KITA? Siapa kita? Mudahnya, kita itu adalah ‘saya’ dan ‘anda’. Anda itu siapa? Anda itu mungkin ‘kawan’ atau ‘sahabat’ yang saya kenal. Juga mungkin ‘rakan fb’ yang saling berhubung di alam maya. Anda itu juga mungkin saya maksudkan ialah ‘isteri’, “anak”, ‘ahli keluarga’ atau ‘sesiapa sahaja’ termasuk orang yang membaca tulisan ini, biarpun pembacaannya dalam jarak yang lama setelah ia dimuatnaikkan.
Anda tetap anda, bukan saya. Saya adalah saya, kata seseorang (namanya saya terlupa), sebagaimana saya mengatakan saya itu saya. Biarpun ketika anda menggantikan panggilan diri dengan saya, iaitu ketika anda bercakap dengan seseorang. Anda tidak menjadi saya, biarpun anda menggunakan istilah saya sebagai ganti diri.
Seorang isteri akan tetap berstatus isteri walaupun membahasakan diri bercakap dengan suami ‘saya’ dan ‘awak’. Ada garis pemisah yang jelas, ada perbezaan yang ketara. Saya ketepikan perbezaan fizikal. Saya berusaha menyatakan antara kita itu memang berbeza daripada perspektif psikologi dan pemahaman kendiri.
Saya, kadangkala digantikan dengan istilah ‘aku’. Begitu juga ‘anda’, ada ketikanya digunakan istilah ‘awak’ atau ‘kamu’. Istilah ‘aku’ dikira kurang manis pemakaiannya. walaupun maksudnya adalah sama. Begitu juga istilah “kamu” berbanding ‘awak’. Jadi, di antara ‘kamu’ dan ‘awak’ saya membuat keputusan memilih istilah ‘anda’, lebih sopan dan bersifat terbuka (mungkin seorang atau juga mungkin khalayaknya lebih dai seorang, ramai). Istilah ‘saya’ tetap seorang dan merujuk kepada ‘aku’ yang digantikan dengan ‘saya’.
Saya sudah bersara, mempunyai beberapa orang cucu dan hampir setiap hari saya berpeluang ‘melayan cucu-cucu’. Ketika saya mengeposkan gambar bersama cucu, sama ada meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya, atau aksi menarik dan perkembangan dirinya, ramai yang memberi komen. Maknanya. anda turut merasakan ‘bahagia’ seorang datuk bersama cucu-cucunya.
Ada juga di antara ‘anda’ merasakan ‘alangkah seronoknya’ jika setiap masa boleh melihat cucu-cucu membesar di depan mata atau melayan cucu-cucu bermain. Tetapi, bila saya mengepos aksi ‘memanjat’ atau ‘perebutan permainan’, tentu anda mempunyai interprestasi yang sama, memang budak-budak, itu nalurinya, sukar untuk berkongsi dan mahukan semuanya dimonopoli.
Itu sebahagian daripada komen yang saya dapat cerap daripada sebahagian anda, yang ada pengalaman dan pengetahuan mengenai ‘tabiat kanak-kanak’ atau cucu-cucu sendiri ketika mereka sedang membesar. Jadi, apa sikap saya dan anda bila ‘melihat atau menonton aksi-aksi sebegitu’?
Saya tidak mempunyai jawapan yang tepat. Namun saya pernah membaca sebuah cerita dongeng perihal seorang kanak-kanak yang merasakan ‘orang dewasa’ sangat memenatkan untuk “sentiasa dan selamanya menerangkan setiap sesuatu’ agar difahami atau mendapat simpati.
Kisah dongeng itu digarap dengan baik oleh Antoine de Saint-Exupey (1900-1944). Saint-Exupery adalah seorang juruterbang dan ketika berusia 23 tahun, dia terlibat dalam kemalangan pesawat, dia hampir mati kehausan tanpa air selama tiga hari lamanya. Kisah kemalangan kapal terbang dan terdampar di Gurun Sahara, diceritakan dalam novel Wind, Star and Sand (1939). Sekali lagi Saint-Exupery disahkan kemalangan pesawat pada 31 Julai 1944, dan kemalangan itu dikaitkan dengan beberapa andaian, sama ada ‘membunuh diri’ atau ditembak oleh tentera Berikat (Jerman).
Pada tahun 1998, seorang nelayan menemui gelang pengenalan yang dilekatkan secebis kain di Pulau Riou, Merseillee. Pada gelang itu tertera nama Saints-Exupery, pewarisnya (nama isteri) Consuelo dan Reynal & Hitchcock, syarikat yang menerbitkan buku-bukunya. Beliau menulis dalam bahasa Perancis iaitu Courrier sud (1929; Southern Mail); Vol de nuit (1931; Night Flight); Terre des hommes (1939; Wind, Sand and Stars); Pilote de guerre (1942; Flight to Arras); Lettre à un otage (1943; Letter to a Hostage); dan Le Petit Prince (1943; The Little Prince). Bukunya, Citadelle (1948; The Wisdom of the Sands), diterbitkan secara posthumous, walaupun tidak dapat disiapkan sebelum kematiannya.
Beliau turut mendapat penghargaan tentang tulisannya, termasuk Légion d’honneur (1930,1939), prix Femina (1929), Grand Prix du roman de l’Académie française (1939), Anugerah Buku Kebangsaan Amerika Syarikat (1940), Croix de guerre (1940), Prix des Ambassadeurs (1944 posthumous); dan Croix de guerre avec palme (1944-posthumous)
Le Petit Prince atau Little Prince atau Putera Cilik adalah novelnya paling terkenal. Novel ini pernah dinobatkan sebagai buku terbaik abad kedua puluh di Perancis. Sejak mula diterbitkan, ia merupakan salah satu daripada empat buku yang paling banyak dicetak dan dialihbahasakan. Dilaporkan sudah lebih 14 juta naskhah terjual di seluruh dunia (https://ms.wikipedia.org/wiki/Le_Petit_Prince).
Edisi bahasa Melayu diterjemahkan oleh Ezzah Mahmud dan diterbitkan pada tahun 2015. Sehingga September 2018, ia diulang cetak sebanyak tujuh kali. Cukup membanggakan, kerana Putera Cilik, walaupun sebuah dongeng untuk kanak-kanak, ia bukan lagi kecil, tetapi besar maknanya dalam banyak perspektif kehidupan.
Asalnya, buku ini adalah bacaan kanak-kanak. Buku ini mendapat sambutan hangat, kerana ia berbeza dengan buku-buku untuk kanak-kanak. Ia tidak menampilkan seorang hero yang gagah perkasa (seumpama legenda), seorang puteri yang cantik dan akhirnya berkahwin dengan putera raja, hidup dalam dunia fantasi penuh keajaiban dan syurgaloka, dan, penuh misteri pengembaraan seperti karya Enid Blyton, atau alam mistik dalam siri Harry Porter.
Meskipun novel kecil ini asalnya cerita mengenai dunia kanak-kanak, iaitu Putera Cilik, ia mempunyai sindiran tajam kepada orang dewasa. Mungkin itu menggambarkan falsafah peradaban yang cuba dimanifestasikan oleh Saint-Exupery bila menyebut zaman kanak-kanaknya yang suka melukis, tetapi tidak seorang pun orang dewasa memahami ideanya kecuali melihatnya hanya seekor ular sawa kekenyangan menelan seekor gajah.
Lukisan itu berasal daripada pengetahuan Saint-Exupery mengenai kehidupan zaman batu, yang dibacanya daripada buku Kisah Nyata Daripada Alam. Waktu itu, beliau berusia enam tahun, tertarik dengan kehebatan ular sawa menelan mangsa sekali gus, tanpa mengunyah. Akibatnya, ular sawa tidak boleh bergerak dan tidur selama enam bulan.
Ia menjentik keingin melukis, akhirnya lukisan pertama itu dapat disiapkan. Gambaran ular sawa kekenyangan itu dilihat oleh orang dewasa seperti topi, sedangkan Saint-Exupery menggambarkan perut ulat sawa yang kekenyangan, ada perasaan takut di dalam dirinya. Ada emosi yang menggerakkan ilham rasanya untuk melukis, tetapi kesemuanya dilihat tidak sesuai dengan pandangan orang dewasa.
