Tiga Tahun Dakwah Secara Rahsia
Seperti yang diketahui, Makkah adalah pusat agama bagi orang Arab. Di situ terdapat orang yang berkhidmat untuk Kaabah dan pengendali patung-patung dan berhala-berhala yang disucikan oleh orang Arab. Oleh sebab itu, untuk melakukan perubahan pada keadaan tersebut adalah sukar jika dilakukan jauh dari tempatnya.
Tugas pemulihan ini memerlukan keazaman jitu yang tidak boleh digoyah oleh sebarang musibah dan halangan. Berdasarkan pada hikmah dalam menghadapi suasana tersebut, maka dakwah pada peringkat awal dijalankan secara rahsia agar tidak menggemparkan penduduk Makkah yang boleh menimbulkan kemarahan mereka.
Kumpulan Pengikut Terawal
Pada peringkat awal, secara lumrahnya, Rasulullah SAW mestilah terlebih dahulu menyampaikan seruan Islam kepada orang yang paling rapat dengan Baginda SAW, iaitu kaum keluarga dan teman-teman Baginda. Rasulullah SAW menyeru agar mereka memeluk Islam. Setiap orang yang Rasulullah SAW kenali yang mempunyai akhlak yang baik dan mereka juga mengenali Rasulullah SAW, diajak oleh Rasulullah SAW kepada Islam. Rasulullah SAW mengenali mereka sebagai orang yang sukakan kebenaran dan kebaikan, dan mereka mengenali Rasulullah SAW sebagai orang yang benar dan baik.
Dalam kalangan mereka – yang tidak meragui kejujuran Rasulullah SAW dan kebenaran berita yang disampaikan oleh Baginda – terdapat sekumpulan manusia yang menyahut ajakan Rasulullah SAW; kumpulan ini dalam sejarah dikenali sebagai golongan al-sabiqun al-awwalun (golongan yang terdahulu). Mereka didahului oleh Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwalid, iaitu isteri Rasulullah SAW, dan hambanya, Zaid bin Thabit bin Shurahbi al-Kalbi,[1] sepupu Rasulullah SAW, Ali bin Abu Talib (beliau masih kanak-kanak dan di bawah jagaan Rasulullah SAW waktu itu), serta sahabat setia Rasulullah SAW, Abu Bakar al-Siddiq. Mereka ini memeluk Islam pada hari pertama Rasulullah SAW melancarkan dakwah Baginda SAW.[2]
Kemudian, Abu Bakar r.ha turut bersama-sama Rasulullah SAW menyeru kepada Islam. Abu Bakar al-Siddiq r.ha ialah seorang lelaki yang mesra, disenangi dan mudah berkira bicara, berakhlak baik dan suka berbuat kebaikan. Ramai lelaki daripada kalangan kaumnya suka datang dan berkawan dengan beliau disebabkan beliau seorang yang berpengetahuan dan ahli perniagaan, di samping pergaulannya yang baik. Justeru, beliau mengambil kesempatan tersebut untuk turut menyebarkan Islam kepada mereka yang percaya kepadanya yang sering mengunjunginya. Melalui usaha beliau, beberapa orang telah menganut Islam, antaranya Uthman bin Affan al-Umawi, al-Zubayr bin al-Awwam al-Asadi, Abdul Rahman bin Auf al-Zuhri, Saad bin Abi Waqqas al-Zuhri dan Talhah bin Ubaydullah al-Taymi. Mereka berlapan ini mendahului orang lain dalam menerima Islam; merekalah kumpulan pengikut terawal dan golongan hadapan dalam Islam.
Dalam kalangan orang Islam yang terawal termasuk juga Bilal bin Rabbah al-Habshiy, diikuti oleh orang yang digelar ‘orang yang amanah dalam kalangan umat ini’[3] iaitu Ubaydah Amir bin al-Jarrah dari Bani al-Harith bin Fihr, Abu Salamah bin Abd al-Asad al-Makhzumi, al-Arqam bin Abi al-Arqam al-Makhzumi, Uthman bin Mazun serta dua beradiknya, iaitu Qudamah dan Abdullah, Ubaydah bin al-Harith bin al-Muttalib bin Abd Manaf, Said bin Zayd al-Adawi dan isterinya, Fatimah binti al-Khattab al-Adwiyyah (adik perempuan Umar bin al-Khattab), Khabbab bin al-Aratt, Abdullah bin Masud al-Hudhaliy dan ramai lagi. Mereka ini juga dikenali sebagai al-sabiqun al-awwalun. Mereka berasal dari semua kabilah Quraisy. Ibn Hisham menghitung bilangan golongan terawal ini, dan mereka melebihi 40 orang.[4] Walaupun begitu, masih terdapat perselisihan dalam menentukan sebahagian mereka yang termasuk dalam golongan al-sabiqun al-awwalun. Ibn Ishaq berkata, “Kemudian, beberapa orang lelaki dan wanita berturut-turut memeluk Islam sehingga tersebarlah berita Islam di Makkah dan menjadi bualan orang.”[5]
Mereka ini menganut Islam secara rahsia. Rasulullah SAW berkumpul dengan mereka untuk membimbing mereka dalam agama secara berselindung kerana misi dakwah pada ketika itu masih lagi dijalankan secara individu dan sulit. Selepas turunnya ayat-ayat awal surah Al-Muddaththir, maka wahyu pun mulai turun berturut-turut. Ayat-ayat al-Quran dan beberapa bahagian surah yang turun pada waktu ini adalah ayat-ayat yang pendek, mengandungi suku kata yang menarik serta irama alunan bahasa yang menawan, sejajar dengan suasana dakwah yang bagaikan berbisik halus. Ayat-ayat tersebut merangkumi ajaran agar membersihkan jiwa, menjauhi keburukan jiwa yang dicemari oleh kehendak-kehendak dunia, dan menyifatkan syurga dan neraka seolah-olah sedang dilihat dengan mata kepala. Cara penyampaian ayat-ayat ini dalam kalangan orang mukmin adalah satu cara yang agak terasing daripada kaedah yang lazim dilakukan dalam masyarakat ketika itu.
