Peristiwa Israk dan Mikraj Nabi s.a.w. merupakan peristiwa besar yang setiap tahun umat Islam memperingatinya. Peristiwa ini terjadi pada ketika Nabi berusia 53 tahun iaitu satu tahun lima bulan menjelang hijrahnya ke Madinah. Ia terjadi dalam usaha Nabi s.a.w. mempersiapkan diri untuk mengembangkan risalah Islam yang begitu mencabar khususnya dalam menghadapi masyarakat Madinah yang heterogen, bukan hanya dari segi agama tapi juga etnik.
Sudah tentu tugas-tugas yang berat ini memerlukan kekuatan mental dan fikiran serta spiritual.
Ini tercermin dari makna-makna simbolik kata-kata yang digunakan dalam peristiwa tersebut seperti Sidratul Muntaha, masjid dan lain-lain.
Peristiwa Mikraj Nabi Muhammad s.a.w. dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al- Muntaha pada 27 Rejab dalam waktu yang amat cepat merupakan peristiwa “keajaiban dan kekaguman” yang mengundang reaksi hebat dari kalangan kafir Quraisy ketika itu.
Malah sekarang pun golongan empirisisme dan rasionalis masih mempersoalkan bagaimana mungkin lingkungan cekerawala yang menjadi laluan Muhammad tidak mengakibatkan gesekan-gesekan panas yang membakar tubuhnya?
Bagaimana mungkin ia dapat melepaskan diri dari daya graviti bumi? Mereka melihat segala kejadian dan peristiwa berdasarkan realiti empirik (berdasarkan pemerhatian dan penyelidikan) dan yang rasional saja.
Pada hal, peristiwa Israk Mikraj merupakan peristiwa yang luhur dan di luar batas kemampuan akal dan fikiran manusia.
Jika peristiwa mikraj dilihat dari perspektif keilmuan Barat, maka ia tidak dilihat sebagai sesuatu yang ilmiah tetapi hanya bersifat dogma dan sistem kepercayaan (credo).
Bagaimanapun jika dilihat dari perspektif keilmuan Islam, maka persoalannya menjadi sesuatu yang lain. Ia tetap ilmiah dan benar, sebab dalam konsep Islam, ilmu di samping memiliki paradigma deduktif-induktif tetap mengakui paradigma transenden dan yang tidak terlihat oleh mata kasar, pengakuan adanya kebenaran dari Tuhan, pengakuan adanya hal-hal yang bersifat metafizik (misalnya tentang wujudnya Allah, para malaikat, hari kebangkitan, syurga, neraka dan sebaginya) merupakan kebenaran yang tidak memerlukan bukti empirik, bahkan persoalan-persoalan metafizik tersebut adalah benar (realiti).
Mereka lupa atau sengaja melupakan bahawa wahyu dan kenabian merupakan masalah-masalah ghaib yang tidak tunduk terhadap ukuran panca indera dan keterbatasan akal fikiran.
Menurut satu riwayat, dari Masjidil Aqsa, Nabi s.a.w. mikraj menghadap Allah s.w.t. ke Sidratul Muntaha. Ini semua terjadi di bawah bimbingan Allah s.w.t. dan taufik-Nya. Menurut Muhammad Asad, Sidratul Muntaha adalah seperti pepohon teratai atau seroja. Pohon ini sememangnya sudah dikenali sejak zaman Mesir kuno lagi. Pohon ini dianggap sebagai satu lambang kebijaksanaan.
Maka Sidratul Muntaha adalah lambang kebijaksanaan yang tertinggi dan terakhir yang dicapai oleh seorang manusia pilihan Allah azzawajalla.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah sampai di Sidratul Muntaha, maka ia telah sampai satu tahap kebijaksanaan yang tertinggi yang dikurniakan Allah s.w.t. kepadanya.
Sehingga amat wajarlah Rasulullah s.a.w. memiliki akhlak yang sangat mulia, sabar, kasih sayang terhadap manusia, alam dan haiwan.
Sesuatu yang tidak atau belum terjangkau oleh akal fikiran manusia seharusnya tidak dijadikan alasan bagi mencari ketidakbenaran sesuatu itu, kerana al-Quran menyatakan : Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit. (Surah Al-Isra ayat 85)
Dalam beberapa ayat yang menceritakan peristiwa Israk Mikraj ini, berulang kali ditegaskan tentang keterbatasan pengetahuan manusia serta sikap yang harus mereka pertahankan, misalnya, firman Allah s.a.w. yang bermaksud: Dia (Allah) menciptakan apa yang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Nahl ayat 8).
Dan janganlah kamu mengambil sikap (baik berupa ucapan mahupun tindakan) yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentang hal tersebut, kerana sesungguhnya pendengaran, mata, dan hati kesemuanya itu akan diminta dipertanggungjawaban. (Surah Al- Isra ayat 36)
Apa yang ditegaskan al-Quran tentang keterbatasan pengetahuan manusia turut diakui oleh para ilmuwan abad ke-20.
Mereka menyatakan bahawa pengetahuan manusia tentang alam hanyalah mencapai tiga peratus sahaja sedangkan bakinya 97 peratus adalah di luar batas kemampuan manusia.
Peristiwa ghaib dan mukjizat itu memang tidak mungkin terjangkau oleh kewarasan fikiran.
Oleh kerana itu, tidak menghairankan kalau banyak riwayat yang memberitakan terjadinya kemurtadan di kalangan sebahagian Muslimin ketika mereka diberitahu Rasulullah s.a.w. mengenai peristiwa Israk dan Mikraj.
Tidak demikian halnya orang yang benar-benar beriman akan kebenaran Allah dan Rasul-Nya. Mereka sedar bahawa peristiwa ghaib itu adalah semata-mata urusan Allah s.w.t. dan hanya Allah sajalah yang mengetahui urusan-Nya.
Sebenarnya peristiwa Israk Mikraj ini memiliki pengertian yang amat penting bagi pembinaan keperibadian manusia, kerana dalam peristiwa tersebut, Nabi s.a.w. menerima perintah solat lima waktu dalam sehari semalam.
Solat ini yang merupakan inti daripada peristiwa besar tersebut. Ini kerana solat, merupakan tiang agama dan dasar daripada pembangunan keperibadian manusia.
Dalam pengertian yang lebih luas, solat adalah zikir dan senantiasa mengingati Allah dalam segala aktiviti dan tindak-tanduk manusia. Inti daripada peristiwa inilah yang hingga sekarang menjadi tradisi wajib yang sentiasa disempurnakan oleh setiap Muslim.
Catatan Oleh Mohd Shauki Majid
Recent Comments