TIDAK dapat dinafikan perselisihan dan perbezaan pendapat mengenai pemahaman keagamaan telah mengakibatkan munculnya puak-puak dan konflik sosioagama dalam masyarakat Islam. Justeru itu pada pandangan penulis ajakan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin untuk berdebat dengan Menteri Agama Dato Dr Mohd Na’im Mokhtar dua tiga hari yang lepas seharusnya tidak berlaku demi kesejahteraan umat Islam dinegara ini. Ini adalah untuk mengelak timbulnya fitnah dan mudarat kepada orang awam khususnya. Tuduhan yang agak jauh melencong dimana dikatakan Menteri Agama ingin membawa Malaysia kezaman Ibn Tumart dengan menjadikan tafsiran Islam yang bersifat sektarian menguasai pentadbiran Negara moden ini. Tuduhan melulu ini tidak harus lahir dari mulut seorang tokoh agama yang dihormati dalam masyarakat.
Ini akhirnya menjadi tidak terkawal, sehingga mudah saja seseorang memberikan pendapat dalam masalah keagamaan tanpa sokongan disiplin ilmu agama sebagai prasyarat dalam berijtihad. Keadaan ini juga menyebabkan perbalahan yang berpanjangan antara kelompok tertentu yang sememangnya berbeza pemahaman keagamaan.
Hakikatnya majoriti penduduk Islam di negara ini telah menjadi menjadi saksi kemunculan puak Islam yang mengisytiharkan diri mereka sebagai Wahabi, IS, ajaran Azhar, Hizbut Tahrir, Mazhab Shafie tulen, Syiah, dan Ahmadiah yang masing berbeza dari segi pemahaman agama.
Jika debat ini menjadi realiti ia merupakan suatu tindakan yang boleh mengharu-birukan pemikiran masyarakat umum di Malaysia. Sepatutnya isu yang hendak di debatkan itu di selesaikan berasaskan kepada hubungan silaturahim antara kedua mereka. Janganlah perkara-perkara ranting yang sekadar melibatkan sikap dan pandangan peribadi atau kelompok tertentu dalam hal-hal keagamaan di jadikan isu yang melibatkan masyarakat umum sampai boleh memecahkan perpaduan umat islam dalam negara ini.
Ini menambah lagi masalah besar kepada negara sedangkan hakikatnya kita sedang berhadapan masalah yang lebih besar dan utama seperti soal perpaduan, pengukuhan politik Melayu-Islam dan kemunduran ekonomi umat Islam.
Dalam masa sama, negara juga berdepan situasi jenayah yang kian hari membimbangkan. Aktiviti seperti penyalahgunaan dadah, penculikan, gengsterisme, kongsi gelap, pelacuran, rempit, rogol dan bunuh menjadi suatu yang semakin menghimpit keamanan negara. Permasalahan ini juga memerlukan kekuatan benar-benar ampuh dan telus untuk menghadapinya.
Kita lupa dan terus berpolemik di sekitar perdebatan yang tidak bertepi seperti membicarakan isu klasik sekitar masalah khilafiah yang ternyata dari segi sejarah telah menyebabkan berlaku perpecahan ummah. Demikian juga rosaknya peradaban golongan ahli kitab adalah kerana perselisihan dan perpecahan.
Kita tidak harus terpedaya dengan perangkap musuh Islam yang ingin melihat umat Islam terus berpecah-belah kerana masalah furuiyah (masalah ranting) dan oleh sebab itu pula mengabaikan masalah kulliyah (masalah pokok) yang sepatutnya diberi keutamaan oleh umat Islam. Sejarah Islam telah mencatatkan satu daripada punca kemunduran peradaban Islam kerana kelekaan berpolemik tentang masalah furuiyah ini.
Perselisihan (al-Ikhtilaf) termasuk perbuatan yang harus dihindari umat Islam. Sebenarnya tidak perlu diungkapkan data sejarah tentang apa yang muncul pada umat manusia, khususnya golongan Muslim akibat daripada perselisihan dan perbezaan itu. Perselisihan dan perbezaan pendapat lebih banyak membawa kesan negatif daripada positifnya. Apa pun jenis perbezaan dan perselisihan itu tidak baik dan akan menyebabkan terhakis serta hilangnya keupayaan intelektual seseorang.
Ikhtilaf adalah satu anugerah dan rahmat tetapi kini ia berubah menjadi bencana yang besar, sebagaimana terjadi pada kaum ahli Kitab. Kehancuran sesuatu umat dan bangsa kerana hilangnya etika ikhtilaf.
Pada ketika terjadinya ikhtilaf, golongan sahabat sering menggunakan pendekatan takwa bukan emosi. Anehnya mereka yang terlibat dengan polemik ini bukan orang awam tetapi kalangan golongan intelektual yang menduduki tampuk kepimpinan umat.
Berbeza pendapat dalam masalah agama bukanlah ruang atau ladang luas yang diperkenankan untuk semua orang. Perbezaan hendaklah diberikan kepada orang yang mempunyai kebolehan dalam ilmu agama. Perbezaan pendapat antara ahli mujtahid tidak harus terbawa-bawa kepada orang awam atau dimanfaatkan oleh mereka yang ada kepentingan politik. Jika ia sedemikian, perbezaan pendapat sampai kepada orang awam atau maka yang akan muncul ialah perpecahan dan permusuhan.
Ibnu Khaldun berkata: pada mulanya perselisihan antara golongan Islam hanya bidang ilmiah, dan perbezaan tidak lebih dari satu pendapat mengkritik pendapat yang lain, dan urusan mereka berjalan seperti itu.
Tetapi hal itu berubah ketika arus perpecahan meluas dan perbezaan menyentuh masyarakat kerana faktor politik yang menghendaki agar umat tidak berada pada satu pendapat.
Ia juga menjadi propaganda untuk merenggangkan hubungan persaudaraan yang telah diikat dengan tali agama seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu”. (Surah Al-Hujurat: 10)
Jalan yang lebih utama ialah bagaimana untuk menjaga akidah umat Islam dan menyatukan mereka bagi menghadapi penyelewengan akidah seperti aliran-aliran fikiran bebas serta gejala kemungkaran yang bermaharajalela dalam kehidupan harian kita. Inilah yang perlu ditangani bersama terlebih dahulu daripada perkara yang remeh-temeh dan berdebat tanpa hujung pangkal.
Oleh: Mohd Shauki Abd Majid
Recent Comments