Thabit bin Qurrah merupakan seorang ilmuwan besar Arab dalam bidang matematik, astronomi, dan perubatan yang mengungguli semua doktor pada zamannya. Beliau juga tergolong sebagai salah seorang daripada penterjemah terkemuka yang memikul tanggungjawab ‘mengalihkan’ pelbagai bidang ilmu dari bahasa Latin ke dalam bahasa Arab.

Nama sebenar beliau adalah Abu al-Hasan Thabit bin Qurrah bin Marwan al-Sabi al-Harrani. Beliau dilahirkan di Harran, suatu tempat yang terletak di antara sungai Dajlah dan Furat di Mesopotamia (Turki moden sekarang) pada tahun 221 H (836 M), dari keluarga Ash-Shaibah.

Thabit telah memperlihatkan kecerdasannya sejak kecil lagi ketika beliau masih belajar / menimba ilmu. Dikisahkan, pada suatu hari, beliau berbeza pendapat dengan kumpulan pelajar seperguruannya tentang beberapa hal yang membuat mereka menganggap beliau telah keluar dari kumpulan tersebut sehingga mereka melarang beliau untuk masuk ke tempat peribadatan mereka.

Ekoran peristiwa itu, Thabit berhijrah ke suatu daerah yang dikenali sebagai Kafrutuma. Di sana, beliau bertemu dengan seorang ilmuwan besar dalam bidang matematik, iaitu Muhammad bin Musa Al-Khawarizmi yang berasa kagum dengan kecerdasan Thabit. Thabit sememang memiliki persiapan mental yang kukuh untuk belajar, hingga akhirnya Al-Khawarizmi mengajaknya berhijrah ke Baghdad.

Di Baghdad, kiblat ilmu pada saat itu, Thabit bin Qurrah mengajarkan ilmu matematik, astronomi, perubatan, dan falsafah. Beliau kemudiannya bergabung di sekolah Musa bin Syakir untuk mengajarkan ilmu yang dikuasainya.

Beliau selalu mendapat pujian terhadap apa yang diajarkannya. Thabit lalu dikenal dengan sebutan khusus sebagai doktor. Bagaimanapun, sebahagian besar karya dan penemuannya terdapat dalam ilmu matematik dan astronomi. Kemampuannya dan kehebatan sebagai seorang doktor, ahli astronomi, ahli matematik, dan ahli falsafah terdengar ke telinga Khalifah Bani Abbasiah bernama Al-Mu’tadh. Khalifah lalu memanggil beliau ke istana dan dan mengadakan perjumpaan bersama para ahli astronomi yang lain. Ternyata ketrampilan Thabit dalam bidang astronomi itu ‘menewaskan’ kumpulan ahli astronomi tersebut.

Thabit telah menunjukkan kemampuan yang luar biasa dalam pelbagai disiplin ilmu, sehingga menambahkan ‘kecintaan’ Al-Mu’tadh kepadanya dan memberikannya jawatan yang tinggi. Malahan beliau didudukkan di sisi Khalifah sambil bersenda gurau dengannya, tanpa disertai oleh para menteri dan orang-orang kenamaan lain, juga sahabatnya.

Thabit termasuk di antara salah seorang yang bekerja menggunakan peralatan astronomi milik Khalifah Al-Ma’mun di Baghdad. Di kota budaya dan ilmu itu beliau melahirkan teori tentang kecenderungan persamaan siang dan malam pada musim bunga dan musim luruh. Kedudukan Thabit begitu berpengaruh di istana, dan beliau berupaya mengangkat darjat kelompok Ash-Shaibah, dengan munculnya beliau seorang ilmuwan dari kalangan kelompok tersebut.

Meskipun karya dan penemuan Thabit paling banyak dalam ilmu astronomi dan matematik, namun beliau terkenal sebagai doktor dan ahli falsafah pada zamannya. Ini merupakan hal yang lumrah, kerana masyarakat biasanya selalu mencari doktor yang ‘hebat’ untuk membantu menyembuhkan penyakit mereka. Manakala gelaran yang disandangnya sebagai salah seorang ahli falsafah yang hebat disebebkan beliau memiliki ilmu pengetahuan yang luas dan dikurniai otak yang genius.

Tsabit boleh berbahasa Suryani, Yunani, dan Ibrani, di samping berbahasa Arab. Beliau menulis sebahagian bukunya dalam bahasa Suryani dan Arab. Beliau juga tergolong sebagai tokoh yang menonjol di antara sedemikian banyak penterjemah pada zamannya. Beliau banyak menterjemahkan buku-buku matematik, perubatan, dan astronomi ke dalam bahasa Arab.

Di antara sebahagian terjemahannya adalah terjemah buku-buku Claudius Ptolemy dalam bidang astronomi. Bahkan beliau adalah orang yang pertama menterjemah buku Al-Majisthi (Almagest). Begitu juga buku Ptolemy dalam ilmu geografi, iaitu Jughrafiyyah Al-Ma’murah (Gheographia).

Di samping menterjemah, Thabit juga banyak mengarang buku dalam bidang astronomi, matematik, falsafah dan geografi. Az-Zarkali mengatakan bahawa Thabit telah menulis sebanyak 150 buku dalam pelbagai disiplin ilmu.

Thabit bin Qurrah termasuk di antara para ilmuwan yang melakukan kajian mengenai hubungan antara ilmu algebra dengan geometri. Bahkan beliau telah memberikan langkah penyelesaian teknik terhadap sebahagian jenis persamaan.

Thabit menemukan cara menghitung al-a’daad al-mutahabbah, iaitu angka-angka yang jumlah pembahagiannya sama dengan yang lain. telah menjadikan ilmu matematik sebagai alat untuk menemukan ilmu-ilmu lain yang saling menyempurnakan di antara satu sama lain.

Ketika ilmu ini amat erat kaitannya dengan perkembangan teknologi penting yang di dunia pada zaman kini dan didasarkan pada proses penghitungan yang terperinci, begitu teliti dan ilmiah, maka tidak diragukan bahawa Thabit bin Qurrah dianggap sebagai salah seorang daripa para ilmuwan besar yang memberi sumbangan besar bagi peradaban manusia moden.

Thabit bin Qurrah meninggal dunia pada 18 Februari 901 M.

Translate »