Op Global yang menyaksikan penahanan reman Ahli Lembaga Penasihat GISB Holdings, menjadi tajuk utama media dalam dan luar negara. Namun dalam kesungguhan penguatkuasa menjalankan tugas, terdengar suara-suara lantang menyatakan bahawa perlu ada rombakan, atau reform, dalam organisasi JAKIM. Kritikan itu terbawa-bawa hingga dikaitkan dengan TV Alhijrah dan IKIM FM.
Justeru adakah kritikan seperti ini wajar, atau hanya permainan persepsi?
Sebenarnya kritikan dan serangan ke atas JAKIM dan peranannya bukanlah sesuatu yang baru. Kumpulan G25 pada tahun 2015, 2018 dan 2020, telah dahulu mencadangkan JAKIM dibubarkan sama-sekali, atas sebab-sebab penangkapan khalwat dan sebagainya. Seperti biasa, golongan orientalis ini tidak memahami peranan JAKIM yang sebenar, atau pun tidak mahu mengkritik Majlis Agama Negeri yang bernaung di bawah kuasa Sultan. Perlu diteliti dahulu fungsi dan tanggungjawab hakiki JAKIM, untuk menilai sama ada kritikan-kritikan itu berasas.
Secara mudah, wujud 3 fungsi utama JAKIM; (i) Penggubalan dan Penyeragaman Undang-Undang Syarak, (i) Penyelarasan dan Pembangunan Pendidikan Islam, (iii) dan Penyelarasan Pentadbiran Islam. Dalam istilah lebih mudah, JAKIM bertanggungjawab untuk menggalakkan undang-undang syariah, pembangunan, pendidikan dan pentadbiran Islam sehaluan dan seragam, antara negeri-negeri dan wilayah persekutuan Malaysia.
Merujuk kepada kes GISB Holdings dan kritikan, pihak JAKIM telah mulakan tindakan pada Februari 2019. Ia turut melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Pihak GISBH telah dipanggil untuk dialog bersama Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Jabatan Peguam Negara, Panel Pakar Akidah JAKIM dan Panel Pakar Tasawuf JAKIM.
Kemudian pada Julai 2022, satu Mesyuarat Khas bersama Badan Keselamatan Negara termasuk MKN, PDRM dan KDN telah diadakan bagi tujuan penyelarasan isu berkaitan. Ia disusuli dengan beberapa perbincangan pada Ogos 2022, Program Perkhemahan Belia Negara (RPU) GISBH Pembela Ummah kali ke-2 serta dialog bersama GISBH pada 22 September 2022 mengenai dakwaan penyelewengan akidah yang masih diamalkan, diikuti dengan perbincangan bersama NADI MAIS dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Pada Februari 2023 pula, satu Mesyuarat Khas Panel Pakar Akidah isu GISBH telah diadakan melibatkan NADI, Bahagian Ancaman Ekstremisme Sosial E2, Cawangan Khas PDRM serta pertemuan dengan bekas pengikut GISBH di samping program kebangsaan untuk RPU diteruskan anjuran PDRM dan iLead, KBS pada Oktober 2023.
Seterusnya pada Februari 2024, mesyuarat bersama Ketua Pegawai Eksekutif GISBH telah diadakan bagi mengkaji dengan lebih mendalam isu akidah, Syariah dan Tasawuf dalam GISBH.
Jelas di sini, usaha JAKIM untuk memastikan pihak GISBH dipanggil supaya berdialog dengan pihak-pihak penguatkuasa undang-undang, maka tiada isu fungsi JAKIM selaku urusetia dalam hal ehwal agama Islam.
Adakah orang awam mahu JAKIM untuk terus tangkap pihak GISBH semasa sesi dialog? Wujud kekeliruan dari pihak pengkritik, tentang apa yang sebenarnya tanggungjawab yang tidak dilaksanakan. Adakah tentang mewar-warkan tentang penyelewengan aqidah GISBH, yang masih dalam siasatan Cawangan Khas PDRM? Adakah masyarakat menyalahkan JAKIM juga, jika mereka yang dipanggil berdialog itu mengamalkan taqiyyah?
Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin telah menyatakan bahawa PDRM telah menjalankan siasatan sejak tahun 2011 lagi, dan sudah tentu proses untuk mendapatkan bukti yang kukuh bukan semudah meninggalkan komen di media sosial atau podcast.
Tanggungjawab pengeluaran fatwa pula adalah di bawah kuasa Jabatan Mufti negeri-negeri, terhadap sesuatu amalan, ajaran atau doktrin yang dikaitkan dengan agama, samada ia menyeleweng atau tidak. Fatwa yang diwartakan adalah penting agar tindakan undang-undang dapat diambil bagi membanteras fahaman dan pemikiran yang menyeleweng dan sekaligus memelihara kesucian agama Islam.
Fatwa-fatwa yang dikeluarkan ini adalah selepas melalui proses kajian dan penyelidikan yang dijalankan dengan begitu teliti dan mengambil kira pandangan pakar yang berkaitan dengan bidang berkenaan. Ia adalah proses yang sangat memerlukan ketelitian, kerana implikasi jika fatwa itu salah adalah sangat berat dari sudut agama.
“Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.” – (Surah al-Ahzab: 58)
Dalam penyelarasan fatwa, tanggungjawab JAKIM adalah sebagai urusetia bagi pihak MKI, yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja, dan kini pengerusinya ialah Paduka Baginda Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Manakala penguatkuasaan undang-adalah dilakukan oleh pihak Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) Negeri atau pihak polis. Penguatkuasaan bermaksud penyiasatan, tangkapan dan pemeriksaan. JAKIM tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan atau risikan. Bila semuanya telah lengkap barulah diserahkan hasil berkenaan kepada pihak pendakwaan untuk didakwa Yang Di-Tuduh di Mahkamah. Pihak Hakim setelah mendengar kes tersebut pula akan membuat sabitan, keputusan dan hukuman.
Inilah yang dimaksudkan pengasingan kuasa, supaya keadilan dapat dilaksanakan oleh setiap pihak, tanpa menceroboh bidang kuasa pihak yang lain. Sebaliknya, jika pihak berkuasa bertindak tanpa menghiraukan langkah-langkah yang ditetapkan, atau melangkaui bidangkuasa masing-masing, maka tindakan yang dibuat tidak sah. Keputusan mahkamah tidak bergantung kepada emosi atau naluri orang awam, maupun naratif yang dimainkan di media sosial.
Mengikut Bahagian Penyelidikan JAKIM, sebanyak 155 ajaran telah difatwakan sebagai sesat di negara ini sejak tahun 1950 sehingga kini. Daripada jumlah itu, terdapat beberapa lagi ajaran sesat yang masih aktif, manakala selebihnya telah berjaya dibendung sepenuhnya.
Usaha yang perlu dibuat untuk menangani ajaran sesat, hingga ke muka pengadilan bukan sedikit, kerana ia bersifat putus dan sambung dalam jangka masa yang panjang. Umat Islam di Malaysia tidak perlu bertindak membakar kelambu sekiranya nyamuk terus menggigit. Sebaliknya, berusahalah perbaiki kelambu itu agar ia tidak berjaya diterobos nyamuk-nyamuk yang mudharatnya besar.
Mewujudkan persepsi seakan-akan kes GISBH ini semata-mata kesilapan JAKIM adalah solusi yang simplistik, dan tidak mencerminkan peribadi ahli-ahli akademik. Ia hanya bertujuan untuk menyemarakkan emosi penyokong dan mendorong mereka untuk tinggalkan fungsi akal. Setiap pemimpin mempunyai tanggungjawab untuk membekalkan pengikut dengan “clarity of thought”, bukan hanya menagih sokongan atas naratif yang keliru.
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments