Ketika PAS adalah parti pembangkang, ramai yang merasakan ‘letih, muak dan benci’ kerana ‘tidur, bangun, minum pagi, makan tengah hari, minum petang dan sembang malam’ semuanya menyentuh politik. Dari bercakap-cakap di kedai kopi, membaca akhbar, menonton berita tv hinggalah hadir forum, ceramah agama, diskusi kecil dan menjadi penumpang teksi, masing bercakap ‘salah kerajaan’ dan ‘silap kiprah politik’.

Dalam tahun 1980-an, ketika menjadi salah seorang penumpang teksi dari Kota Bahru ke Pasir Puteh, saya disogokkan dengan pelbagai andaian, termasuklah di pasangnya kaset ceramah politik oleh pemimpin PAS. Apakah daya, saya pura-pura tidur (kebetulan berada di tepi tingkap kiri, barisan penumpang di belakang), tetapi, seorang penumpang di bahagian depan begitu ‘taksub’ dengan apa yang dikatakan perlunya mengikis budaya taghut dan Malaysia menukarkan warisan ‘perlembagaan penjajah’.

Seorang kawan pernah menulis fenomena itu dengan mempersoalkan ‘budaya agama tokoh agama yang taksub berpolitik’ kerana bercakap dalam bahasa kesat, kotor, mengecam dan seterusnya melabelkan apa sahaja istilah buruk terhadap ‘musuh-musuh politiknya’. Meskipun saya cuba mendapatkan semula artikel berkenaan gagal, seingat saya, penulis berkenaan amat memahami apa yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT, yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman janganlah satu kaum memperolok-olok  kaum yang lain (karena) boleh jadi mereka (yang diperolok-olok) lebih baik dari mereka (yang memperolok-olok), dan jangan pula wanita-wanita (memperolok-olok) wanita-wanita lain (karena) boleh jadi wanita-wanita yang diperolok-olok lebih baik dari wanita yang memperolok-olok dan janganlah kamu mencela diri (saudara) kalian sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk buruk pangilan ialah (pangilan) yang buruk sesudah iman, dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zhalim.”(QS.Al-Hujurat ayat 11)

Selepas tahun 2008, tindakan mengecam, memperolok-olokkan pemimpin, memijak gambar pemimpin terus berlaku sebagai manfisteasi ‘kemarahan’ dan ‘kebencian’ kerana keputusan rakyat tidak menyebelahinya. Saya masih ingat, bagaimana pemimpin-pemimpin politik berhimpun, menyalakan lilin dan seumpama suatu pesta memijak-mijak potret pemimpin yang di bencinya, Tidak kurang juga ada yang berlatarbelakangkan agama ‘membaca doa, agar orang-orang tertentu dibutakan matanya’ kerana berselisih fahaman politiknya. Perlakuan itu menyebabkan semakin ramai rakyat yang berfikiran rasional marah, benci dan meluat sehingga mereka mula mempersoalkan nilai agama dan tindakannya.

Kredibiliti sebagai ‘guru agama’ atau ‘tuan guru’ sedikit terjejas. Tetapi, disebabkan oleh unsur-unsur personality cult, tindakan berkenaan disokong dengan alasan, ‘dia tahu mana yang baik dan mana yang buruk’ dan seseorang itu berhak untuk berbuat demikian atas alasan demokrasi. Maka, demokrasi semakin dirosakkan oleh pelbagai kaedah agitasi, penghinaan dan kekerasan meskipun belum sampai di Malaysia tahap bunuh membunuh. Melemparkan kerusi di dalam Sidang Dewan Rakyat. Di Perak, apa yang berlaku ialah menganggu perasmian Sidang DUN, keengganan Speaker menyerahkan pakaian rasmi, cabar mencabar dan sedikit adegan sarkas.

Selepas pertukaran kerajaan 2018, lanskap politik berubah lagi. Parti yang kalah, dikeronyok habis-habisan sehingga perjalanan parti berkenaan mengalami gangguan. Tidak cukup dengan itu, ugutan dan jentera kerajaan digunakan untuk menakut-nakutkan pemimpin parti yang kalah dan pemimpin didera seolah-olah ‘tiada hari esok’. Rangkaian fitnah, pendedahan demi pendedahan dibuat yang kadangkala memperlihatkan ‘sikap rakus’ dan ‘membalas dendam’.

