Mukadimah
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Telah sampai kepada kami persoalan berkenaan dengan Ya’juj dan Ma’juj dan juga banyak sebaran yang terdapat dalam media masa berkenaan dengan isu ini. Makanya, ada yang bertanya untuk pengesahan berdasarkan nas dan juga fakta berkaitan dengan Ya’juj dan Ma’juj.
Oleh kerana, isu ini amat panjang, maka kami cuba mengumpulkan jawapan berkaitan dengannya dengan panjang lebar dengan berasaskan nas dan juga pendapat ulama’. Justeru, kami tajukkan dalam Bayan Linnas pada kali ini dengan Ya’juj dan Ma’juj dan Hakikatnya.
Sebenarnya, ia banyak dibahaskan oleh para ulama’ dalam asyrat al-sa’ah (tanda-tanda Kiamat) dan juga hadis fitan. Justeru, amat penting umat Islam memahami akan perihal Ya’juj dan Ma’juj yang sebenarnya. Semoga dengan pencerahan ini akan memberikan sebuah kefahaman yang jelas.
Perkataan Ya’juj wa Ma’juj dan Pengertiannya
Para ulama’ bahasa telah khilaf berkenaan dengan perkataan “يأجوج ومأجوج”. Apakah kedua-duanya musytaq atau nama ‘ajam?
Pendapat pertama ia adalah isytiqaq. Ibn Manzur dalam Lisan al-Arab menukilkan pandangan mereka yang isytiqaqkedua-duanya dari Bahasa Arab dari perkataan (أجَّتِ النار) membuat-buat api atau dari perkataan (الماء الأجاج) daripada air yang sangat masin. (Lihat Lisan al-Arab, 2/207)
Perkataan Ya’juj atas wazan (يفعول) dan Ma’juj pula atas wazan (مفعول). Ia seolah-olah api yang menggelegak dan membara. Ini menggambarkan seolah-olah gerakan mereka tiada siapa yang mampu menahannya.
Ini jika kedua nama ini daripada Bahasa Arab. Tetapi sebaliknya, jika daripada Bahasa Ajam, maka tiada musytaq.
Pendapat yang sama yang menganggap musytaq disebut oleh al-Raghib al-Asfahani. (Lihat al-Mufradat, hlm. 10)
Pengarang kitab Asyrat al-Sa’ah berkata: Ya’juj dan Ma’juj berasal dari bahasa Arab. Ya’juj yang berakar kata “ujaj” (أُجَاجٌ) yang berarti mengering kemudian mengeras, dan satu lagi dari kata “al-ajj” (الْأَجُّ) yang artinya ketika musuh datang dengan cepat sekali, sedangkan Ma`juj berasal dari kata “maaja” (مَاجَ) yang berarti goncang.
Menurut Abu Hatim pula, ma’juj berasal dari maaja, iaitu kekacauan. Ma’juj berasal dari mu’juj, yaitu malaja. Namun, menurut pendapat yang sahih, Ya’juj dan Ma’juj bukan isim musytaq, melainkan isim ‘ajam dan laqab (gelaran). Setiap dari akar kata ini memiliki kesesuaian dengan sifat kaum Ya`juj dan Ma`juj tersebut. (Lihat Asyrath al-Sa’ah oleh Yusuf al-Wabil hlm. 365-366)
Pendapat yang rajih adalah ia bukan musytaq tetapi bahasa ‘ajam dan termasuk dalam “ممنوع من الصرف” kerana sifat ‘alamiyah dan ‘ajamnya. Inilah pendapat yang kuat kerana dua qabilah tersebut telah wujud sebelum orang arab.
Abu al-Kalam Azad pula menyatakan bahawa perkataan Ya’juj dan Ma’juj berasal daripada bahasa Ibrani, dan pada asalnya ia adalah bahasa asing. Masyarakat Yunan menyebutnya sebagai Gog dan Magog.
Surah al-Kahfi dan Ya’juj wa Ma’juj
Firman Allah SWT:
قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا
Maksudnya: Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Ya’juj dan Ma’juj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”
(Surah al-Kahfi: 94)
Ibn Kathir berkata: Ya’juj dan Ma’juj termasuk dari keturunan Adam AS sebagaimana yang ditegaskan di dalam al-Sahihain. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-Azim, 5/298)
Syeikh al-Maraghi berkata: Apabila mereka tiba di antara dua gunung itu iaitu tempat yang dikatakan oleh para pelancong pada abad ke-15 M sebagai tempat yang unik, beliau dapati di antara dua gunung itu tinggal suatu bangsa manusia yang hampir tidak dapat memahami setiap persoalan yang diajukan kepada mereka kerana tahap pemikiran mereka lemah.
Sekiranya mereka mempunyai kecerdasan yang mantap, sudah tentu mereka memahami setiap persoalan yang diajukan berbanding penggunaan bahasa isyarat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4179)
Hadis Berkenaan Ya’juj wa Ma’juj dan Hakikatnya
Antaranya, hadis daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:
يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى يَا آَدَمُ فَيَقُولُ لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ فِي يَدَيْكَ فَيَقُولُ أَخْرِجْ بَعْثَ النَّارِ قَالَ وَمَا بَعْثُ النَّارِ قَالَ مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعَمِئَةٍ وَتِسْعَةً وَتِسْعِينَ فَعِنْدَهُ يَشِيبُ الصَّغِيرُ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَى وَمَا هُمْ بِسُكَارَى وَلَكِنَّ عَذَابَ اللهِ شَدِيدٌ قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ وَأَيُّنَا ذَلِكَ الْوَاحِدُ قَالَ أَبْشِرُوا فَإِنَّ مِنْكُمْ رَجُلٌ وَمِنْ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ أَلْفٌ…
Maksudnya: Allah SWT berfirman, “Wahai Adam!” Kemudian Adam berkata, “Labbaik wa sa’daik! Kebaikan berada di tangan-Mu.” Allah pun berkata, “Pisahkanlah penghuni-penghuni neraka!” Adam berkata, “Siapakah penghuni-penghuni neraka itu?” Allah berkata, “Di setiap seribu orang ada sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang.” Itu adalah ketika anak kecil akan beruban, setiap wanita hamil akan keguguran dan kamu melihat manusia seolah-olah mabuk, padahal mereka tidak mabuk. Akan tetapi, azab Allahlah yang sangat pedih.”