Dari situ, bermulalah sebuah perspektif yang berbeza dan disitulah Saint-Exupery cuba meneroka dunia kanak-kanak dan minda mereka “orang dewasa tidak mungkin akan faham apa-apa pun dengan sendirinya, dan adalah amat memenatkan bagi sebahagian kanak-kanak untuk sentiasa dan selamanya menerangkan sesuatu kepada mereka.” (hal. 10)
Gagasan ini membantu saya memahami kenapa Putera Cilik didedikasikan kepada Leon Werth? Sebagai seorang dewasa, Saint-Exupery mempunyai sebab untuk mengingatkan Leon Werth yang sudah dewasa, kerana beliau juga bermula dengan kanak-kanak sebelum dewasa. Tulis Saint-Exupery:
“jasa baik anak-anak kecil yang akan membaca buku ini, untuk mendedikasikannya kepada orang dewasa. Saya ada sebab yang kukuh; dialah sahabat paling baik yang pernah saya ada. Saya juga ada sebab yang lain juga: orang dewasa faham akan segalanya, termasuklah isi buku kanak-kanak. Saya ada sebab yang ketiga: dia tinggal di Perancis, di sini dia selalu lapar dan juga kesejukan. Dia perlu digembirakan.
“Andai kesemua sebab-sebab ini tidak cukup, saya akan dedikasikan buku ini kepada anak kecil yang padanyalah seorang dewasa kelak akan membesar. Semua yang telah dewasa dahulunya pernah menjadi kanak-kanak, walau hanya beberapa orang sahaja yang ingat. Maka, saya bertulkan dedikasi saya ini: UNTUK LEON WEALTH, SEWAKTU DIA MASIH KANAK-KANAK”.(hal.6).
Kisah Putera Cilik bermula dengan pertemuannya dengan seorang juruterbang yang kemalangan di sebuah padang pasir, yang mungkin Saint-Exupery sendiri. Putera Cilik tinggal bersendirian di planet kecil, sebesar sebuah rumah. Planet itu dinamakan B 612, ada tiga buah gunung berapi (dua masih aktif dan satu lagi tidak lagi aktif). Planet itu dinamakan B 612 pertama kali dibuat oleh seorang astronomi Turki tahun 1909, bagaimanapun ianya tidak dipedulikan ketika ‘ dia mahu berkongsi penemuannya ini’ bila dipersembahkan di Kongres Astronomi Antarabangsa, kerana ketika itu, beliau mengenakan persalinan baju Turki. Tidak ada sesiapa pun peduli. (Hal.24).
Ahli astronomi itu membentangkan penemuan tersebut sekali lagi (1920) dengan mengenakan sepersalinan baju dari Eropah. Kali ini semua orang menerima laporannya. Saint-Exupery seperti sinis menulis: “Orang dewasa sukakan perkiraan. Apabila kamu beritahu mereka yang baru kamu kenal dengan seorang kawan baharu, mereka tidak pula akan tanya tentang perkara yang penting. Mereka tidak akan tanya, Bagaimanakah bunyi nada suaranya?Apakah permainan kegemarannya? Adakah dia mengumpul rama-rama?”, tetapi mereka akan soal:Berapakah umurnya?Berapakah bilangan adik beradik yang dia ada? Beratnya berapa? Berapa banyak gaji ayahnya? Hanya dengan perkiraan dan perangkaan ini mereka fikir mereka sudah boleh kenal sama kawan kamu itu.” (hal.25). Kenapa nombor atau perangkaan lebih penting daripada anekdot mahupun hal-hal yang lain, termasuk apa yang membuatkan kita fikir, rasa dan mempengaruhi keputusan?
Saya sedikit tertarik apabila ada seseorang bertanyakan usia saya, sebaliknya, ramai yang menyembunyikan usianya, kerana takut diucapkan “Selamat Hari Tua” bila facebook mengingatkan tarikh kelahiran seseorang. Ada ketikanya angka tidak bernilai, dan benar kata seorang ilmuan, angka tidak ada apa-apa nilai kecuali kitalah yang memberikan nilainya. Oh! Ya, saya keliru.
