Haji Wan Ibrahim lahir pada tahun 1894 di Bendang Daya, Patani, selatan Thailand. Beliau adalah adik kepada Pak Da Ail Patani, guru di Mekah yang termasyhur. Oleh kerana abangnya digelar Pak Da, maka beliau diberi gelaran Pak Cu Him. Sejak kecil, beliau dididik oleh ayahnya mengikut cara Islam. Kemudian, beliau dihantar belajar agama di Bermin, Patani.

Pada tahun 1912, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Mekah. Di Mekah, beliau belajar dengan Pak Chik Wan Daud, bapa saudaranya. Beliau begitu fasih berbahasa Arab disebabkan sejak kecil lagi tinggal di Mekah. Kebolehannya yang istimewa ialah mengarang syair Arab di mana beliau berjaya mengarang sebuah buku berjudul Qawaid al-Fiqhiah dalam bentuk syair dengan tulisan tangan. Kebolehan Pak Cu Him telah mendapat pengiktirafan dan diberi tauliah untuk mengajar agama di Masjidil Haram selama beberapa tahun.

Pak Cu Him tinggal di Mekah selama 12 tahun dan menemui guru-guru termasyhur di sana, di antaranya ialah Sahibul Fadzilah Sheikh Yahaya Patani, Sahibul Fadzilah Tok Ramli, Sahibul Fadzilah Sheikh Muhammad ‘Ali Maliki dan Sahibul Fadzilah Sheikh Muhammad Mukhtar al-Jawi.

Setelah pulang ke tanah air, Pak Cu Him telah mengambil alih pondok mentuanya, Haji Ismail Che´ Dol di Gajah Mati setelah berkahwin dengan anak gadisnya yang bernama Hajah Zainab pada tahun 1926.

Pada 14 November 1931, Syeikhul Islam Negeri Kedah, iaitu Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidek mengeluarkan tauliah kepada Pak Cu Him untuk mengajar agama dalam negeri Kedah Darul Aman. Pondok Gajah Mati di bawah pimpinan beliau mendapat sambutan ramai dan didatangi penuntut-penuntut dari Jambi, Mendailing, Patani, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan, Kedah. Pada zaman puncaknya, pondoknya pernah mencapai angka 500 orang penuntut.

Di dalam pengajarannya, Pak Cu Him meneruskan cara-cara yang ditetapkan oleh Tok Ayah Che´ Dol di Pondok Gajah Mati, iaitu mengajar bahasa Arab dengan mengutamakan nahu, saraf, loghat, syair, dan mantik. Ilmu-ilmu agama seperti fiqah, tauhid dan sebagainya turut diajar di samping mata pelajaran Quran dan Hadis. Beliau gemar mengajar syair Arab seperti Syair Ibnu ´Uqail dan beliau sendiri sentiasa menukil syair-syair Arab apabila bersembang dan mengajar.

Beliau yang amat tertarik dengan ilmu Tauhid dan Usuluddin turut menjadikan pengajarannya amat menarik apabila disulam dengan syair-syair yang berkaitan. Kitab-kitab nahu yang beliau gunakan sebagai panduan dalam penulisannya ialah karangan Sheikh Jamaluddin Ibni Hisham seperti Syarah al-Qutur dan Syarah al-Syuzur. Manakala kitab-kitab fiqh yang digunakan oleh Pak Cu Him ialah Al-Tahrir dan Fathul-Wahhab karya Sheikh Zakaria al-Ansari.

Dalam bidang kemasyarakatan, Pak Cu Him seorang ulama yang mementingkan perpaduan. Beliau telah melihat bagaimana masyarakat Arab di Timur Tengah dilanda kucar-kacir kerana mereka tidak bersatu padu dan enggan hidup bermuafakat. Beliau juga risau melihat keadaan bangsa Melayu di Patani yang telah dikucar-kacirkan oleh pemerintah Thailand.

Menyedari hal inilah, Penghulu Mukim Padang Pusing dengan imam dan ketua-ketua kampung seluruh mukim, tempat terletaknya Pondok Gajah Mati telah berkumpul mengadakan mesyuarat bersama Tuan Guru Haji Ismail Che´ Dol, Haji Awang (ayah Tuan Guru Haji Ahmad Rabat) dan Tuan Guru Haji Ahmad Rabat serta Pak Cu Him kerana menggubal peraturan-peraturan-peraturan untuk bersatu padu dalam sebuah mukim.

Perjanjian Jam´iaitul Ittihadiyah yang diterjemahkan sebagai “Perhimpunan yang Bersatu” telah ditandatangani pada 17 Ogos 1926.

Anak-anak buah masing-masing dan penuntut-penuntut dalam pondok diberi penjelasan bahawa sesiapa yang ingkar untuk bekerjasama dengan penghulu, imam, Tuan Guru dan Ketua-ketua kampung akan dikenakan hukuman. Antara hukumannya ialah:

  1. Tidak menziarahinya apa ia sakit.
  2. Memulaukan kendurinya.
  3. Tidak mengunjungi kematiannya melainkan dua orang yang akan mengkebumikan mayatnya.
  4. Tidak akan mendapat layanan daripada mudim dan bidan.
  5. Asingkan kuburnya.

Selain itu, orang ramai akan berpakat menangkap orang yang melanggar hukum-hukum adat dan syarak dan menyerahkan mereka kepada pemerintah supaya dihukum sewajarnya mengikut Undang-undang Negeri.

Sebagai menguatkan amalan-amalan agama, pihak yang menurunkan tandatangan telah melarang anak buah di dalam Mukim Padang Pusing dari membuat kenduri pada hari Jumaat kecuali kenduri Maulid Nabi. Begitu juga jika diizinkan dan dianggap sebagai kesalahan jika membuat kenduri pada mana-mana hari tiga hari selepas Hari Raya Haji dan pada hari-hari Puasa Enam – 2 hingga 7 Syawal.

Pak Cu Him juga sempat mengarang kitab Fathul Jalil Wa Syifa Ghalil yang selesai ditulisnya pada 30 Jun 1966. Dalam karya ini beliau menggubah 51 bait syair Arab dan membuat ulasan atau syarah kepada tiap-tiap bait itu dalam bahasa Melayu. Kitab ini membicarakan antara lain tentang sifat mustahil Allah Taala, iaitu ‘qadim’ atau baharu.

Selain karya yang diterbitkan ini, banyak catatan Pak Cu Him di dalam bahasa Melayu dan Arab mengenai fatwa-fatwa agama dan juga khutbah-khutbah yang ditinggalkan tanpa dicetak. Terdapat syair-syair Arab dan penjelasan-penjelasan mengenai nahu Arab disusun rapi dalam simpanannya.

Sahibul Fadzilah Haji Wan Ibrahim bin Haji Wan Abdul Kadir menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 11 Syawal 1388 H bersamaan 11 Januari 1968 pada usia 75 tahun. Jenazahnya disemadikan di perkuburan masjid lama Kampung Gajah Mati, berhampiran pusara Tok Ayah Haji Ismail Che’ Dol.

Catatan: Ibnu Khaldun

Translate »