“Sesungguhnya bagi iman ada rumah; bagi nifaq ada rumah. Dan sesungguhnya rumah Bani Muqarrin adalah rumah-rumah iman.” (Abdullah bin Mas’ud)
Perkampungan Kabilah Muzainah terletak berhampiran Yastrib, di jalan yang terbentang antara Madinah dengan Mekah. Ketika Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, berita tersebut segera sampai ke Muzainah melalui orang-orang yang melalui jalan-jalan di situ pagi dan petang. Tidak ada berita yang sampai kepada mereka melainkan semuanya berita baik belaka.
Pada suatu senja, Nu’man bin Muqarrin al-Muzany yang menjadi kepala suku Muzainah, duduk di perkarangan rumahnya beserta saudara-saudaranya. Nu’man berkata kepada mereka, “Wahai kaumku! Tidak ada yang kami ketahui tentang Muhammad itu, melainkan semuanya baik. Tidak ada dakwahnya yang kami dengar melainkan menganjurkan berkasih-kasihan, berbuat ihsan (kebajikan), dan keadilan. Mengapa kita lari memenuhi panggilannya, sedangkan orang-orang lain segera menemuinya?”
Kemudian dia melanjutkan percakapannya, “Adapun saya, sesungguhnya sudah membulatkan tekad akan pergi menemuinya esok pagi. Oleh sebab itu, sesiapa saja di antara kamu yang ingin pergi bersamaku, bersiaplah!”
Kata-kata Nu’man tersebut menyentuh hati mereka dengan halus. Maka, setelah hari Subuh, didapatinya sepuluh orang saudaranya dan 400 orang perajurit berkuda suku Muzainah sudah siap untuk berangkat bersama-sama dengan Nu’man ke Yastrib, menemui Nabi s.a.w dan berhasta memeluk agama Allah.
Bagaimanapun, Nu’man merasa malu menghadap Nabi s.a.w dengan rombongan besar seperti itu tanpa membawa oleh-oleh untuk baginda dan untuk kaum Muslimin lainnya. Namun, apa boleh buat, kabilah Muzainah sedang mengalami tahun yang memeritkan disebabkan musim kemarau yang panjang. Ternakan mereka tidak menghasilkan susu, dan tanaman mereka pula tidak menjadi.
Nu’man berjalan dari runah ke rumah saudara-saudaranya, mengumpulkan apa yang masih tersisa pada mereka seperti buah-buahan sebagai oleh-oleh untuk Nabi s.a.w dan kaum Muslimin di Yastrib.
Nu’man membawa oleh-oleh yang sedikit itu untuk Rasulullah. Dia dan orang-orang yang mengikutinya menyatakan keimanan mereka kepada Islam di hadapan baginda. Seluruh pelosok Yastrib seolah bergoncang karena gembira dengan Islamnya Nu’man bin Muqarrin al-Muzany beserta pengikutnya. Belum pernah keluarga Arab sebelum itu memeluk Islam s sebelas orang bersaudara sekali gus beserta 400 orang perajurit berkuda.
Rasulullah s.a.w berasa gembira dengan Islamnya Nu’man. Bahkan, Allah s.w.t menerima dengan baik oleh-oleh yang seadanya daripada Nu’man untuk Rasulullah dan kaum Muslimin.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Dan di antara orang-orang Arab Badwi itu ada orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, dan memandang apa yang dinafkahkannya di jalan Allah itu sebagai jalan mendekatkannya kepada Allah dan sebagai jalan untuk memperoleh doa Rasul. Ketahuilah, sesungguhnya nafkah itu adalah suatu jalan bagi mereka untuk mendekatkan diri (kepada Allah). Kelak Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat-Nya (syurga). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (at-Taubah: 99)
Nu’man bin Muqarrin menggabungkan diri ke bawah bendera Rasulullah s.a.w. Dia turut berperang bersama-sama baginda dalam setiap peperangan. Setelah Rasulullah wafat, dan pemerintahan beralih di tangan Khalifah Abu Bakar, Nu’man dan kaumnya berdiri teguh di samping Abu Bakar dan memberikan sumbangan besar dalam menumpaskan orang-orang murtad. Dan, tatkala pemerintahan berada di tangan Khalifah Umar bin Khattab, Nu’man memegang peranan yang sentiasa disebut-sebut dalam sejarah, penuh dengan pujian dan penghargaan.
