RANTAU PANJANG, 28 November-Jumlah penduduk terjejas yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Kelantan terus meningkat.

Menurut Info Bencana JKM, setakat 6.00 pagi tadi, 27,313 individu berlindung di PPS melibatkan sembilan daerah terlibat.

Kesemua penduduk adalah daripada 8,189  keluarga itu kini berlindung di 146 PPS.

Daerah Pasir Mas kekal menyaksikan jumlah paling ramai terjejas iaitu 10,274  orang daripada 3, 234 keluarga.

Ini diikuti daerah Tanah Merah yang menyaksikan pertambahan pagi ini iaitu 3,200 orang membabitkan 960 keluarga di 22 PPS.

Lain-lain daerah terjejas ialah Kuala Krai (2826),Pasir Puteh (2613), Kota Bharu (2156) dan Bachok (1332).

Turut terkesan ialah daerah Tumpat (2390), Machang (1749) dan Jeli (773).

Sementara itu lima sungai utama merekodkan bacaan melepasi paras bahaya termasuk Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Golok di Kuala Jambu Tumpat, Sungai Semerak di Pasir Puteh dan Sungai Galas di Dabong Kuala Krai.

Pengguna jalanraya turut terputus hubungan apabila beberapa laluan persekutuan dan negeri ditutup selepas dinaiki air.

Di Pasir Mas, 19 laluan ditutup antaranya, Jalan Pengkalan Rakit-Batu Karang, Jalan Lubuk Kiat – Kubang Kuau, Jalan Meranti-Pohon Tanjung dan Jalan Gual Tok Deh.

Jalan  ini ditutup kepada semua kenderaan.

Sumber: berita.rtm.gov.my

Translate »