Para sahabat pun berkata, “Ya Rasulullah! Siapakah di antara kami satu orang tersebut?” Kemudian Baginda SAW menjawab, “Bergembiralah kamu. Sesungguhnya dari setiap orang daripada kamu, maka dari Ya’juj dan Ma’juj ada seribu orang…”
Riwayat al-Bukhari (3348)
Hadith ini menunjukkan kepada kita bahawa orang kafir selain daripada Ya’juj dan Ma’juj akan masuk ke neraka bersama dengan Ya’juj dan Ma’juj. Selain itu, hadis tersebut juga memberi gambaran kepada kita bahawa banyaknya bilangan Ya’juj dan Ma’juj ini serta sedikitnya daripada kalangan orang yang beriman masuk ke dalam neraka. Hal ini boleh difahami melalui sebuah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi daripada Imran bin Husain bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ذَلِكَ يَوْمٌ يُنَادِي اللَّهُ فِيهِ آدَمَ فَيُنَادِيهِ رَبُّهُ فَيَقُولُ: يَا آدَمُ ابْعَثْ بَعْثَ النَّارِ، فَيَقُولُ: أَيْ رَبِّ، وَمَا بَعْثُ النَّارِ؟ فَيَقُولُ: مِنْ كُلِّ أَلْفٍ تِسْعُ مِائَةٍ وَتِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ إِلَى النَّارِ وَوَاحِدٌ فِي الجَنَّةِ ” فَيَئِسَ القَوْمُ، حَتَّى مَا أَبَدَوْا بِضَاحِكَةٍ، فَلَمَّا رَأَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الَّذِي بِأَصْحَابِهِ قَالَ: «اعْمَلُوا وَأَبْشِرُوا فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ إِنَّكُمْ لَمَعَ خَلِيقَتَيْنِ مَا كَانَتَا مَعَ شَيْءٍ إِلَّا كَثَّرَتَاهُ، يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ، وَمَنْ مَاتَ مِنْ بَنِي آدَمَ وَبَنِي إِبْلِيسَ» قَالَ: فَسُرِّيَ عَنِ القَوْمِ بَعْضُ الَّذِي يَجِدُونَ، فَقَالَ: اعْمَلُوا وَأَبْشِرُوا فَوَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ مَا أَنْتُمْ فِي النَّاسِ إِلَّا كَالشَّامَةِ فِي جَنْبِ البَعِيرِ أَوْ كَالرَّقْمَةِ فِي ذِرَاعِ الدَّابَّةِ
Maksudnya: “Itu adalah hari di mana Allah SWT berfirman kepada Adam: Wahai Adam, utuslah utusan-utusan ke neraka.” Adam bertanya: “Wahai Rab, apakah itu utusan neraka?.” Allah SWT menjawab: “Daripada setiap seribu, sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang ke neraka dan satu sahaja yang akan ke syurga.” Semua yang berada di situ merasa berputus asa sehingga tidak ada yang tertawa lagi.
Apabila Rasulullah SAW melihat keadaan para sahabat, Rasulullah SAW bersabda: “Beramallah dan bergembiralah kerana demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya kamu tidak termasuk di dalam ciptaan Allah yang jumlahnya jauh lebih besar dibandingkan dengan yang lain, Ya’juj dan Ma’juj serta orang yang mati daripada keturunan Adam dan juga keturunan iblis.”
Imran berkata: Mereka pun bergembia dengan sebahagian hal yag mereka temukan. Baginda SAW bersabda: “Beramallah dan bergembiralah kerana demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, tidaklah kamu berada di tengah-tengah manusia melainkan seperti tahi lalat disebelah unta atau seperti tanda di lengan binatang ternakan.”
Riwayat al-Tirmizi (3169). Imam al-Tirmizi
menilai hadis ini sebagai hasan sahih.
Allah SWT berfirman:
حَتَّىٰ إِذَا فُتِحَتْ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ وَهُم مِّن كُلِّ حَدَبٍ يَنسِلُونَ
Maksudnya: (Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Ya’juj dan Ma’juj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.
(Surah al-Anbiya’: 96)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Iaitu mereka turun seperti helang dari setiap bukit dan dataran yang tinggi. Keadaan ini serupa dengan kaum Genghis Khan[1] – sebagaimana diceritakan oleh pakar sejarah Arab dan Perancis – peperangan mereka ini bermula dari dataran tinggi di Asia Tengah. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4182)
Ayat dalam Surah al-Kahfi (yang telah disebut terdahulu) menceritakan tentang Ya’juj dan Ma’juj pada apa yang telah berlalu dan menceritakan kerosakan yang telah mereka lakukan di atas muka bumi. Manakala ayat dalam Surah al-Anbiya’ (di atas) menceritakan berkenaan Ya’juj dan Ma’juj pada masa akan datang dan tentang keluarnya mereka secara besar-besaran sebelum berlakunya kiamat. (Lihat Ma‘a Qisas al-Sabiqin Fi al-Qur’an, Durus Fi al-Iman wa al-Da‘wah wa al-Jihad oleh Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidiyy, 2/276 – 277)
Bangsa Ya’juj dan Ma’juj akan keluar apabila tibanya akhir zaman dan tatkala hampir berlakunya kiamat. Mereka mendiami di suatu tempat di Barat daya Mongolia. Bangsa ini juga dikenali sebagai bangsa Mongol dan Tartar. Para ulama’ mentarjihkan bahawa Ya’juj dan Ma’juj tinggal dan menetap di kawasan Mongolia di negara China dan Turkestan di negara Rusia.
Mengenai kemunculan mereka ke bumi, terdapat dua pandangan.
Pandangan pertama menyebut bahawa Ya’juj dan Ma’juj muncul dan keluar sekali sahaja iaitu tatkala hampirnya kiamat.
Pandangan kedua menyebut bahawa mereka akan muncul beberapa kali bermula sejak kurun pra sejarah hinggalah pengakhirannya dengan kemunculan besar yang membawa kemusnahan yang dahsyat tatkala kiamat hampir terjadi. (Lihat Ma‘a Qisas al-Sabiqin Fi al-Qur’an, Durus Fi al-Iman wa al-Da‘wah wa al-Jihad, 2/279 – 282)
Ya’juj dan Ma’juj adalah daripada keturunan Adam AS dan boleh kita katakan: Ya’juj adalah satu qabilah dan Ma’juj satu qabilah yang lain. Kedua-duanya daripada golongan manusia dan daripada keturunan Adam AS daripada Yafis bin Nuh. Inilah berdasarkan hadis sahih dan tafsir Ibn Kathir yang menyatakan seperti di atas. Adapun nasab mereka kepada sebahagian hadis yang lain adalah Dha’if. (Lihat Asyrat al-Sa’ah, al-‘Alamat al-Kubra oleh Mahir Ahmad al-Sufi, hlm. 127)
Sifat Ya’juj wa Ma’juj
Berdasarkan apa yang Rasulullah SAW sifatkan, mereka adalah:
Bangsa yang kuat, tubuh yang gagah.
Tiada manusia mampu memerangi mereka.