Tidak berapa lama sebelum terjadinya perang Qadisiyah, Sa’ad bin Abi Waqqas, panglima tentera kaum Muslimin, menghantar sebuah delegasi di bawah pimpinan Nu’man bin Muqarrin, menghadap Kisra Yazdajird untuk mengajaknya memeluk Islam. Setelah delegasi itu sampai di kota tempat Kisra bertakhta, mereka meminta izin masuk untuk bertemu dengan Kisra, lalu mereka diizinkan masuk.
Kisra memanggil jurubahasa dan bertitah kepadanya, “Tanyakan kepada mereka, apa maksud kedatangannya ke negeri kita. Apakah kamu ingin memerangi kami? Ataukah, kamu menginginkan kekayaan kami dan mengalahkan kami. Sesungguhnya kami telah siap sedia menunggu kehadiran kamu, namun tidak ada maksud kami hendak menyerang kamu.”
Nu’man menoleh kepada kawan-kawannya dan berkata, “Jika saudara-saudara setuju, biarlah saya yang menjawabnya. Tetapi, jika ada saudara-saudara yang hendak menjawabnya, silakan.” Jawab kawan-kawan Nu’man, “Tidak! Silakan kamu yang bercakap!” Kemudian mereka menoleh kepada Kisra seraya berkata, “Inilah juru bicara kami. Dia berbicara dengan bahasa kami. Kerana itu, dengarkanlah dia baik-baik!”
Terlebih dahulu Nu’man memuji Allah dan menyanjung-Nya. Kemudian katanya, “Sesungguhnya Allah s.w.t mengasihi kami dan melimpahkan rahmat-Nya kepada kami. Diutuskan-Nya seorang Rasul kepada kami, yang menunjukkan kami kepada kebaikan dan menyuruh kami mengerjakannya. Diingatkannya kami tentang kejahatan dan dilarangnya kami mengerjakannya. Dia menjanjikan kepada kami, jika kami perkenankan seruannya, maka Allah akan memberi kami kesejahteraan dunia dan akhirat. Janjinya memang tepat dan terbukti kebenarannya. Kehidupan kami yang susah dan sempit, dalam tempoh singkat berubah menjadi lapang. Kami yang hina-dina, kemudiannya menjadi mulia. Hidup kami yang sentiasa bermusuh-musuhan bertukar menjadi persaudaraan dan berkasih-kasihan. Baginda memerintahkan kami mengajak seluruh umat manusia supaya mengikuti agamanya untuk kesejahteraan mereka, dan mulai dengan mengajak para jiran kami. Nah, inilah kami datang kepada kamu, untuk mengajak kamu sekalian memeluk agama kami, agama Islam. Agama yang memandang baik segala yang baik serta mendorong untuk melaksanakannya, dan memandang buruk segala yang buruk serta mendorong untuk tidak melakukannya. Agama kami memindahkan penganut-penganutnya daripada sisi gelap kekafiran dan penganiayaan kepada terang-benderang keimanan dan keadilan. Jika kamu sekalian memperkenankan ajakan kami kepada Islam, kami tinggalkan kepada kamu kitabullah (al-Quran), dan kami tetapkan kamu sebagai penguasa yang berhak menegakkan hukum-hukum yang terkandung di dalamnya. Sesudah itu, kami akan segera kembali ke negeri kami dan membiarkan kamu mengurus negeri dan rakyat kamu. Jika kamu menolak memeluk agama Allah, kami harus memungut ufti daripada kamu, dan kamu kami lindungi. Jika kamu enggan membayar ufti, kamu akan kami perangi.”
