Abdullah bin Abbas atau Ibnu Abbas adalah antara beberapa orang tokoh Islam yang belum menjangkau usia dewasa ketika wafatnya Rasulullah s.a.w. Namun, ketika mencapai umur dewasa, beliau telah dapat menjadikan dirinya sebagai ilmuwan terbilang, setaraf dengan ilmuwan Islam lain seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi dan sebagainya. Salah satu keistimewaan Abdullah bin Abbas berbanding para sahabat Rasulullah s.a.w yang lain ialah tentang keluasan ilmu yang dimiliki oleh beliau.
Beliau terkenal sebagai tokoh yang menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan, antaranya ilmu sastera dan bahasa Arab, ilmu tafsir, ilmu matematik, dan ilmu faraid. Justeru, keluasan ilmunya itu membolehkan beliau mendapat gelaran pendeta Islam atau ‘profesor’ dalam konteks bahasa moden pada hari ini. Maka, Abdullah bin Abbas merupakan profesor ulung dalam dunia Islam. Kejayaan yang beliau peroleh salah satu puncanya adalah doa Rasulullah s.a.w.
Doa Rasulullah s.a.w ternyata dimakbulkan oleh Allah s.w.t apabila Abdullah bin Abbas berjaya memiliki sifat-sifat tersebut tatkala beliau mencapai umur dewasa. Abdullah bin Abbas tergolong dalam keluarga Rasulullah s.a.w dan beliau adalah sepupu baginda kerana ayah Abdullah, iaitu Abbas bin Muttalib adalah bapa saudara Rasulullah s.a.w.
Apabila Rasulullah s.a.w wafat, Abdullah masih kecil lagi dan adalah diriwayatkan bahawa beliau telah melakukan solat di belakang baginda semasa umurnya tidak kurang daripada lapan tahun. Sedari kecil Abdullah gemar bermain di rumah baginda dan pada suatu hari ketika Abdullah berlari menuju ke rumah baginda, beliau ternampak baginda Rasulullah sedang berwuduk, maka degan segera Abdullah menghulurkan air wuduk untuk Rasulullah s.a.w. Perbuatan Abdullah amat mengembirakan baginda Rasulullah dan setelah baginda selesai menunaikan solat, lantas Baginda memangku Abdullah sambil mengusap kepala Abdullah lalu baginda berdoa: “Ya Allah berikanlah keberakahan kepadanya dan berikanlah ilmu daripadanya.”
Satu lagi peristiwa yang diriwayatkan mengenai Abdullah ialah kisah beliau terpandang Malaikat Jibril. Menurutnya, pada suatu hari ketika beliau memasuki rumah Rasulullah, Abdullah telah ternampak ada seorang lelaki yang tidak dikenalinya sedang bersama Rasulullah s.a.w. Lantas Abdullah segera pulang akibat terlalu gementar dan terus memberitahu ayahnya Abbas bin Muttalib. Kemudian ayahnya berkata, “Wahai anakku, kau telah melihat Jibril yang kebetulan sedang bertemu dengan Rasulullah s.a.w?”
Ketika Abdullah bin Abbas meningkat dewasa, beliau telah mencapai kedudukan yang terkemuka di kalangan para sahabat Rasulullah. Beliau telah bekerja keras mengumpulkan hadis-hadis Rasulullah s.a.w dan memahami al-Quran sedalam mungkin serta memberikan fatwa-fatwa kepada masyarakat berhubung dengan hukum agama. Menjelang zaman pemerintahan Khalifah Umar Al- Khattab r.a, Abdullah bin Abbas telah mencapai berbagai-bagai kejayaan, antaranya sebagai ahli tafsir dan hadis yang terkemuka sehingga orang ramai dari seluruh pelosok negeri berminat untuk menuntut ilmu dengannya. Khalifah Umar al-Khattab r.a bukan sahaja sentiasa berada di sisi Abdullah bin Abbas bahkan sentiasa bertukar pandangan dengan Abdullah sepertimana yang selalu Rasulullah s.aw lakukan dengan para sahabat. Sebagai tanda penghargaan kepada Abdullah bin Abbas, Saiidina Umar al-Khattab telah mengelarkan Abdullah bin Abbas sebagai, “Ibnu Abbas adalah seorang pemuda yang telah tua ilmunya, mempunyai lidah yang amat berharga dan mempunyai hati yang bersih.”
Selain itu, Saidina Umar al-Khattab r.a pernah berkata, “Sebaik-baik tafsir al-Quran adalah daripada Ibnu Abbas. Jika umurku masih panjang, nescaya aku akan selalu berdampingan dengan Abdullah bin Abbas.” Di samping itu, Umar al-Khattab juga pernah berkata bahawa “Tidak ada fatwa yang lebih baik yang pernah aku dengar melainkan daripada fatwa Ibnu Abbas.” Demikianlah kebesaran Ibnu Abbas sebagai tokoh tafsir yang tiada tolok bandingnya. Segala puji bagi Allah yang telah memperkenankan doa Rasulullah s.a.w terhadap diri Abdullah bin Abbas r.a.
Pada zaman pemerintah Saiidina Uthman bin Affan pula, Abdullah bin Abbas juga memperoleh keutamaan sama seperti pada zaman pemerintahan Saiidina Umar al-Khatab. Semasa zaman pemerintahan Saiidina Uthman, Abdullah bin Abbas telah dilantik oleh Amirul Haji pada tahun terakhir pemerintahan Uthman sebagai Khalifah. Namun, Abdullah bin Abbas tetap tegas dengan pendiriannya bahawa jika sesuatu perkara itu adalah hak mahupun benar beliau akan memberitahu Uthman walaupun khalifah amat sayang kepada beliau.
Menurut satu riwayat, bahawa pada suatu hari ada serombongan sahabat telah datang mengadap Khalifah Uthman untuk membicarakan sesuatu masalah. Antara yang terlibat dalam rombongan tersebut ialah Abdullah bin Abbas r.a. Semua anggota rombongan tersebut telah kembali tanpa memperoleh manfaat daripada kunjungan tersebut melainkan Abdullah bin Abbas r.a. di mana beliau meneruskan perbincangannya dengan Khalifah secara mendalam dengan menggunakan bahasa yang lebih lembut serta sindiran-sindiran yang halus dan dalam sehingga Khalifah Uthman bin Affan memperkenankan apa yang diminta oleh Abdullah bin Abbas serta para sahabat yang terlibat dalam rombongan tersebut.
Ketika meletusnya ketegangan pendapat antara pihak Saidina Ali bin Abu Talib k.r.w dengan pihak Muawiyah bin Abu Sufyan berkaitan dengan pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan r.a, Abdullah bin Abbas dengan tegas telah memberikan sokongannya kepada Saidina Ali bin Abu Talib r.a sebagai Khalifah yang seterusnya dan Saidina Ali amat menyenangi dan menyayangi Abdullah bin Abbas dan mengangkatnya sebagai Gabenor di kota Basrah.
Sungguh Allah s.w.t telah melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya kepada Abdullah bin Abbas r.a hingga beliau memiliki otak yang cerdas dan telah berjaya menjadikan dirinya sebagai sumber utama ilmu tafsir pada abad pertama. Justeru, beliau telah digolongkan sebagai ulama besar, pendeta mahupun profesor ulung dalam dunia Islam.
Catatan: Ibnu Hayyan
Recent Comments