Mereka mempunyai muka yang lebar.
Kecil matanya.
Bilangan mereka sangat ramai sepertimana hadis riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak berbanding dengan manusia yang hanya satu per sepuluh daripada mereka. Begitu juga pendapat Ibnu Kathir, jumlah mereka cukup ramai.
Imam al-Alusi berpendapat bahawa Ya’juj dan Ma’juj mempunyai umur yang paling panjang.
Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di berkata, mereka adalah manusia dan bukanlah hidup di alam ghaib dan bukan juga seperti jin. (Lihat Fitnatu Dajjal wa Ya’juj wa Ma’juj (terj.) oleh Syeikh Abdul Rahman Nasir al-Sa’di, hlm. 11)
Ya’juj dan Ma’juj dikatakan umat kufur kepada Allah. Ini berdasarkan nas. Adapun mereka akan keluar daripada tempat dua gunung yang besar pada negeri kawasan Atrak, akan menghala ke laut mati sebagaimana hadis. Dan daripada situ menuju ke Baitul Maqdis di Palestin. Masa keluar mereka adalah pada zaman Nabi Isa bin Maryam dan lebih tepat lagi selepas Nabi Isa membunuh Dajjal.
Walaupun begitu, saya nukilkan pendapat Sheikh Abdul Karim Khatib menyatakan bahawa tidaklah diketahui sama ada Ya’juj dan Ma’juj punya perbezaan ketara dari sudut tubuh, mungkin ada kelainan dari segi warna kulit, akhlak dan adat, tapi mungkin dari sudut kekuatan dan membentuk kerajaan.
Adakah Ya’juj dan Ma’juj Sudah Ada?
Ya’juj dan Ma’juj sudah ada dan terus dalam keadaan turun-temurun (beranak pinak). Tidak meninggal satu orang daripada mereka, kecuali lahir seribu orang lebih. Hal ini sebagaimana disebutkan dalam riwayat Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma:
وَمَا يَمُوتُ الرَّجُلُ مِنْهُمْ حَتَّى يُولَدَ لَهُ مِنْ صُلْبِهِ أَلْفٌ
Maksudnya: Tidak meninggal seorang daripada mereka sehingga lahir daripadanya seribu orang.
.
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak (8526). Riwayat ini disahihkan oleh al-Hakim tetapi ia tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Akan tetapi, sanad hadis ini dha’if kerana perawi bernama Abu Ishaq, seorang mukhtalith dan pendengaran Mu’ammar berkaitan hadith ini daripadanya tidak diketahui sama ada berlaku sebelum atau selepas Abu Ishaq dituduh sebagai mukhtalith. Selain itu, perawi bernama Wahab bin Jabir pula seorang yang maqbul dan tidak memudaratkan tadlis yang dilakukan oleh Abi Ishaq kerana beliau mentasrihkan pendengaran hadith tersebut berdasarkan riwayat dalam al-Mustadrak.
Di antara tanda lain yang menunjukkan bahawa Ya’juj dan Ma’juj ini telah wujud pada waktu ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ يَحْفِرُونَ كُلَّ يَوْمٍ حَتَّى إِذَا كَادُوا يَرَوْنَ شُعَاعَ الشَّمْسِ
Maksudnya: Sesungguhnya Ya’juj dan Ma’juj ini akan menggali setiap hari sehingga mereka ternampak pancaran matahari.
Riwayat Ibnu Majah (4070) dan Ahmad (10632)
Dikatakan bahawa Abu Hurairah mendengar riwayat hadis ini daripada Ka’ab al-Ahbar. Syeikh Syu’aib al-‘Arnauth mengatakan sanad hadith ini adalah sahih sehingga kepada Abu Hurairah tetapi apabila ia dirafa’kan kepada Rasulullah SAW maka terdapat padanya nakarah (keganjilan) ketika beliau mentahqiqkan riwayat ini. (Lihat Sunan Ibnu Majah, 5/207)
Kisah Qurani dan Binaan Tembok oleh Dzu al-Qarnain
Firman Allah SWT:
وَيَسْأَلُونَكَ عَن ذِي الْقَرْنَيْنِ ۖ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْرًا ﴿٨٣﴾ إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا ﴿٨٤﴾ فَأَتْبَعَ سَبَبًا ﴿٨٥﴾ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ مَغْرِبَ الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَغْرُبُ فِي عَيْنٍ حَمِئَةٍ وَوَجَدَ عِندَهَا قَوْمًا ۗ قُلْنَا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِمَّا أَن تُعَذِّبَ وَإِمَّا أَن تَتَّخِذَ فِيهِمْ حُسْنًا ﴿٨٦﴾ قَالَ أَمَّا مَن ظَلَمَ فَسَوْفَ نُعَذِّبُهُ ثُمَّ يُرَدُّ إِلَىٰ رَبِّهِ فَيُعَذِّبُهُ عَذَابًا نُّكْرًا ﴿٨٧﴾ وَأَمَّا مَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَلَهُ جَزَاءً الْحُسْنَىٰ ۖ وَسَنَقُولُ لَهُ مِنْ أَمْرِنَا يُسْرًا ﴿٨٨﴾ ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا ﴿٨٩﴾ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ مَطْلِعَ الشَّمْسِ وَجَدَهَا تَطْلُعُ عَلَىٰ قَوْمٍ لَّمْ نَجْعَل لَّهُم مِّن دُونِهَا سِتْرًا ﴿٩٠﴾ كَذَٰلِكَ وَقَدْ أَحَطْنَا بِمَا لَدَيْهِ خُبْرًا ﴿٩١﴾ ثُمَّ أَتْبَعَ سَبَبًا ﴿٩٢﴾ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ بَيْنَ السَّدَّيْنِ وَجَدَ مِن دُونِهِمَا قَوْمًا لَّا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلًا ﴿٩٣﴾ قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا ﴿٩٤﴾ قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا ﴿٩٥﴾ آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ ۖ حَتَّىٰ إِذَا سَاوَىٰ بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انفُخُوا ۖ حَتَّىٰ إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا ﴿٩٦﴾ فَمَا اسْطَاعُوا أَن يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَاعُوا لَهُ نَقْبًا ﴿٩٧﴾ قَالَ هَـٰذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّي ۖ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاءَ ۖ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا ﴿٩٨﴾
Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya” : Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).
Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”. Dia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati”.
Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya. Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.
Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. Sehingga apabila dia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan. Mereka berkata: “Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Ya’juj dan Ma’juj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (daripada hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?” Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”;
Sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”.
Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya. (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”.