Wajah Yazdajird menyala kerana marah yang bukan kepalang mendengarkan kata-kataNu’man. Katanya, “Setahu aku tidak ada bangsa di muka bumi ini yang lebih celaka daripada bangsa kamu. Jumlah rakyat kamu sangat sedikit. Antara suku-suku bangsa kamu selalu saling bermusuhan. Dan, kehidupan rakyat kamu paling daif. Sesungguhnya kami pernah memerintah negeri kamu.. Mereka patuh dan tunduk kepada kami dibandingkan dengan kamu.”
Setelah kemarahanya agak berkurang, dia melanjutkan, “Jika kedatangan kamu hendak meminta bantuan, akan kami perintahkan menghantarkan segala bekalan untuk memakmurkan rakyat negeri kamu, dan jawatan untuk para pemimpin kamu dan kami angkat seorang raja dari pihak kami yang mengasihi kalian!”
Salah seorang anggota delegasi Nu’man menjawab kata-kata yang membangkitkan kembali api kemarahan Kisra. Lalu kata Kisra, “Sekiranya para utusan boleh dibunuh, akan saya habiskan kamu semuanya. Pergilah kamu semua! Kamu tidak akan mendapatkan apa-apa daripada aku. Sampaikan kepada pemimpin kamu, akan akan memerintahkan Panglima Rustam menghancurkan dan menguburkan kamu semua ke dalam parit Qadisiyah.”
Kemudian Kisra memerintahkan para pengawalnya mengambil sebakul tanah dan tanah itu perlu dijunjung oleh anggota delegasi yang paling muda. Katanya, “Hantarkan mereka sampai ke sempadan kota dengan ditonton olehorang ramai.
Para pengawal bertanya kepada delegasi Nu’man, “Siapa di antara kamu orang yang paling muda?” ‘Ashim bin ‘Umar segera menjawab, “Saya!” Maka mereka meletakkan tanah l itu di kepala ‘Ashim dan disuruh mengangkat hingga ke sempadan kota. Setelah melalui sempadan, tanah itu diletakkannya ke belakang atas unta dan dibawanya ke hadapan Panglima Sa’ad Abi Waqqas, dan menggembirakan Sa’ad dengan ucapannya, “Allah akan memenangkan kaum Muslimin ke atas negeri Parsi dan akan menguasai tanah mereka.”
Tidak berapa lama kemudian meletuslah perang Qadisiyah. Parit pertahanan penuh dengan mayat perajurit-perajurit Kisra. Parsi tidak duduk diam di atas kekalahan tentera mereka dalam perang Qadisiyah pada peringkat pertama itu. Maka Kisra mengumpulkan seluruh anggota masyarakat Parsi, lalu mereka digerakkan menjadi pasukan-pasukan perang, sehingga semuanya berjumlah 50,000 orang perajurit.
Tatkala Khalifah Umar mendengar berita tentang pasukan musuh yang berjumlah besar itu, beliau berazam (bertekad) hendak memimpin sendiri tentera kaum Muslimin ke medan perang. Tetapi, niat beliau itu dibantah oleh para pembesar kaum Muslimin. Mereka mengusulkan agar Umar menunjuk seorang perwira yang gagah dan berpengalaman menghadapi perang seperti itu.
Kata Khalifah Umar, “Kalau begitu, tunjukkan kepada saya siapa perwira yang tepat diangkat menjadi panglima perang parit itu.” Jawab mereka, “Kamu tentu lebih tahu perwira-perwira kamu, wahai Amirul Mukminin!” Kata Khalifah Umar, “Demi Allah, akan akan angkat perwira yang lebih berpengalaman. Dia adalah Nu’man bin Muqarrin al-Muzany.” Jawab mereka, “Ya, memang dialah orangnya!”
Khalifah Umar menulis surat perintah kepada Nu’man bin Muqarrin seperti berikut: “Amma ba’du. Saya mendapat laporan, bahawa tentera Ajam (Parsi) dalam jumlah besar telah bersiap sedia di kota Nahawand untuk memerangi kamu. Oleh sebab itu, sesampainya suratku ini, berangkatlah kamu dengan segera atas perintah Allah dan dengan mengharap pertolongan serta kemenangan daripada Allah beserta seluruh tentera Muslimin yang berada di bawah kawalanmu. Janganlah kamu diperlambat-lambat oleh mereka keranakesukaran yang sedikit. Seorang perajurit Muslim lebih kusukai daripada seribu dinar. Salamku untukmu.”
