Al-Jazeera mempersoalkan bagaimana pendapat awam kurang membuat kiraan terhadap pengundi Trump sekali lagi. Peramal-ramal silap sekali lagi kerana mengandaikan kemenangan Kamala Haris dengan margin yang kecil, sebaliknya, Trump menang di luar jangkaan ramai pihak, [di luar jangkaan sekali lagi, kali pertama 2016] “…has seemingly defied those forecasters, with former President Donald Trump winning both the popular vote and the Electoral College comfortably”. (https://www.aljazeera.com/amp/news/2024/11/8/us-election-results-how-did-opinion-polls-undercount-trump-voters-again dan https://www.aljazeera.com/amp/news.2024/11/8/us-election-result-where-did-harris-and-her-campaign-go-wrong).
Menurut al-Jazeera lagi, sehingga 8 November 2024, Trump sudah pun memenangi 301 manakala Harris 226 undi elektoral, ertinya, Trump telah melepasi keperluan majoriti mudah (270 daripada 538 undi elektoral keseluruhan). Kemenangan akhir Trump ialah 312 undi elektoral, yakni jauh mengatasi Harris 226 dengan perbezaan 86 atau hampir 16 peratus (undi elektoral).
Parti Republikan bukan sahaja berjaya menguasai Rumah Putih bahkan turut menguasai senat. Ini menjadikan pentadbiran Trump untuk tempoh 2025 hingga 2029 akan kelihatan lebih mudah berbanding era pertamanya (2017-2021). Buat masa sekarang, kedudukan Trump tidak tergugat, tetapi ia bergantung kepada pengesahan rasmi yang akan dibuat pada awal Januari nanti, yakni dua minggu sebelum tarikh angkat sumpah (20 Januari 2025).
Ia seolah-olah mengulangi semula apa yang pernah diraih oleh George Herbert Bush (Bush Sr), menguasai undi popular dan undi elektoral yang cukup besar. Maknanya, ada kesilapan besar berlaku di peringkat akhir jentera kempen Parti Demokrat, termasuk kelemahan-kelemahan Kamala Harris sendiri ketika berdebat dengan Donals Trump.
Trump sebenarnya bukanlah calon popular, kerana beberapa pendiriannya tidak disukai oleh banyak pihak. Tetapi disebabkan ‘kelemahan hujah’, Kamala Harris terpaksa mengaku kalah. Sikap Trump yang ‘agresif’, walaupun dua kali dihadapkan dengan percubaan bunuh, mempunyai beberapa kes mahkamah, Trump mempunyai pandangan yang cukup diyakini oleh pengundi Amerika Syarikat sehingga mampu meraih 51 peratus undi popular, termasuk di beberapa negeri yang dianggap sebagai ‘swing state’, termasuk North Carolina yang beberapa bulan lalu dilanda taufan Milton dan Helena di Florida.
Dalam analisis pola pengundian yang disiarkan oleh The Washington Post (6 November 2024) tujuh negeri melibatkan 93 undi elektoral ada dapatan seperti berikut:
- pengundi lelaki lebih cenderung mengundi Trump berbanding wanita: Lelaki (Trump 55 dan Harris 42 peratus) dan Wanita (Trump 45 dan Harris 53 peratus);
- kumpulan umur: 18-29 tahun (Harris 54 dan Trump 43 peratus); 30-44 tahun (Harris 49 dan Trump 43 peratus); 45 hingga 64 tahun (Harris 44 dan Trump 54 peratus) dan lebih 65 tahun (Trump dan Harris masing-masing 49 peratus);
- berdasarkan etnik Kulit Putih ( Harris 41 dan Trump 57 peratus), Kulit Hitam (Harris 85 dan Trump 12 peratus), Hispanik/Latin (Harris 52 dan Trump 46 peratus), Asia (Harris 54 dan Trump 39), dan Lain-lain (Harris 42 dan Trump 54 peratus); dan,
- pendidikan: lulusan kolej (Harris 55 dan Trump 42 peratus) dan bukan lulusan kolej (Harris 42 dan Trump 56 peratus).