(Surah al-Kahfi: 83-98)
Jenis Kerosakan yang Dilakukan Ya’juj wa Ma’juj
Firman Allah SWT:
قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا
Maksudnya: Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Ya’juj dan Ma’juj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”
(Surah al-Kahfi: 94)
Ibn Kathir berkata: Allah SWT berfirman menceritakan tentang Dzu al-Qarnain. Kemudian ia menempuh jalan yang lain lagi. Dengan kata lain, ia menempuh jalan di belahan timur bumi sehingga sampai di hadapan kedua bukit itu, yakni dua buah gunung, yang di antara keduanya terdapat satu lubang, yang keluar darinya Ya’juj dan Ma’juj menuju ke negeri Turki. Lalu di sana mereka berbuat kerosakan, merosakkan tanaman dan keturunan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/297-298)
Al-Alusi berkata: Iaitu mereka mengganas dengan membunuh, merosakkan dan segala bentuk kerosakan terhadap manusia. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 16/479)
Al-Maraghi berkata: Sebenarnya Ya’juj dan Ma’juj telah melakukan kezaliman di negeri itu dengan melakukan pembunuhan, kehancuran, perampasan makanan dan segala bentuk kerosakan lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4179)
Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa mereka ini melakukan kerosakan dan keganasan dengan menerkam ke atas mangsanya seperti binatang yang merangkak, liar dan ganas. Mereka juga memakan ular, kala dan semua yang bernyawa.
Al-Kalbi berpendapat: “Mereka ini keluar ke bumi pada musim bunga dan memakan semua yang dijumpainya sama ada yang hijau atau yang kering. Mereka juga membawanya masuk ke dalam bumi. Dan sesiapa yang berjumpa dengan mereka nescaya akan diseksa dan dibunuh.” Sebahagian ulama lain pula berpendapat bahawa mereka memakan manusia dan merosakkan apa yang ada di bumi setelah mereka keluar.
Empangan Dzu al-Qarnain
Negeri yang terletak di Timur Laut Hitam didiami oleh suatu golongan yang berbangsa Slaves. Di sana terdapat sebuah tembok yang kukuh berhampiran dengan kota Bab al-Abwab atau Darabat, iaitu di gunung Qawqaf.
Pada abad ini telah terbongkar rahsia tembok itu, bahawa ia bukan tembok yang dibina oleh Dzu al-Qarnain. Tembok ini terletak di belakang Jaijun, di kota Amalah (Balakh) dikenali sebagai Bab al-Hadid, berhampiran dengan kota Tarmidh. Ia telah dibina oleh Taymurlank bersama tenteranya, Syahrukh.
Manakala pengawalnya seorang pakar Jerman, Sild Barjar (Sield Berger). Dalam bukunya, beliau mengatakan tembok itu terbina pada awal abad ke-15 dan pendapatnya juga dipersetujui oleh seorang sejarawan Sepanyol, Kalafiju (Clapego), ketika perjalanannya pada tahun 1403.
Beliau telah diutus oleh raja Kastil (Castelah) di Andalus ke Taymurlank. Beliau menjelaskan tembok kota Bab al-Hadid itu terletak di antara jalan yang menghubungkan Samarqand dengan India. Demikianlah ringkasan daripada petikan pada tahun 1888M.
Sebagaimana yang diketahui, tembok itu sebenarnya wujud dan merupakan mukjizat sebenar daripada al-Quran. Ia merupakan mukjizat yang telah dibuktikan oleh sejarah dan ilmu geografi. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4175-4176)
Di Mana Binaan Tembok Dzu al-Qarnain?
Ulama’ khilaf tentang kedudukan tembok tersebut kepada beberapa pendapat:
Ibn Abbas R.Anhuma dan ahli tafsir al-Qur’an mengatakan bahawa ia (dinding itu) terletak di persimpangan negeri Turki dengan Rusia, berdekatan dengan pergunungan Qauqaz. Pergunungan Qauqaz tingginya adalah sekitar 1000 – 3000 meter. Ia menjadi penghalang yang tebal, teguh dan tinggi menjulang supaya Ya’juj dan Ma’juj ini tidak dapat melubanginya karena ketebalannya dan tidak pula dapat memanjatnya kerana amat tinggi dan licinnya. Dinding ini dikenali sebagai Daryal Gorge/Iberian Gates/Caucasian Gates yang diperbuat daripada besi bercampur tembaga.
Al-Qasimi berkata, yang rajih tembok tersebut berada di kawasan Daghestan, sebahagian daripada Rusia yang terletak di antara bandar Durband dan Khuzar. Ada tempat yang sempit sejak sekian lama yang dikenali dengan nama tembok dan dikenali dengan pintu besi. Ia merupakan gabungan pergunungan Qauqaz. Orang arab memanggilnya dengan Gunung Qaf. Di belakangnya terdapat dua qabilah Ya’juj dan Ma’juj. (Tafsir al-Qasimi, 11/4113-4114).
Dr Abdul Halim Khidir menerangkan sifat pergunungan Qauqaz yang dibina padanya tembok. Ianya cukup tinggi, susah untuk didaki, dan tiada jalan kecuali tempat yang satu sahaja iaitu Mudhayyaq Daryal yang menjadi salah satu tempat laluan sungai. Panjang pergunungan tersebut sekitar 1200 Kilometer dan ia dianggap pergunungan yang paling tinggi di seluruh Eropah. Tidak mungkin seseorang dapat merentasinya kecuali melalui perjalanan Daryal itu. (Lihat Dzu al-Qarnainoleh Yusuf, hlm. 334 yang dinukilkan daripada kitab Mafahim Geografia oleh Khidir, hlm. 296)
Kami berpendapat bahawa dua pendapat di atas adalah sama.
Setengah ulama berpendapat antara pergunungan Afgahanistan dan India.
Dua bukit antaranya dengan Ya’juj wa Ma’juj dan dikenali sebagai Saddani atau Sadfani. Terletak antara Azerbaijan dan Armenia.
Ada pendapat menyebut, ia terletak di belakang Negara Turki. (Lihat al-Raudh al-Mi’tar, hlm. 308-311 dan juga Atlas Al-Hadis al-Nabawi oleh Dr. Shauqi Abu Khalil, hlm. 215)
Kami cenderung kepada pendapat yang pertama dan kedua dan kami merasakan pendapat yang lain sebenarnya hampir sama kecuali yang mengatakan di sempadan India.
Bentuk Binaan Tembok
Seperti yang dirakamkan di dalam al-Quran, firman Allah SWT:
قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا ﴿٩٥﴾ آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ ۖ حَتَّىٰ إِذَا سَاوَىٰ بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انفُخُوا ۖ حَتَّىٰ إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا ﴿٩٦﴾ فَمَا اسْطَاعُوا أَن يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَاعُوا لَهُ نَقْبًا
Maksudnya: “Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.
Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”. Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.
(Surah al-Kahfi: 95-97)
Berdasarkan nas di atas, dapatlah difahami bahawa:
Tembok tersebut dibina dengan besi dan juga tembaga.
Pembinaan tersebut dengan membakar ketulan besi sehingga cair bagi membentuk tembok.
Pembinaan tersebut di antara dua pergunungan.
Pembinaan tersebut cukup tinggi sehingga mereka tidak mampu untuk menaikinya.
Ada pendapat mengatakan tingginya 200 hasta.
Ada pendapat menyatakan 800 hasta.
Berkenaan dengan lebarnya, ada pendapat menyatakan 50 hasta.
Justeru, bentuk pembinaan dan juga sifat binaan yang kukuh, besar dan tinggi dikatakan menggunakan alat yang luar biasa dan kemahiran yang amat hebat. Makanya para cendekiawan terdahulu dan muta’akhir mengklasifikasikan pembinaan tersebut termasuk dalam perkara ajaib mengikut zaman tersebut dengan alatan-alatan yang pelik sehingga keluar dari pemikiran akal.
Kami tutup perbincangan ini dengan menukilkan apa yang dinyatakan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Mardawayh, daripada Abi Bakrah al-Syafi bahawa seorang lelaki berkata: “Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku melihat benteng/tembok Ya’juj dan Ma’juj.” Kemudian, Baginda SAW bersabda: “Sifatkannya kepadaku.” Jawab lelaki itu: “Ia seperti ketulan ais yang mempunyai garisan, satu laluan yang hitam dan satu laluan yang merah.” Lantas Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya engkau melihatnya.”
Adapun kisah di mana al-Wathiq Billah[2], salah seorang khalifah Abbasiyah menghantar seorang yang bernama Sallam untuk mengkaji berkenaan tembok tersebut, maka kebanyakan ahli sejarah menganggap dha’if. Imam al-Alusi mengatakan: Di sisiku adalah pembohongan yang tidak diterima oleh ayat al-Quran al-Karim. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 16/482)
Adakah Tembok China[3] Merupakan Tembok Dzu al-Qarnain?
Kami berpendapat bahawa tembok China bukanlah tembok yang dibina oleh Dzu al-Qarnain seperti yang dinaskan oleh al-Quran. Ini kerana:
Bahan buatan berbeza daripada batu dan yang satu lagi daripada besi.
Pembinanya juga berbeza. Yang ini Dzu al-Qarnain dan tembok China oleh ramai maharaja.
Tempat letaknya berbeza. Kenyataan ahli sejarah tidak menunjukkan bahawa tembok tersebut berada di negara China.
Tembok China sebahagiannya telah runtuh sedangkan nas al-Quran menunjukkan tembok Dzu al-Qarnain belum lagi runtuh.
Tembok Dzu al-Qarnain hanya antara dua gunung sedangkan tembok China merentasi banyak tanah tinggi dan pergunungan.
Sekeliling tembok China, ada bangsa cina yang difahami percakapan sedangkan nas menunjukkan golongan Ya’juj dan Ma’juj hampir tidak difahami bahasa mereka.
Tembok China dibina dalam tempoh yang lama sedangkan tidak sepertimana pembinaan tembok Dzu al-Qarnain.
Kaum Ya’juj wa Ma’juj
Mengikut nas al-Quran, Dzu al-Qarnain meneruskan pengembaraannya ke arah yang bertentangan. Iaitu ke arah matahari terbit (timur). Di sana juga beliau bertemu dengan satu kaum yang ganjil dan pelik tinggal di situ. Mengikut tafsir al-Maraghi mereka tidak berpakaian dan tidak mempunyai rumah kediaman. Mereka hanya tinggal di dalam lubang-lubang tanah. Mereka hanya akan keluar pada waktu malam untuk mencari makanan mengikut cara mereka tidak mengikut kebiasaan bangsa yang lain. Ia dalam erti kata lain hidup secara primitif atas kefahaman tiada perlindungan itu disamakan dengan tidak berpakaian dan kediaman.
Ibnu Hajar berkata bahawa dalam kalangan Ya’juj Ma’juj ada yang mahir dalam sektor perkilangan, pemerintahan dan sebagainya, dan anggota kerajaan serta rakyat amat patuh kepada ketua. Ibnu Hajar juga berpendapat bahawa mereka mempunyai pokok-pokok dan tanaman-tanaman dan juga peralatan-peralatan.
Herodotus berpendapat, golongan pertama yang mengetahui kaedah-kaedah pencairan dan pembentukan besi adalah daripada Bangsa Georgian. Mereka adalah golongan etnik yang berasal dari Qauqaz – yang dikategorikan dalam keluarga, bahasa dan budaya etnik kawasan selatan Qauqaz.
Teimuraz Mikeladze dalam artikel yang ditulis oleh Bruno Coppieters, menyatakan bahawa kaum Chalybs, iaitu nenek moyang orang Georgian adalah yang pertama kali mencipta besi. Merekalah memperkenalkan zaman besi dan menyumbang kepada kebudayaan manusia amnya. (Lihat In Defence of the Homeland: Intellectuals and the Georgian-Abkhazian Conflict. Secession, History and the Social Sciences. Edited by Bruno Coppieters)
Dalam memenuhi keperluan bagi pembinaan tembok untuk menghalang serangan kaum Ya’juj dan Ma’juj dari arah utara banjaran Qauqaz, Dzu al-Qarnain menerima sumbangan besar daripada bangsa Georgian, Kolchis dan Armenia. Mereka ialah bangsa yang tinggal berhampiran dan bersebelahan sesama sendiri di kawasan selatan banjaran Qauqaz di mana mereka semua berkemahiran dalam pencairan dan pertukangan besi.
Menurut al-Imam al-Alusi, Ya’juj dan Ma’juj merupakan dua qabilah daripada keturunan Yafis bin Nuh. Inilah yang dijazamkan oleh Wahab bin Munabbih dan dipegang oleh ramai ulama’ muta’akhirin.
Kami himpunkan pendapat tentang Ya’juj dan Ma’juj seperti berikut:
Ya’juj dan Ma’juj sebanyak 22 qabilah sepertimana riwayat Abd al-Razzaq daripada Qatadah.
Ya’juj daripada Turki dan Ma’juj daripada Dailam.
Ya’juj dan Ma’juj daripada Jil.
