Beberapa hari lalu (tepatnya, 15 Oktober 2024) heboh seantero tanah air penyertaan adik kepada Presiden UMNO Malaysia menyertai PAS Bahagian Bagan Datuk, Perak. Setelah sekandang, PAS seperti bertempik-sorak gembira kerana penyertaan tersebut sedangkan mereka terlupa, dalam sejarah Malaysia, tidak bermakna adik beradik tidak boleh ada perbezaan pandangan dan pendirian politik.
Soal perbezaan pendirian politik dan penyertaan dalam parti politik bukanlah perkara yang mengejutkan, ia suatu kelaziman kerana dua beradik kembar sekalipun mempunyai sikap dan tingkah politik yang sangat berbeza.
Mereka lupa, Khalid Samad berbeza pendirian politik dengan abangnya Tan Sri Shahril Samad. Mereka juga lupa, Sharifudin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri dan bekas Setiausaha Agung PKR) berbeza pendirian politik dengan abangnya, Shahlan Ismail (bekas Setiausaha Politik PM ke-6), bekas calon BN pada PRU ke-13 (2013) bagi Parlimen Pokok Sena, Kedah dan berjaya tewaskan oleh Datuk Mahfuz Omar daripada PAS dengan majoriti 3,935 undi.
Jadi persoalan pendirian politik adalah hak seseorang. Ia tidak bermakna jika keluarganya adalah penyokong atau pendokong parti A, maka ‘diharamkan’ salah seorangnya menyertai parti B. Zahid Hamidi (Datuk Seri), Ketua UMNO Bagan Datuk dan Presiden UMNO Malaysia tidak boleh memaksa adiknya, Abdul Hakim Hamidi (Datuk) untuk terus kekal bersama UMNO. Abdul Hakim mempunyai hak untuk menentukan ke manakah arah politiknya sendiri.
Menurut laporan, Abdul Hakim merupakan seorang kontraktor telah menyerahkan borang penyertaan keahlian PAS dan diterima sebagai ahli seumur hidup. Borang itu diserahkan kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur. Penyertaan tersebut diumumkan oleh Yang di Pertua PAS Bagan Datuk, Mohd Misbahul Munir Masduki (Datuk, yang juga MP Parit Buntar). Peristiwa itu disiarkan di laman facebook PAS Parit Buntar.
Setelah Abdul Hakim diterima menjadi ahli, Mohd Misbahul berkata: Hari ini dalam sejarah. Adik Presiden UMNO, Zahid Hamidi telah menyertai PAS secara rasmi, Alhamdulillah”. Abdul Hakim pernah membuat keputusan kontroversi pada tahun 2016, dengan mengumumkan bahawa syarikatnya tidak lagi berurusan dengn kerajaan.
Ketika itu, abangnya, Zahid Hamidi adalah Timbalan Perdana Menteri (kabinet terakhir Najib Razak sebelum PRU ke-14). Zahid dilantik bagi menggantikan Muhyiddin Yassin (Tan Sri) dalam penyusunan semula kabinet yang diadakan pada bulan 28 Julai 2015. Perubahan tersebut berlaku setelah Perdana Menteri berhadapan dengan kritikan terbuka oleh Muhyiddin dan Shafie Afdal berkenaan dengan 1MDB. Muhyiddin kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO sehinggalah dipecat apabila menubuhkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM, yang lebih dikenali dengan singkatan Bersatu), bersama Tun Dr Mahathir Muhammad (diluluskan pendaftaran pada 14 Januari 2017).
Tidak pula pemimpin membuat komen “hari ini dalam sejarah” apabila sekumpulan pemimpin PAS mengambil inisiatif menubuhkan sebuah parti baharu, Parti Amanah Nasional (Amanah) setelah Mohamad Sabu, Mahfuz Omar, Khalid Samad, Dr Hatta Ramli, Mujahid Yusuf Rawa, Salahudin Ayub, Husam Musa, Dr Zulkefly Ahmad, Hanipa Maidin dan Dr Siti Mariah Mahmud tewas dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS di Muktamar PAS ke-61 di Kuala Selangor (4 Jun 2015). Mereka kalah kerana PAS sedang dilamun imaginasi untuk menegakkan semula kepimpinan ulama dalam parti setelah menerima cabaran getir daripada kumpulan ‘profesional’ (tidak berpendidikan agama). Kemuncaknya ialah krisis PAS di Kedah, dan kemudiannya membawa kepada kejatuhan Pakatan Harapan di Kedah pada PRU ke-13. (Mohd Sayuti Omar, Inside Story: Kejatuhan Kerajaan PAS di Kedah, Kuala Lumpur: Tinta Merah, 2014).
