DUA KEMENANGAN berturut-turut calon BN (khususnya UMNO) di dua PRK dalam tempoh sebulan mengisyaratkan bahawa PN sedang ‘lumpuh’ kerana budaya politik ‘syok sendiri’ benar-benar menikam diri.

Keputusan PRK DUN Mahkota memperlihatkan betapa kempen politik ‘syok sendiri’ akhirnya meruntuhkan imej PN di mana terpaksa mengaku kalah dengan undi majoriti yang lebih besr kepada calon BN walaupun di saat-saat akhir calon BN cuba diserang hendap dengan kes penahanannya pada tahun 2008. Azmin Ali yang merupakan Pengarah Pilihan Raya PN DUN Mahkota, menafikannya, hanya sekadar melaporkan perkara yang disampaikan kepada gabungan PN untuk pengetahuan umum (pengundi).

Bagaimanapun, Presiden UMNO mengesahkan bahawa Syed Hussein Syed Abdullah terbabit dalam pergaduhan tersebut kerana mempertahankan OKU daripada dibelasah oleh sekumpulan orang ‘samseng’ manakala pihak polis mengesahkan calon BN itu tidak mempunyai rekod jenayah yang boleh didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).

Ini bermakna Syed Hussein yang kematian bapanya (10 September 2024 dalam usia 67 tahun), Syed Abdullah Syed Abdul Hamid empat hari sebelum hari penamaan calon dengan sendirinya memaksa ‘peletup kes’, Che Gu Bard (Badrul Hisham Shaharin) mengakui kesilapannya, walaupun tidak dinyatakan rasa kesal menggunakan ‘serangan hendap’ seperti itu.

Akibatnya, calon PN, Mohd Haizan Jaafar hanya mampu berpuas hati dengan meraih undi sejumlah 7,347, yakni terlalu jauh daripada apa yang diraih oleh calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah, 27,995, hanya sekitar 26,25 peratus. Ia merupakan jumlah majoriti yang lebih besar (20,648) daripada apa yang pernah dimenangi oleh Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain dengan majoriti 5,166 undi pada PRN 2022.

Cuba berbeza ialah pada PRN 2022, calon BN berhadapan dengan saingan empat penjuru – PH, PN, Warisan dan BN- dan pada kali ini, berhadapan langsung dengan calon PN (Bersatu). Seorang jagoan bolasepak akhirnya terpaksa mengaku kalah kerana namanya tidak cukup besar, bahkan ada pengundi bukan Melayu yang kembali pulang mengundi mengatakan dia tidak kenal siapa Mohd Haizan Jaafar, dia hanya kenal Syed Hussein. Ertinya, secara peribadi, Syed Hussein lebih dekat di hati pengundi berbanding ‘coach’ bolasepak itu.

PH-BN sudah menjadi komponen ‘kerajaan perpaduan’ dan tentunya ia secara strukturalnya memperlihatkan suatu kekuatan, kerana lebih mudah berhadapan dengan ‘lawan’ yang dikenali dan pernah berada sekandang pada suatu ketika. Budaya politik mereka tidak banyak berbeza, sebabnya masih ada genetik politik yang sama.

Dengan kekalahan tersebut, Bersatu sekali lagi menerima tamparan hebat walaupun kali ini kelibat kempen daripada sekutu politiknya, PAS tidakah sehebat kempen PRK DUN Nenggiri sehingga Bersatu dipaksa menerima calon bercengkerangkan PAS. Akibat salah percaturan, Bersatu tewas dengan majoriti 3,352 undi dan sistem politik francais benar-benar memakan diri.

Kalau dalam PRK DUN Nenggiri, Presiden Bersatu mempersoalkan kuasa budi bicara yang di Pertuan Agong yang enggan memanggilnya untuk mengangkat sumpah sebagai PM ke-10, sebaliknya memberi peluang kepada Anwar Ibrahim, pada PRK DUN Mahkota, Muhyiddin tidak banyak ‘bermain sihir politik’, termasuk untuk mengaitkannya hubungan genetiknya dengan rakyat Johor.

Ertinya, dengan kekalahan tersebut, Bersatu sebenarnya tidak lagi boleh dikaitkan dengan mana-mana negeri, kerana mitos yang cuba diciptanya sudah berkali kecundang (daripada PRN 2020. PRU ke-15 dan dua PRK sebelumnya – DUN Simpang Jeram dan PRK Pulai). Untuk masa hadapan, Bersatu hanya mungkin tinggal tunggulnya sahaja di Pagoh, itu pun jika Muhyiddin terus menjadi aktor utama Bersatu, setelah dinasihatkan oleh isteri agar tidak berundur dan kekal dalam politik.

Kalau dalam PRK DUN Neggiri, PN hilang pengaruhnya walaupun kekal menggunakan logo dan calon cengkerang PAS, maka dalam PRK DUN Mahkota, semua daerah mengundi gagal dikuasainya. Ini membawa maksud, pembuluh darah politik Bersatu telah benar-benar tersumbat walaupun percubaan melaga-lagakan pengundi Cina sedikit sebanyak mempengaruhi jumlah peratusan keluar mengundi, ia jelas menunjukkan orang Melayu lebih percayakan calon BN.

Darjah kepercayaan itu cukup besar, termasuk dalam kalangan pengundi awal yang mana berpihak kepada BN. BN meraih 3,119 undi manakala Bersatu, 1,088 undi. Jumlah pengundi awal ialah 4,510 anggota tentera dan pasangan, dan 401 anggota polis dan pasangan masing-masing, Mereka mengundi pada 24 September 2024.

Meskipun jumlah keluar mengundi hanya pada tahap 54 peratus (31,275 daripada 66,318, pengundi biasa) tidak sehebat PRK DUN Nenggiri (71.87 peratus daripada 20,259 jumlah pengundi berdaftar), gabungan kerjasama sama yang baik ‘kerajaan Madani’ membolehkan tiga daerah mengundi yang dahulunya dikuasai oleh PN (PRN 2020 dan di peringkat Parlimen pada PRU ke-15) – Kampung Melayu 1, Kampung Melayu II dan Sri Tengah – menyebabkan Muhyiddin sekali lagi termenung mendongak ‘bintang’ apakah pada PRU ke-16, nafas politiknya masih kuat untuk berhadapan dengan tekanan daripada PAS yang semakin menuju ke paksi budaya politik dominasi?

Kalaulah di Johor sahaja Bersatu tidak mampu ‘bernafas lega’, maka di negeri-negeri yang dikuasai oleh PAS – Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis – ia akan dihimpit lebih banyak tekanan daripada sekutunya yang menganggap ‘kura-kura hijau’ yang cekal bergerak walaupun mengambil masa yang lama untuk sampai ke destinasi.

Setelah lama berjuang, hanya berbekalkan kemenangan awal di Kelantan (sejak 1959), tenggelam timbul di Terengganu (PRU 1999, 2018 dan 2022, dan PRN 2023), Kedah (PRU 2008, 2018 dan 2022; PRN 2023), muncul sebagai pemenang pertama kali di Perlis (PRU 2020) dan sedang menggali terowong untuk melumpuhkan PH-BN di Pahang (simbolik mengadakan Muktamar ke-70 di Kerdau, Temerloh, Pahang pertengahan September lalu), dan tersendu besar apabila Nizar Jamaludin dijatuhkan pada bulan Februari 2009, katanya, PAS tidak terhela nafas untuk menjadi lebih dajal daripada dajal, yakni menjadikan wang untuk membeli undi.

Itu kata-kata suci seorang pemimpin, tetapi bukan pada praktisnya. Parti tersebut pernah melakukan ‘politik wang’ untuk membeli undi, contohnya, dua kerusi Parlimen di Terengganu dibatalkan keputusannya dan dilaksanakan semula PRK iaitu Kuala Terengganu (12 Ogos 2023) dan Kemaman (2 Disember 2023).

