Kesultanan Buton adalah sebuah kerajaan Islam di Pulau Buton, pulau yang terletak di sebelah tenggara Sulawesi. Islam masuk ke Buton pada abad ke-16. Sebelum kedatangan Islam, kerajaan Buton telah pun berusia kira-kira dua abad dan diperintah oleh raja beragama Hindu-Buddha yang mempunyai hubungan yang cukup erat dengan kerajaan Majapahit.

Buton memiliki kedudukan strategic dalam laluan pelayaran dari Jawa dan Makassar menuju ke Kepulauan Maluku yang pada masa itu terkenal di seluruh dunia sebagai pusat penghasilan rempah.

Namun, wilayah kekuasaan Kesultanan Buton itu tidak begitu besar, sehingga kedudukannya sering terumbang-ambing antara tiga kuasa politik dan tentera yang besar pada zaman itu, yakni Kerajaan Makassar, Ternate dan VOC.

HALU OLEO

Buton menjadi kerajaan Islam atau kesultanan setelah rajanya yang ke-6, Timbang Timbangan atau Halu Oleo, memeluk agama Islam. Setelah Halu Oleo masuk Islam, baginda dilantik menjadi sultan oleh Syeikh Abdul Wahid pada tahun 1938.

Pelantikan ini merupakan peringkat awal pengislaman Kerajaan Buton. Selain bergelar sultan, Halu Oleo juga dikenali sebagai al-amr (pemerintah) dan Qa’im ad-Din (penegak agama).

SYEIKH ABDUL WAHID

Tokoh terkenal pembawa Islam ke Buton ialah Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Patani. Ketika beliau singgah di Pulau Batu Atas, dekat Pulau Buton untuk kembali ke Johor bersama isterinya, beliau bertemu dengan Imam Pasai yang mengajaknya ke Kerajaan Buton.

Syeikh Abdul Wahid memenuhi ajakan Imam Pasai tersebut. Di sana, dengan dakwahnya Syeikh Abdul Wahid berjaya mengislamkan Raja Buton ke-6 dan diikuti oelh rakyatnya. Hingga kini, masyarakat menyanjungi tinggi syeikh tersebut.

VOC

Kedudukan Buton yang sering diserang negara jirannya menyebabkan Sultan La Elangi perlu bijak berdiplomasi. Jika baginda menjalin hubungan baik dengan Ternate dan VOC, bererti baginda mengundang ancaman dari Makassar dan sebaliknya.

Selama dua abad, Kesultanan Buton berjaya melindungi kedaulatannya melalui diplomasi yang bijak. Setelah Makassar dikalahkan VOC pada 1667, barulah Buton bebas daripada pertikaian tiga kuasa itu. Namun pada tahun itu pula, VOC campur tangan lebih jauh dalam pemerintahan Kesultanan Buton.

PERJANJIAN DENGAN VOC

Kerana kerap menjadi rebutan kerajaan besar di sekitarnya seperti Makassar dan Ternate, Kesultanan Buton berasa perlu untul melindungi diri dengan bekerjasama dengan kuasa lain. Sultan Buton lalu mengadakan perjanjian persahabatan dengan VOC pada 1613.

MARTABAT TUJUH

Undang-undang Kesultanan Buton berlandaskan ajaran Islam yang terdapat dalam kitab Martabat Tujuh.

Kitab ini disusun oleh Sultan La Elangi pada awal abad ke-17. Ajaran Martabat Tujuh diterapkan pula dalam undang-undang berikutnya, yakni kitab Sarana Wolio yang disusun oleh Sultan Muhammad Idrus (1824-1851).

Kesultanan Buton merupakan rangkaian penyebaran Islam dan tasawuf yang pada masa itu berkembang pesat di Nusantara kerana ajaran Martabat Tujuh juga sudah dikenali di Kesultanan Aceh seabad sebelumnya.

v  Ada yang mengatakan Islam masuk ke Buton dari Ternate yang memeluk Islam seabad lebih awal melalui pedagang Islam yang belayar dari dan ke Maluku yang singgah di Buton serta mendakwahkan Islam kepada penduduknya.

v  Kubu Kesultanan Buton merupakan salah satu bukti sejarah tentang kewujudan kesultanan itu di Pulau Buton. Kubu yang mengelilingi pusat pemerintahan ini masih dapat kita saksikan hingga sekarang.

Susunan NANI AHMAD

Translate »