Mustad’afun ialah bentuk jamak bagi mustad’af yang bererti “orang yang dilemahkan”. Al-Quran menyebut istilah ini sebanyak lapan kali dan sering dikaitkan dengan ayat 137 surah al-A’raf yang berbunyi: “Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israel) yang telah tertindas itu akan daerah timur bumi (Palestin) dan daerah baratnya,…” Menjelang meletusnya revolusi Islam di Iran pada 1979, ayat tersebut sering kali dipetik oleh Ayatullah Ruhollah Khomeini (m.d. 1989), pemimpin Islam Syiah Iran yang berkarisma ini, dan pemimpin agama yang lain di Iran. Mereka meletakkan diri sebagai orang tertindas yang akan memperoleh kemenangan. Sejal itu, konsep ini popular semula dalam gerakan Islam. Setelah itu, konsep mustad’afun juga berkembang menjadi jargon politik untuk mengingatkan orang akan keharusan menentang pemerintahan yang zalim.
ABU ZARR AL-GHIFFARI
Dalam tulisan Ali Syari’ati dan Khomeini, dua orang pemimpin revolusi Islam Iran, mustad’afun ialah istilah yang digunakan untuk menunjukkan kesamaan nasib orang Islam yang tertindas sejak zaman Abu Zarr al-Ghiffari (m.d. 32 H), Bilal bin Rabah (581-664) dan sahabat lain yang termasuk dalam kategori “miskin” dan “tertindas”. Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w., memang ada beberapa orang, misalnya Bilal yang giat memperjuangkan keimanan mereka walaupun menghadapi penderitaan yang sangat pedih. Dalam suatu kesempatan, Nabi Muhammad s.a.w. juga pernah menyebut Tuhan sebagai rabb al-mustad’fin (Tuhan orang yang tertindas) dan menyebut diri Baginda sebagai nabiyy al-mustad’afin (nabi orang yang tertindas).
POLITIK PERLAWANAN
Setelah revolusi Islam Iran meletus (1979), konsep mustad’afun semakin menonjol dan digunakan oleh orang Islam di luar Iran sebagai penentangan terhadap sikap pemerintah yang zalim. Konsep ini juga digunakan dalam tulisan Hassan Hanafi, cendiakawan Islam Mesir dan Asghar Ali Engineer, cendiakawan Islam India. Di Indonesia, konsep ini juga pernah dipopularkan oleh sesetengah cendekiawan Islam seperti Amien Rais, tokoh Muhammadiyah.
HUSEIN BIN ALI
Konsep mustad’afun tumbuh di kalangan Syiah kerana sejarah mereka ditandai oleh penindasan. Sejak pembunuhan Husein bin ali (680), mereka sering ditindas. Mereka diburu, diseksa dan dibunuh, tetapi mereka yakin akan janji dalam al-Quran bahawa suatu hari nanti, yang tertindas akan menang.
MUSTAKBARUN
Dalam al-Quran, istilah mustad’afun digunakan untuk menunjukkan orang yang lemah. Lawannya ialah mustakbarun, iaitu penindas. Pengertian “lemah” bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga politik dan budaya. Firaun, raja Mesir kuno, digambarkan dalam al-Quran sebagai pemerintah daripada kalangan mustakbarun yang menindas Bani Israel dari segi politik dan budaya. Nabi Musa dan para pengikutnya ialah contoh kaum tertindas yang akhirnya menang.
ALI SYARI’ATI
Orang yang paling berjasa dalam mempopularkan konsep mustad’afun di dunia moden ialah Ali Syari’ati (1933-1977), ahli sosiologi Islam semasa dan ideology revolusi Islam Iran. Syari’ati menggunakan konsep ini untuk menyuntik semangat penentangan orang Islam Iran terhadap Shah Iran yang zalim. Menurutnya, orang Islam ialah kaum tertindas (mustad’afun) yang mesti bangkit menentang kepemimpinan Shah Iran.
Catatan: Ibnu Khaldun
Recent Comments