Imam Muslim merupakan seorang ahli hadis terkenal selepas Imam Bukhari. Nama sebenarnya adalah Abu al-Husain Muslim bin al-Hajjaj al-Qusyairi an-Naisaburi. Beliau dinisbahkan dengan nama an-Naisaburi kerana beliau lahir dan meninggal di Naisabur. Bukhari dan Muslim dalam rawi hadis lazim disebut Syaikhani (Dua Syeikh).

Imam Muslim adalah seorang yang amat mencintai ilmu pengetahuan dan begitu tekun menggali dan mencarinya, terutama dalam bidang hadis. Sejak kecil, ketika berumur 14 tahun, beliau mulai mencari ilmu dan mendengarkan hadis-hadis daripada para syeikh (gurunya) negerinya, Naisabur.

Oleh kerana ingin mengembangkan ilmu dan memperluaskan wawasannya, beliau mengembara ke negeri-negeri lain, seperti Hijaz, Syria, Iraq, Mesir, dan lain-lain. Dalam pengembaraan tersebut beliau telah bertemu dan berguru kepada banyak ulama hadis dan penghafal-penghafal hadis. Guru-guru Imam Muslim secara umum boleh dikatakan sama dengan guru-guru Imam Bukhari terutama ketika Imam Bukhari datang ke Naisabur.

Di samping itu, Muslim juga dikenal seorang yang warak, zuhud, tawaduk dan ikhlas di samping genius serta tekun dalam belajar. Semua ini membuatkan beliau menjadi seorang pakar hadis peringkat kedua selepas Imam Bukhari.

Beliau mampu menghafal ribuan hadis dan mewariskannya kepada generasi-generasi berikutnya melalui karya tulisannya dalam bidang ilmu hadis, yang mencapai jumlah sekitar dua puluh buah buku.

Menurut pendapat Muhammad Ajaj al-Khatib, hadis yang tercantum dalam kitab Sahih Muslim berjumlah 3030 hadis tanpa pengulangan, dan apabila dicantum dengan pengulangan, ia berjumlah 10, 000 hadis. Menurut al-Khuli, hadis yang terdapat dalam Sahih Muslim berjumlah 4,000 hadis tanpa pengulangan, dan dengan pengulangan berjumlah 7,275 hadis. Jumlah ini menurut pendapatnya juga meliputi semua hadis yang sahih. Ini bererti bahawa di luar kitab ini masih banyak lagi hadis yang dinilai sahihnya.

Dalam menilai hadis yang dimuat dalam Sahih Muslim, Muslim menggunakan kriteria yang pada dasarnya sama dengan yang digunakan oleh Imam Bukhari. Namun, sebagaimana Imam Bukhari, kriteria umum yang digunakan Imam Muslim ialah bahawa hadis yang diriwayatkan itu bersambung sanad (sumbernya), diriwayatkan oleh orang-orng kepercayaan dari permulaan sampai akhirnya serta terhindar syuzuz (yang menyalahi aturan) dan illat (alasan hukum).

Bezanya, Imam Bukhari menuntut persyaratan yang dapat menunjukkan bahawa seorang rawi harus benar-benar bertemu dengan gurunya yang merupakan periwayatnya, sedangkan Muslim hanya mensyaratkan adanya kemungkinan bertemunya seorang rawi dengan gurunya.

Sifat Siqat (kepercayaan) seorang rawi serta hidup semasa dengan sumber riwayatnya, bagi Muslim, sudah dianggap cukup menyakinkan bahawa hadis yang diriwayatkannya benar-benar berasal dari sumber yang disebutkannya. Perbezaan kriteria inilah yang menyebabkan para ulama menempatkan kitab Sahih Muslim berada pada peringkat kedua.

Walaupun Sahih Muslim berada pada peringkat kedua, ia mempunyai keistimewaan tersendiri. Di antara keistimewaan-keistimewaan tersebut adalah seperti berikut: (1) Muslim lebih teliti dalam meriwatkan dengan lafaz yang diterimanya, kerana pada ketika itu beliau mencatat lafazan tersebut. Beliau lebih banyak meriwayatkan hadis secara bi al-lafz (dengan lafaz, sama dengan yang disampaikan Nabi s.a.w), sedangkan Bukhari lebih banyak secara bi al-ma’na (menyampaikan isi atau makna daripada yang disabdakan Nabi s.a.w); (2) dalam susunannya, Sahih Muslim lebih sistematik sehingga hadis-hadisnya mudah ditelusuri. Seseorang peneliti hadis akan lebih mudah mencari hadis-hadis Sahih Muslim kerana Imam Muslim menghimpun hadis-hadis berdasarkan topik-topik atau bab-bab yang terdapat dalam kitab-kitab fekah, yang mencakupi lapan asas agama; dan (3) dalam Sahihnya Muslim tidak memasukkan fatwa sahabat atau tabiin dalam memperjelaskan hadis yang diriwayatkannya.

Dalam hal kaedah penyusunannya, Muslim menerapkan prinsip-prinsip ilmu jarh dan ta’dil, suatu ilmu yang digunakan untuk menilai cacat atau tidaknya satu hadis. Ia menggunakan sigat at-tahammul (kaedah-kaedah penerimaan riwayat), seperti haddasana (menyampaikan kepada saya), akhbarani (mengabarkan kepada saya), akhbarana (mengkhabarkan kepada kami), dan qala (ia berkata).

Di samping mempunyai kelebihan, kitab Sahih Muslim juga mempunyai kelemahan-kelemahan. Di antaranya adalah seperti berikut: (1) Di dalamnya terdapat hadis-hadis mu’allaqat, meskipun sangat kecil jumlahnya. Hadis mu’allaqat ialah suatu hadis di mana seorang sanadnya atau lebih dibuang pada permulaannya atau hadis yang terputus sanadnya; (2) Adanya hadis-hadis mursal dan munqati di dalamnya. Hadis mursal ialah hadis yang dalam sanadnya tidak terdapat para sahabat sedangkan hadis munqati ialah hadis yang didalamnya tidak disebutkan seorang rawi atau disebutkan didalamnya seorang rawi yang tidak jelas; dan (3) Adanya periwayatan hadis daripada rawi-rawi yang dinilai lemah.

Catatan: Ibnu Khaldun

Translate »