Menariknya lagi, Misbahul berkata: Semoga dengan penyertaan beliau dapat mengukuhkan lagi hubungan pemimpin UMNO yang cintakan perpaduan yang berlandaskan Islam’, kerana ramai yang tahu, model perpaduan sebagaimana dianjurkan oleh Islam hanya hak ekslusif PAS. Mana-mana model perpaduan tidak diiktiraf sebagai model perpaduan yang dikehendaki oleh Islam kerana PAS mendakwa hanyalah mereka sahaja yang ‘mengambil dan berjuang atas kehendak Islam’.
Haji Hadi pernah berkata: “PAS adalah parti Allah’ manakala parti-parti lain adalah parti yang memperjuangkan fahaman sekular atau taghut, termasuk UMNO. Begitu juga undang-undang negara, yang dikaitkan dengan warisan penjajah (kolonial) dan sangat meminggirkan syariat sehingga Malaysia terus dipertahankan sebagai ‘negara sekular’ oleh sekelompok parti politik yang dilihat cukup fobia dengan Islam. Penegasan Malaysia sebagai negara sekular cukup identic dengan DAP, yang pernah menjadi rakan kerjasama politik PAS dalam Pakatan Rakyat (2007-2015).
Bagaimana PAS boleh mendakwa hanya parti mereka sahajalah yang berjuang untuk mempertahankan Islam? Kerana itu, kerajaan perpaduan yang dibentuk menerusi persetujuan pelbagai parti itu sudah dianggap tidak lagi dapat menyelamatkan Islam? Moto yang mereka ingin tegakkan selepas PRU ke-15 ialah hanya PN sahaja yang mampu menyelamat dan mempertahankan Melayu-Islam, kerana semua 74 kerusi yang dimenangi oleh PN adalah Bumiputera Islam, sedangkan dalam kerajaan perpaduan, ia disertai oleh pelbagai pemimpin politik, Bumiputera Islam dan Bumiputera bukan Islam.
UMNO ditubuhkan dengan mengambil semangat nasionalisma Melayu, manakala PAS mengambil pendekatan Islamisme. Pendekatan Islamisme, selain menggunakan ideologi Islam, PAS yang terpengaruh dengan pelbagai isu politik yang berkembang di Timur Tengah akhirnya membina mitos ‘sebagai Parti Allah’ walhal sebenarnya sebelum kejatuhan Empayar Utsmaniah (1924), tidak muncul parti-parti politik dalam Islam.
Kemunculan parti-parti juga merupakan warisan peradaban sekular, yang dalam sejarah Islam bermula di akhir period Empayar Uthmaniyyah apabila proses pembaratan semakin berkembang. (Mohamad Shaukhi Mohd Radzi, Proses Pembaratan Dalam Daulah Utsmaniah 1789-1876, Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah, 2016; dan Andrew Mango, Turki: Dari Sultan Hingga Atartuk, terjemahan Alina Abdullah, Kuala Lumpur: IBDE Ilham Sdn, Bhd., edisi kemaskini, 2024).
Sebagai kerangka politik Islam, PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951 berhasrat untuk mencorakkan pentadbiran negara ini menjadi sebuah negara Islam, tetapi sayangnya bentuk negara Islam yang hendak dibangunkan oleh PAS ternyata cukup abstrak dan tidak mempunyai kerangka yang jelas. Ini dapat dilihat daripada dokumen Negara Islam yang dkeluarkan oleh PAS pada tahun 2003.
