Dalam pengertian keagamaan, hukuman yang ditimpakan kepada seseorang sebagai akibat daripada perbuatannya, disebut azab. Hukuman itu sendiri terbahagi kepada dua, iaitu yang berasal daripada Allah s.w.t dan yang dilakukan suatu golongan terhadap golongan lain.

Contoh hukuman daripada Allah s.w.t adalah hukuman yang ditimpakan kepada Firaun dan para pengikutnya agar mereka menyedari kekeliruannya dan kembali ke jalan yang benar (maksud al-Quran, surah az-Zukhruf, ayat 48). Adapun contoh hukuman daripada suatu golongan kepada golongan yang lain adalah seksaan yang dilakukan Firaun serta para pengikutnya terhadap Bani Israil dan pembunuhan semua bayi lelaki mereka (al-Baqarah: 49; al-‘Araaf: 141; Ibrahim: 6; ad-Dukhaan: 30-31).

Di dalam Al-Quran dijelaskan bentuk dan sebab azab. Contoh sebab azab kerana kafir kepada Allah s.w.t diterangkan dalam surah al-Anfal ayat 35, dan mendustakan ayat-ayat Allah s.w.t dalam surah al-‘Araaf ayat 36-39. Salah satu contoh bentuk azab Allah s.w.t di neraka adalah minuman daripada air yang sedang mendidih. Ini terdapat dalam surah al-An’am ayat 70.

Pada umumnya, kaum Asy’ariyah (penganut aliran Asy’ariyah) meyakini adanya azab Allah s.w.t yang ditimpakan kepada manusia ketika masih berada di dunia ini. Dalam al-Quran dikisahkan adanya azab dalam pelbagai bentuk bencana alam. Bangsa-bangsa terdahulu yang ingkar atau zalim tertimpa bencana itu, misalnya angin kencang yang amat dingin dan membinasakan kaum Ad (surah al-Haqqah ayat 6).

Nabi Hud a.s diutus Allah s.w.t untuk memberi peringatan kepada kaum Ad yang sesat (surah al-Ahqaf, ayat 21) kerana mereka menyembah objek lain selain Allah s.w.t. Mereka tidak mahu mendengarkan Nabi Hud dan tetap membangkang. Akhirnya, Allah s.w.t menurunkan azab kepada kaum Ad dalam dua tahap. Salah satu azabnya berupa kekeringan atau kemarau yang sangat dahsyat.

Sebelum bencana banjir diturunkan, Nabi Nuh a.s sudah mengingatkan umatnya akan azab Allah s.w.t. Namun mereka tetap membangkang dan menolak ajakan Nabi Nuh a.s. Akhirnya bencana banjir besar ditimpakan kepada kaum Nabi Nuh a.s kerana mereka berbuat zalim. Atas perintah Allah s.w.t, Nabi Nuh a.s dan kaumnya yang bertakwa membina bahtera besar agar mereka terhindar daripada bencana bah (banjir besar).

Menurut tafsir Ibnu Katsir, ada dua pendapat tentang azab kubur. Pertama, menyatakan bahawa azab kubur berbentuk penyeksaan secara fizikal, sedangkan yang kedua berpendapat bahawa azab kubur hanya merupakan pengalaman rohani. Meskipun demikian, tidak semua ulama, terutama ulama moden, berpendapat bahawa azab kubur itu ada. Sebahagian daripada mereka tidak percaya akan adanya azab kubur.

Para ahli ilmu kalam berpendapat bahawa azab di akhirat berlaku secara fizikal. Hal ini didasarkan pada keyakinan mereka tentang adanya kebangkitan jasmani seperti dinyatakan dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang yang telah hancur luluh? Katakanlah: Ia akan dihidupkan oleh Tuhan yang menciptakannya kali pertama.” (surah Yaasin: 78-79)

Kaum sufi menolak kebangkitan (dibangunkan kembali) jasmani. Menurut mereka, jasmani bersifat sementara. Apa yang akan dibangkitkan (dibangunkan kembali) di akhirat adalah rohani. Oleh hal yang demikian itu, azab akhirat itu bersifat rohani.

Susunan MAZNAH MOHAMAD

Translate »