Perintah Solat
Antara perintah terawal yang diturunkan ialah perintah mendirikan solat. Muqati bin Sulaiman berkata, “Pada permulaan Islam, Allah mewajibkan solat dua rakaat pada waktu pagi dan dua rakaat pada waktu petang. Ini berdasarkan firman Allah:
Maksudnya: “(Setelah engkau mengetahui perihal Nabi Musa dan umatnya) maka bersabarlah (wahai Muhammad dalam perjuangan menegakkan Islam). Sesungguhnya janji Allah (untuk menolongmu) adalah benar. Mohonlah ampun bagi salah silapmu, serta bertasbihlah (mengerjakan solat) dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.”
(Al-Ghafir: 55)
Ibn Hajar berkata, “Yang nyata dan muktamadnya, bahawa sebelum Israk, Rasulullah SAW dan para sahabat memang mengerjakan sembahyang tetapi yang menjadi perselisihan ialah, adakah terdapat sebarang jenis solat yang difardukan sebelum difardukan solat lima waktu? Ada pendapat mengatakan yang difardukan ialah solat sebelum terbit fajar dan sebelum matahari terbenam.”
Al-Harith bin Usamah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Luhayah secara mansul daripada Zaid bin Harithah, katanya, “Pada permulaan Rasulullah SAW mendapat wahyu, Jibrail datang kepada Rasulullah SAW dan mengajar Rasulullah SAW berwuduk. Selepas selesai berwuduk, Rasulullah SAW mengambil secedok air dan merenjis kemaluannya.” Hadis yang sama pengertiannya turut diriwayatkan oleh Ibn Majah. Hadis yang sama juga turut diriwayatkan daripada al-Barra bin Azib dan Ibn Abbas. Dalam hadis Ibn Abbas menyebutkan, “Yang demikian itu ialah kewajipan yang terawal.”[6]
Ibn Hisham menyabit bahawa Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda SAW apabila hendak sembahyang, mereka akan pergi ke celah-celah bukit lalu mengerjakan sembahyang secara berselindung dari pengetahuan kaum mereka. Pernah sekali Abu Talib melihat Nabi Muhammad SAW dan Ali sedang bersembahyang, lalu dia pun bertanya mereka mengenai hal itu. Apabila beliau mengetahui duduk perkara, beliau menyuruh mereka supaya bertabah.[7]
Berita Sampai ke Pengetahuan Kaum Quraisy
Melihat kepada berbagai-bagai peristiwa yang berlaku, tidak hairanlah dakwah peringkat pertama ini – walaupun dijalankan secara rahsia dan antara individu – sampai juga ke pengetahuan orang Quraisy. Namun, pada peringkat ini, mereka masih mengambil sikap tidak mempedulikan.
Muhammad Ghazali berkata, “Berita-berita ini sampai ke pengetahuan orang Quraisy tetapi mereka tidak mengambil peduli. Boleh jadi mereka menyangka Muhammad adalah sama seperti golongan pengkaji agama yang sering berbicara mengenai ketuhanan dan hak-hak ketuhanan seperti yang dilakukan oleh Umayyah bin Abi al-Sult, Qiss bin Saadah, Amru bin Nufayl dan mereka yang seumpamanya. Namun begitu, dalam diam-diam orang Quraisy tetap memerhatikan berita yang tersebar ini dan sejauh mana kesannya. Lalu, mereka mula mengintip-intip untuk mengetahui hasil dan dakwah Rasulullah SAW.[8]
Setelah tiga tahun berlalu, dakwah masih lagi dijalankan secara rahsia dan individu. Sepanjang tempoh ini, terbentuklah sekumpulan jemaah orang mukmin yang berasaskan kepada persaudaraan, tolong-menolong, menyampaikan risalah dan membantu meneguh kedudukan mereka. Kemudian, turunlah wahyu yang memerintahkan Rasulullah SAW supaya mengisytiharkan secara terbuka kepada kaumnya serta menghadapi kebatilan mereka, dan menyerang berhala-berhala mereka.
Sumber : Kitab Sirah Nabawiyah
[1] Pada mulanya, Zaid ialah seorang tawanan perang dan dijadikan hamba. Dia dimiliki oleh Khadijah r.ha. Kemudian, Khadijah r.ha memberinya kepada Rasulullah SAW. Tidak lama kemudian bapa Zaid berserta bapa saudaranya datang untuk membawanya pulang kepada kaum dan keluarganya tetapi Zaid memilih untuk bersama-sama Rasulullah SAW. Lantaran, Rasulullah SAW menjadikannya sebagai anak angkat mengikut tradisi orang Arab. Oleh sebab itu, dia dipanggil Zaid bin Muhammad, sehingga akhirnya Islam membatalkan kaedah anak angkat yang sebegitu.
[2] Rahmah Li al-‘Alamin, 1/50.
[3] Untuk mengetahui mengapa beliau diberikan gelaran ini, sila rujuk Sahih al-Bukhari Manaqib Abi ‘Ubaydah al-Jarrah, 1/530.
[4] Sirah Ibn Hisham, 1/245-262.
[5] Ibid, 262.
[6] Mukhtasar Sirah al-Rasul, h. 88.
[7] Ibn Hisham, 1/247.
[8] Fiqh al-Sirah, h.76.
Recent Comments