Bangsa terdahulu seperti bangsa Mesir, Parsi, Yunani, Rom dan Arab memperhamba manusia dan memperlakukan mereka secara kejam. Mereka dipaksa melakukan pekerjaan yang berat. Pada masa itu, tidak ada peraturan tentang cara memperlakukan hamba. Semasa kedatangan Islam, perkara pertama yang dilakukan berkaitan dengan masalah perhambaan adalah mengurangkan kemungkinan berlakunya perhambaan. Islam melarang segala bentuk perhambaan kecuali perhambaan tawanan perang. Islam membuat peraturan yang apabila dilaksanakan secara baik, lambat-laun akan melenyapkan perhambaan. Misalnya, hamba mesti diperlakukan sebagai manusia yang berkeperibadian. Apabila seorang tuan berbuat zalim terhadap hambanya, maka hakim boleh memerdekakan hamba tersebut. Sebelumnya, banyak hamba diperoleh melalui penculikan. Ada juga perhambaan yang terjadi akibat kemiskinan. Seseorang yang tidak mampu membayar hutang, misalnya, terpaksa menjual dirinya atau anaknya sebagai hamba.
HAMBA DI DALAM AL-QURAN
Islam sangat mengalu-alukan usaha memerdekakan hamba. Dalam al-Quran disebutkan bahawa memerdekakan hamba merupakan sebahagian daripada cara menebus (kafarah) perbuatan jenayah. Contohnya, sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka wajiblah ia membayar kafarah dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman (Q.4:92). Antara amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan bagi orang yang mampu ialah memerdekakan hamba abdi seperti yang terkandung dalam al-Quran dalam surah al-Balad ayat 11-13.
BILAL
Islam memberikan kedudukan yang baik kepada hamba. Sejarah menceritakan bagaimana Nabi s.a.w. memberikan kedudukan yang terhormat di Madinah kepada Bilal, seorang hamba berkulit hitam. Nabi Muhammad s.a.w. juga melantik Zaid Bin Harithah, yang juga seorang hamba, sebagai pemimpin pasukan perang ke Muktah, walaupun di sana ada banyak sahabat yang besar turut serta.
PRINSIP MEMPERLAKUKAN HAMBA
Dalam al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w., terdapat beberapa prinsip pokok berkaitan hamba, antaranya: Berbuat baik terhadap hamba seperti kita berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh. (Q. 4:36). Dilarang memanggil hamba dengan panggilan yang menghina dan kata-kata yang mengandungi konotasi hamba (H.R. Muslim). Memberi makanan, pakaian dan tempat tinggal yang sama dengan yang digunakan tuannya (H.R. al-Bukhari). Dilarang menganiaya dan menyakiti hamba (H.R. Ahmad bin Hanbal). Digalakkan mendidik dan mengajar hamba (H.R. Abu Daud)
Hamba bekerja tanpa menerima upah dan tidak berhak melawan perintah pemiliknya. Pemilik hamba hanya menyediakan makanan, tempat tinggal dan pakaian bagi hambanya. Lukisan di atas menggambarkan hamba yang sedang memayungi tuannya.
Perhambaan merupakan sesuatu yang lazim di Assyria pada abad ke-8 SM. Ukiran ini menggambarkan hamba sedang membangunkan istana Raja Sanherib di Ninawa.
Catatan Ibnu Abbas
Recent Comments