Negeri-negeri yang dijadikan asas penelitian oleh The Washington Post itu ialah Arizona (11), Georgia (16), Michigan (15), North Carolina (16), Nevada (6), Pensylvania (19) dan Winsonsin (10). (https://www.s\washingtonpost.com/elections/interactive/2024/exit-polls-2024-election/). Tujuh negeri tersebut pada pilihan raya kali ini dianggap sebagai ‘swing state’ atau ‘battleground’.
Daripada perspektif gender, pengundi lelaki lebih ramai memilih Trump manakala mereka yang kurang berpendidikan, cukup besar meyakini bekas Presiden ke-45 itu kerana beberapa rencana ekonominya menyambung slogan Make American Great Again. Ini dapat dilihat daripada sokongan Ellon Mask (menyumbang dana kempen Trump sebanyak USD$100 juta), yang mana pengusaha kereta elektrik (EV) itu berpendirian, dengan dasar yang betul dan perang perdagangan diperkemaskan, kereta-kereta EV daripada China kekal tidak akan memasuki pasaran Amerika Syarikat (strategi dasar perlindungan).
Sehingga kini, Amerika Syarikat bukan sahaja mengenakan tariff yang tinggi terhadap produk keluaran China, bahkan masih belum membenarkan penjualan EV di seluruh negara. Ertinya, Trump mungkin akan menambahkan lagi sekatan perdagangan dengan China, tetapi, akhirnya ia bakal menyebabkan ramai rakyatnya akan terus mengalami situasi ekonomi dan inflasi yang tinggi. Trump cukup kuat berpegang kepada ‘dasar perlindungan’ kerana ingin menterjemahkan slogannya, Make American Great Again, yakni melindungi produk Amerika Syarikat daripada tewas dalam persaingan perdagangan domestik.
Produk-produk keluaran Amerika Syarikat semakin mahal dan tentunya, dengan kemunculan BRICS, Trump akan memikirkan semula kaedahnya sebagaimana beliau lakukan terhadap TPPA (Trans-Pacific Partnership Agreement) yang diluluskan pada akhir pentadbiran Barrack Obama.
TPPA didakwa oleh Trump akan menyebabkan Amerika Syarikat akan kehilangan daya saing, di mana kemasukan produk import yang lebih murah boleh menganggu pertumbuhan produk tempatan. Sebab itulah beliau laksanakan Perang Perdagangan bagi menyekat kebanjiran produk daripada China dan negara-negara membangun yang berjaya dihasilkan dengan kos pengeluaran yang lebih murah.
TPPA juga membolehkan syarikat-syarikat asing bebas melabur di mana-mana negara, dan dengan itu ia akan menyebabkan kebanjiran imigran sama ada sebagai pekerja mahupun teknokrat yang diperlukan. Inilah yang berlaku di Lembah Silikon, kebanyakan pekerjanya adalah kaum imigran, termasuk tenaga pakar, pencipta kandungan dalam bidang teknologi memenuhinya, termasuk untuk firma Amerika Syarikat sendiri, seperti Google, Microsoft, Meta dan sebagainya.
Ia turut berkembang bersama-sama firma asing seperti China, Jepun dan Korea Selatan. Ia akhirnya akan menimbulkan masalah idenditi yang lebih kronik pada masa hadapan, sedangkan ketika ini, ia sudah terlalu rencam dan sukar untuk mencari jatidiri Amerika Syarikat yang sebenar. (Samuel P Huntington, Who Are We? The Challenges to America’s National Identity, 2004).
Selepas tamatnya Perang Dingin (1989), Amerika Syarikat dikatakan peneraju sistem ekonomi politik dunia yang dikenali dengan istilah “single polar”. Setelah sekian lama dipengaruhi oleh budaya politik dan ekonomi Amerika (Americanisation), negara-negara sedang membangun dan blok yang dianggap bersebelahan dengan demokrasi mula tertekan dengan tindak tanduk mengawal yang dilaksanakan oleh Washington. Beberapa negara kemudiannya memikirkan jalan keluar daripada kemelut tersebut, bukan dengan tujuan menyaingi kuasa hegemoni Amerika Syarikat.