Nu’man bin Muqarrin segera berangkat dengan pasukannya menghadapi musuh. Di barisan paling hadapan, ditugaskannya pasukan pengintip, diikuti perajurit-perajurit berkuda untuk membuka jalan. Setelah pasukan perintis hampir tiba di Nahawand, kuda mereka mogok, tiadak mahu meneruskan perjalanan. Meskipun mereka paksa, kuda-kuda itu tetap tidak mahu berjalan. Mereka turun dari belakang kuda dan menyelidiki apa yang terjadi. Setelah diperiksa, tahulah mereka tapak-tapak kaki kuda mereka tertusuk paku-paku besi yang runcing dan tajam. Setelah mereka memeriksa lebih lanjut, ternyata paku-paku tajam itu penuh bertebaran sepanjang jalan ke Nahawand. Paku-paku tajam tersebut sengaja ditabur oleh tentera Parsi untuk melambat-lambat pergerakan laju tentera berkuda dan pejalan kaki kaum Muslimin ke Nahawand.
Pasukan pengintik (perisik) segera melaporkan apa yang terjadi kepada Nu’man sambil menungu akan perintah selanjutnya. Nu’man memerintahkan supaya tetap tinggal di tempat itu dan menyalakan api pada tengah malam supaya dilihat musuh untuk menakut-nakuti mereka, dan memperdayakan mereka agar musuh-musuh itu menemui mereka serta membuang paku-paku tajam dari jalanan. Usaha memperdayakan tentera Parsi itu berhasil. Setelah tentera Parsi melihat tentera perisik kaum Muslimin, mereka lari lintang pukang, dan menghantar para pekerja membersihkan jalan daripada paku-paku tajam. Tentera Muslimin berjaya menguasai jalan.
Nu’man bin Muqarrrin mengumpulkan pasukannya berhampiran Nahawand. Dia merancang untuk menyerang musuh secara tiba-tiba. Katanya, “Aku akan meneriakkan takbir tiga kali. Pada takbir pertama, hendaklah kamu siap sedia semuanya. Takbir kedua, siapkan senjata. Takbir ketiga, aku akan menyerang musuh. Kamu semua hendaklah turut menyerang bersama-sama denganku.”
Sehabis melaungkan takbir kali ketiga, Nu’man segera melompat menyerang musuh bagaikan singa. Tentara Muslimin mengikutinya. Maka, berkobarlah perang yang mengerikan antara kedua-dua belah pihak, yang belum ada bandingannya dalam sejarah peperangan sebelum itu. Tentera Parsi berpecah sehingga banyak di antara mereka yang terbunuh, memenuhi padang dan bukit-bukit. Darah mereka tersimbah di mana-mana. Nu’man tergelincir di antara genagan darah, lalu dia jatuh terbanting. Dia segera ditikam musuh. Saudara Nu’man segera mengambil bendera yang dipegangnya, dan membelit serban yang dipakai Nu’man ke kepalanya. Kematian abangnya dirahsiakannya daripada pengethuan tentera kaum Muslimin.
Setelah kaum Muslimin memperoleh kemenangan, para perajurit menanyakan tentang Nu’man, perwira yang gagah berani. Adik Nu’man membuka kaing penutup kepala sambil berkata, “Inilah pemimpin kamu. Allah telah menutup matanya dengan kemenangan dan mengakhiri hidupnya sebagai syuhada.”
Mereka menamakan kemenangan dalam peperangan tersebut sebagai Fathul Futuh (kemenangan di atas segala kemenangan). Semoga Allah meredai pegorbanan Nu’man bin Muqarrin al-Muzany.
Catatan: Ibnu Khaldun
Recent Comments