Sesuatu yang dikerjakan / dilakukan atau diucapkan berulang kali, sehingga dianggap baik dan diterima akal sihat disebut adat (Arab: ‘adah). Istilah lain ialah ‘urf, yang diertikan sebagai “yang dikenal dan dianggap baik”. Menurut sebahagian ulama, ada perbezaan antara ‘adah dengan urf’.

‘Adah adalah kebiasaan dalam suatu perbuatan atau perkataan tanpa hubungan rasional dan bersifat perbadi, seperti kebiasaan tidur, makan dan lain- lain. Adapun ‘urf’ adalah kebiasaan sebahagian besar masyarakat, baik dalam perkataan mahupun perbuatan.

Istilah “adat” dalam bahasa Melayu lebih dekat dengan pengertian ‘urf ‘ dalam bahasa Arab, bukan’ adah’. Adat menempati posisi penting dalam Islam kerana dapat dijadikan dalil dalam menetapkan hukum.

ADAT BASANDI (BERSENDI) SYARAK

Salah satu bukti pertautan anara adat dengan agama Islam adalah dasar falsafah adat Minangkabau yang berbunyi: “Adat basandi syarak, syarak basandi kitabullah.” Falsafah tersebut bererti adat bersendikan syariat (ajaran agama) dan syariat bersendikan Kitab Allah s.w.t (al–Quran). Para datuk di Ranah Minangkabau, penegak adat basandi syarak.

ADAT DALAM HADIS

Ada banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w yang mengakui adanya adat suatu masyarakat, misalnya kebiasaan jual beli pada zaman pra-Islam dalam riwayat Ibnu Abbas, ketika Nabi Muhammad s.a.w berhijrah ke Madinah, baginda melihat penduduk setempat berjual beli dengan memesan barangan yang belum ada.

Baginda bersabda yang bermaksud: “Siapa yang melakukan jual beli pesanan, maka hendaklah ditentukan jumlah, sukatan dan jangka waktunya.” (Riwayat Bukhari)

Ketika Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, penduduk kota itu telah memiliki kebiasaan melakukan jual beli dengan cara memesan barang yang belum ada.

DALIL HUKUM

Para ulama usul fiqh sepakat bahawa adat yang tidak bertentangan dengansyariat Islam dapat dijadikan dalil dlam menetapkan hukum Islam.

Hal ini didasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesuatu yang dipandang baik oleh kaum Muslim, maka di sisi Allah juga baik.” (Riwayat Ahmad)

Olehkerana itu, dalam menetapkan suatu hukum, ulama harus terlebih dahulu meneliti kebiasaan ynag berlaku dalam masyarakat setempat, sehingga hukum yang ditetapkan tidak bertentangan atau menghilangkan kemaslahatan masyarakat tersebut.

AL- ‘ADAH MUHAKKAMAH

Salah satu kaedah fikah yang terkenal adalah al- ‘adah muhakkamah, yang bererti “adat kebiasaan itu dapat dijadikan landasan hukum.” Kaedah fikah ini dirumuskan oleh para ulama usul fiqh untuk mempertegas keshan adat sebagai alasan bagi penetapan hukum.

Daripada kaedah ini, muncul kaedah lain untuk mengukuhkan kebenaran penggunaan adat sebagai dasar hukum, seperti al- ma’ruf ‘urfan ka al- masyrut syartan (yang baik itu menjadi kebiasaan, sama halnya dengan yang disyaratkan itu menjadi syarat).

URF’ AMALI

Berbeza dengan ‘urf lafzi yang diucapkan, ‘urf amali hanya berkaitan dengan perbuatan dan tidak perlu menggunakan kata- kata tertentu. Seseorang yang ingin membeli suatu barang tidak perlu mengucapkan akad, cukup mengambil barang lalu membayarnya dengan sejumlah wang. Contoh ‘urf amali ialah kebiasaan jual beli di kedai layan diri.

JENIS ADAT

Adat atau ‘urf dapat dilihat daripada tiga segi. Dari segi objek, ‘urf terdiri daripada ‘urf lafzi (adat perkataan) dan ‘urf amali (adat perbuatan). Dari segi cakupan, ‘urf terdiri daripada kebiasaan umum yang berlaku di seluruh daerah dan kebiasaan  khusus yang hanya berlaku di daerah tertentu.

Dari segi kesahihan, ‘urf terdiri daripada adat yang sesuai serta dibenarkan oleh Islam dan adat yang bertentangan dengan Islam.

Susunan LATIFAH SAID

Translate »