Dokumen itu dibuat tanpa membabitkan pemikiran yang mendalam, dan juga menepati prasyarat bagaimana sesebuah negara itu dapat menjalani proses kenegaraan (mekanisme) kerana ia cukup ringkas dan hanya mengandungi konsepnya yang dilihat cukup abstrak. Apa ditegaskan ialah mencontohi apa yang berjaya dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW dalam tempoh 10 tahun menjadikan Madinah sebagai sebuah ‘chiefdom’ yang berjiwa Islam.
Dalam konteks kenegaraan sebagaimana difahami dalam politik moden, Madinah bukanlah sebagai sebuah model negara Islam, tetapi ciri-ciri kemuafakatan penduduk pelbagai agama, kabilah bersatu di bawah peraturan Islam. Ia diikat dalam Piagam Madinah, dan dalam masa yang sama, tidak muncul menghina, mengecam dan membuli bukan Islam. Ia tidak berlaku dalam corak pemikiran politik PAS, di mana kerjasama dengan bukan Islam dilabelkan hubungan yang membawa kepada ‘kufur’ manakala melantik bukan Islam sebagai pembantu adalah ‘kafir’.
Ia bermula sekitar tahun 1960-an dan seterusnya berkembang menjadi sebuah doktrin politik yang diindoktrinasikan dalam pemikiran masyarakat menerusi Amanat Haji Hadi (1982), yang mungkin reaksi atau tercabarnya emosi Haji Hadi Awang apabila Anwar Ibarhim memilih menyertai UMNO. Ramai yang mengharapkan Anwar Ibrahim akan menyertai PAS. Akibat kecewa dengan keputusan Anwar, Mohamad Sabu menyertai PAS. Ini kerana perjuangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dilhat menggunakan kerangka Islam, maka sewajarnya aktivisnya ikut bersama-sama PAS. Hal itu tidak berlaku sebagaimana diharapkan, kerana ramai juga aktivis ABIM menyertai UMNO dan kekal berkecuali.
Juga ada pandangan bahawa dokumen itu tidak lebih dan tidak kurang, menceduk pemikiran Dr Harun Din (juga seorang pemimpin PAS) yang terkandung dalam bukunya, Manusia dan Islam (1990), dan dicantum dengan beberapa karangan lain yang diterbitkan oleh ABIM dan JAKIM. Ia masih banyak menggunakan jargon Islam. (Malaysiakini, 10 Disember 2003).
Datuk Abdul Hakim menamakan dirinya sebagai ‘penganalisis politik PAS’ menjelaskan dengan menyertai PAS bermakna: “… suatu warisan yang saya ambil daripada bapa saya, Hamidi Bin Abdul Fatah. Beliau bukan sekadar seorang guru agama di Maahad Ulum Bagan Datuk, tetapi juga seorang aktivis PAS yang berdedikasi, yang berdakwah dan memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Bapa saya turut terlibat dalam mesyuarat Pemuda PAS Malaysia di Bagan Datuk, tempat mesyuarat kedua selepas PAS ditubuhkan”.
Namun, tulis adik Presiden UMNO itu lagi: “…ketika abang saya menyertai UMNO, bapa saya memilih untuk bersama UMNO juga. Pada masa itu, bapa saya melihat UMNO sebagai parti Melayu yang masih komited dalam menjaga agama Islam. Walau begitu, hatinya masih bersama perjuangan PAS, terbukti dengan langganan akhbar Harakah yang tetap dipegangnya untuk mendapatkan berita alternatif.”
Abdul Hakim mengakui, beliau “terlibat secara langsung membantu abang saya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di Bagan Datuk, Perak. Selama bertahun-tahun, saya meluangkan masa dan tenaga untuk menyantuni penduduk Bagan Datuk, membantu menyelesaikan pelbagai urusan masyarakat, menyampaikan bantuan, dan menghadiri pelbagai majlis – baik perkahwinan, bencana, majlis kesyukuran, kematian, mahupun aktiviti-aktiviti setempat.
“Kehadiran saya di majlis-majlis tersebut bukan sekadar sebagai individu, tetapi penduduk kampung sering melihat saya sebagai wakil keluarga Hamidi. Ini menimbulkan kebanggaan buat penduduk Bagan Datuk, kerana mereka merasa dekat dengan keluarga Timbalan Perdana Menteri. Walaupun kini saya memilih jalan politik yang berbeza, hubungan persaudaraan saya dengan abang dan keluarga tetap utuh. Parti boleh berbeza, tetapi tali silaturahim tidak akan terputus.” Petikan penuh perihal Abdul Hakim memilih menyertai PAS dapat dibaca dalam https://www.facebook.com/azmyawang.kelanajaya.1
Secara jelas, walaupun Abdul Hakim mengambil keputusan menyertai PAS, menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Puad Jarkasi, tidak akan menjadikan parti itu “berkudis”, kerana kedudukannya tidaklah begitu menyerlah dalam UMNO Bahagian Bagan Datuk, juga dalam kepimpinan politik UMNO Malaysia.
Ia berbeza dengan penyertaan Tan Sri Muhamad Mohd Taib ke dalam PAS setelah kedudukan politiknya bersama UMNO terumbang-ambing. Sebabnya, Mohd Taib, bekas MB Selangor itu mempunyai ramai pengikutnya, terutama dalam kalangan penyokong UMNO Hulu Selangor dan juga Kelana Jaya serta negeri Selangor amnya.
Setelah menyertai PAS selama hampir dua tahun (2013-2015), dan seterusnya menyertai PKR (2015-2017), beliau kembali ke pangkuan UMNO. Kesannya adalah lebih besar berbanding penyertaan Abdul Hakim dalam PAS.
Ekoran penyertaan semula ke pangkuan UMNO (sejak 2017), bekas MB Selangor turut membawa pengikut setianya. Namun yang dapat kita pastikan, pertapakan PAS di Hulu Selangor menjadi sedikit kuat ketika itu, tetapi sayangnya, dalam PRK Kuala Kubu Baharu, calon PAS tidak bertanding atas persetujuan untuk mengekalkan kawasan itu kepada Bersatu.
Pada PRU ke-15 (2022), PAS menguasai Parlimen Hulu Selangor, melalui calonnya, Mohd Hasnizan Harun dengan majoriti 1,562 undi. Sejak dipertandingkan (1955), ia dimenangi oleh Perikatan dan Barisan Nasional, dan pada PRU ke-12 (2008) dimenangi oleh calon PKR, Zainal Abidin Ahmad. Setelah itu, P Kamalanathan daripada MIC memenanginya dalam PRK Hulu Selangor (25 April 2010) dan kekal sebagai penyandang dalam PRU ke-13 (2013).
Pada PRU ke-14 (2018), kemenangan berpihak kepada calon PKR (PH), iaitu June Low Hsiad Hui sebelum dirampas oleh PAS pada PRU ke-15. Ini bermakna, ia mungkin sedikit sebanyak menambahkan kekuatan kepada PAS Hulu Selangor apabila bekas MB Selangor menyertainya antara tahun 2013-2015, walaupun beliau keluar daripada PAS lebih awal lagi (2015).
Pada PRN lalu, PN menguasai dua DUN dalam Parlimen Hulu Selangor, iaitu Batang Kali (Bersatu) dan Hulu Bernam (PAS). DUN Batang Kali mula dipertandingkan pada PRU ke-4 (1974) dan sehingga PRU ke-13, dikuasai oleh BN. Pada PRU ke-14, ia dimenangi oleh calon Bersatu (PH), Harumaini Omar, yang kemudiannya menyertai Pejuang (2020) selepas perpecahan berlaku dalam Bersatu, kerana beliau dilihat sebagai penyokong Dr Mahathir. PRN lalu (2023), kerusi Batang Kali dimenangi oleh calon Bersatu, Muhaimin Harith.
Menurut rekod, sejak DUN Hulu Bernam dipertandingkan (1955) hinggalah ke PRU ke-14, ia dimenangi oleh calon BN (sebelumnya Perikatan). PAS memenangi buat kali pertama pada PRN (2023) melalui Mui’izzuddeen Mahyuddin. BN mempunyai rekod pencapaian terbesar, iaitu sebanyak 15 kali (termasuk PRU 1955 dan 14 kali sejak PRU I pada tahun 1959 hingga PRU ke-14). Persoalannya, apakah PAS akan terus kekal di Hulu Bernam dan Parlimen Hulu Selangor, serta Bersatu di Batang Kali pada PRU ke-16?