Akibat percaturan politik yang berat sebelah, pelbagai tekanan dikenakan ke atas mana-mana negara, sama ada dalam perdagangan dan sistem kewangan, beberapa negara mula merintis jalan kerjasama antara mereka. Pada tahun 2001, seorang tokoh ekonomi daripada Goldman & Sach, Jim O’Neill melontarkan pandangan mengenai idea penubuhan kerjasama ekonomi global, yang kemudiannya dikenali sebagai BRICS. BRICS kemudiannya dirintis oleh Rusia, India, China dan Brazil. Menteri-menteri luar daripada empat buah negara itu kemudiannya membincangkannya di New York pada bulan September 2006. Empat tahun kemudian (2010), Afrika Selatan bersedia menyertai kerjasama tersebut.
Sejak itu, BRICS muncul sebagai sebuah pakatan yang menuju kepada bentuk kerjasama ekonomi yang tidak lagi mahu bergantung kepada hegemoni Amerika Syarikat. BRICS kemudiannya disahkan penubuhannya pada 16 Ogos 2009 dan kini keanggotaannya semakin bertambah. BRICS sedang berkembang dan sedang mencabar hegemoni ekonomi Amerika Syarikat, dan lebih membimbangkan ialah kemungkinan rintisan dedolarization akan menjadi suatu kenyataan setelah beberapa tahun dimulakan. Jangkaannya, apabila perdagangan tidak lagi berteraskan dolar, maka nilai dolar akan turun dengan banyaknya, sehingga seorang perunding kewangan Amerika Syarikat, Robert Kiyosaki meramalkan, dolar bakal mengalami herotan (tidal wave) nilai sehingga menyamai nilai ‘kertas tisu jamban’.
Jelas Kiyosaki: America has been violating all these laws of money for all these years, and the world says,’We’ve had enough of this’, so they’re joining the BRICS. (…) That means 70 % of the world’s population that use the dollar is going to take (it) and say, ‘We don’t want it anymore.” Atas sebab itu, Kiyosaki meramalkan kemungkian cengkaman dolar akan berakhir, dan ketika itulah nilai dolar dirujuk sebagai ‘toilet paper’. (https://finbold.com/robert-kiyosaki-warns-us-dollar-will-return-as-a-tidal-wave-of-toilet-paper-0n-america/)
Kini, semakin banyak negara tidak lagi menggunakan dolar sebagai matawang perdagangan antara negara, masing-masing berusaha menggunakan matawang sendiri dan memperkemaskan beberapa matawang negara anggota BRICS (rubels, rupees, yuan dan sebagainya). Malaysia turut menjadikan kerjasama dalam ASEAN untuk tidak lagi melaksanakan pembayaran jual-beli barangan dalam nilai dolar, menggunakan matawang masing-masing. Jika berjual-beli dengan Thailand, Malaysia akan membayar dalam matawang Bhat. Begitu juga dengan Indonesia, Filipina, Vietnam, dan disebaliknya.
Malaysia secara rasmi telah menyertai BRICS sebagaimana disahkan oleh PMX pada 28 Julai 2024. Keanggotaan Malaysia diterima bersama-sama 12 negara lain, iaitu Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turkiye, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.
BRICS yang ditunjangi oleh Brazil, Rusia, India, China dan Korea Selatan ditubuhkan pada tahun 2009 dan secara keseluruhannya menyumbang 20 peratus perdagangan global. BRICS setakat ini, dilihat sebagai platform kerjasama ekonomi mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global, serta menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$ 26.6 trilion atau 26.2 peratus KDNK dunia. (https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/malaysia-dan-12-negara-lain-secara-rasmi-sertai-brics)
Dengan penyertaan keahlian BRICS semakin meningkat setelah kemasukan Iran, Mesir, Ethopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), ia menjadikan peluang kerjasama ekonomi negara-negara sedang membangun lebih berfokus dan fleksibel berbanding dengan rejim ekonomi dan perdagangan yang lama, yang cukup tertakluk dengan penggunaan dolar.
Hal ini cukup berkembang dengan baik semasa era pentadbiran Joe Biden yang dianggap kurang cergas dan ada yang mengatakan ‘sedang tidur’, namun ‘tersedar apabila Israel kekal dengan kedegilannya untuk menyerang Gaza, dan kini melangkaui Iran, Lubnan (Hizbullah) dan Yaman (Houthi).
Situasi global yang tidak harmoni ini bakal dibebankan kepada Donald Trump untuk menanganinya. Dalam debat presiden, Trump telah membuat beberapa janji yang cukup menarik yakni akan selesaikan segera Perang Rusia-Ukrain dan Perang Gaza. Mengenai Perang Ukrain, Trump berjanji akan menamatkannya dalam tempoh ‘24 jam’ manakala Perang Israel-Gaza meminta supaya negara-negara yang menyokong Israel menghentikan sokongannya, tetapi Amerika Syarikat tetap akan bersama Israel.
Ramai yang sedang menunggu, apakah Trump berjaya menamatkan Perang Ukrain dalam tempoh 24 jam, sedangkan perang yang sudah memasuki tempoh lebih dua tahun tidak mampu ditamatkan oleh Joe Biden biarpun menggunakan ketumbukan NATO. Bahkan, dalam sesetengah keadaan, ketumbukan tentera NATO sudah diundurkan daripada kawasan sempadan Ukrain, kerana Amerika Syarikat tidak sanggup menanggung beban kewangan yang besar, hutangnya sudah melepasi USD$34 trilion, dan meletakkan negara itu “di landasan tidak mampan”. (Berita Harian, 5 Februari 2024).
Ini menunjukkan tahap pendirian Trump semakin jelas dan bakal menyambung legasi yang diringgalkan bagi memastikan Israel kekal berkuasa, dan juga menggila dengan tindakannya, selagi matlamat untuk membangunkan The Greater Israel tidak menjadi kenyataan. Jika usaha ini terus diberikan sokongan oleh Trump, kemungkinan perang lebih besar di Timur Tengah akan meletus.
Kalau dalam kempen tahun 2016, Donald Trump membangkitkan persoalan imigran, maka kali ini, beliau berhasrat untuk ‘menghantar pulang’ atau ‘mengusir’ mereka yang tidak ada dokumen yang sah. Tentunya, hal ini akan menjadi bertambah rumit terutama daripada kaum imigran daripada Amerika Latin dan Amerika Tengah, yang dikatakan cukup melonjak beberapa bulan lalu, setelah Joe Biden mengumumkan tidak meneruskan hasrat kekal berada di Rumah Putih untuk penggal kedua. Menurut Trump, ia bakal menjadi tindakan pengusiran terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat.
Dan, untuk tujuan tersebut, Trump bertekad akan meneruskan projek membina tembok dengan Mexico, yang menjadi jalan-jalan terbesar kemasukan imigran. Bagi beberapa pihak, jika Trump melaksanakan pengusiran tersebut, ia bakal menyebabkan pentadbiran berhadapan dengan undang-undang dan masalah lojistik, selain boleh mengakibatkan ekonomi tumbuh lebih perlahan.
Ini kerena kaum imigran inilah yang memenuhi bidang pekerjaan yang tidak diinginkan oleh rakyat Amerika Syarikat sendiri, terutama dalam kategori 3D –dirty, dust dan dangerous. Sebelumnya, yakni pada penggal pertama, Donald Trump masih belum mampu menghalau keluar imigran daripada Amerika Syarikat.
