Syeikh Ahmad Sirhindi ialah tokoh pembaharuan dan ahli sufi terkemuka India pada zaman pemerintahan dua sultan Moghul, Akbar (m. 1606) dan Jahagir (m. 1627) ialah Syeikh Ahmad Sirhindi. Beliau lahir pada 1564 di Sirhindi (kini Punjab), India.
Salasilah keturunannya dikatakan sampai kepada Umar al-Khattab. Sirhindi belajar di Sialkot (kini di Pakistan), pusat ilmu Islam pada zaman Moghul.
Setelah tamat belajar di Sialkot, beliau pulang ke kampungnya dan kemudian pergi ke Agra, ibu kota Moghul, untuk mendalami ilmu hadis dan tafsir. Di Agra, beliau berhubungan dengan ulama istana seperti al-Faidi dan Abu al-Fadl.
Kedua-duanya tidak disukai oleh ulama ortodoks kerana dianggap menganut agama bidaah. Pada 1617, Sirhindi dipenjarakan di Gwalior selama setahun oleh Sultan Jahangir tetapi dibebaskan atas desakan Mahabat Khan, pemerintahan Kabul. Kemudian beliau menjadi penasihat khusus Jahangir selama enam tahun.
Sirhindi meninggal dunia pada usia 60 tahun (1624) dan dikebumikan di tanah kelahirannya, Sirhindi.
Sirhindi dikenali dengan gelaran kehormat Mujaddid Alf Sani (tokoh pembaharuan millennium kedua) dan Imam-I Rabbani (pemimpin yang diilhami Tuhan). Gelaran Mujaddid Alf- Sani ini diberikan oleh Mulla Abdul Hakim, seorang ulama terkemuka dari Sialkot.
PERJUANGAN KESUCIAN ISLAM
Sirhindi berjuang membela kesucian Islam dengan menentang ajaran agama yang dianggap sesat dan menyimpang daripada akidah serta syariat yang sebenar. Beliau menentang Din Ilahi (agama Tuhan) beraliran Syiah yang memasukkan unsur luar ke dalam Islam.
Aliran Din Ilahi ini diumumkan oleh Sultan Akbar. Sirhindi juga menentang wahdatul wujud (panteisme) kerana mengganggapnya menyimpang daripada syariat dan berusaha berusaha membersihkan tasawwuf daripada segala bentuk penyimpangan. Beliau sendiri merupakan pengikut Naqsyabandiyah.
ISBAT AL- NUBUWWAH
Ahmad Sirhindi menulis beberapa karya; antara yang paling penting ialah Isbat al- Nubuwwah (Pembelaan Atas Kenabian), Radd-I Rawafid ( Penolakan Atas Aliran [Syiah] Rafidah), dan Maktubat (Surat-surat).
Melalui karyanya ini, gerakan Sirhindi memberikan pengaruh yang besar di benua kecil India, dan pada umumnya berjaya menandingi kecenderungan yang mengabaikan ikatan moral di kalangan ahli sufi.
KESATUAN WUJUD
Sirhindi mengkritik doktrin wahdah al-wujud (kesatuan wujud: panteisme) Ibnu Arabi (1165-1240). Beliau mendakwa bahawa doktrin wahdah al-wujud menyamakan Tuhan dengan alam semesta hingga perbezaan antara Tuhan dengan alam semesta hingga perbezaan antara Tuhan dengan alam, termasuk manusia, tidak jelas lagi. Menurut beliau, doktrin wahdah al-wujud tidak mempunyai dasar di dalam al-Quran dan sunnah.
Bagaimanapun, beliau bersetuju jika wahdah al-wujud dilihat sebagai suatu pengalaman semata-mata, bukan sebagai kepercayaan kepada hakikat sebenarnya. Menurut Sirhindi, wahdah al-wujud ialah peringkat pengalaman mistik paling rendah.
KESATUAN KESAKSIAN
Untuk menentang wahdah al-wujud, Sirhindi mengajarkan doktrin wahdat al-syuhud (kesatuan kesaksian), yang membuktikan bahawa yang ada dalam kesaksian (penglihatan) hanya satu wujud, iaitu Tuhan, meskipun pada kenyataannya ada dua wujud yang berbeza: Tuhan dan alam.
Dengan yang demikian, Sirhindi menegaskan perbezaan mutlak antara Tuhan dengan alam. Menurutnya, inilah peringkat mistik paling tinggi.
BIODATA RINGKAS SYEIKH AHMAD SIRHINDI
1564 (10 Muharam 971 Hijrah) Dilahirkan di Sirhindi
1592 Pergi ke Delhi
1593-1594 Bergabung dengan Tarekat Naqsyabandiyah
1600 Memperolehi ijazah dan status Syeikh Tarekat Naqsyabandiyah daripada Syeikh Kwaja Baqi Billah, penyebar pertama Naqsyabandiyah di India
1604 Menjadi mujaddid (tokoh pembaharuan ajaran Islam)
1617 Dipenjarakan di Gwalior oleh Sultan Jahangir
1618 Dibebaskan dari penjara atas desakan Mahbat Khan, pemerintahan Kabul
1618-1624 Menjadi penasihat khas Jahangir
1624 Meninggal dunia dan dikebumikan di Sirhind
Catatan: Ibnu Fattah
Recent Comments