Banyak sekali ayat al-Quran yang menyampaikan khabar gembira dari Allah s.w.t. kepada para hamba-Nya untuk masuk syurga. Lalu, siapakah sebenarnya orang-orang yang memperoleh khabar gembira dari Allah untuk masuk syurga, sebagaimana yang dijelaskan di dalam al-Quran?
Orang-Orang Yang Beriman Dan Berbuat Baik
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal salih, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: ‘Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu’; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan/isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.”
(QS. Al-Baqarah : 25)
“Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” (QS Al-Isra’ : 9)
Orang-Orang Yang Hijrah dan Berjuang Di Jalan Allah
Allah s.w.t.berfirman yang bermaksud :
“(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripada-Nya dan keredhaan serta syurga; mereka beroleh di dalam syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar.” (QS at-Taubah 20-22)
Orang-Orang Yang Bertaubat dan Menjauhkan Diri Dari Menyembah Syaitan
Allah s.w.t.. berfirman yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang menggembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hamba-Ku.”
(QS az-Zumar : 17)
Orang-Orang Islam Yang Beriman Terhadap Ayat-Ayat Allah
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
“(Mereka yang bertakwa itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firman-Nya) : ‘Wahai hamba-hamba-Ku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik); dan kamu pula tidak akan berdukacita. (Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh. (Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): ‘masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman) dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan”.
(QS az-Zukhruf : 68 – 70)
Orang-Orang Yang Tulus Beriman Kepada Allah
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
“Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik, mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum, iaitu buah-buahan (yang lazat), serta mereka mendapat penghormatan, di dalam syurga-syurga yang penuh melimpah dengan berjenis-jenis nikmat.” (QS as-Saaffaat : 40 – 43)
Orang-Orang Yang Konsisten Beriman Kepada Allah
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata; ‘Tuhan kami ialah Allah’, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): ‘Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” (QS Fussilat : 30)
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata : ‘Tuhan kami ialah Allah’, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Merekalah ahli syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal salih yang mereka telah kerjakan.” (QS al-Ahqaaf : 13 – 14)
Orang-Orang Bertakwa
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredhaan dari Allah’. Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan hamba-hamba-Nya.” (QS Ali Imran : 15)
Orang-Orang Yang Diusir Dari Kampung Halamannya Dan Yang Disakiti Di Jalan Allah
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
“…Maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur syahid dalam perang Sabil) sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal salih).” (QS Ali Imran : 195)
Orang-Orang Yang Lambung Mereka Jauh Dari Tempat Tidur Kerana Bangun Malam Untuk Zikir dan Salat
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
“Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal salih); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka. Maka tidak ada seorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal salih yang mereka telah kerjakan.” (QS as-Sajdah : 16 – 17)
Orang-Orang Yang Menjaga Solatnya, Meninggalkan Aktiviti Yang Sia-Sia, Menjaga Faraj (Kemaluan), Menunaikan Zakat dan Menjaga Amanah
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela: Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi; yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.” (QS al-Mukminun : 1 – 11)
Para Kekasih Allah
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang) perubahan pada janji-janji Allah; yang demikian itulah kejayaan yang besar.”
(QS Yunus : 62 – 64)
Orang-Orang Yang Beriman Pada Hari Akhir
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripada-Nya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya.”
(QS Al-Mujadalah : 22)
Oarng-Orang Yang Sabar, Berbuat Semata-mata Kerana Allah, Dan Menginfakkan Sebahagian Rezekinya
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
“Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terang; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; iaitu syurga yang kekal, yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal salih dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (memberi hormat dengan berkata): Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.” (QS Ar-Ra’d : 22 – 24)
Orang-Orang Yang Taat Kepada Allah dan Rasul-Nya
Allah s.w.t. berfirman maksudnya :
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqin, dan orang-orang yang syahid, serta orang-orang yang salih. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat). (QS an-Nisa’ : 69)
Catatan: Abu Fattah
Recent Comments