Bagi PAS, ‘rasuah’ atau ‘membeli undi’ itu dianggap sebagai ‘sedekah’. Ia mengingatkan kita tentang sedekah ‘pakej tajaan haji’ berharga RM 65,000 dan mendapat layanan VVIP yang diterima oleh bekas MB Kelantan (2009): Tahun depan ada orang nak taja ambo (saya) gi Mekah. Siapa nak taja ambo ambik.” (Malaysiakini, 16 November 2009).

Bagaimanapun, Nik Aziz yang sepatutnya bertolak ke Mekah pada 17 November 2009 terpaksa membatalkan hasratnya, kerana kontroversi tersebut. Katanya, Kalau di zaman Nabi dahulu baginda pernah dihalang oleh Quraisy daripada memasuki Kota Mekah, maka kini saya dihalang daripada mengerjakan haji di tanah suci itu oleh Quraisy Malaysia.” (mStaronline, 14 November 2009).

Sebenarnya, siapakah Quraisy Malaysia? Jawapan tepat kita tidak tahu, tetapi disyaki oleh orang yang membuat tafsiran bahawa tajaan tersebut dibuat oleh mereka yang ada kepentingan dengan kedudukan MB Kelantan, yakni kontraktor yang meraih projek.

Itulah isu sebenar, Nik Aziz tidak dihalang mengerjakan haji sekiranya setiap kos yang terbabit dalam proses dan sepanjang mengerjakan ibadat itu adalah ditanggungnya sendiri, bukan daripada kontraktor yang mendapat faedah daripadanya. Itulah yang dilihat sebagai unsur rasuah, salah guna kuasa, bukan sedekah atau tajaan tanpa ada imbalan (balas budi).

Kekalahan Bersatu di DUN Mahkota telah diduga pada peringkat awal lagi kerana ramai penganalisis melihat Bersatu seperti ‘tak rak secetong’ atau tidak mampu jika jentera parti PAS tidak membantu. Hal ini sudah cukup menunjukkan ada hubungan kerjasama yang retak sejak Bersatu menerima pukulan KO di DUN Nenggiri, PAS lebih mendonimasi dan ligat berkempen sedangkan hakikatnya Bersatu yang bertanding. Trauma kritikan tajam tenteang kekalahan dalam PRN masih belum sembuh sepenuhnya, sehingga Bersatu kadangkala dilihat melanggar dinding tanpa sebab yang kukuh.

Kehadiran pemimpin-pemimpin PAS nampaknya tidak memadai untuk menggerakkan penyokong parti itu untuk membantu memenangi calon Bersatu, kerana Bersatu seolah-olah sudah memberikan amaran jangan terlalu ghairah di DUN Mahkota. Biarpun ada seruan-seruan keluar mengundi untuk memenangkan calon Bersatu, seruan PAS nampaknya tidak memadai. Pemimpin-pemimpin masih kuat bermain silat lidah, dan kadangkala dilihat sedikit mencubit telinga pemimpin Bersatu.

Ini kerana beberapa hari sebelumnya, PAS yang bermuktamar di Kerdau, Temerloh selama lima hari (11 hingga 15 September 2024) sibuk memperkatakan masa depan politik mereka termasuk ‘kahwin campur’ dengan bukan Melayu bagi menarik pengundi bukan Melayu menyokongnya. PAS yang kemaruk dengan undi bukan Melayu akhirnya meminda perlembagaan parti dengan menerima bukan Melayu sebagai ahli bersekutu, kecuali dalam kalangan athies.

Kontroversi itu menjadi sesuatu yang cukup ‘menikam’ kerana landasan ‘kahwin campur’ tidak pula mesti mensyaratkan syarat tunggal, mesti beragama Islam. Oleh kerana itu, PAS dilihat semakin menuju kepada liberalisme politik, yang kemudiannya terpaksa diperbetulkan oleh Ucapan Dasar Presiden PAS dengan menyalahkan parti lawan, walaupun tidak menyebut secara jelas mengenai UMNO.

