Istanbul merupakan salah satu bukti kebesaran Islam pada zaman Daulah Uthmaniyah. Dahulunya, Istanbul merupakan ibu kota kerajaan Byzantium yang bernama Constanstinople.

Kota itu dahulunya didirikan oleh bangsa Yunani kira-kira pada abad ke-7 SM. Setelah jatuh ke tangan Uthmaniyah, namanya diganti kepada Istanbul, bermaksud “Kota Islam”.

Di kota itu terdapat banyak bangunan dengan ciri senibina yang dipengaruhi oleh kebudayaan Byzantium. Semenjak Istanbul menjadi ibu kota pemerintahan Uthmaniyah, kota itu menjadi wilayah kekuasaan Khalifah secara turun-temurun, hingga akhirnya kedudukan kesultanan dihapuskan pada tahun 1922 dan Istanbul menjadi sebahagian daripada Turki.

SULTAN MUHAMMAD II

Percubaan menakluki Constantinople pernah dilakukan oleh Busr bin Abi Artat, kemudian Yazid bin Muawiyah dari Bani Umaiyah. Mereka mengepung Constantinople beberapa kali, tetapi gagal.

Kota itu hanya Berjaya ditawan pada tahun 1453 oleh Sultan Muhammad II dari Kerajaan Uthmaniyah. Beliau berjaya menakluk kota itu setelah berjuang selama dua bulan.

Atas kejayaannya itu, Sultan Muhammad II diberi gelaran al-Fateh (Si Penakluk). Strategi yang diterapkannya ialah mengadakan perjanjian damai dengan para pemimpin di sekitar Constantinople dan mendirikan kubu raksasa di pinggir Selat Bosporus.

Sewaktu mengepung Constantinople, tentera Uthmanyiah di bawah pimpinan Sultan Muhammad II mendaratkan kapalnya di Golden Horn, membolehkan kota itu menahan serangan laut dari dua penjuru.

Kubu di Selat Bosporus yang dibina pada 1452 oleh Sultan Muhammad II bernama Rumeli Hisari Fortress. Kubu ini digunakan untuk mengawasi situasi Constantinople.

KEKUATAN UTHMANIYAH

Kerajaan Uthmaniyah sangat kuat dalam ketenteraan. Persenjataan kerajaan itu melebihi bangsa lain pada zamannya, misalnya meriam dan kapal perang yang mempunyai kekuatan 120 armada.

Setelah menduduki Constantinople, kerajaan Uthmaniyah menerapkan beberapa strategi, antara lain menegakkan kembali peraturan dan undang-undang di kota itu, mewujudkan kerjasama dengan penganut Kristian, menggiatkan aktiviti bidang ekonomi serta memulihkan hubungan antara orang Yunani dengan Turki yang sering berselisih faham.

MASJID SULAIMAN

Salah sebuah bangunan yang terkenal di Istanbul ialah Masjid Sulaiman (lihat foto di atas). Masjid yang dibina oleh Sultan Sulaiman I (1520-1566) pada 1550 ini dilengkapi dengan empat buah buah menara. Kini, Masjid Sulaiman merupakan salah sebuah pusat tumpuan pelancong dunia yang memiliki hiasan dalaman yang indah dengan ratusan jendela yang menarik.

CONSTANTINOPLE

Constantinople ialah nama lama bagi Istanbul. Sebelum menjadi Istanbul, Constantinople ialah ibu kota kerajaan Rom yang diperintah oleh Constantinus The Great (330). Setelah kerajaan Rom tumbang pada 395, Constantinople menjadi ibu kota kerajaan Rom Timur (kerajaan Byzantium), sementara ibu kota kerajaan Rom Barat ialah Rom.

Constantinople terkenal kaya dengan bangunan bersejarah, antara lain gereja Aya Sofia, peninggalan kerajaan Byzantium. Gereja Aya Sofia yang indah kemudiannya menjad icontoh masjid yang didirikan di Istanbul dan di sekitarnya, iaitu dengan dibuat penyesuaian mengikut keadaan sesebuah masjid.

Susunan MASNIAH ALI

Translate »