Masyarakat semakin gelisah, dalam usaha untuk ‘membaiki kerosakan’, tidak kelihatan perancangan yang jelas, hanya saling bertekak dan bertelagah walaupun rakyat memilihnya. Ada-ada sahaja perkara yang tidak sehaluan, masing-masing cuba menonjolkan diri umpama ‘enau di belukar’. Perilaku itu menyebabkan rakyat semakin benci, dan mula timbul desakan agar menteri-menteri yang dilantik meletakkan jawatan, bahkan Perdana Menteri turut diminta berbuat demikian,

Selepas desakan tidak diendahkan, rakyat pula melancarkan desakan agar kuasa diserahkan semula untuk ditentukan oleh rakyat, bubar Parlimen. Tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia desakan yang begitu meluas, membabitkan hampir semua menteri Malaysia Baru, termasuk Perdana Menteri, ketua-ketua jabatan yang dilantik berdasarkan prerogative Perdana Menteri (Pesuruhjaya SPRM – Latheefa Koya; Ketua Hakim Negara, Tommy Thomas; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Abdul Jalil Rasheed; dan menteri, timbalan menteri yang terbabit dengan Ijazah Palsu, Sijil Palsu (Kelulusan Akademik),  Sijil Profesional palsu, serta belajar di universiti ‘rumah kedai’ atau garaj kereta).

Akhirnya, Perdana Menteri ke-7 tidak dapat bertahan. Beliau meletakkan jawatan kerana ada ‘pengkhianatan dari dalam’, termasuk dari partinya sendiri. Langkah Sheraton, meskipun dilihat gagal ‘coup de tat’ secara langsung, ia tetap dilihat sebagai titik kemuncak kegagalan dua parti yang membentuk kerajaan, Bersatu dan PKR, dan kegagalan Dr Mahathir sendiri untuk memperkemaskan espirit de corp dalam Pakatan Harapan.

Semua orang tahu, DAP lebih awal memberikan peringatan bahawa parti itu bersedia meninggalkan Pakatan Harapan sekiranya perjuangan Malaysia Baru diketepikan. Semua orang tahu, asas Malaysia Baru ialah Malaysian Malaysia; old wines in the new bottle. Gagasan Malaysian Malaysia mempunyai kaitan dengan hasrat Lee Kuan Yew, pengasas Parti Tindakan Rakyat di Singapura (PAP).

Pada tahun 1964, PAP mempunyai seorang wakil rakyatnya di Tanah Melayu, apabila menang di kawasan Bangsar. (Mohd Nordin Sopiee, From Malayan Union to Separation of Singapore: Political Unification in the Malayan Region 1945-1965. K.Lumpur: UM Press, 2005; dan Tunku Abdul Rahman, Coretan Kenangan: Tahun-tahun Penting Bagi Malaya dan Malaysia, terjemahan Shamsudin Puteh, K.Lumpur: Jabatan Penerangan Malaysia, 200),

Tahun 1965, Singapura tidak lagi sebahagian daripada Malaysia, maka PAP tidak ada peluang lagi untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya di negara ini. Perseteruan dan pergeseran politik, percanggahan matlamat dan keangkuhan Lee Kuan Yew menyebabkan Tunku Abdul Rahman membuat keputusan berani, menyingkirkan Siangapura secara rasmi pada 9 Ogos 1965. Kisah perkongsian yang tidak serasi itu boleh dibaca dalam Rosli Mohd Yusoff, Singapura dalam Malaysia 1963-1965: Perkongsian Tidak Serasi, Kota Bahru: Penerbit UMK 2019).

Kenapa PH tidak disukai oleh rakyat? Pertama, ialah ‘momokan hutang negara sehingga lebih RM 1 trilion, yang akhirnya terbongkar secara rasmi, takat hutang itu adalah nilai ambang yang ingin dicapai dalam tempoh sepenggal pentadbirannya. Perangkaan rasmi, hutang kerajaan ialah RM 661 bilion (2017) dan sehingga akhir pentadbiran BN, dianggarkan berjumlah RM 686 bilion. Dalam tempoh setahun PH memerintah,  hutang negara telah meningkat kepada RM 797.4 bilion (28 Jun 2019). Enam bulan pertama 2019, Menteri Kewangan menjelaskan, kerajaan berhutang RM 58 bilion untuk membayar komitmen sebelumnya termasuk hutang 1MDB. (laporan BERNAMA, disiarkan oleh Sinar Harian, 22 Ogos 2019).

Kedua, 100 hari pertama pentadbiran PH penuh kontroversi. GST dihapuskan, digantikan dengan SST setelah diberikan ‘penangguhan selama tiga bulan – Julai hingga September 2018; bayaran balik pinjaman PTPTN tidak dihapuskan, peminjam yang ‘termakan umpan PH sebelum PRU menuntut janji itu, tapi menteri PH berkata, ‘mereka yang bermoral akan bayar hutang’ dan UMNO dituduh sebagai dalang keengganan peminjam membayar balik pinjaman; penghapusan bayaran tol di lebuh raya, kadar bayaran dikurangkan 18 peratus dan pemilik konsesi diberikan tempoh penyambungan sebagai ganti kehilangan pendapatan;  kadar tol di empat lebuh raya Lembah Klang percuma (11 malam hingga 5 pagi),  diskaun 30 peratus di luar waktu puncak dan kadar yang sama di waktu puncak, bayaran itu dipanggil ‘caj kesesakan’, sehingga terlucut kuasa, pelaksanaannya tidak dapat dilaksanakan kerana ‘rundingan harga’ dengan pemilik konsesi tidak berjaya; subsidi petrol bersasar bertukar kepada tak tersasar; nilai ringgit merudum; indeks pasaran terus jatuh; eksport minyak sawit menurun; tiada kemasukan pelaburan asing; pemindahan operasi kilang antarabangsa; pembatalan projek mega (runding semula harga dan bermain dengan slogan penjimatan dengan pengecilan skop dan perubahan spesifikasi); menghabiskan wang melawat ke luar negara (kumpul ijazah doktor kehormatan); dan bertelagah sesama menteri.

Ketiga, prestasi menteri-menteri dalam tempoh setahun, menurut Dr Mahathir setakat 50 peratus. Mazlee Malik memberikan penilaian terhadap pencapaiannya 55 peratus. Daim Zainuddin mengeluh, enam bulan pertama masih ok, jika perlukan enam bulan lagi untuk belajar dan memahami tanggungjawab, ‘sudah lebih’. Tinjauan pendapat online Malaysiakini, sebagaimana dilaporkan pada 31 Disember 2019,  hanya 10 peratus (daripada 28 menteri) menerima skor 50 peratus ke atas.

Menariknya, dua pemimpin utama Bersatu – Muhyiddin memperoleh skor 36 peratus manakala Dr Mahathir hanya mampu sekadar 26 peratus. Dua menteri berpengalaman (Mahathir sebagai PM selama 22 tahun dan Muhyiddin berada dalam kabinet sejak tahun 1995) mendapat skor lebih rendah daripada tiga orang menteri DAP Anthony Loke (86 peratus), Gobind Singh Deo (83 peratus) dan Yee Bee Yin (79 peratus) bahkan Mohamad Sabu (59 peratus), Lim Guan Eng (59 peratus) dan Dr Zulkefly Ahmad (63 peratus) dilihat lebih berprestasi. Mahathir pun kalah dengan Khalid Samad (47 peratus), Saifudin Abdullah (52 peratus) dan Salehudin Ayub (51 peratus).

Jika ‘paras lulus’ ialah 50 peratus, hanya 10 orang menteri boleh diberikan markah lulus, termasuk Dr Wan Azizah dan Salehudin Ayub. Jika diambil kira pandangan seorang guru pemasaran, orang tidak pedulikan berapa banyak unit yang dapat anda jual pada masa lepas; sebaliknya, orang akan menerima seseorang itu sekiranya orang itu dapat mengatasi masalah semasa’ (Zig Ziglar, Top Performance, How to Develop Excellence in Yourself and Others, 1986).

