Ketika berlangsungnya acara Konvensyen Sunnah ke-12 anjuran Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Malaysia, seorang pensyarah didakwa telah menghina Nabi SAW, semasa persembahannya. Timbul persoalan besar di sini; bagaimana masyarakat Islam khususnya di Malaysia, berani mempersenda atau ‘trolling’ hingga ke tahap sebegini? Apakah punca perbalahan yang bertukar ke tahap penghinaan?
Kes penghinaan ke atas baginda Rasulullah SAW ini, telah disambut dengan kesenyapan oleh pihak penganjur konvensyen tersebut, malah media rasmi mereka telah padam rakamannya. Malah suara-suara yang selalunya ke hadapan dalam isu bid’ah, yang dikaitkan dengan penghinaan ke atas Nabi SAW, turut membisu hingga ke hari ini. Tiada ulasan, tiada video reaksi.
Jika diteliti apakah punca terjadinya keterlaluan seperti ini, ia sebenarnya muncul daripada perbalahan fahaman aqidah, yang berasal dari tanah Najd. Satu gerakan yang bermula dari minda Syeikh Muhammad Ibn Abdul Wahhab, pada abad ke-18 masihi.
Daripada Mu’awiyah bin Abi Sufian RA, bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Ketahuilah sesungguhnya golongan ahli kitab sebelum daripada kamu berpecah kepada 72 atau 73 golongan. Dan golongan ini (Islam) akan berpecah kepada 73 golongan. 72 golongan akan ke neraka dan satu golongan akan ke syurga iaitu al-Jama’ah.” – [Riwayat Abu Daud (4597)]
Sejarah golongan Wahhabiyah atau Pseudo-Salafiyyah telahpun diperincikan dalam siri sebelum ini. Kini pula, perlu diteliti proses pemikiran mereka yang mengikut dan percaya kepada aliran ini.
Antara senjata yang digunakan golongan Pseudo-Salafi adalah dengan mendakwa umat Islam lain bergelumang dengan bid’ah. Kemurnian dalam ibadah hanya dipegang oleh golongan mereka, dan hanya merekalah yang mengikut sunnah dengan sebetulnya.
“Kullu bid’atin dholalah. Wa kullu dholalatin fin naar.” Setiap bid’ah itu sesat, dan setiap kesesatan itu di neraka.
Hadis sahih ini telah menjadi antara dalil terulung bagi golongan pseudo-salafi, dalam usaha mereka untuk meluaskan fahaman mereka dalam dunia Islam. Berkenaan bid’ah, golongan ini biasanya mendakwa, wujud dua bentuk bid’ah; yang pertama Bid’ah Lughawiyah atau linguistik, iaitu inovasi berkaitan hal dunia. Kedua adalah Bid’ah Shar’iyyah, iaitu bid’ah tentang agama dan ‘Ibāda. Menurut mereka, bid’ah kedua ini adalah betul-betul tercela, dan ini yang akan menjadi punca seseorang itu sesat, dan masuk neraka.
Pendapat ini mencetuskan kekeliruan dalam ummah, khususnya orang awam, yang tidak didedahkan dengan cara beristidlal (mengeluarkan dalil) dalam masalah agama. Dunia moden ini juga menyaksikan sebuah fenomena, di mana pendapat atau fahaman orang awam dijadikan bukti dan hujjah, dan diangkat statusnya sebagai kebenaran hakiki. Inilah kejahilan yang melanda seluruh dunia pada zaman ini, setiap manusia ada pendapat, dan hanya pendapatnya benar, malah lebih benar daripada ulama’ terdahulu.
Sedangkan ulama’ Ahlussunnah Wal Jama’ah telah memperincikan tentang perkara bid’ah, dan mengkategorikannya dengan lebih teliti. Jika dilihat perbahasan ulama mu’tabar mengenai masalah ini, antaranya Imam Nawawi mensyarahkan hadis ini dan menyatakan: “Sabda Nabi SAW – Dan setiap bid’ah itu sesat – adalah merupakan satu ungkapan umum yang dikhususkan, iaitu bermaksud sebahagian bid’ah, dan bukan keseluruhannya.” – (Syarah Sahih Muslim, 6/154)
Ulama’ Ahl al-Sunnah bersetuju bahawa bid’ah diklasifikasikan kepada dua, iaitu; Bid’ah Ḥasanah – maksudnya bid’ah terpuji yang tidak bercanggah dengan Al-Qur’an, Sunnah, Athar dan Ijma’. Kedua adalah Bid’ah Sayyi’ah, iaitu bid’ah yang tercela yang bertentangan dengan Al-Qur’an, Sunnah, Athar dan Ijma’ ulama’. Telah diriwayatkan daripada Imam al-Shāfi’ī oleh dua pelajarnya, Ḥarmala ibn Yaḥyā al-Tujaybi dan al-Rabī’ ibn Sulaymān al-Muradi.
