Stesen radio IKIMfm perlu dipastikan berperanan seperti sepatutnya dan bukan menjadi penyebar propaganda, kata pengendalinya, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).
Ketua Pengarah Ikim, Mohamed Azam Mohamed Adi, berkata sejak awal penubuhannya, IKIMfm sudah diberikan garis panduan yang perlu dipatuhi agar ia dihormati.
Pada masa sama, katanya, Ikim sentiasa meraikan perbezaan pandangan dan kepelbagaian mazhab dalam Islam.
“Sejak IKIMfm ditubuhkan pada 6 Julai 2001, pengerusi pertama Ikim, Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid telah menggariskan beberapa dasar yang perlu dipatuhi agar IKIMfm menjadi radio yang dihormati dan disegani, bukan menjadi ejen propaganda dan dakyah mana-mana pihak sesuai dengan peranan IKIM sebagai sebuah badan pemikir.
“Antaranya tetamu IKIMfm yang diundang bersiaran hendaklah bermanhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah bagi menghormati amalan majoriti masyarakat di negara ini dan untuk tidak mengelirukan orang awam.
“Seterusnya, IKIMfm juga perlu menjaga sensitiviti 3R iaitu tidak menyentuh apa-apa perkara yang berhubungan dengan kedaulatan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong serta mana-mana raja sebagai ketua Islam, agama dan kaum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pembongkaran kegiatan entiti GISBH yang dikaitkan dengan kumpulan Al-Arqam baru-baru ini menyebabkan ada pihak menegur beberapa institusi Islam di negara ini.
Lebih 40 program seminggu
Selain jabatan agama Islam negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), turut menjadi tumpuan ialah media seperti IKIMfm dan TV Alhijrah.
Antara tokoh yang membuat teguran itu termasuklah Rektor Kolej Universiti Islam Perlis, Rozaimi Ramle; dan ahli akademik Abu Hafiz Salleh Hudin.
Menurut Mohamed Azam, Ikim memang memandang serius dakwaan dilemparkan pihak tertentu terhadap stesen radio berkenaan seperti tular di media sosial baru-baru ini.
Katanya meraikan perbezaan pandangan itu juga sudah ditekankan berulang kali oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, dalam beberapa pertemuan dengan pengurusan IKIM.
Mohamed Azam juga memberitahu, penegasan sama turut disokong oleh ulama luar negara seperti Sheikhul Al-Azhar dalam lawatan ke Malaysia baru-baru ini.
“IKIMfm mempunyai lebih 40 program seminggu dalam pelbagai bentuk yang bersifat mendidik dan menghibur para pendengar daripada khalayak masyarakat yang pelbagai bidang dan taraf pendidikan.
“Perlu disedari bahawa IKIMfm terikat dengan garis panduan, peraturan, dan akta-akta yang dikanunkan bagi menjaga kemurniaan Islam, dan keharmonian hidup masyarakat berbilang bangsa dan agama seperti Garis Panduan Hiburan Jakim, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Akta Pengiklanan dan seumpamanya,” katanya.
Sumber: malaysiakini.com
Recent Comments