Presiden PAS sedar, jika UMNO disebut secara jelas, kontroversinya akan menjadi lebih serius. Lebih menarik lagi setelah selesai bermuktamar, Presiden PAS ke luar negara, termasuk mengunjungi Iran (katanya atas perihal perjuangan Palestin) dan tular gambar beliau berada dalam Persidangan Majlis Syiah Sedunia. Apa maknanya ini semua? Sebelumnya, beliau sangat lantang mengkritik cadangan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 apabila Ahli Sunnah Waljamaah sebagai ‘agama negara’.

Sayangnya, kunjungan ke Timur Tengah tidak termasuk Arab Saudi. Dan ini sedikit sebanyak menunjukkan Presiden PAS sebenarnya berkemungkinan besar ada masalah dengan kerajaan Arab Saudi. Sebuah kenyataan mengenainya ikut tular di media sosial.

Kata Haji Hadi “Hanya Islam sahaja yang menjadi agama negara”, RUU Mufti itu mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah bersumberkan aliran al-Sya’irah, al-Matudiriyyah dan fiqh Mazhab Shafe dengan meraikan tiga mazhab lain (Hambali, Hanafi dan Maliki).  Ini kerana katanya, dalam Islam terdapat berpuluh mazhab, Tentunya, di Malaysia salah satu mazhab yang dipegang oleh penyokong PAS, ialah mazhab politik PAS yang serba luwes, dengan syarat ia memberikan kuasa kepada parti. Maka, sebab itulah PAS tidak setuju, yang kadangkala disifatkan ekstrem dan takfiri.

Ia boleh bercanggah, dan boleh diberikan dalil menurut pendirian kepimpinan ulama PAS sendiri, biarpun bertentangan dengan kehendak Islam. Misalnya, berbohong, kafir mengkafir, dan seseorang ‘pendosa’ dianggap ‘bersih’ apabila menyertai PAS, walaupun dosanya silamnya masih menempel kemas seumpama ‘dilekatkan dengan gam cap gajah’.

Itulah sebabnya kempen PRK DUN Mahkota di peringkat PN sangat tidak mempunyai idea atau gagasan yang besar kerana Bersau sebenarnya sedar diri, tidak punya apa-apa tawaran yang boleh dijadikan ‘sihir kemenangan’. Ia ditambah dengan derita sendiri yang menolak MoU yang diusahakan oleh kerajaan madani dalam menjamin setiap peruntukan yang akan diberikan digunakan sebaik-baik untuk kepentingan rakyat, bukan semata-mata ‘membeli undi’, misalnya menyediakan sagu hati kepada pengundi luar.

Pemimpin-pemimpin PN turut memperlihatkan sikapnya yang amat berahsia keran enggap mengisytiharkan harta (aset) masing sebagai membuktikan diri mereka telus dan bersih daripada salah laku (rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya). Pada mereka dengan mengisyhtiharkan harta, akan menyebabkan rakyat mengetahui kekayaan peribadi, dan tentunya penyelindungan di sebalik ‘istiqomah’ dan sesekali dianggap zuhud’ terjejas. Ini kerana, rakyat dapat membuat kesimpulan apakah mereka benar-benar berjuang atas prinsip politik Islam atau politik untuk mendapatkan kekayaan peribadi.

Menariknya lagi, apabila PN cuba mengaitkan salah seorang pemimpin BN Johor (Speaker DUN Johor) yang lantang mengkritik PN dengan kemungkinan penyebaran komunisme, Dengan menggunakan perspektif kempen bercorak negatif, ia akhirnya membawa padah kepada calon PN (Bersatu).