Keempat, perbalahan dalaman PH (antara parti komponen) dan intra parti komponen. Dr Mahathir merasakan kedudukanya tidak kuat, maka ia perlu ‘memancing’ seramai mungkin wakil rakyat untuk menyertai Bersatu. Awalnya berlaku exodus, tetapi  kemasukan mereka mendapat tentangan daripada DAP dan PKR, dan dilihat tidak menghormati persetujuan yang dibuat sebelumnya. Mahathir berusaha mengawal ‘kerosakan’ dengan membuat kenyataan, ia perlu terlebih dahulu ‘menjalani proses dan pertimbangan’ dan tidak akan diterima secara automatik. Akhirnya, kumpulan ini menjadi antagonis kepada Dr Mahathir, menyokong Muhyiddin untuk menamatkan penyertaan Bersatu dalam PH.

PKR semakin bergolak selepas Anwar memperoleh kemenangan percuma sebagai Presiden PKR, kerana Wan Azizah ‘angkat bendera putih’. Azmin kekal sebagai Timbalan Presiden, tetapi Azmin sudah ‘bermasam muka dengan kelompok Anwar’. Masam muka itu bermula apabila Azmin diterima sebagai calon MB Selangor selepas Langkah Kajang, dan calon pilihan Anwar, Wan Azizah kecundang. Hasrat Anwar mengambil semangat Erdogan (Istanbul sebagai loncatan menguasai politik Turki) dan Jokowi (daripada kemenangannya sebagai Gabenor Jogjakarta dan kemudiannya berjaya menguasai politik Indonesia) tidak kesampaian. Semangat demokrasi dan kemenangan Aung Sang Su Kyi juga semakin melemah, akhirnya Anwar terpaksa berehat di Penjara Sungai Buloh selama lima tahun.

Selepas dibebaskan, Anwar kembali mengukuhkan kedudukan dengan menjadikan dirinya ‘menguasai PKR’ dan mula melakukan penggantian mana-mana mereka yang dilihat berada dalam kem Azmin menduduki posisi di negeri dan sebagainya. Bila meletupnya kes Foor Points, Sandakan, ramai beranggapan itu adalah permainan politik untuk menjatuhkan Azmin, yang ketika itu dipertahankan oleh Dr Mahathir. Ada spekulasi, Dr Mahathir lebih ‘sukakan Azmin’ daripada Anwar, maka itulah sebabnya, Anwar terkandas bila ‘bermusuh dengan Azmin’. Azmin dan penyokong-penyokongnya, dikatakan menjadi dalang Langkah Sheraton.

Biarpun ia dianggap gagal pada awalnya, PH terlucut kuasa kerananya. Dr Mahathir sedar, jika tidak meletakkan jawatan, beliau mungkin dijatuhkan lebih teruk. Sebelum membuat keputusan meletakkan jawatan, Dr Mahathir tidak mencadangkan Anwar sebagai pengganti. Ia menujukkan dakwaan Anwar ‘gila-gila nak jadi Perdana Menteri’ sebagai punca keengganan Dr Mahathir menyerahkannya, walaupun diakui bahawa dirinya adalah PM sementara.  Dr Mahathir ada agendanya yang lebih besar,  dan didakwa tidak akan berhenti selagi kedudukan Mukhriz ‘tidak terjamin’.

Kelima, selepas ‘kehilangan kuasa’, polemik calon perdana menteri begitu memualkan, dua galah yang tak cukup saling bercakaran. Bagi ‘memindahkan rasa benci rakyat’ maka dicalonkan Shafie Afdal manakala Anwar dan Mukhriz adalah timbalan perdana menteri. Sekali lagi mengundang kritik, Dr Mahathir mula mencari jawapan lain, dan di antaranya “Anwar gila-gilan nak jadi PM”, menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), dan menjelaskan ‘masih ada orang yang mahukan dirinya jadi PM’.

Cukuplah, Dr Mahathir ‘tak payah’ nak puji diri dan nak berselindung di sebalik andaian “Haji Hadi adalah lebih layak jadi PM’. Apa tujuannya? Ia semata-mata untuk ‘mencanang perpecahan’ dan menjadikan Muafakat Nasional bercempera, sebagaimana Bersatu.

