Ibnu Taimiyah adalah nama besar dalam dunia pemikiran Islam dan sifat kepahlawanan yang ada dalam dirinya membuatkan beliau dikenali sebagai pejuang kemerdekaan yang menegakkan kebenaran demi agama.
Ibnu Taimiyah lahir di Harra dan ketika berusia enam tahun, beliau bersama kedua-dua ibu bapanya berpindah ke Damsyik.
Beliau memiliki kecerdasan luar biasa, otak tajam dan kuat ingatan. Pada usia muda, beliau menguasai pelbagai ilmu termasuk agama, fiqh, teologi, ilmu logika dan falsafah.
Ibnu Taimiyah banyak belajar daripada bapanya, ilmuwan dalam ilmu fiqh mazhab Hanbali selain belajar serta memanfaatkan ilmu yang diperoleh daripada beberapa ilmuwan terkemuka lain.
Apabila bapanya meninggal dunia pada 1282, Ibnu Taimiyah menggantikan tempat bapanya sebagai tokoh hukum mazhab Hambali dan memikul tugas itu selama 17 tahun.
Bagaimanapun, cara pemikirannya yang agak bebas menimbulkan perselisihan dengan penganut mazhab Syafie menyebabkan beliau akhirnya beralih arah menjadi pejuang menentang melawan suku Moghul. Beliau pernah berkhutbah bagi menyemarakkan semangat rakyat ketika itu untuk menentang Moghul sehingga mereka terusir.
Bermula selepas kejayaan itu, Ibnu Taimiyah terus menegakkan Islam tetapi ketegasan dan pemikiran terbuka beliau tidak disenangi pemerintah sehingga akhirnya beliau banyak menghabiskan masa di penjara.
Kehebatan Ibnu Taimiyah ialah pada ketegasan pendirian dan kebebasan berfikir yang kadangkala menimbulkan masalah terutama di kalangan mereka yang masih berfikiran konservatif.
Beliau adalah mujtahid besar pernah dilahirkan Islam kerana menolak taklid buta dan sebagai pengikut mazhab Hanbali, sandaran hukum beliau ialah al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.
Jasanya yang besar terhadap Islam melalui peringatan yang disampaikan kepada rakyat supaya mereka menyesuaikan diri dengan kesederhanaan dan kemurnian Islam berlandaskan al-Quran dan sunnah.
Ibnu Taimiyah meninggalkan karya penulisan yang banyak kerana menurutnya tidak berdosa seseorang itu mengeluarkan pendapat yang berbeza dengan pendapat ulama.
Ibnu Taimiyah amat menguasai ilmu rijalul hadis (perawi hadis) yang berguna dalam menelusuri hadis daripada periwayat atau pembawanya dan fununul hadis (macam-macam hadis) baik yang lemah, cacat atau sahih. Ia memahami semua hadis yang termuat dalam Kutubus Sittah dan Al-Musnad. Dalam mengemukakan ayat-ayat sebagai hujah atau dalil, beliau memiliki kehebatan yang luar biasa, sehingga mampu mengemukakan kesalahan dan kelemahan para mufassir atau ahli tafsir.
Setiap malam beliau menulis tafsir, fiqh, ilmu ‘ushul sambil memberi komentar terhadap pandangan para ahli falsafah. Sehari semalam beliau mampu menulis empat buah kurrosah (buku kecil) yang memuatkan pelbagai pendapatnya dalam bidang syariah.
Ibnu Wardi menukilkankan dalam Tarikh Ibnul Wardi, bahawa karangan beliau mencapai 500 judul. Karya-karya beliau yang terkenal adalah Majmu’ Fatawa yang berisi masalah fatwa dalam ajaran Islam.
Beliau memerangi orang yang mengamalkan bidaah dan syirik selain memikul sendiri tanggungjawab mengingatkan masyarakat supaya sentiasa menjaga adab sopan serta perilaku.
