bukan menyebabkan ‘saya’ merasa senang, ada ketikanya, ketawa ‘anda’ menyebabkan ‘saya’semakin kecewa. Tetapi, janji tetap memberikan ‘saya’ harapan, walaupun ‘saya’ juga kecewa ketika janji ‘anda’ tidak tertunaikannya. ‘Anda’ juga kecewa, kalau saya tidak tunaikan janji saat kita saling melafazkan harapan, pujukan atau kata-kata semangat, kerana di antara kita ada hati yang sedang sakit dan perlukan rawatan. Ia sesuatu yang sangat ‘saya’ suka dengan dongeng ini, walaupun saya membacanya ketika ‘saya’ sudah pun memasuki fasa ‘lemah’ dan bukan lagi sehebat pokok baobab, “sebatang pokok yang sangat bangga” dengan diri sendiri.

Fantasi Saint-Exupery menjadi kenyataan. Menjelang 50 tahun kematiannya (1944), tahun 1993 ditemui sebuah asteroid B-612 yang menjadi kampong Putera Kecil. Saints-Exupery bukan sahaja diabadikan sebagai sebuah nama sebuah lapangan terbang di Lyons, bahkan beberapa buah sekolah berbahasa Perancis di Eropah, Kanada dan Amerika Latin mengambil namanya. Sebelum mata euro, wajah Saint-Exupery diabadikan pada mata wang Perancis bernilai 50 franc.

Saya pasti, sesiapa yang membaca dan mengutip perjalanan Putera Cilik akan memahami bahawa antara mata kasat dan kata hati adalah dua hal yang sangat mempengaruhi. Setiap manusia kadangkala terlupa, mereka bertanggungjawab atas apa yang mereka lakukan, seperti pesan musang yang boleh dijinakkan tapi, bahasa adalah paling banyak menimbulkan masalah jika ‘saya’ atau ‘anda’ silap menyebut dan seringkali menimbulkan salah faham.

Islam mengajar kita bertutur secara berhemah, berperilaku secara bijaksana kerana manusia adalah makhluk yang berakal dan amat sempurna kejadiannya. Bukan meletakkan ‘otak di lutut’ dan ‘nafsu di kepala’ kerana Islam hanya ada dua kontinuum yang salah satunya tidak boleh dipisahkan, hablum minnallah dan hablum minnas dengan panduan amar makruf dan nahi mungkar. Antara ‘kepatuhan’ dan ‘larangan’ perlu adal pemisahnya, bukan menentang apa yang dilarang hanya kerana ‘kebebasan’ dan ‘humanisme’.

Jauhkanlah tabiat ‘ahli geografi’ banyak ilmu tapi tiada praktis, si pemabuk yang boleh cakap dan lakukan apa sahaja akibat mabuk, raja tanpa rakyat dengan ‘bayangan kuasa’, si peniga leka dengan angka dan projeksi ‘untung’ mahupun rutin penjaga lampu ‘buka dan tutup’ atau ‘bangga diri’ sehingga mengetepikan perasaan dan nilai kehidupan ‘orang lain’ asal menang.

Kamarun KH.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Translate »