“Jin kafir” juga sebagai syaitan atau iblis. Dari segi bahasa, kata “syaitan“ (Arab) berasaldaripadabahasaIbrani yang bermaksud “ lawan” atau “musuh”. Ada pula yang mengatakan bahawa kata “syaitan“ ialah bahasa Arab asal (syaitan) kerana sejumlah kata Arab asal dapat dibentuk daripada kata itu, misalnya syatana yang bermaksud “jauh”, “sesat” dan “fanatik”.

Bagaimanapun, untuk penamaan jin kafir itu, kata “syaitan” lebih sering digunakan daripada kata “iblis”.

Semua pengertian itu ada kebenarannya kerana syaitan atau iblis merupakan musuh manusia dan dapat menyesatkan manusia daripada kebenaran. Kadang-kadang sebutan “syaitan” juga digunakan untuk manusia yang menjadi pelopor kejahatan seperti kekafiran dan kemunafikan.

IBLIS

Ada di kalangan pakar bahasa yang menyatakan bahawa kata “iblis” berasal daripada bahasa Yunani (diabolos). Namun yang jelas, kata tersebut terdapat dalam al-Quran. Ahli bahasa Arab mengatakan bahawa kata tersebut berasal daripada kata ablasa yang bermaksud “bingung” atau “putus asa”, atau daripada kata balasa yang bermaksud “tidak memiliki kebaikan”. Iblis bingung dan putus asa kerana tidak lagi mendapat rahmat Tuhan setelah dikutuk kerana enggan sujud kepada Nabi Adam a.s.

DERHAKA

Istilah “iblis” dalam al-Quran memberikan penekanan yang lebih terhadap penderhakaan pertama yang dilakukan oleh makhluk Tuhan, yang menggoda manusia supaya derhaka kepada Allah s.w.t.

Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam a.s, sedangkan para malaikat sujud memberikan hormat kepada Adam. Iblis enggan sujud kepadaNabi Adam a.s kerana sombong walaupun iblis sebenarnya takut kepada Allah s.w.t.

Iblis tidak mahu sujud kepada Adam kerana merasakan bahawa darjatnya lebih tinggi daripada Adam yang dicipta daripada tanah sedangkan ia daripada api.  (maksud Q.7:11-12)

JALAN SESAT

Di samping sombong, iblis juga enggan sujud kepada Nabi Adam a.s dengan menggunakan pertimbangannya untuk mengingkari perintah Allah s.w.t. Iblis berpendapat bahawa Allah s.w.t silap ketika memerintahnya supaya sujud kepada Adam. Dengan yang demikian, iblis telah sesat kerana pertimbangan tidak dapat digunakan untuk mengubah perintah Tuhan yang hakikatnya tidak diketahui oleh Iblis. (maksud Q.2: 216)

ANAK CUCU IBLIS

Para ulama sepakat mengatakan bahawa iblis ialah makhluk yang telah mengingkari perintah Allah s.w.t supaya sujud kepada Adam. Iblis juga mengoda Adam dan Hawa sehingga mereka diusir dari syurga. Di dalam al-Quran, iblis juga dinamakan syaitan.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa iblis hanya satu, sedangkan syaitan merupakan anak cucu iblis yang terus ‘bermaharajalela’ hingga ke hari kiamat.  (maksud  Q.7: 14)

MAKHLUK HALUS

Dalam al-Quran, kata syaitan (jamak: syayatin) digunakan sebagai panggilan untuk sejenis makhluk halus yang memesongkan kebenaran dan sentiasa membisikan fikiran jahat kepada manusia.

Al-Quran menegaskan bahawa sekalipun syaitan berusaha sedaya upaya untuk menggoda manusia agar derhaka kepada Tuhan, syaitan tidak berupaya mengalahkan keteguhan iman orang bertakwa. Yang dikalahkan hanyalah orang yang menjadikan syaitan raja (pemimpin) dan orang yang menyekutukanTuhan.

TAGHUT

Agama di dunia pada umumnya mengetahui tentang syaitan dan nama ini bukan satu-satunya nama yang digunakan untuk merujuk kepada sesiapa yang derhaka atau jahat.

Di samping istilah “syaitan”, al-Quran juga menggunakan istilah taghut untuk menunjukkan sikap yang melampaui batas, baik terhadap Tuhan mahupun sesame manusia. Syaitan dinamakan demikian kerana ia telah mencapai tahap kekufuran dan kemungkaran terhadap Allah s.w.t (maksud Q.2: 257). Dalam agama Kristian, nama Lucifer dan Ba’al Zabul digunakan untuk syaitan.

Surah al-Nas  pada keenam-enam ayat dalam surah ini mengandungi permohonan perlindungan kepada Allah s.w.t daripada godaan syaitan dan manusia. Keteguhan iman orang yang bertakwa dapat mengalahkan syaitan.

Susunan KHADIJAH HASHIM

Translate »