Saya keliru kerana nilai ‘kosong’ sebenarnya tidak bererti apa-apa kalau tidak digandingkan dengan mana-mana angka. Jika kosong digandingkan dengan satu, sama ada ditulis 0.1 atau 10, ia sudah bernilai. Ertinya, dalam hidup ini kita memerlukan gandingan, sama ada beberapa orang lelaki (membentuk pasukan), atau lelaki dan perempuan (sebagai pasangan), dan pasangan-pasangan itu dikumpulan menjadi satu kelompok, ia membentuk masyarakat hingga bernegara. Itulah sebabnya, dalam Islam, persoalan keluarga adalah ‘sangat penting’ bahkan jika ada lelaki yang ‘takut berkahwin’ dianggap bukan “umat Nabi Muhammad SAW”, atau kehidupannya tidak lengkap.
Novel dikatakan ditulis oleh, Saint-Exupery ketika beliau tinggal di Amerika Syarikat antara tahun (1941-1943) sebelum kembali ke Perancis sebagai juruterbang semula untuk bergabung dengan skuardon pengintipan pihak Bersekutu di Mediteranean. Ada yang memberikan tafsiran, Saint-Exupery kembali ke Perancis kerana kecewa dengan kehidupan bersama Consuelo. Kekecewaan itu juga menjadi sebab, Saint-Exupery ‘membunuh diri’ bersama pesawat yang dipandunya. Sebelum terbang, Saint-Exupery dikatakan tidak membawa apa-apa senjata, dan tanpa seragam tentera. Beliau dikatakan mula ‘sakit hati’ bila mendapat tahu isterinya ada kaitan dengan lelaki lain, dan cuba memahami apa yang pernah isterinya diberikan gelaran oleh bekas kekasihnya, “lidah ular dan badan muzik”.
Putera Cilik turut digambarkan sebagai ‘pernyataan peribadi’ pengarang terhadap kehidupan yang dilaluinya. Ia diwakili oleh Putera Cilik sebagai “orang kecil tetapi pintar pemikirannya’, ‘saya’ adalah Saint-Exupery sendiri, bunga Mawar ialah Consuello dan musang adalah pentafsir kepada sesuatu fenomena di mana musang melihat “perkataan adalah sumber salah faham’. Gurun atau padang pasir ialah suatu simbolik daripada kehidupan yang tiba-tiba berubah dan perlu dengan ikhtiar untuk survival dan di situlah bermulanya pengembaraan falsafah yang terjadi antara “saya’ dan Putera Cilik yang kemudiannya membawa kepada tujuh penemuan sifat manusia.
Saya temui, dalam pengertian Islam, ada tujuh sifat latifah (perasaan halus) dalam diri manusia, iaitu: (1) Qasrun = binaan struktur tubuh manusia; (2) Sadrun = (Latifah al-nafs) sebagai unsur jiwa; (3) Qalbun = (Latifah al-qalb) sebagai unsur rohaniah; (4) Fuadun = (Latifah al-ruh) Unsur rohaniah; (5) Syagafun = (Latifah al-sirr) unsur rohaniah; (6) Lubbun = (Latifah al-khafi) unsur rohaniah; dan (7) Sirrun = (Latifah al-akhfa) unsur rohaniah. Daripad tujuh sifat itu, hanya satu bersifat fizikal iaitu Qasrun manakala enam lagi adalah bersifat spiritual. Sebab itu setiap manusia secara alaminya mempunyai tujuh indera: mata (melihat), telinga (mendengar), hidung (menghidu bau), mulut (merasai), tangan (sentuhan), kaki (bergerak) dan syahwat (nafsu). Tujuh indera dapat kita kenal kerana ada bentuk fizikalnya, tetapi (nafsu) sukar untuk kita fahami, kerana kita memerlukan pengetahuan dan pengalaman mengenainya.
Tentunya, Sigmud Freud, cuba memahami keadaan itu maka kita diperkenalkan dengan konsep ego (id, ego dan superego). Id adalah keperluan manusia secara biologi yang dikaitkan dengan ‘keseronokan’ dan juga bersifat sebagai ‘stor keinginan manusia’. Ia bersifat semula jadi, dan juga diwarisi, gejala bawah sedar dan tenaganya bersifat primitive. Ego pula wujud selepas bayi berusia enam bulan. Ia berupa pemikiran realistik dan mempunyai lojik yang tersusun. Ia berkembang secara berperingkat-peringkat dan ia kadangkala dipenuhi dengan persepsi. Inilah punca perbezaan dalam sesuatu, seperti jelas Musang “perkataan boleh menjadi sebab kepada salah faham”. (hal. 106). Egolah menyebabkan manusia sanggup ‘menipu diri’, ‘menyembunyikan kebenaran’ dan juga mengambil keputusan ‘harakiri’ sekiranya hasrat dan rasa kecewa membelenggu kehidupannya. Dalam piskoanalisis Freud, Superego lebih menyerupai hati nurani atau conscience dan dikatakan bahagian personaliti yang bermoral dan berkembang secara beransur-ansur oleh pengaruh persekitaran seperti didikan moral dan agama. Ia merupakan cabang moral dan mewakili perkara yang individu percaya, sama ada besedia mengambil tindakan atau tidak patut dilakukan. Oleh itu, superego dikatakan berfungsi sebagai penghantar maklumat nilai moral kepada ego untuk bertindak mengawal id.
Semakin sukar untuk ‘anda’ faham. Atau ‘anda’ mempunyai kefahaman lebih mendalam daripada ‘saya’. Ia adalah sesuatu yang membanggakan jika ‘anda’ sedia berkongsi dan mendalami apa yang ‘saya faham’. Itulah fungsinya ‘di antara kita’ sebagaimana saya berhasrat memahami orang lain daripada ‘anda’. Ketika ini, ‘saya’ cuba memahami ‘orang lain’ dengan meninjau apa yang Putera Cilik dapat melalui persahabatannya dengan ‘juruterbang yang terdampar dan sibuk untuk membaiki pesawatnya untuk pulang (memasang skru)’ dan jelajah Putera Cilik ke tujuh buah planet dengan membandingkan ‘pengetahuan’ tentang planetnya sendiri. Juruterbang yang terdampar itu akhirnya memahami, karakter dan peribadi Putera Cilik, menerusi kebolehannya melukis, yakni merasai sebahagian daripada ‘getaran jiwa’ atau ‘hati kecil’ yang tersembunyi.
Putera Cilik merasa puas apabila lukisan ‘kambing biri-biri’ di dalam sebuah kotak kecil, kerana planetnya yang kecil tidak banyak rumput, manakala Putera Cilik semakin memahami pesawat walaupun pada mulanya menyangka “jatuh dari langit” (hal. 18-20). Antara mereka berdua tidak ada ‘frame of reference’ yang sama. Akhirnya, juruterbang itu mengakui: Sedikit demi sedikit saya mula memahami rahsia di sebalik kisah hidup kecilmu yang sedih itu. Buat sementara waktu, kamu menatap sepinya mentari terbenam….Ayuh, mari kita pergi menatap sang mentari terbenam’. (hal. 34).
Setelah beberapa hari ‘berkawan’ mereka berdua mula saling memahami dan saling belajar, termasuklah kata-kata yang begitu besar mempengaruhi sikap dan pendirian: “Jika seseorang itu menggemar bunga, yang hanya tumbuh sekuntum, di tengah berjuta-juta bintang, ianya cukup membuatkan dirinya bahagia hanya dengan membuang pandangannya ke bintang-bintang’ (hal.41). Ini mengingatkan saya kepada sebuah drama bersiri yang pernah disiarkan oleh televisyen di Malaysia. Saya lupa tajuk drama tersebut, tetapi ialah adalah drama berbahasa Mandarin yang cukup popular pada suatu ketika. Antara yang menjadikan saya ingat kisahnya, ialah satu ungkapan yang cukup menarik di saat dilanda kecelaruan atau dirundung duka.
Lebih kurang begini maksudnya: “Lihatlah ke langit, kiralah bintang-bintang seberapa banyak yang boleh sehingga kamu penat. Ketika kamu penat, berhentilah merungut. Dan esoknya, kamu lakukan sekali lagi. Berapa banyak yang kamu mampu hitung, dan tentunya, ada banyak lagi yang tidak dapat kamu hitung. Ya! Di situlah ertinya, kamu perlu mencari dan mengira lagi. Akhirnya, kamu yakin dengan bintang-bintang itu, dalam kegelapan ia memberikan kamu harapan, yakni cahayanya sehingga langit penuh bercahaya meskpun langit itu sebenarnya terlalu gelap.”
(bersambung)
Kamarun KH
Recent Comments