Dengan meraih kemenangan besar itu, Bersatu sepatutnya menghentikan perangai ‘menyerang peribadi calon’ dan lebih  memikirkan apa yang dapat mereka tawarkan kepada pengundi, yang boleh dianggap membumi, bukan sekadar menceritakan ‘sihir yang mendatangkan aroma syok sendiri. Dalam PRK DN Mahkota tidak banyak “sihir syok sendiri’ yang dilontarkan oleh Muhyiddin, seolah-olah dirinya sudah ketandusan modal.

PN juga terperangkap dalam kenyataan PAS yang menyokong tindakan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan kerana ke atas GISBH (Global Ikhwan Servives and Business Holdings) yang mula diperkatakan setelah 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan disiasar oleh PDRM setelah melakukan siasatan selama enam bulan.

Kes GISBH menjadi semakin meruncing, yang tidak dapat digunakan oleh PN sebagai ‘peluru politik’ walaupun di tengah-tengah kerancakan kempen DUN Mahkota sedang berjalan. Namun, PAS akhirnya sedikit kebingungan apabila semakin banyak pendedahan keburukan dan pelanggaran undang-undang GISBH terbongkar, maka secara langsungnya dakwaan ‘siasatan berlebihan’ yang dikatakan oleh Takiyuddin Hasan tersimpul mati, yang menyebabkan PAS akhirnya membungkam.

Apatah lagi apabila Perlis dengan kerasnya mengambil keputusan mengharamkan semua aktiviti GISBH di seluruh negeri tersebut, yang dilihat lebih tegas daripada kenyataan Setiausaha Agung PAS sendiri, Takiyuddin Hasaan. Semua ajaran yang berasaskan Aurad Muhammadiyah yang dikaitkan dengan al-Arqam sebagai ajaran sesat (19 September 2024). Sehari kemudian (20 September 2024), Terengganu mengambil keputusan yang sama.

Bersatu jika mengambil isu tersebut, ia akan dilihat bercanggah dengan keputusan sekutunya, PAS. Oleh itu, Bersatu perlu membungkam, kerana GISBH benar-benar menunjukkan pelanggaran undang-undang dan hak kemanusiaan yang dahsyat, yang menggunakan agama sebagai ‘racun’ dalam kehidupan sosial dan bermoral.

Apa tidaknya, anak-anak dipisahkan daripada ibu bapa, kanak-kanak dieksploitasi sebagai pekerja paksa, isteri-isteri dipisahkan daripada suami (khabarnya, jika ingin bersama suami perlu kebenaran), wanita semata-mata dijadikan ‘kilang anak’, dijadikan pekerja paksa (tanpa gaji, caruman KWSP. SOCSO), tidak mempunyai kebebasan memiliki aset (rumah, sebabnya tidak dibayar gaji/upah), dan kadangkala perkahwinan berlaku seolah-olah Keluarga 69.

GISBH bukan sahaja tidak membayar cukai, bahkan ada di antara menipu pelanggan dengan mencetak logo halal sendiri terhadap produk makanan yang mereka keluarkan, ia juga memperlihatkan pemimpin atasan hidup cukup mewah, sedangkan pekerja yang dipaksa bekerja, seumpama kerumunan anai-anai yang bekerja hanya kepada ratu.

Setiap hari para pekerja diindontrinasi dengan sihir agama seolah-olah Abuya (Ashaari Muhammad (1937-2010), pengasas al-Arqam tidak pernah mati, dengan gelaran antaranya, Ruhul Muqaddasah, Sohibus Zaman, dan Fata a-Tamimi).

Pada pilihan raya kecil semalam (28 September 2024), Syed Hussien dari Barisan Nasional (BN) menang besar dengan majoriti 20,648 undi, kira-kira empat kali ganda daripada pencapaian parti itu pada pilihan raya DUN 2022. Saingan tunggalnya, Haizan Jaafar dari Bersatu, hanya memperoleh 7,614 undi, kurang sedikit daripada yang diperoleh calon sebelum ini pada 2022.