Menurut jangkaan awal, PN secara organiknya akan mengalami kemerosotan pengaruh akibat masalah kepimpinan parti Bersatu. PAS dijangka kekal menguasai DUN Hulu Bernam, tetapi agak sukar mempertahankan Parlimen Hulu Selangor. Banyak faktor yang dapat diselami, kerana sejak kemenangan tersebut, tidak banyak perubahan berlaku di Hulu Selangor, dan jika ada pembangunan ia dilaksanakan oleh pentadbiran Selangor (PH) dan kepimpinan pusat (kerajaan perpaduan, atau kerajaan madani).
DUN Hulu Bernam menjadi semakin majmuk apabila ia muncul sebagai kawasan industri dengan terbinanya kilang pemasangan kereta Perodua di Sungai Choh, Rawang dan kilang pemasangan kereta Tan Chong di Serendah. Ini bermakna, komposisi kaum di sekitar Hulu Bernam (termasuk Bukit Beruntung) akan terus berubah.
Disebabkan kedudukan Hulu Selangor cukup dekat Kuala Lumpur, ramai yang mahukan kemajuan yang dikecapi oleh pusat ekonomi negara itu melimpah ke Hulu Selangor, terutama di Hulu Bernam (Bukit Beruntung) dan Rawang. Namun, tumpuannya mula kelihatan di sekitar Rawang dan Hulu Bernam (sebahagian daripada kawasan Majlis Daerah Hulu Selangor). Dari segi konsteunsi, pada masa hadapan, adalah sukar untuk PAS mempertahankan kerusi tersebut apabila demografi pengundi menjadi semakin rencam.
Jika Abdul Hakim merasa kecewa dengan perubahan yang berlaku dalam UMNO, ia bukanlah sesuatu yang menakutkan kerana UMNO terpaksa mencari jalan untuk survivalnya, kalaupun tidak mampu mengumpulkan kekuatannya semula sebagaimana berlaku sebelum hilang kuasa pada tahun 2018.
Secara umumnya, UMNO mengakui kelemahannya, yang semakin hilang pengaruhnya dalam kalangan orang Melayu, tetapi itu tidak bermakna parti itu perlu kekal kepada retorik ‘ketuanan Melayu’ yang pernah menjadi asas perjuangannya sejak ditubuhkan pada tahun 1946. Jika selepas merdeka, UMNO mendapat sambutan dan dokongan orang Melayu sehingga menjadikannya sebagai tulang belakang pentadbiran negara selama enam dekad, perkembangan semasa memperlihatkan orang Melayu sendiri semakin ‘hanyut’ dalam persepsi politiknya, yang bercampur antara liberal dan nasionalisme Melayu.
Sebenarnya itulah persimpangan yang terjadi, kerana UMNO mula memberikan perhatian kepada keperluan material, dan kurang meneriakkan “Hidup Melayu” kecuali ketika berada pada situasi getir dan mencabar. Ada kelemahan dalam kepimpinan politik sejak UMNO (Baharu) ditubuhkan (1988), kerana budaya korporat semakin menjadi asas perjuangan para pemimpinnya. Hal inilah yang akhirnya membawa kepada keruntuhan kuasa UMNO sebagai sebuah parti yang terkuat di Malaysia. (Firdaus Zainal, Kejatuhan Kuasa Politik Melayu: Bagaimana Orang Melayu Hilang Kuasa, Nilai, Negeri Sembilan: Ilham Books, 2024).
Untuk itu, saya petik apa yang ditulis oleh Firdaus Zainal di halaman 163-164:
“Pada PRU tahun 2008, UMNO-BN buat pertama kalinya sejak pilihan raya umum 1969 tidak mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen dan kalah di beberapa buah negeri [Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah]. Pada waktu itu, orang Melayu diasak dengan pemikiran politik baharu yang menuntut reformasi institusi dilakukan.
“Orang Melayu ditawarkan satu alternatif kepada kerajaan UMNO-BN iaitu Pakatan Rakyat yang membawa gagasan baharu dalam politik Malaysia. Trend ini kemudian dikekalkan dan semakin diperkuatkan dalam pentadbiran Najib Razak selepas itu. Majoriti orang Melayu dipengaruhi dengan dakyah bahawa UMNO tidak lagi relevan dan Najib bukanlah pemimpin Melayu yang sebenarnya.”
