KUALA LUMPUR: Siasatan polis mendapati operasi rumah amal dikendalikan GISB Holdings (GISBH) dipromosikan sebagai rumah perlindungan anak yatim dengan niat untuk menipu bagi mendapatkan sumbangan dan derma orang ramai.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan polis juga mendapati kanak-kanak di rumah-rumah amal itu didoktrinkan bahawa mereka ‘anak yatim’ dan tidak mengenali ibu bapa masing-masing.
“Hasil rakam keterangan yang dibuat polis mendapati terdapat kanak-kanak terutamanya bawah 12 tahun yang tinggal di rumah kebajikan GISBH tidak mengenali ibu bapa mereka yang dalam kalangan ahli.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika sidang media mengenai perkembangan terbaru Ops Global di Mess Pegawai Kanan PULAPOL. – Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
“Ada juga ibu bapa kanak-kanak yang kita selamatkan turut ditahan polis, mereka tidak mahu mengaku mereka (kanak-kanak yang diselamatkan) itu adalah anak mereka.
“Ini kerana GISBH juga memaparkan dalam laman web (sesawang) sumbangan untuk ‘anak yatim’ walhal sebenarnya mereka adalah anak-anak ahli.
“Wang sumbangan dan derma yang diterima daripada pihak luar digunakan untuk kegunaan lain. Ini adalah kesalahan penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Jadi lebih baik mereka tidak mengaku (kanak-kanak diselamatkan anak mereka) kerana tidak ada kesalahan itu.
“Ibu bapa dan kanak-kanak telah didoktrin ini (mereka adalah anak yatim) malah ada yang tidak kenal ibu bapa seolah-olah memang anak yatim,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini.
Ada ahli GISBH dengan 34 anak
Dalam pada itu, Razarudin berkata, siasatan juga mendapati ada ahli GISBH yang berpoligami dengan beristeri empat mempunyai sehingga 34 anak.
“Ada berkahwin empat dan mempunyai 34 anak tetapi ada dua anak duduk dengan dia.
“Kalau kita tanya apa nama anak pun mungkin dia tidak tahu nama, tak ingat rupa anak,” katanya.
59 premis ada penghuni, 221 kosong
Terdahulu, Razarudin berkata PDRM Fasa 4 OP Global bermula kelmarin menyerbu 280 premis di semua negeri di Semenanjung Malaysia yang dikaitkan dengan GISB
Razarudin berkata sebanyak 59 premis berjaya diserbu manakala 221 premis pula didapati sudah dikosongkan dipercayai ditinggalkan selepas ahli GISBH dipercayai melarikan diri.
Selain itu, seramai 156 individu terdiri daripada 80 lelaki dan 76 wanitas ditangkap.
Sumber: bharian.com.my
Recent Comments