Katanya, umat Islam adalah umat yang utama bagi mewujudkan apa yang Allah kehendaki di muka bumi ini. Semua umat Islam perlu bersatu untuk melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan.
Al-Allamah As-Syaikh Al-Karamy Al-Hambali dalam kitabnya Al-Kawakib ad-Darary yang disusun kasus mengenai manaqib (pujian terhadap jasa-jasa) Ibnu Taimiyah, berkata: “Banyak sekali imam-imam Islam yang memberikan pujian kepada (Ibnu Taimiyah) ini. Di antaranya: Al-Hafizh Al-Mizzy, Ibnu Daqiq Al-Ied, Abu Hayyan An-Nahwy, Al-Hafizh Ibnu Sayyid An-Nas, Al-Hafizh Az-Zamlakany, Al-Hafidh Adz-Dzahabi dan para imam dan ulama lain.”
Al-Qadhi Abu Al-Fath bin Daqiq Al-Ied mengatakan: “Setelah aku berkumpul dengannya, kulihat beliau adalah seseorang yang semua ilmu ada di depan matanya, bila-bila saja beliau menginginkannya, beliau hanya tinggal mengambilnya, terserah kepada beliau. Dan aku pernah berkata kepadanya: “Aku tidak pernah menyangka akan tercipta manusia seperti kamu.”
Al-Qadli Ibnu Al-Hariry berkata: “Kalau Ibnu Taimiyah bukan Syeikhul Islam, jadi siapa dia ini?” Syaikh Ahli nahwu, Abu Hayyan An-Nahwi, setelah beliau berkumpul dengan Ibnu Taimiyah, berkata: “Belum pernah sepasang mataku melihat orang seperti dia…” Kemudian melalui bait-bait syairnya, beliau banyak memberikan pujian kepadanya.
Penguasaan Ibnu Taimiyah dalam beberapa ilmu begitu sempurna, yakni dalam tafsir, akidah, hadis, fiqh, bahasa Arab dan pelbagai cabang ilmu pengetahuan Islam lainnya, hingga beliau melampaui kemampuan para ulama zamannya. Al-‘Allamah Kamaluddin bin Az-Zamlakany (m. 727 H) pernah berkata: “Apabila dia ditanya tentang suatu bidang ilmu, maka siapa pun yang mendengar atau melihat (jawapannya) akan menyangka bahawa dia seolah-olah hanya membidangi ilmu itu, orang pun akan yakin bahawa tidak ada seorang pun yang dapat menandinginya”.
Para fuqaha dari pelbagai kalangan, jika duduk bersamanya pasti mereka akan mengambil pelajaran bermanfaat bagi kelengkapan mazhab-mazhab mereka yang sebelum ini tidak pernah mereka diketahui.
Imam Adz-Dzahabi rahimahullah (m. 748 H) juga berkata: “Dia adalah lambang kecerdasan dan kecepatan memahami, paling hebat pemahamannya terhadap al-Kitab as-Sunnah serta perbezaan pendapat, dan lautan dalil naqli. Pada zamannya, beliau adalah satu-satunya, baik dalam hal ilmu, zuhud, keberanian, kemurahan, amar makruf, nahi mungkar, dan banyaknya buku yang disusun dan begitu menguasai hadis dan fiqh.”
Demi menggambarkan kehebatan Ibnu Taimiyah, maka Adz-Dzahabi berkata: “Setiap hadis yang tidak diketahui olehIbnu Taimiyah, maka itu bukanlah hadis.”
Maraknya api fitnah yang ditiupkan kaum munafiqin yang mengakibatkan beliau mengalami tekanan hebat di dalam pelbagai penjara, dihadapinya dengan tabah, tenang dan gembira. Terakhir, beliau dimasukkan ke penjara Qal`ah di Damsyik. Dan beliau berkata: “Sesungguhnya aku menunggu saat seperti ini, kerana di dalamnya terdapat kebaikan yang besar.”