Jelas Firdaus Zainal lagi: “Pasca PRU 15 di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan [Tun Dr Mahathir], orang Melayu mula merasakan bahawa ‘mereka tersalah undi’ pemimpin yang mereka rasakan dapat memperjuangkan nasib Melayu. Orang Melayu menjadi terpecah-pecah kepada beberapa parti.
“Perkembangan politik mutakhir ini menunjukkan tahap ketidakpuasan hati orang Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan berikutan dengan pelbagai masalah yang lebih teruk berbanding pentadbiran Najib Razak sebelum ini. Misalnya, dalam hal penurunan kadar mata wang negara, penarikan subsidi dan sebagainya.”
Persoalannya, apakah kesannya dengan penyertaan Abdul Hakim ke dalam PAS terhadap UMNO? Jawabnya sudah jelas, kata Puad Jarkasi, tidak akan mengakibat ‘berkudis’ dan ramai yang berpandangan, ia hanya menambahkan gimmick bahawa PAS semakin mendapat sokongan bekas ahli UMNO. Memang benar, ada beberapa kerat ahli UMNO menyertai PAS, seperti Annuar Musa (Tan Sri), tapi penyertaannya setelah tidak lagi mendapat tempat dalam UMNO.
Khairy Jamaludin (bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan Menteri Belia dan Sukan), Shahril Hamdan (bekas Ketua Penerangan UMNO dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO), tidak mengambil pendirian menyertai mana-mana parti setelah keahliannya digantung atau dipecat. Shahril dan KJ menjadi anchor dalam podcast Keluar Sekejap. Mereka yang digugurkan keahlian menyertai UMNO menyertai PAS ialah Shahidan Kassim (Tan Sri Dr) dan Ismail Muttalib (Datuk Seri Dr), dan pada PRU ke-15, mengekalkan kedudukan sebagai penyandang di konstiteunsi masing-masing atas tiket PN.
Walaupun Shahidan sedikit sebanyak memberikan ruang kemenangan PAS buat pertama kali di Perlis, mengubah lanskap politik di negeri tersebut, secara umumnya, UMNO masih belum dilihat berakhir, biarpun dominasi kuasanya sudah berakhir. UMNO masih menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, berbanding dengan PN yang semakin terkial-kial untuk menyatakan bahawa merekalah yang paling layak memerintah.
Muhyiddin sebenarnya sedang berhadapan dengan kes mahkamah, Hamzah Zainudin, Wan Saiful Wan Jan dan ikut bersama berada dalam kluster mahkamah ialah MB Perlis (PAS) manakala Haji Hadi masih ada keputusan sama ada bersalah atau tidak dengan dakwaan terhadap DAP (dakwaan melampau, bayaran berjumlah RM 1.4 juta kepada pemilik Sarawak Report dan sebagainya).
Khabarnya, menantu Haji Hadi, Mohd Syafeeq Mohd Shukri (anak MB Perlis) masih belum ada keputusan mengenai dakwaan tuntutan palsu. Menantu Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, iaitu Mohamad Basri Ibrahim bersabit penyelewengan derma belum selesai. Ertinya, PAS tidak lagi boleh mendakwa partinya ‘sifar rasuah, salah guna kuasa” dan ada kaitan dengan penggubahan wang haram.
Kesemua salah laku itu memberikan imej buat PAS dan Bersatu. Kalau sebelumnya, UMNO/BN didakwa kleptokrasi, maka dakwaan itu sedang menjadi ‘kudis’ dalam PN, yang memungkinkan gabungan tersebut tidak mampu melonjak sebagai gabungan yang berjaya, atau alternatif kepada kerajaan perpaduan.
Setakat ini, PN memiliki 74 kerusi Parlimen, masih jauh untuk sampai kepada majoriti mudah (122 kerusi Dewan Rakyat). Dengan mengharapkan Gerakan untuk membantu menarik sokongan pengundi bukan Melayu, parti dilihat tidak cukup kuat, malah semakin lesu, belum pulih daripada sakit yang dideritainya sejak PRU ke-12 (2008).