Bahkan, salah sebuah negeri yang menghasilkan pendapatan tahun terbesar mengancam akan keluar daripada gabungan Amerika Syarikat jika perintah pengusiran dan sekatan dilaksanakan. Trump hanya mampu menghalang kemasukan imigran daripada beberapa buah negara Timur Tengah dan Afghanistan. Itupun kedatangan baharu, bukan menghalau keluar kesemua imigran yang sudah memenuhi lapangan kerja di kebanyakan firma di Lembah Silikon, Washington, New York dan California.
Dalam janji yang dibuat, Trump berhasrat untuk menamatkan inflasi, tetapi tidak dijelaskan bagaimana kaedahnya. Inflasi akan terus melonjak jika pentadbiran Rumah Putih terus mengenakan cukai dan tariff yang tinggi terhadap barangan import. Ini berlaku kerana kos pengeluaran terus meningkat kerana adanya dasar gaji minimum dan beberapa dasar sekatan yang dilakukan, sedangkan kadar pengangguran terus meningkat. Barangan import dikenakan tariff sebanyak 10 peratus manakala import daripada China yang kemungkinan meningkat lagi sebanyak 60 peratus.
Kalau mungkin akan kekal berjaya ialah penjualan EV milik Ellon Musk, kerana rakyat Amerika Syarikat tidak mempunyai pilihan. Namun, dalam pemikiran Trump, usaha dan tindakan ‘perubahan iklim’ dan ‘dasar pengeluaran karbon’ akan dipinda, kerana ia akan menyebabkan Amerika Syarikat tidak mungkin mampu menggerakkan ekonominya. Masih banyak ekonomi bergantung kepada indutri minyak dan gas, termasuk dalam kalangan ‘orang minyak’ Amerika Syarikat yang pernah menghidupkan peluang kemenangan buat George Walker Bush (Bush Jr).
Jadi, Trump bakal mengubah perspektif tersebut dan kembali menggalakkan penggunaan sumber tenaga fosil, dan ia bakal mencergaskan semula industri automotif yang pernah dinikmati oleh Amerika Syarikat (dengan jenama Ford, Chrysler, Cadilac, Jeep, Lincoln, Duesenberg. Dodge dan sebagainya).
Jenama-jenama tersebut ada sebahagiannya telah lama tenggelam, dan di antara yang masih wujud ialah Ford, Jeep dan Buick, yang dikeluarkan di China subsidiary General Motors. Bagaimanapun, jenama Buick semakin kurang mendapat sambutan setelah China begitu agresif membangunkan jenama kenderaannya sendiri yang kini semakin meluas pengeluaran EV. Kini, China memimpin pengeluaran dan pemasaran EV dunia.
Dengan seruan ‘drill. drill, drill’, Trump berhasrat untuk membangunkan kawasan artik untuk mencari sumber minyak. Trump mendakwa, kos pengeluaran kereta akan menjadi lebih murah berbanding membangunkan kenderaan elektrik.
Dalam salah satu topik debat, Trump tidak bercadang untuk mengharamkan pengguguran kandungan dan tidak akan menandatangi sebarang undang-undang berkaitan dengannya. Keputusan sama ada membenar atau mengharamkan aktiviti tersebut ditentukan oleh negeri masing-masing, dan bukannya di peringkat persekutuan.
Menariknya lagi, Trump turut berjanji akan membebaskan mereka yang ditahan dalam tunjuk perasaan yang berlaku pada 6 Januari 2021 di Chapel Hill. Tunjuk perasaan itu berlaku setelah Donald Trump cuba menafikan kemenangan Joe Biden dan sebagai langkah menghalang calon Parti Demokrat itu menangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46.
Trump mendakwa, kemenangan Joe Biden adalah tidak sah, akibat penipuan dan pembelian undi. Dakwaan Trump itu tidak berasas, dan negeri-negri yang didakwa terbabit membuat penafian dan siasatan, mengesahkannya ia tidak berlaku. Menurut Trump, sebahagian besar mereka yang ditahan (demonstrasi 6 Januari 2020) itu dilakukan secara salah.
Trump juga bertekad untuk memecat Jack Smith yang mengetuai jawatankuas menyiasat terhadap dua tuduhan jenayah yang dilakukan dan menolak cabarannya berkaitan salah laku dalam pengiraan undi pada tahun 2020, yang berpihak kepada Joe Biden. Pengamal undang-undang veteran itu dikategorikan sebagai “political witch hunt”, memburu ahli sihir politik.
Bagi James FitzGerald, dalam laporannya mengenai kemenangan Donald Trump, ia menjadikan Amerika Syarikat buat kali pertamanya menerima seorang presiden “with a criminal conviction, having been found guilty in New York of falsifying business records’. (James FitzGerald, “Seven things Trump says he will do as president”, dalam (https://www.bbc.com/news/articles/cev90d7wkk0o)
Tetapi, yang lebih menyebabkan masyarakat dunia menunggu ialah apakah keputusan dasar Rumah Putih kali ini lebih ‘garang’ daripada tempoh pentadbiran pertama Donald Trump, atau di sebaliknya, Trump mula memahami bahasa politik diplomasi?
Yang paling digusarkan ialah dasar Rumah Putih yang memihak kepada Israel, dan ia akan menjadikan Israel semakin bongkak dan besar kepala. Pada tahun-tahun terakhir pentadbiran Donals Trump sebelum ini, beliau telah membuat dua keputusan yang cukup mengepakkan ego Israel, iaitu mengisytiharkan Baitul Maqdis (Jerusalem) sebagai ibu negara baharu Israel dan merangka Abraham Accord sebagai normalisasi dengan negara-negara Arab.
Apakah kali ini, Amerika Syarikat akan terus memberikan nyawa kepada Benjamin Neetanyahu untuk membunuh keturunan Arab-Palestin yang sudah memasuki tahap genosid? Semua orang tahu, akibat perang yang sudah melebihi setahun, Israel semakin menyusut sumber kewangan dan moral anggota IDF semakin dihimpit ‘tekanan’. Ini dapat dilihat daripada tindakan orang awam Israel keluar berdemonstrasi mendesak agar perang segera ditamatkan,
Neetanyahu enggan berunding, kerana bila diadakan rundingan gencatan senjata, ia sedikit sebanyak membawa makna, Israel terpaksa menerima syarat-syarat yang ditetapkan. Dan, dalam masa yang sama, Israel semakin menyusut sumber kewangan dan terus menagih simpati Amerika Syarikat agar menghulurkan bantuan kewangan dan bekalan peralatan perang. Ia menjadi semakin sukar apabila didedahkan beberapa peralatan tenteranya berjaya dimusnahkan oleh serangan peluru balistik supersonik Iran dan aktivis Houthi.
Hizbullah, turut tidak mengalah, serangan demi serangan dilancarkan kea rah Israel meskipun beberapa orang pemimpin utamanya berjaya dibunuh. Begitu juga dengan semangat dan kekentalan pejuang Hamas. Tiga puak ini – Houthi, Hizbullah dan Tentera Revolusi Iran – tidak pernah gentar, malah terus berjanji akan melakukan serangan yang lebih besar sekiranya Neetanyahu terus menggila.
Ertinya, situasi yang sedang berlaku di Timur Tengah hanya boleh ditamatkan sekiranya Amerika Syarikat bersedia menarik sokongan, bantuan dan memberikan amaran keras kepada Benjamin Neetanyahu. Sebagaimana pernah diakui oleh Neetanyahu, tanpa bantuan Amerika Syarikat, negaranya tidak mampu berperang dengan mana-mana negara lebih daripada dua hari.
Tetapi, ramai yang bimbang dan curiga dengan sikap dan pendirian Donald Trump. Ia akan menjadi lebih cenderung menyebelahi Israel secara lebih terbuka berbanding Joe Biden, walaupun sama-masa menyokong dan menaja Israel. Sesiapa pun yang menjadi Presiden Amerika Syarikat, tidak terlepas daripada menyokong dan mendokong Israel, kerana aktivis zionis cukup berpengaruh dalam penentuan dasar Rumah Putih.