Keenam, ada usaha untuk menggambarkan kerajaan Perikatan Nasional sebagai ‘gagal’ dan mendakwa UMNO sedang membuli Bersatu. Faktornya, UMNO adalah parti yang paling banyak kerusi wakil rakyat, tetapi Bersatu diberikan jawatan menteri strategik (termasuk ‘katak-katak’ sehingga ada persepsi UMNO ibarat ‘melukut di tepi gantang’. Ada juga garapan idea, PAS bersedia melegalisasikan Perikatan Nasional, UMNO tidak bersedia kerana tidak mahu Bersatu bertindak sebagai ‘tauke’. Maka, dikatakan solusi terbaik ialah Muhyiddin perlu merombak kabinet, termasuk mengadakan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri, bukan lagi kluster menteri kanan.

Ketujuh, selepas Anwar mengadap YDPA (13 Oktober 2020), kedengaran kemungkinan akan adanya Perdana Menteri (interim), yang mana Tengku Razaleigh disebut-sebut sebagai calonnya. Tengku Razaleigh adalah anggota Parlimen paling lama, bahkan lebih lama daripada Dr Mahathir sendiri. Tahun 1969, Dr Mahathir tewas di Kota Setar, kemudian dipecat kerana mengktirik Tunku. Antaranya, terlalu lama berkuasa. Dalam sejarah politik Malaysia, Dr Mahathir adalah Perdana Menteri paling lama (22 tahun) lebih lama daripada Tunku (13 tahun). Ada andaian bahawa Dr Mahathir ada kaitannya dengan komplot menjatuhkan kepimpinan Tunku. (Saya membaca semula Malay Dilema untuk kesekian kalinya, sebagai asas perbandingan wawasan Dr Mahathir).

Dr Mahathir pernah ‘berhenti jadi wakil rakyat’ selama 15 tahun (PRU ke-11, 12 dan 13). Beliau kembali bertanding di Langkawi (PRU ke-14) sedangkan Tengku Razaleigh belum terputus sebagai Ahli Parlimen. Tengku Razaleigh tidak pernah merajuk dan keluar daripada UMNO. Beliau mengasaskan Parti Melayu Semangat 46 kerana UMNO diharamkan dan diminta oleh Tunku Abdul Rahman supaya menghidupkan UMNO asal. Dr Mahathir menggunakan kuasanya, menolak pendaftaran tersebut dan meluluskan pendaftaran UMNO (Baru) dalam tempoh yang singkat. Tengku Razaleigh menamakan parti baharu Semangat 46, dan diluluskan pendaftarannya.

Dr Mahathir bukan sahaja ‘membunuh UMNO’, juga mengkhianati semangat UMNO asal. Bila menubuhkan UMNO (Baru), semakin banyak aset UMNO ‘hilang’ dan berpindah milik. Begitu juga syarikat-syarikat yang ditubuhkan oleh Tun Razak bagi meningkatkan penguasaan ekuiti bumiputera.

Kumpulan guru mula tersisih daripada menjadi tunjang pergerakan UMNO sebaliknya UMNO dibawah pimpinan Dr Mahathir dikuasai oleh pelobi projek dan mereka yang mula bergelar korporat. Akhirnya, UMNO rosak dengan ‘politik wang’ dan menjadi medan ‘melobi projek’. Bahkan, pada suatu ketika, Ketua Cawangan UMNO lebih kaya dan boleh berbelanja ratusan ribu ringgit untuk mempertahankan jawatan itu.

Kini, UMNO yang dianggap sebagai ‘rumah pusaka’ sebahagian besar orang Melayu bukan sahaja ‘berpuaka’ bahkan bergelumang dengan pelbagai masalah ‘gila kuasa’ dan integriti. Di mana-mana berlaku percanggahan kecenderungan, sehingga akhirnya parti itu seolah-olah tenggelam dalam kemelut ‘kisah rasuah’ dan ‘salah guna kuasa’. Kempen Dr Mahathir menjelang PRU ke-14 menjurus kepada masalah tersebut, akhirnya UMNO tersungkur di kubunya sendiri. UMNO kehilangan kuasa dan imejnya semakin memburuk.

Sebab itulah, jika UMNO ingin kembali berkuasa dan mendapat semula sokongan popular, UMNO perlu membersihkan pertubuhan itu. Mana-mana pemimpinnya yang dikaitkan dengan isu ‘salah guna kuasa’ dan ‘rasuah’ perlu menjadi ‘manusia jujur’; bersedia tidak bertanding dalam PRU ke-15. Jika ini dapat dilakukan, UMNO benar-benar dilihat kebih bertenaga, dan kembali kuat kerana digerakkan oleh mereka yang belum tercalar oleh liabiliti.

