TUMPAT, 6 Ogos – Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW) meneruskan usaha memperkukuh manhaj Ahli Sunnah Waljamaah dengan menganjurkan Program Pengajian Islam di Pondok Tok Selehor, Tumpat, Kelantan.

Program ini bertujuan memperluas kefahaman Islam berteraskan Fiqh, Tauhid, Tasawuf dan amali ibadah, khususnya dalam kalangan warga emas dan masyarakat umum. Ia juga menyokong kelangsungan sistem pengajian pondok tradisional yang menjadi tunjang pendidikan Islam di Kelantan.

Aktiviti pengajian dilaksanakan sepanjang tahun bermula pada Julai 2025 di Masjid Tok Selehor, dengan jadual berikut:

i) Pada setiap hari Khamis (9.30 pagi – 10.30 pagi): Pengajian Hadith & Sirah Nabawiyyah.

ii) Pada setiap hari Ahad (9.00 pagi – 12.00 tengah hari): Pengajian dan bimbingan asas Al-Quran.

Tenaga pengajar yang terlibat dalam menjayakan program ini ialah Ustazah Aminah Mohd Shauki. Beliau merupakan lulusan Sarjana Pengajian Islam (Al-Quran dan Al-Sunnah) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta memiliki tauliah mengajar yang diiktiraf oleh Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Program ini dijangka memberi manfaat besar kepada 20 warga emas yang menetap di pondok serta masyarakat setempat yang berminat untuk mendalami ilmu agama.

Diharapkan program pengajian pada kali ini dapat memberikan impak yang besar dan berkesinambungan dalam melangkah lebih jauh serta menjadi titik permulaan menyatupadukan masyarakat melalui kearifan Ahli Sunnah Waljamaah di seluruh Malaysia.

Translate »