Mereka cukup berkuasa dan cukup licik berdrama, memainkan peranan membentuk oligarki yang sukar ditepis oleh sesiapapun orang politik, baik di dalam Senat atau Kongres dan RUmah Putih sendiri. Tidak perlu mengharapkan ketangguhan Donald Trump, kerana beliau sangat jelas keyahudiannya, dan cukup mengalir kuat darahnya dengan zionisme.
Ketika ini, keputusan Knesset (Parlimen) Israel untuk mengharamkan UNRWA di Gaza cukup menampakkan Neetanyahu menjadi semakin terdesak. UNRWA mempunyai banyak bukti tentang kekejaman Israel, dengan membedil sekolah, hospital, menghalang aktiviti merawat, memutuskan bekalan elektrik dan ubat-ubatan, yang mungkin akan menjadi dokumen yang tidak lagi boleh dinafikan sebagai genosid.
Di Lubnan, tentera Israel telah melakukan ‘ancaman’ kepada pasukan pengaman PBB dengan membuat tembakan rambang sehingga pasukan UNIFIL tercedera (ketika peralihan MALBART 850-11 kepada 850-12). Terbaharu, kawasan-kawasan yang diperuntukkan sebagai kawasan UNIFIL telah diceroboh dan pagar konkrit yang dibina mula dirobohkan. Ia menjadi petunjuk bahawa Israeal sedang melakukan tindakan untuk tidak membenarkan pasukan pengaman di bawah PBB beroperasi di Lubnan. UNIFIL dianggap sebagai penghalang, maka ketumbukan tentera di bawah PBB itu perlu keluar daripada Lubnan sebagaimana Israel sedang usaha untuk dikenakan ke atas UNRWA.
Apakah Donald Trump akan melakukan perkara yang sama apabila menduduki semula Rumah Putih? Masyarakat antarabangsa masih ingat tindakan Donald Trump ke atas organisasi PBB, iaitu WHO, UNICEF dan UNESCO, tidak lagi menghulurkan dana kerana Majlis Keselamatan PBB menerima Palestin sebagai ‘ahli (negara) pemerhati’ dan bersetuju dengan dakwaan bahawa Israel menjarah tanah-tanah penduduk Palestin untuk membina penempatan haram.
Keadaannya akan menjadi semakin serius. Dua pemimpin Israel sudah dimasukkan ke dalam senarai ‘waran tangkap’ oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICC), dan bakal diputuskan ialah Israel sebagai pelaku genosid. Usul tersebut sudah setahun dikemukakan oleh Afrika Selatan dan proses timbang taranya dijangka akan berlangsung dalam tempoh pentadbiran Donald Trump kali ini (2025-2029).
Dengan terpilihnya Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-47, apakah ia akan membawa makna yang besar kepada Israel? Apa signifikannya dengan angka 47?. Pada tahun 1947, gerakan zionis sedang giat melobi untuk merealisasikan penubuhan negara haram Israel.
Lobi di saat-saat akhir itulah telah menatijahkan lahirnya negara haram Israel pada 14 Mei 1948, dengan sokongan dan dokongan kuat Amerika Syarikat, dan memperkudakan PBB (ditubuhkan 1945 dan beribupejabat di New York), yang lahir sebagai kembangan Liga Bangsa-Bangsa (zaman Woodrow Wilson, Presiden Amerika Syarikat ke-28, yang berkuasa antara tahun 1913-1921)) yang diasaskan oleh Amerika Syarikat selepas Persidangan Keamanan di Paris pada tahun 1919.