Di dalam syairnya yang terkenal, beliau juga berkata:
Apakah yang diperbuat musuh padaku
Aku, taman dan dikebunku ada di dalam dadaku
Ke manapun ku pergi, ia selalu bersamaku
dan tiada pernah tinggalkan aku.
Aku, terpenjaraku adalah khalwat
Kematianku adalah mati syahid
Terusirku dari negeriku adalah rekreasi.
Beliau pernah berkata dalam penjara: “Orang dipenjara ialah orang yang terpenjara hatinya dari Rabbnya, orang yang tertawan ialah orang yang ditawan orang oleh hawa nafsunya.”
Ternyata penjara baginya tidak menghalangi kejernihan fitrah islahiyahnya, tidak menghalanginya untuk berdakwah dan menulis buku-buku tentang akidah, tafsir dan kitab-kitab bantahan terhadap ahli-ahli bidaah.
Pengagum-pengagum beliau di luar penjara semakin banyak. Sementara di dalam penjara, banyak penghuninya yang menjadi murid beliau, diajarkannya oleh beliau agar mereka iltizam kepada syariat Allah, selalu beristighfar, tasbih, berdoa dan melakukan amalan-amalan sahih. Sehingga suasana penjara menjadi ramai dengan suasana beribadah kepada Allah. Bahkan dikisahkan banyak penghuni penjara yang sudah mendapat hak bebas, ingin tetap tinggal di penjara bersamanya. Akhirnya, penjara menjadi penuh dengan orang-orang yang mengaji.
Tetapi kenyataan ini menjadikan musuh-musuh beliau dari kalangan munafiqin serta ahlul bidaah semakin dengki dan marah. Maka mereka terus berupaya agar penguasa memindahkan beliau dari satu penjara ke penjara yang lain. Tetapi inipun menjadikan beliau semakin terkenal. Pada akhirnya mereka menuntut kepada pemerintah agar beliau dibunuh, tetapi pemerintah tidak mendengar tuntutan mereka. Pemerintah hanya mengeluarkan surat keputusan untuk merampas semua peralatan tulis, tinta dan kertas-kertas dari tangan Ibnu Taimiyah.
Namun beliau tetap berusaha menulis di tempat-tempat tersembunyi dengan menggunakan arang. Beliau menulis surat-surat dan buku-buku dengan arang kepada sahabat dan murid-muridnya. Semua itu menunjukkan betapa hebatnya dugaan yang dihadapi, hingga kebebasan berfikir dan menulis pun dibatasi. Ini sekali gus menunjukkan betapa sabar dan tabahnya beliau.
Beliau berada di penjara ini selama dua tahun tiga bulan dan beberapa hari, mengalami sakit dua puluh hari lebih. Selama dalam penjara beliau selalu beribadah, berdzikir, tahajjud dan membaca al-Quran. Dikisahkan, dalam tiap harinya ia baca tiga juz. Selama itu pula beliau sempat menghatamkan Al-Qur`an lapan puluh atau lapan puluh satu kali.
Perlu dicatat bahwa selama beliau dalam penjara, tidak pernah mau menerima pemberian apa pun dari penguasa.
Jenazah beliau dishalatkan di masjid Jamik Bani Umaiyah sesudah solat Zuhur. Semua penduduk Damsyik (yang mampu) hadir untuk menyembahyangkan jenazahnya, termasuk para umarak, ulama, tentera dan sebagainya, hingga kota Damsyik menjadi sesak. Bahkan semua penduduk Damsyik: tua, muda, lelaki, perempuan, kanak-kanak keluar untuk menghormati kepergian beliau.
Beliau meninggal dunia pada 20 Zulhijjah 728 H, dan disemasikankan pada waktu Asar di sisi pusara saudaranya, Syaikh Jamal Al-Islam Syarafuddin.
Catatan: Ibnu Fattah
Recent Comments