Atas kekalahan yang besar itu, ada andaian bahawa masa depan PN sebenarnya sedang dalam krisis, kerana antara Gerakan dan PAS sudah ada kenyataan-kenyataan yang tidak menampakkan antaranya boleh ‘bercium mulut’ manakala Bersatu sedang menyimpan dendam yang tidak dapat dipadamkan lagi.

Ia bermula dengan kesombongan PAS apabila memenangi PRK DUN Sungai Bakap dengan menidakkan sumbangan jentera kempen Bersatu; kemudian membawa kepada rasa marah dengan tekanan dari dalam PAS untuk mengembirikan Bersatu dalam penentuan calon, perjalanan kempen PRK Nenggiri; dan mutakhir, pendirian PAS terhadap GISBH.

Dengan memberikan sokongan ke atas siasatan dan penyitaan aset-aset GISBH, Bersatu sedikit sebanyak kehilangan tautan untuk mengeksploitasi ekonomi dan perniagaan orang Melayu Islam kerana GISBH telah terbukti sebagai rangkaian yang berjaya.

Tetapi, disebabkan kejayaan dilakukan dalam pelbagai bentuk eksploitasi, pelanggaran undang-undang dan pengkhianatan etika perniagaan menurut Islam, segala dakwaan sebelumnya jelas bertentangan dengan Islam itu sendiri.

Dan, kekalahanan hampir keseluruhan calon Bersatu dalam beberapa PRK selepas PRU ke-15 jelas membuktikan memangnya PAS seharusnya bertindak sebagai ‘abang besar’ dalam PN, bukan Bersatu. Bersatu tidak mempunyai kekuatan, belum ada negeri yang berjaya dikuasanya, kalaupun berkata ada lebih besar kerusi di DUN Kelantan.

Semua orang tahu, jika bukan kerana menggunakan logo PAS, Bersatu sebenarnya sudah lama tenggelam dalam ‘bah termenung’.

Biarpun dalam PRK DUN Mahkota ada konflik berlaku antara DAP dan UMNO (Ketua Pergerakan Pemuda UMNO) mengenai Sijil Halal, dan PRK DUN Nenggiri dengan boikot KK Mart, secara jelas, ia tidak merupakan penghalang yang besar. Biarpun di DUN Sungai Bakap dan DUN Mahkota, berlaku pengurangan ketara pengundi Cina keluar mengundi, masih jelas PN belum mampu menarik minat pengundi bukan Melayu.

Menjelang PRK DUN Mahkota, DHPP Balasubramanian Nachiappan menyeru supaya bukan Melayu menyokong PAS, ini bermakna kerana PAS tidka bertanding di PRK DUN Mahkota, maka tidaklah perlu keluar mengundi, sama ada mengundi BN atau Bersatu.

Ia sesuatu yang cukup merugikan bukan Melayu sendiri, sebagaimana kata P Ramasamy yang sudah hilang sarang politiknya. Ramasamy mahukan pengundi India menolak DAP, kerana pelbagai alasan, tetapi alternatifnya tidak ada. Bersatu juga bukanlah sebuah parti yang memberikan kedudukan yang sama kepada bukan Melayu, termasuk keturunan India, kerana parti itu sangat berteraskan Bumiputera Islam.

Apa pun dakwaan selepas ini, Bersatu semakin dilihat penuh dengan liability, manakala PAS semakin berusaha mendominasi PN. Seandainya berlaku ‘clash’ di antaranya, PN akan tidak ada lagi pada PRU ke-16, sebaliknya kerjasama kerajaan pepaduan atau kerajaan madani semakin mengukuh. Jika empat buah negeri yang dikuasai oleh PAS berjaya membentuk kerangka ekonomi SG 4, di mana pula Bersatu boleh berbangga dengan kejayaannya, sedangkan semakin sehari, semakin lumpuh secara organiknya.

MONOSIN SOBRI

Translate »