Pada tahun 1947, PBB memutuskan untuk membahagikan wilayah yang ditadbirkan oleh Mandat British, di mana Palestin (pemilik asal) meraih 45 peratus manakala Yahudi (imigran penjarah dan perampas) sebanyak 55 peratus keluasan tanah negara Palestin. Baitul Maqdis dijadikan sebagai bandar antarabangsa. Pembahagian tersebut ditentang oleh negara-negara Arab, tetapi, ia tetap diteruskan oleh PBB dengan dalang utamanya (pelindung) adalah Amerika Syarikat.
Setelah lahirnya negara haram Israel, keluasan tanah milik keturunan Arab-Palestin semakin mengecil menerusi rampasan, pengambilan tanah secara paksa atas alasan membina kem tentera, pembangunan infrastruktur dan tipu daya oleh peneroka haram (imigran Yahudi) yang disokong oleh tentera. Bagi menghalau keturunan Arab-Palestin, regim haram itu melakukan provokasi, pembulian dan penyiksaan sehingga mencetuskan perang. Ia turut menjadikan bumi Palestin sebagai kepungan dan penjara terbesar yang pernah wujud di muka bumi. (Ilan Pappe, The Biggest Prison on Earth: A History of the Occupied Territories, 2017).
Melalui perang inilah lebih banyak tanah dapat dirampas, kerana rumah dan khemah-khemah pelarian dibumiratakan dengan menggunakan strategi bumi hangus. Hal ini diakui oleh banyak pihak, termasuk para wartawan daripada Amerika Syarikat sendiri.
Antaranya, laporan kewartawanan Ben Ehrenheich dalam The Way to the Spring: Life and Death in Palestine (2016) mengenai keganasan tentera Israel di Tebing Barat. Setelah hampir berjaya diboloti di Tebing Barat, kini, rejim Tel Aviv sedang mengepong, merampas dan menjarahkan tanah-tanah di Semenanjung Gaza (Ilan Pappe, The Ethnic Cleansing of Palestine, 2006; Norman Finkelstein, Gaza: An Inquest Into Its Martyrdom, 2018; dan Atem Abu Saif, Don’t Look Left: A Diary of Genocide, 2023)
Aksi dan tindakan jahat Israel itu akan memberikan impak yang besar kepada pentadbiran Donald Trump untuk kali ini setelah pada period pertama telah berjaya memberikan nafas untuk bertindak lebih kejam setelah Jerusalem diisytiharkan sebagai ibu negara Israel yang baharu (Disember 2017) dan membentuk Abraham Accord Agreement, menjinakkan negara-negara Arab dengan Israel (normalisasi 2020). Tentunya, hal ini berlaku setelah kepudaran negara-negara Arab untuk bersatu menentang Israel selepas tamatnya Perang Enam Hari 1967. (Jeremy Bowen, Six Days:How the 1967 War Shapes the Middle East, 2003; dan Muhamad Hasrul Zakariah, British dan Perang Enam Hari 1967 Arab-Israel, 2017).
Apakah selepas ini banyak lagi perkara dan tindakan Donald Trump untuk melegakan Israel selain memberikan kekuatan baharu setelah Benjamin Neetanyahu tertekan dengan perang yang panjang dan menghabiskan perbelanjaan yang besar? Apakah Trump akan menyalurkan lebih banyak bantuan sebagaimana dijanjikan semasa kempen pemilihannya, Israel wajar mendapat apa yang diinginkan?
Dalam nafas yang semput, apakah fajar pentadbiran Donald Trump kali kedua ini akan menjadikan Israel semakin lega bernafas? Kesemua harapan dan kebencian bercampur-baur, kerana masyarakat dunia memang mengenali Donald Trump cukup tegar dengan Israel.
Memang Donald Trump tidak peduli apa orang lain akan kritik atau kecam, kerana jiwanya cukup kental dan sinonim dengan ‘You’re Fired’, sikap dan pendiriannya tidak menjurus ke arah pedoman kemanusiaan yang luhur dan subur dengan kasih sayang sesama insan. Oportunis yang cukup tebal dan sangat keras kepala.
MONOSIN SOBRI
Recent Comments