Orang yang melakukan perjalanan jauh ke suatu tempat dengan niat dan tujuan yang baik disebut sebagai musafir.

Sebaliknya, jika perjalanan itu didasari niat yang buruk, orang yang melakukan perjalanan itu tidak disebut sebagai musafir.

Istilah musafir diambil daripada kata dasar dalam bahasa Arab, iaitu “safara” yang bererti pergi atau melakukan perjalanan. Dalam penggunaannya, kata umumnya disejajarkan dengan istilah “rihlah” yang bererti pergi atau bepergian.

Dalam sejarah Islam, pengembaraan merupakan suatu tradisi yang biasa dilakukan oleh para ulama dan pencari ilmu.

Hampir seluruh ulama Islam pernah mengembara, dari satu kota ke kota lain untuk menuntut ilmu. Setelah puas mengembara, ulama dan pencari ilmu ini menetap di suatu kota hingga ke akhir hayat mereka.

RUKHSAH

Rukhsah ialah keringanan atau kelonggaran. Menurut ahli fekah, “rukhsah” merupakan kemudahan daripada Allah s.w.t agar musafir dapat melakukan perjalanan jauh dengan selesa tanpa meninggalkan kewajipannya kepada Allah s.w.t..

Kewajipan yang tidak dapat ditinggalkan ialah solat dan puasa. Oleh sebab itu, “rukhsah” yang diberikan berupa solat dan puasa.

RUKHSAH SOLAT

Setiap musafir diberi “rukhsah” solat, iaitu: menjamak (menggabungkan waktu solat), mengqasar (memendekkan jumlah rakaat solat), menjamak dan mengqasarkan solat sekali gus.

Menjamak solat, misalnya dilakukan dengan menggabungkan lima waktu solat menjadi tiga sahaja, iaitu solat Zuhur dengan Asar, Maghrib dengan Isyak, serta Subuh.

Mengqasar solat misalnya dilakukan dengan cara memendekkan jumlah rakaat solat Zuhur, Asar dan Isyak yang masing-masing berjumlah 4 rakaat menjadi 2 rakaat.

Meskipun demikian, solat Maghrib dan Subuh tidak boleh diqasarkan. Menjamak dan mengqasarkan solat sekali gus, dilakukan dengan menggabungkan dan memendekkan solat Zuhur-Asar sekali gus, begitu juga solat Maghrib-Isyak digabungkan sekali gus.

JARAK YANG DITEMPUH

Seseorang hanya boleh dikatakan musafir jika sudah menempuh jarak tertentu.

Ahli fekah berselisih pendapat tentang batas minimum jarak yang ditempuh. Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal menetapkan jarak minimum sejauh dua marhalah (2 hari perjalanan dengan unta) atau kira-kira 140 km, sedangkan Abu Hanifah tiga marhalah (kira-kira 210 km).

Namun, ukuran ahli fekah tersebut ialah perjalanan dengan unta. Pada masa ini, seiring dengan perkembangan kaedah pengangkutan, jarak tidak boleh lagi digunakan sebagai ukuran kerana jarak jauh boleh ditempuh dalam waktu singkat dengan kapal terbang.

Oleh sebab itu, ulama moden berpendapat bahawa yang diberi pertimbangan dalam hal “rukhsah” ini bukan jarak, tetapi sukar atau tidaknya perjalanan itu.

Dengan kata lain, “rukhsah” solat atau puasa dilakukan semata-mata dengan mempertimbangkan sulit atau tidaknya perjalanan itu.

RUKHSAH PUASA

Apabila melakukan perjalanan padabulan Ramadan, musafir diberi “rukhsah” untuk tidak berpuasa. Bahkan mereka yang sedang dalam keadaan berpuasa pun dibolehkan berbuka.

Namun, pada hari lain, musafir itu wajib menggantikan puasanya sebanyak yang ditinggalkannya.

Susunan SALMAH AHMAD

Translate »