KONFLIK berpanjangan yang berakhir pada Ahad menumbangkan rejim kekuasaan keluarga Bashar al-Asaad selama lebih enam dekad di Syria.

Dan di sebalik kejatuhan rejim Asaad, tumpuan seluruh dunia diberikan terhadap pemimpin utama kumpulan pembebas Syria, Abu Mohammed al-Jolani.

Selama ini, beliau digelar sebagai anggota pimpinan misteri dan sentiasa mengelak daripada menjadi perhatian umum.

Sebelum muncul sebagai hero dalam kumpulan pembebas Ketua Hayat Tahrir Al-Sham (HTS) iaitu sebuah kumpulan yang sebelum itu dikenali sebagai Nusra Front, beliau pernah bergelar komander cawangan al-Qaeda dalam perang saudara Syria.

Berusia awal 40-an, ketika ini, beliau merupakan pemimpin paling dikenali di kalangan kumpulan pembebas itu selepas memutuskan hubungan dengan al-Qaeda pada 2016.

Jolani berjaya menjenamakan semula kumpulannya dan memimpin kumpulan pembebas yang menggulingkan Assad selepas 13 tahun konflik bersaudara.

HTS pimpinan beliau pernah diisytihar sebagai kumpulan pengganas oleh kebanyakan negara di seluruh dunia.

Amerika Syarikat (AS) pula pada 2013 mengisytiharkan Jolani sebagai pengganas dan mendakwa al-Qaeda di Iraq telah menugaskannya untuk menggulingkan pemerintahan Assad dan menubuhkan undang-undang syariah Islam di Syria.

Sementara itu, Program Rewards for Justice, iaitu satu program ganjaran keselamatan negara utama Jabatan Negara AS, masih menawarkan ganjaran sehingga $10 juta (RM44.2 juta) kepada pemberi maklumat mengenai Jolani.

Pada Ahad, Jolani berucap di hadapan penyokong di Masjid Umayyad, Damsyik pada Ahad menegaskan, kejatuhan rejim Assad merupakan kemenangan bagi seluruh negara Islam.

“Kejayaan baharu ini, saudara-saudaraku, menandakan satu lembaran baharu dalam sejarah rantau ini,” kata beliau.

Dalam ucapanitu, Jolani menegaskan, Syria telah menjadi “taman permainan untuk cita-cita Iran, menyebarkan fahaman mazhab, membangkitkan rasuah,” tetapi kini, “Syria sedang disucikan oleh rahmat Tuhan Yang Maha Kuasa dan melalui usaha Mujahidin yang gagah perkasa.”

Iran dan proksinya Hezbollah adalah penyokong utama kerajaan Assad.

“Ini adalah negara yang, jika haknya diambil, akan terus menuntut mereka sehingga mereka dipulihkan,” kata Jolani, sambil menambah bahawa HTS akan membebaskan orang yang dipenjarakan oleh rejim Assad.

“Saudara-saudaraku, saya meninggalkan tanah ini lebih 20 tahun yang lalu dan hati saya merindui saat ini,” kata Jolani kepada pengikut-pengikutnya yang berkumpul di masjid Umayyah.

“Tidak ada satu rumah pun di Syria yang tidak disentuh perang. Alhamdulillah, hari ini Syria kembali pulih.” – Agensi

Sumber: astroawani.com

Translate »