Imam al-Nawawi dalam Fatawanya menukilkan pendapat bahawa mereka daripada anak Adam selain daripada Hawa’ dan ia adalah sebahagian pendapat jumhur ulama’. Ini kerana Nabi Adam bermimpi dan maninya bercampur dengan tanah lalu terbentuk Ya’juj dan Ma’juj. Inilah yang disebut oleh Ka’ab al-Ahbar. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 16/478)
Tarjih: Kami berpendapat Ya’juj dan Ma’juj daripada keturunan Adam dan juga daripada Hawa’. Ini adalah pendapat al-Hafiz Ibn Hajar di mana beliau berkata: Tidak warid daripada sebarang salafus soleh hanya kecuali Ka’ab al-Ahbar yang berpendapat ia bukan daripada Hawa’. Pendapat ini disanggah melalui hadis yang marfu’ bahawa mereka (yakni Ya’juj wa Ma’juj) daripada zuriat Nuh dan Nuh semestinya daripada zuriat Adam dan Hawa’. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 16/478)
Bilakah Tembok Dzu al-Qarnain Akan Pecah?
Firman Allah SWT:
قَالَ هَـٰذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّي ۖ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ رَبِّي جَعَلَهُ دَكَّاءَ ۖ وَكَانَ وَعْدُ رَبِّي حَقًّا
Maksudnya: (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”.
(Surah al-Kahfi: 98)
Al-Maraghi berkata: “Allah SWT memberi jaminan sekiranya mereka hampir keluar daripada balik tembok itu, maka dengan kekuasaan-Nya Allah SWT menjadikan tanah yang datar, lalu Allah SWT menghapuskan mereka dengan memusnahkan dan menyamaratakannya dengan bumi.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4181)
Syeikh Sya’rawi berkata: Jangan kamu beranggapan bahawa kekuatan tembok tentera itu akan kekal selamanya. Ini merupakan kerja di dunia semata-mata tetapi apabila datang janji Allah dengan Akhirat dan Kiamat, maka semuanya akan dihancurkan Allah dan diratakan di dunia ini. Ini supaya mereka tidak terpedaya dan melampau kepada yang lain selepas daripada mereka hina dan lemah untuk menghadapi Ya’juj dan Ma’juj. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 15/8993)
Syed Qutb berkata: “Ayat ini tidak menyebut satu zaman yang tertentu, dan yang dimaksudkan dengan janji Allah ialah janji-Nya untuk menghancurkan tembok itu yang mungkin telah pun berlaku sejak serangan kaum Tatar yang telah menyerbu dunia dan menghancurkan berbagai-bagai kerajaan.
Di tempat yang lain di dalam Surah al-Anbiya’ (al-Quran menyebut):
حَتَّىٰ إِذَا فُتِحَتْ يَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ وَهُم مِّن كُلِّ حَدَبٍ يَنسِلُونَ ﴿٩٦﴾ وَاقْتَرَبَ الْوَعْدُ الْحَقُّ
Maksudnya: “(Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Ya’juj dan Ma’juj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi. Dan hampirlah datangnya janji hari kiamat yang benar,..”
(Surah al-Anbiya’: 96-97)
Ayat ini juga tidak menyebut satu zaman yang tertentu, bilakah keluarnya kaum Ya’juj dan Ma’juj itu? Kedekatan janji Allah yang benar itu bererti kedekatan hari Qiamat itu telah pun berlaku di zaman Rasulullah SAW lagi. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 10/384)
Kesudahan Ya’juj dan Ma’juj
Kami kemukakan sebuah hadis yang menyebut berkenaan kesudahan Ya’juj dan Ma’juj. Diriwayatkan dari al-Nawwas Ibn Sam’an dalam hadis yang panjang, di antaranya sebagai berikut:
إِذْ أَوْحَى اللَّهُ إِلَى عِيسَى إِنِّى قَدْ أَخْرَجْتُ عِبَادًا لِى لاَ يَدَانِ لأَحَدٍ بِقِتَالِهِمْ فَحَرِّزْ عِبَادِى إِلَى الطُّورِ. وَيَبْعَثُ اللَّهُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ وَهُمْ مِنْ كُلِّ حَدَبٍ يَنْسِلُونَ فَيَمُرُّ أَوَائِلُهُمْ عَلَى بُحَيْرَةِ طَبَرِيَّةَ فَيَشْرَبُونَ مَا فِيهَا وَيَمُرُّ آخِرُهُمْ فَيَقُولُونَ لَقَدْ كَانَ بِهَذِهِ مَرَّةً مَاءٌ. وَيُحْصَرُ نَبِىُّ اللَّهُ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ حَتَّى يَكُونَ رَأْسُ الثَّوْرِ لأَحَدِهِمْ خَيْرًا مِنْ مِائَةِ دِينَارٍ لأَحَدِكُمُ الْيَوْمَ فَيَرْغَبُ نَبِىُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ فَيُرْسِلُ اللَّهُ عَلَيْهُمُ النَّغَفَ فِى رِقَابِهِمْ فَيُصْبِحُونَ فَرْسَى كَمَوْتِ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ ثُمَّ يَهْبِطُ نَبِىُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ إِلَى الأَرْضِ فَلاَ يَجِدُونَ فِى الأَرْضِ مَوْضِعَ شِبْرٍ إِلاَّ مَلأَهُ زَهَمُهُمْ وَنَتْنُهُمْ فَيَرْغَبُ نَبِىُّ اللَّهِ عِيسَى وَأَصْحَابُهُ إِلَى اللَّهِ فَيُرْسِلُ اللَّهُ طَيْرًا كَأَعْنَاقِ الْبُخْتِ فَتَحْمِلُهُمْ فَتَطْرَحُهُمْ حَيْثُ شَاءَ اللَّهُ ثُمَّ يُرْسِلُ اللَّهُ مَطَرًا لاَ يَكُنُّ مِنْهُ بَيْتُ مَدَرٍ وَلاَ وَبَرٍ فَيَغْسِلُ الأَرْضَ حَتَّى يَتْرُكَهَا كَالزَّلَفَةِ ثُمَّ يُقَالُ لِلأَرْضِ أَنْبِتِى ثَمَرَتَكِ وَرُدِّى بَرَكَتَكِ.
Maksudnya: Ketika Allah SWT mewahyukan kepada Isa AS: Sesungguhnya aku mengeluarkan hamba-hamba-Ku yang tidak ada kemampuan bagi seorang pun untuk memeranginya. Maka biarkanlah hamba-hamba-Ku menuju Tur.
Lalu Allah SWT keluarkan Ya’juj dan Ma’juj dan mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi. Kemudian mereka melewati tasik Tabariyah, dan meminum seluruh air yang ada padanya. Hingga ketika barisan paling belakang mereka sampai di tasik tersebut, mereka berkata: “Sungguh dahulu di sini masih ada airnya.”
Ketika itu terkepunglah Nabi Allah Isa AS dan para sahabatnya. Hingga kepala lembu ketika itu lebih berharga bagi mereka daripada seratus dinar kamu sekarang ini. Maka Nabi Isa dan para sahabatnya bermohon kepada Allah SWT.
Maka Allah SWT pun mengirim sejenis ulat yang muncul di leher mereka (Ya’juj dan Ma’juj). Maka pada pagi harinya, mereka seluruhnya binasa menjadi bangkai-bangkai dalam waktu yang hampir bersamaan.
Kemudian turunlah Nabi Allah Isa dan para sahabatnya (dari gunung Tuur). Maka tidak didapati satu jengkal pun tempat kecuali dipenuhi oleh bangkai dan bau busuk mereka. Maka Nabi Isa AS dan para sahabatnya pun berdoa kepada Allah SWT.
Maka Allah mengirimkan burung-burung yang lehernya seperti unta, membawa bangkai-bangkai mereka dan kemudian dilemparkan di tempat yang Allah kehendaki. Kemudian Allah kirimkan hujan yang tidak menyisakan satu pun rumah mahupun khemah, lalu membasahi bumi hingga menjadi licin. Kemudian dikatakan kepada bumi itu: ‘Tumbuhkanlah buah-buahanmu dan kembalilah berkahmu…”
Riwayat Muslim (7560)
Sebenarnya isu Ya’juj dan Ma’juj adalah isu yang sentiasa menjadi perbualan dan perbincangan para ulama dan juga orang ramai. Ia merupakan salah satu daripada tanda-tanda kiamat yang besar. Oleh itu, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Zainab bin Jahsyim R.Anha:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيْهَا فَزِعًا يَقُولُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدْ اقْتَرَبَ فُتِحَ الْيَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مِثْلُ هَذِهِ وَحَلَّقَ بِإِصْبَعِهِ الْإِبْهَامِ وَالَّتِي تَلِيهَا قَالَتْ زَيْنَبُ بِنْتُ جَحْشٍ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ قَالَ نَعَمْ إِذَا كَثُرَ الْخَبَثُ
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW keluar dari rumahnya dalam keadaan amat serius seraya bersabda: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah SWT.
Celakalah orang Arab daripada kejahatan yang hampir tiba. Hari ini telah terbuka sebahagian tembok Ya’juj dan Ma’juj seperti ini. Lantas Nabi mengisyaratkan bulatan dengan dua jarinya iaitu jari telunjuk dan jari ibu.
Zainab binti Jahsyim berkata: Aku bertanya, hai Rasulullah SAW, adakah kami akan binasa sedangkan di sisi kami ada orang-orang yang soleh. Jawab Baginda SAW: Ya, jika sekiranya banyak kejahatan.”
Riwayat al-Bukhari (3346) dan Muslim (7416)
Isyarat jari daripada Rasulullah SAW bukanlah menunjukkan tempoh yang tertentu. Bahkan ia hanya perumpamaan yang membawa maksud waktu tersebut telah hampir. Jumhur ulama menafsirkan makna “الْخَبَثُ” dengan kefasikan dan perbuatan dosa. Dikatakan juga bahawa ia bermaksud zina dan dikatakan juga anak zina. Akan tetapi, yang zahirnya adalah maksiat keseluruhannya. Tambahan pula, Imam al-Nawawi berkata makna hadis ini adalah apabila maksiat tu berleluasa maka ia boleh mendatangkan kemusnahan secara amnya walaupun pada tempat tersebut terdapat orang-orang yang soleh. (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 3-4/18)
Penutup
Kami tertarik dengan kenyataan Syeikh al-Maraghi yang menyebut: Setiap yang dijanjikan oleh Allah SWT itu pasti terjadi dan tidak perlu diragukan. Allah SWT telah berjanji menghapuskan Genghis Khan dan keturunannya itu. Ini disebabkan mereka (Genghis Khan) mengadakan kerosakan di muka bumi dari timur hingga ke barat dengan melakukan pelbagai kerosakan terhadap negara-negara Islam, dan melenyapkan panji pemerintahan dari Baghdad, seperti yang telah diterangkan dahulu.
Pakar sejarah telah menceritakan, jatuhnya pemerintah Genghis Khan apabila Sultan Khuwarizm daripada Dinasti Saljuk membunuh para utusan dan pedagang dari negerinya dengan merampas hartanya, dan menyerang sekitar negerinya.
Akibatnya, Genghis Khan marah dan menulis surat kepada Sultan, dengan mengatakan, “Mengapa kamu berani membunuh teman dan orangku, serta merampas barang perniagaan dan hartaku? Adakah kamu mahu memulakan atau mengadakan suatu malapetaka dengan mencabar kekuatan yang ada pada kami.
Atau kamu tidak mendengar peringatan daripada nabi kamu: “Hendaklah kamu mencegah setiap orang kaya di kalangan kamu daripada setiap golongan orang lemah?” Atau kamu tidak mendengar tentang petunjuk orang yang telah memberi petujuk dan hidayah kepada kamu, “Tinggalkanlah Turki, tentu mereka tidak akan meninggalkan kamu?”
Mengapa kamu menyakiti jiran tetangga, padahal nabi kamu telah mewasiatkan hal itu. “Ketahuilah, sesungguhnya bencana itu tidak akan berlaku, oleh itu janganlah kamu memulakannya. Ini adalah antara peringatanku kepada kamu, oleh itu dengarkanlah dan perhatikanlah, kemudian hapuskanlah kerosakan sebelum terjadinya pembalasan akibat dendam, sebelum tembok yang menghalang Ya’juj dan Ma’juj runtuh dengan mereka dapat membinasakan kamu, lagipun Allah SWT pasti menolong orang yang dianiaya, kemudian apabila runtuhnya tembok itu, pasti Ya’juj dan Ma’juj keluar dari setiap lubang dan menyerang kamu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4181)
Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
[1] Genghis Khan juga dieja Jenghis Khan, Jinghis Khan, Chinghiz Khan, Chinggis Khan, Changaiz Khan, nama asalnya Temüjin, juga dieja Temuchin, (c. 1155/1162/1167 – 18 Ogos 1227) adalah khan Mongol dan ketua ketenteraan yang menyatukan puak Mongol dan kemudiannya mengasaskan Empayar Mongol dengan menakluk sebahagian besar Asia, termasuk utara China (Dinasti Jin), Barat Xia, Asia Tengah, Parsi, dan Mongolia. Penggantinya meluaskan penguasaan Mongol menjadi empayar terluas dalam sejarah manusia. Dia merupakan datuk kepada Kublai Khan yang merupakan pengasas dan pemerintah pertama Dinasti Yuan di China.
Genghis dilahirkan dengan nama Temüjin sekitar antara 1162 dan 1167, anak sulung kepada Yesügei, ketua puak Kiyad (Kiyan). Puak Yesügei dikenali sebagai Borjigin (Borjigid). Dia dinamakan sempena nama ketua musuh yang ditewaskan.