“Perkara baharu [dalam agama] ada dua jenis. Pertama, perkara yang diadakan yang menyalahi al-Quran atau Sunnah atau athar atau ijma’. Inilah bid’ah yang sesat. Kedua, perkara baik yang diadakan yang tidak menyalahi salah satu daripada perkara tadi. Inilah perkara baru yang tidak tercela.” Beliau menggunakan dalil dari ungkapan Sayyidina ‘Umar Ibn Khattab RA kepada jemaah yang mengerjakan solat Tarawih di bulan Ramadhan – “Alangkah cantiknya bid’ah ini!”
Penyelewengan maksud bid’ah dalam Islam oleh golongan pseudo-salafi telah melahirkan generasi awam yang terlampau senang untuk membid’ahkan orang lain, sedangkan mereka masih hidup dalam kancah kejahilan. Amalan menghukum orang Islam lain tanpa kearifan, akan menjurus kepada mengkafirkan orang lain, dengan begitu gopoh dan senang. Kecenderungan takfir ini telah dipelopori Muhammad Ibn Abdul Wahhab, dan kini diteruskan oleh mereka yang berpegang dengan fahaman menyelewengnya itu.
Soalan yang setiap muslim wajib bertanya dan bermuhasabah di atasnya ialah; Adakah fahaman yang senang membid’ahkan dan mengkafirkan orang Islam yang tidak sependapat ini, akan bawa kepada penyatuan ummah? Atau ia akan bawa kepada kehancuran dan perpecahan? Ke mana halatuju fahaman sebegini, yang berjenamakan ‘Sunnah’, tetapi tidak mengendahkan adab dalam berikhtilaf sesama Islam?
Oleh itu, pendekatan Ahlussunnah Wal Jama’ah yang sebenar perlu difahami dengan jelas dan mendalam, oleh umat Islam hari ini. Ia supaya umat Islam secara keseluruhan dapat mengekalkan akidah sunni yang harmoni dan penuh dengan hikmah. Sebuah negara yang diserang oleh kefahaman yang berkecamuk dengan bermacam-macam aliran fahaman yang berlainan itu akan berlaku perselisihan dan permusuhan.
Mujtahid Imam As-Subki berkata dalam kitab Thabaqat As-Syafi’iyyah, dimana ia berkata: “Disini kami akan memaparkan aqidah Ahlussunnah wal jama’ah. Maka kami berkata: ‘Aqidah kami (ahlussunnah wal jama’ah) meyakini bahwasanya Allah SWT adalah Dzat yang qadim nan azali (terdahulu), tidak menyerupai sesuatu apapun dan tidak ada sesuatu apapun yang menyerupai-Nya. Ia tidak berada pada suatu arah dan tempat, Ia tidak terikat waktu dan zaman. Tidak boleh mempertanyakan dimana dan bagaimana terhadap-Nya. Ia bisa dilihat oleh orang beriman di akhirat tanpa saling tatap muka dan perbandingan. Allah ada tanpa tempat. Ia yang telah menciptakan tempat dan mengurus masa waktu. Ia sekarang sebagaimana Ia ada sejak Azali. Inilah madzhab Ahlussunnah wal jama’ah dan aqidah para guru-guru yang semoga Allah sentiasa meredhai.”
Berpegang kepada akidah yang sesuai dengan keterangan Al-Quran dan Sunnah yang menjadi kunci kepada perpaduan, manakala mengenepikannya boleh membawa kerosakan ummah. Ia sepatutnya merupakan satu tindakan untuk menegakkan akidah yang bersandarkan dalil naqli dan aqli.
Akidah Ahlussunnah Wal Jamaah telah berjaya memartabatkan Islam daripada sebarang ancaman yang bersifat ideologikal. Ia juga mempunyai kekuatan dalam budaya hidup masyarakat yang bersifat wasatiyyah berbanding dengan pelbagai aliran pemikiran lain yang berkembang dalam sejarah Islam termasuk Muktazilah mahupun Syiah. Fahaman-fahaman tersebut bukan sahaja keterlaluan dalam berakidah, bahkan menutup pintu ijtihad dan bersifat jumud.
Roh dan konsep Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu dipertegaskan kembali. Para ulama perlu mendekati semula hikmah ini dan menjadikan ia tapak ke arah kegemilangan berilmu dan berbudaya. Ahlussunnah Wal Jama’ah bukan sekadar mazhab, tetapi merupakan suatu konsep yang luas lagi murni dan berjaya menyerap hubungan persaudaraan dan kekuatan umat Islam.
Kesederhanaan yang dipamerkan Ahlussunnah Wal Jama’ah berjaya menyatukan umat Islam dalam komuniti yang besar lagi majmuk. Malah sehingga hari ini, pendekatan Ahlussunnah Wal Jama’ah yang sebenar, telah mewujudkan keharmonian yang berpanjangan.
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments