Oleh: Mohd Anuar Ramli
Pada masa kini, umat Islam masih lagi berpecah dan berselisih, serta gagal mencari titik temu dalam mewujudkan perpaduan bersama. Tidak kira isu fundamental atau isu cabang, tiada persepakatan dalam kalangan mereka, sama ada pada peringkat agamawan atau orang awam. Masing-masing ingin menjadi jaguh dengan pandangan tersendiri.
Ketika para agamawan masih bertelagah dalam isu-isu khilafiyyah, maka masyarakat awam hanyut dalam memahami agama, juga mencari pendekatan dan cara untuk menjadi orang yang beragama. Mereka seolah hilang punca dan rujukan dalam beragama.
Misalnya, ada sebilangan orang awam yang gemar mencampuri urusan hukum, sebilangan yang lain suka menjatuhkan hukum kepada orang, sebilangan cenderung kepada pandangan pelik hingga mengabaikan keputusan pihak berkuasa agama.
Tidak kurang, ada juga kelompok yang anti kepada elemen Sunnah dan berbau agama dengan label Arabisasi.
Lebih lanjut, segelintir dijangkiti sindrom palatao. Mereka serba tahu dan mampu untuk memberikan pelbagai pandangan berkaitan agama.
Malahan mereka berani untuk membicarakan tentang pandangan imam empat mazhab, menghina dan merendahkan pandangan imam mazhab di samping cuba untuk mengharmonikan pandangan pelbagai mazhab tanpa mempunyai ilmu yang memadai.
Sedangkan bagi orang yang menekuni bidang agama pun, mereka tidak berani atau semberono melakukan pengharmonian kerana ada disiplin ilmu yang perlu dikuasai. Penghidap sindrom ini, hanya merujuk maklumat dalam talian, membaca sendiri tanpa bimbingan guru, tidak berdasarkan pembelajaran dan pengajian bersama para guru dan tidak mengikut disiplin ilmu.
Cara ini tidak dapat menumbuhkan kefahaman dan pola berfikir yang sistematik dan holistik. Hasilnya maklumat yang difahami dan pandangan yang dikemukakan tidak selari dengan perbincangan para ulama setempat.
Kedua, sindrom logik beragama. Mereka memberikan pandangan berdasarkan logik semata-mata dan melihat ulama silam mengabaikan aspek logik dalam beragama. Sedangkan para ulama silam merupakan kelompok yang bijak pandai.
Mereka telah memadukan antara sumber naqli (al-Quran dan al-Sunnah) dan juga sumber aqli (ijtihad). Mereka tidak bergantung kepada nas semata-mata tetapi memanfaatkan sumber akal dengan panduan metode yang sistematik.
Pendekatan kelompok ini jelmaan aliran muktazilah yang mengacu kepada kebebasan berfikir secara logik semata-mata dan mengabaikan elemen nas, ta’abbudi dan mengenepikan metode penentuan hukum yang dibangunkan ulama silam. Umpamanya terdapat orang Islam yang membela anjing dalam rumah atas dasar kasih sayang kerana ia makhluk ciptaan Allah juga.
Ketiga, sindrom intuitif. Terdapat sebilangan masyarakat awam yang beragama berdasarkan intuisi dan gerak hati. Mereka beragama berdasarkan apa yang dirasai dan tidak berdasarkan ilmu. Umpamanya, mereka menyambung berpuasa cukup 30 hari kerana merasakan tidak sempurna dengan 29 hari.
Mereka ingin melihat sendiri dengan mata kasar anak bulan untuk meyakinkan sambutan hari raya. Sedangkan apa yang mereka rasa telah menyalahi apa yang ditetapkan kerajaan. Selain itu, ada juga golongan yang tidak membeli atau menolak produk makanan yang mempunyai pensijilan halal yang diiktiraf, sedangkan produk tersebut adalah halal. Ini adalah hanya kerana mereka merasakan haram.
Perasaan ini merbahaya kerana boleh terjebak dengan perangkap talbis (pengkaburan) iblis dan tadlis (penipuan). Biasanya iblis akan menghiasi perkara yang elok menjadi buruk dan sebaliknya.
Keempat, sindrom ghuraba’. Golongan ini mengamalkan sikap beragama secara keras, berpegang dengan pandangan yang pelik dan mengutarakan isu-isu hukum yang tiada keperluan untuk diwacanakan secara terbuka. Ia boleh menyebabkan keraguan dan menimbulkan keraguan (tasykik) orang ramai dalam beragama.
Dengan alasan sebagai golongan ghuraba’ di akhir zaman, mereka cenderung menyalahi pandangan umum dalam beragama dan memilih pandangan yang ketat. Umpamanya, mereka menolak sistem demokrasi kerana tidak Islamik, menolak sistem ekonomi dan perbankan kerana ribawi dan sebagainya.
Kelima, sindrom bebalisme. Terdapat segelintir orang Islam yang sukar menerima kritikan dan teguran untuk memperbetulkan salah faham. Mereka memberi pandangan yang menyeleweng dan salah tentang hukum Islam. Namun apabila ditegur, mereka melenting dan merasakan pandangan mereka paling sahih.
Jadi mereka enggan memperbaiki falasi dalam berhujjah dan kekal dengan sindrom bebalisme serta penafian. Jadi, dalam urusan agama, serahlah kepada mereka yang mempunyai kapasiti dan pihak berautoriti kerana ia bukan medan orang ramai. Jika tidak, carilah ilmu sebanyaknya hingga mereka mampu keluar dari lingkaran taqlid.
Keenam, sindrom sang hakim. Ramai kalangan umat Islam yang gemar memberikan hukum dan menjatuhkan hukum kepada orang lain. Mereka merasa diri mereka cukup beragama, hingga mempunyai lesen untuk memaki atau melabelkan saudara Islam mereka.
Semangat yang membara tanpa diimbangi dengan ilmu yang memadai akan melahirkan sikap-sikap ekstrem dan melampau. Umpamanya mereka mentakfirkan saudara seislam kerana melakukan perbuatan bid’ah, melabelkan orang Islam yang tidak memboikot dan mengilustrasikan mereka sebagai anjing dan babi.
Sikap ini adalah percikan dari aliran khawarij zaman kontemporari. Setinggi mana pun tingkat beragama atau ketakwaan yang dicapai, ia tidak akan menghalalkan perbuatan yang dilarang Syarak. Sekali lagi iblis melakukan tipu daya dengan menghiasi perkara buruk menjadi elok dan baik di mata awam.
Sedangkan Nabi SAW pernah bersabda: Seorang Islam itu adalah mereka yang membuatkan seorang Muslim lain selamat dari kejahatan lidahnya dan tangannya. (HR al-Bukhari)
Dalam situasi ini, sikap beragama tidak dapat menyelamat orang Islam lain dari pelabelan dan kata-kata serta tindakan buruk terhadap Muslim yang lain. Sepatutnya, sikap beragama akan membentuk individu yang bertakwa, iaitu mereka yang takutkan Allah SWT, bukan individu yang menjadi penghukum.
Mereka tidak sewenang-wenangnya menghukum orang lain dengan anjing dan babi dan juga tidak mentakfirkan.
Sehubungan dengan itu, jangan mengambil peranan Allah SWT dalam menjatuhkan hukuman terhadap manusia. Dalam sebuah hadis Nabi SAW: Bahawa Rasulullah SAW telah bercerita:
“Pada suatu ketika, ada seseorang yang berkata; ‘Demi Allah, sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni si fulan.’ Sementara Allah berfirman: ‘Siapa yang bersumpah dengan kesombongannya atas nama-Ku bahawasanya Aku tidak akan mengampuni si fulan? Ketahuilah, sesungguhnya Aku telah mengampuni si fulan dan telah memutuskan amal perbuatanmu.” (HR Muslim)
Hadis tersebut mengisahkan tentang dua orang, seorang ahli ibadah dan seorang lagi ahli maksiat. Ahli ibadah menjatuhkan hukuman bahawa Allah tidak mengampunkan dosa ahli maksiat dan tidak akan masuk syurga.
Hukuman ini mendapat teguran kerana ahli ibadah telah mempergunakan nama Allah SWT bagi menghukum orang lain. Sedangkan Allah SWT bukan hanya bersifat penghukum semata-mata, sebaliknya Maha Pengampun.
Jelasnya, masyarakat Islam perlu meletakkan autoriti agama dan hukum kepada pihak yang berautoriti. Jangan cuba mewujudkan mazhab baharu yang menyimpang dari mazhab muktabar. Beragama dengan baik tidak membentuk ketaksuban, sikap melampau dalam menghukum orang lain atau meremehkan pandangan ulama silam atau pihak berkuasa agama. Beragama juga bukanlah tiket untuk melakukan perkara yang dilarang agama.
Tuntutlah ilmu hingga kita mampu untuk beragama dengan baik dan memahami adab perbezaan pandangan dalam hukum Islam. Allah SWT telah menegaskan dalam surah Fatir, ayat 28: Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah yang takut kepadanya hanyalah para ulama, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.
Jelasnya, orang yang berilmu (alim) adalah orang yang takut untuk melanggar larangan Syarak. Malahan mereka patuh dan taat dalam menjalankan segala suruhan Allah SWT.
Sehubungan dengan itu, dalam beragama, umat Islam juga perlu berhati-hati dengan siapa ilmu diambil dan apa yang diamalkan. Hal ini disebabkan pada masa kini, terlalu banyak ajaran sesat dan salah yang berkembang biak dalam masyarakat Islam.
Di samping itu, wujud golongan yang tidak pernah memondok tetapi membuka pondok dan menjadi tok guru. Bahkan, ramai orang yang tidak mengaji dan mendalami agama tetapi menjadi ustaz dan ustazah, serta pendakwah. Selain itu, ramai juga orang yang berpenampilan seperti seorang agamawan, juga dianggap sebagai ulama oleh masyarakat. Akibatnya masyarakat Islam mudah tertipu.
Tegasnya, sekiranya orang yang jahil itu menjaga lidah dan memilih untuk diam, nescaya masyarakat Islam lebih tenang dan aman damai, serta semakin sedikitlah kesilapan dan penyelewengan yang disebarkan. Jadi untuk urusan hukum dan agama, serahlah kepada mereka yang berilmu dan berautoriti agar keharmonian beragama dalam masyarakat dapat direalisasikan bersama.
Sumber: apakhabartv.com
Recent Comments