Genghis Khan merupakan ahli politik Mongol dan ketua tentera yang mengasaskan Empayar Mongol, (1206–1368). Dilahirkan sebagai Temüjin, dia menyatukan puak Mongol dan membentuk tentera terkuat berasaskan meritokrasi, untuk menjadi salah seorang pemimpin tentera yang paling berjaya dalam sejarah.
Genghis Khan dikenali dengan imejnya sebagai penakluk yang paling kejam. Dia diraikan sebagai hero di Mongolia, di mana dia dilihat sebagai bapa Negara Mongol. Sebelum menjadi sebagai Khan, Temüjin menyatukan banyak orang Turkik-Mongol persekutuan Asia Tengah, memberikan identiti yang dikongsi kepada apa yang sebelumnya merupakan jajahan puak nomad.
Bermula dengan penaklukan Xia Barat di China Utara dan menyerap melalui pelbagai penaklukan termasuk Empayar Khwarezmid di Parsi, Genghis Khan meletakkan asas bagi empayar yang akan meninggalkan kesan yang kekal dalam sejarah dunia. Beberapa abad pemerintahan Mongol merentangi tanah besar Eurasia, tempoh yang dikenali sesetengah orang sebagai ‘Pax Mongolika’, menukar dengan banyaknya demografi dan geopolitik kawasan ini. Empayar Mongol akhirnya memerintah, atau sekurang-kurangnya menakluk sekejab, sebahagian besar China moden, Mongolia, Russia, Ukraine, Korea, Republik Azerbaijan, Armenia, negara Georgia, Iraq, Iran, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Tajikistan, Afghanistan, Turkmenistan, Moldova, Kuwait, Poland dan Hungary. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Genghis_Khan )
[2] Pada tahun 842 Kekhalifahan Abbasiyah, al-Watsiq Billah bermimpi bahawa dinding pemisah yang mengurung kedua suku itu hancur. Disebabkan mimpi itulah beliau kemudian menghantar sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Sallam menuju ke gerbang besi tersebut. Ini bagi mengetahui keadaan dinding itu dan lokasinya. Al-Watsiq mengarahkan kepada Sallam untuk mencari maklumat berkenaan tembok itu. Ketika itu bersama Sallam adalah seramai 50 orang. Pengkajian tersebut menelan belanja yang besar. Disebutkan dalam sebuah buku geografi berjudul Nuzhat al-Musytaq oleh al-Idrisi, Al-Watsiq memperuntukkan belanja 5000 dinar untuk pengkajian ini.
Mereka akhirnya mendapati gerbang di antara gunung selebar 137 meter dengan tiang besar di kiri kanan terbuat dari galang-galang besi yang dituang dengan cairan tembaga, tempat digantung daun pintu raksasa. Kisah lain menyebutkan Sallam melihat pergunungan yang terpisah oleh lembah. Luas lembah sekitar 150 meter dan lembah ini ditutup tembok berpintu besi sekitar 50 meter. (Lihat Nuzhat al-Musytaq fi Ikhtiraq al-Afaq oleh al-Syarif al-Idrisi, hlm. 934 -938) Al-Idrisi juga menceritakan bahawa menurut cerita Sallam penduduk di sekitar pergunungan biasanya memukul kunci pintu besi 3 kali dalam sehari. Setelah itu mereka melekatkan telinga pada pintu untuk mendengar reaksi dari dalam pintu. Lalu mereka mendengar gema teriakan dari dalam. Perkara tersebut menunjukkan bahawa di dalam pintu tersebut memang ada makhluk jenis manusia yang dinamakan Ya’juj dan Ma’juj itu.
[3] Tembok Besar China merupakan satu siri kubu China silam yang dibina sekitar 200 SM dan diperkukuh antara akhir abad ke-14 sehingga permulaan abad ke-17, semasa Dinasti Ming, untuk melindungi utara China daripada serangan puak Mongol dan Turkik. Ia didahului oleh beberapa tembok dibina semenjak abad ke-3 SM terhadap perompak puak-puak nomad yang datang dari kawasan yang dikenali hari ini sebagai Mongolia dan Manchuria.
Panjang Tembok Besar China ini ialah kira-kira 6,400 km, daripada Shanhaiguan sehingga ke Teluk Bohai di sebelah timur yang terletak berhampiran dengan sempadan China dan Manchuria, sehingga Lop Nur di sebelah tenggara wilayah Xinjiang. Pada 2009, satu tinjauan arkaeologi baru menggunakan teknologi termaju melaporkan yang panjang keseluruhan tembok, dengan segala cabangnya, menjangkau 8,851.8 km (5,500.3 mi).
Sejarah
Sebuah tembok pertahanan telah dibina di sempadan utara pada dinasti Qin dan dipelihara oleh dinasti-dinasti seterusnya. Lima pembinaan semula utama telah dicatatkan:
208 SM (Dinasti Qin)
Abad ke-1 SM (Dinasti Han)
Abad ke-7 (Dinasti Sui)
1138 – 1198 (Zaman Lima Dinasti dan Sepuluh Negara)
1368 – 1640 (Dari Maharaja Hongwu sehingga Maharaja Wanli pada Dinasti Ming)
Tembok besar pertama telah dibina sewaktu pemerintahan Maharaja Pertama Dinasti Qin. Tembok Besar telah dibina dengan menggabungkan beberapa tembok sedia ada yang dibina pada Zaman Negara-Negara Berperang. Tembok Besar asal ini terletak lebih utara dari Tembok Besar yang masih wujud hari ini, dan hujung timurnya sampai di Korea Utara hari ini. Tetapi sebahagian besar tembok besar pertama ini sudah binasa.
Kerajaan telah mengarahkan para petani membina tembok ini, dan ramai yang mati ketika membinanya.
Tembok Besar yang kita lihat hari ini ialah hasil pembangunan Dinasti Ming. Bahagian dalam tembok berisi tanah yang bercampur dengan batu-batan. Bahagian atasnya dibuat jalan utama untuk pasukan berkuda Negeri China. Ia lebih kukuh dan tahan lebih lama. Fungsi utama tembok ini ialah untuk menahan serangan puak-puak nomad dari utara.
Tembok Besar Dinasti Ming bermula di timur dari Kubu Shanhai, dekat Qinhuangdao di Wilayah Hebei. Ia melalui 9 wilayah, 100 daerah dan bahagian 500 km terakhir di barat sudah musnah sepenuhnya. Hujung di bahagian baratnya hari ini terletak di tempat bersejarah Jiayuguan (kubu Jiayu) di barat laut wilayah Gansu, pada hujung Jalan Sutera. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Tembok_Besar_China )
Recent Comments