Kerajaan perpaduan, walaupun pada awal pembentukannya dihentam kiri dan kanan, dipersoalkan kesahihan pembentukannya, digelintar dengan dakwaan dan tohmahan, akhirnya semakin boleh diterima sebagai wadah perjuang politik masyarakat majmuk di Malaysia, selepas model perkongsian kuasa BN melemah.
Di atas kesungguhan barisan kabinet kerajaan perpaduan, hubungan kerjasama politik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak semakin diyakini manakala pemulihan ekonomi sudah menunjukkan tanda yang menggalakkan. Prestasi mata wang semakin mengukuh manakala kemasukan pelaburan asing (bidang teknologi tinggi) telah diakui adalah lebih baik daripada Thailand dan Indonesia.
Sebagai bukti, saya petik laporan daripada Reuters, yang disiarkan oleh Malay Mail, 22 Ogos 2024 dengan tajuk “Suddenly, Malaysia turns investment safe haven as Thailand, Indonesia in political flux’:
“Malaysia is fast becoming a haven in Southeast Asia and foreign investors are reuturning to a long-overlooked market as a confluence of improving growth, stable government and rising currency sets it part among peers grappling with political flux.”
Maknanya, kestabilan politik semakin berjaya dibina walaupun kerajaan perpaduan berhadapan dengan pelbagai kepayahan dalam tempoh tahun pertama penguasaannya. Pertengahan tahun kedua, Malaysia telah menunjukkan proses pemulihan ekonomi sedang bergerak dalam landasan yang betul, dan dengan sendirinya menafikan andaian bahawa PMX tidak mampu melaksanakannya. Itulah sebenarnya yang diharapkan oleh Yang di Pertua Agung apabila mencadangan penubuhan kerajaan perpaduan selepas keputusan PRU ke-14 tiada mana-mana gabungan politik yang melepasi majoriti mudah.
Mitos yang dicipta oleh Muhyiddin sebagai PM terbaik yang berkuasa selama 17 bulan bukan terpadam dengan sendirinya, kerana setiap rakyat Malaysia terus mengingat kisah sedih mereka semasa ‘dikurung’ selama hampir dua tahun oleh PKP dan perintah darurat, Muhyiddin jatuh kerana karma politiknya, dijatuhkan oleh UMNO selepas berjaya membentuk kerjasama menubuhkan kerajaan melalui Langkah Sheraton.
UMNO mengambil keputusan ‘tidak lagi menyokong Muhyiddin’ atas beberapa sebab, termasuk sikap Muhyiddin terhadap UMNO itu sendiri. Seboleh-bolehnya, UMNO/BN yang membantu mencukupkan majoriti mudah tidak diberikan layanan yang diharapkan oleh Muhyiddin sama ada dalam penyusunan kabinet dan juga perkara-perkara lain. Muhyiddin seboleh-bolehnya mahu melumpuhkan UMNO.
Dengan lumpuhnya UMNO, Bersatu akan menjadi parti yang kuat, dan mendapat sokongan besar daripada orang Melayu. Tetapi, Muhyiddin tidak sedar, bukan semua orang Melayu (penyokong UMNO) bersedia melakukannya, kerana kepimpinan Bersatu terdiri daripada ‘katak politik’ dan itulah akhirnya Bersatu menjadi semakin kerdil apabila enam wakil rakyatnya menyatakan sokongan kepada PM X.
Muhyiddin terkapai-kapai, dan lebih meroyan apabila keputusan Yang di Pertua Dewan Rakyat tidak membuat keputusan sebagaimana diharapkan, kesemua enam kerusi itu dikosongkan kerana telah gugur keahlian dalam Bersatu.
Jadi, penyertaan Datuk Abdul Hakim Hamidi, adik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak ada isu, penyertaannya ke dalam PAS tidak menjejaskan kekuatan UMNO sebagaimanya pengaruh UMNO pernah terjejas apabila ‘katak-katak politik’ menyertai Bersatu selepas PRU ke-14 (2018).
MONOSIN SOBRI
Recent Comments