Persoalannya ialah bersediakan pemimpin-pemimpin UMNO berkorban demi ‘bangsa, agama dan negara’ dan melupakan ‘kepentingan diri’ dengan memperalatkan ‘sentimen perjuangan Melayu’. Sudah lama ‘sentimen’ itu ‘digadai’ dan kini UMNO dengan PAS dalam Muafakat Nasional wajib ‘menebus’nya. Jika tidak, orang Melayu akan benar-benar kehausan di negara yang kaya hujan, limpahan cahaya matahari. Tanah yang subur ini akan menjadi milik bukan Melayu, kerana bukan Melayu sentiasa dengan perjuangannya.

Sebahagian daripada kita mungkin masih ingat lagi apa yang pernah diberitahu oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman tentang Lee Kuan Yew: Apa yang ada pada saya adalah milik saya dan apa yang ada pada anda adalah milik saya’. (Tunku Abdul Rahman, Coretan Kenangan, 2007).

Cuba bayangkan, orang Melayu sudah terlalu banyak berkorban atas nama ‘perkongsian kuasa’ dan ‘berkongsi apa sahaja’ tetapi bukan Melayu sedang giat mencari jalan dan menyusun strategi untuk ‘memiliki apa yang dimiliki oleh orang Melayu’; bukan Melayu tidak ikhlas berkongsi’milik mereka’ sebaliknya mendakwa, milik mereka adalah ‘hak mereka’ kerana mereka kuat berusaha dan gigih mencarinya. Bahkan Dr Mahathir berkata, orang Melayu “malas’, tidak gigih berusaha dan suka mengambil jalan pintas, ‘jual kontrak’ dan sebagainya. (Khalid Salleh, Melayu Hilang di Dunia, 2011).

Tetapi, Dr Mahathir terlupa. Beliau sudah banyak melakukan kerosakan: memecahbelahkan politik Melayu-Islam dan akhir-akhir ini, merelakan semangat keMelayuan luntur hanya kerana inginkan legasinya dapat dipertahankan dan disambung oleh Mukhriz. Apa tidaknya, jika itu bukan tujuannya. Itulah enigma Dr Mahathir yang menyebabkan semakin ramai rakyat Malaysia meluat, dan bercakap mengenai politik dua puluh empat jam. Sebabnya, Dr Mahathir tidak pernah berhenti berpolitik, selagi impiannya tidak tercapai atau kata remaja sekolah, ‘selagi Atuk masih hidup’.

Setiap hari ada komentarnya, tetapi, semuanya ‘salah orang lain’ bukan salah diri sendiri apabila meletakkan jawatan (kerana gagal membentuk kerjasama yang sinergi dalam kabinet dan parti politik yang menganggotai PH) tanpa merujuk kepada kumpulan yang menyokongnya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Mahathirisme 2.0 yang gagal; gagal kerana tanahnya terlalu berlubang dan jerlus.

Mahathirisme 1.0 berjaya  (bersama UMNO) kerana di ketika itu,  ‘prinsip kesetiaan’ (neofeodalisme) sentiasa hidup dan lagu Setia terus bergema (selepas imej Dr Mahathir merudum kesan perpecahan dalam UMNO dan perebutan jawatan pada tahun 1987). Seperti kata Tan Sri Mohamad Rahmat (1938-2010),  song power amat berkesan dalam menyemarakkan pemikiran dan tindakan secara halus dan tanpa kita sedar. Itulah sebabnya ada yang boleh menangis bila mendengar lagu, ada yang ‘naik hantu’ bila lagu itu didengar.

Kini, rakyat Malaysia  berpolitik 24 jam kerana ‘muak dan benci’ melihat telatah Dr Mahathir dan kegilaan tokoh tertentu nak jadi Perdana Menteri. Rakyat mula terasa, emosi dan pemikiran mereka sedang dibuli, dibuli oleh keinginan dan ‘dendam’ yang belum reda, bersama  ‘hasrat’ yang belum tercapai..

 

MONOSIN SOBRI

Translate »