Salah satu aliran terpenting dalam teologi Islam ialah Asyariyah. Tokoh aliran atau doktrin ini ialah Abu Hasan al-Asyari yang membuat pembaharuan menerusi aliran Ahli Sunnah wal Jamaah. Aliran ini wujud pada abad ke-9 untuk menolak pandangan golongan Muktazilah yang menyesatkan umat Islam.
Kaum Muktazilah pada masa khalifah Abbasiah yang dipimpin oleh al-Makmun (813-833) melakukan minhaj atau ujian akidah dan mendapat tanggapan negatif daripada orang ramai.
Pandangan Asyari yang menolak pandangan Muktazilah ini disokong oleh Khalifah al-Mutawakkil dan menetapkan aliran Asyariyah sebagai mazhab rasmi. Banyak ulama besar menyatakan dirinya memeluk mazhab ini termasuklah Imam al-Ghazali.
Abu Hasan al-Asyari dilahirkan di Basrah pada tahun 873. Semasa meningkat dewasa, Asyari lebih tertalik untuk mendalami ilmu teologi, khususnya ajaran Muktazilah dan sering berdiskusi bersama gurunya, Abu Ali al-Jubbai.
Namun begitu, setiap jawapan yang diberikan oleh gurunya itu tidak dapat memuaskan hatinya sehinggalah beliau berubah haluan pada umur 40 tahun.
Asyariyah beriman kepada sifat 20 bagi Allah. Pada awalnya Asyariyah hanya memperkenalkan 13 sifat-sifat Allah tetapi akhirnya mengembangkannya kepada 20 sifat. Asyariyah bersikap sederhana terhadap doktrin teologi. Pada satu sisi, Asyariyah menggunakan akal untuk menyingkap permasalahan teologi tetapi penuh yakin terhadap wahyu Allah.
Abu Hasan al-Asyari membuat pembaharuan dalam aliran Ahli Sunnah dengan mengemukakan hujah-hujah logik akal serta teks-teks al-Quran dan hadis yang ada. Hujah-hujah yang dikumpulkan cukup kuat bagi mematahkan hujah Muktazilah yang pesat berkembang pada masa itu. Beliau berjaya mengumpulkan ramai murid dan pengikut. Kemudian, lahir golongan Ahli Sunnah wal Jamaah dikenali sebagai Asyairah iaitu golongan pengikut fahaman Abu Hasan al Asyari.
Antara teori Abu Hasan al-Asyari adalah mengemukakan 13 sifat yang wajib bagi Allah secara terperinci, iaitu:
1. Ada
2. Bersedia
3. Kekal
4. Berlawanan dengan sesuatu yang baharu
5. Berdiri dengan sendirinya
6. Satu
7. Berkuasa
8. Berkehendak
9. Mengetahui
10. Hidup
11. Mendengar
12. Melihat
13. Berkata
Aliran Muktazilah menolak sifat-sifat Tuhan. Namun aliran Asyariyah menyatakan, Tuhan memiliki sifat tetapi sifat yang dimiliki oleh-Nya tidak perlu dipersoalkan berdasarkan daya pemikiran manusia. Ini kerana, pemikiran manusia tidak terjangkau untuk memikirkan sifat-sifat Allah kerana daya pemikiran manusia adalah terbatas.
Aliran Asyariyah berkembang di dunia Timur iaitu India, Afghanistan, Pakistan sehinggalah ke Indonesia. Semasa era Mahmud Ghaznawi di India, aliran ini tersebar luas dan mempunyai ramai pengikut.
Sejak Asyariyah muncul, Ahli Sunnah wal Jamaah menjadi istilah kepada penggunaan aliran ini. Secara falsafahnya, Ahli Sunnah wal Jamaah adalah sekelompok orang Muslim yang meyakini adanya urutan hierarki empat sahabat Nabi s.a.w. Dan, hal ini tidak dinafikan oleh Asyariyah.
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments