Banyak kalangan terkejut mendengar khabar tentang pernikahan Muhammad saw. dengan Saudah. Sebab, Saudah adalah janda yang sudah tua, tak cantik pula. Tak ada sedikit pun pada dirinya yang menarik hati kaum laki-laki. Mereka bertanya-tanya satu sama lain: “Ah ….. janda tua. Rupanya pun tidak menarik, berbeza jauh dengan Khadijah yang ketika Muhammad melamarnya, banyak laki-laki yang cemburu kepadanya. Apa yang dilihat Muhammad dari Saudah?” Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahui alasan Nabi saw. Menerima Saudah sebagai isterinya. Mungkin Rasulullah saw. ingin menghibur hati Saudah, yang hidup seorang diri setelah ditinggal mati oleh suaminya; mungkin beliau hendak memuliakan almarhum suaminya, al-Sukran yang hijrah bersamanya ke Abissina dan meninggal di negeri itu sebagai orang asing. Dengan begitu, Rasulullah saw. ingin menjaga, melindungi, dan menyelamatkannya dari kesendirian.
Apa pun pandangan orang-orang, pernikahan antara kedua-duanya telah dilaksanakan. Kedua suami-isteri itu hidup tenang dan bahagia.
Saudah menjadi isteri Rasulullah saw., lelaki yang diutus Allah sebagai nabi dan rasul bagi semua umat manusia. Rasulullah diperintah oleh Tuhannya untuk menyebarkan dakwah Islam ke segenap manusia, ketika akal mereka dilanda kerosakan dan hati mereka semakin menghitam kerana kesesatan. Saudah mengetahui bahawa sebelum menikahi dirinya Rasulullah saw. telah melamar Aisyah bint Abu Bakar. Kerana masih kanak-kanak, Aisyah tidak tinggal bersama Nabi saw. Beliau menunggu hingga Aisyah cukup usia untuk menjadi isterinya.
Keadaan itu tidak membuat Saudah merasa khuatir apalagi kesal. Rasulullah saw. telah memilih dirinya untuk menyertai dan menemaninya selama hidupnya. Ia cukup rela mengambil peranan sebagai pemelihara dan pengasuh anak-anak Rasulullah saw., serta pengatur urusan rumah tangga.
Saudah memiliki tubuh yang besar. Walaupun demikian, Rasulullah saw. merasa senang kerana Saudah pandai menghiburnya dengan kata-katanya, gaya bicaranya, gurau sendanya, dan ketulusan hatinya. Sering kali Rasulullah saw. merasa terhibur oleh ucapan-ucapan Saudah, misalnya ketika ia berkata kepada Rasulullah, “Aku solat di belakangmu, wahai Rasulullah saw. Aku rukuk, namun sambil memegang hidungku kerana takut akan keluar darah darinya.”
Pasangan suami isteri itu hidup dengan tenang, damai, dan bahagia. Hingga akhirnya datang izin dari Allah kepada Rasul-Nya untuk hijrah ke Yatsrib. Saudah hijrah mengikuti Rasululah saw. untuk mendampingi, menemani, melayani, menjaga dan mengurusi segala keperluan Baginda Nabi saw. Ia merasa senang melihat semakin banyaknya jumlah kaum muslim, dan semakin luasnya pengaruh Islam.
Tidak berselang lama setelah Rasulullah saw. tinggal di Madinah, beliau melihat bahawa Aisyah bint Abu Bakar telah cukup usia untuk mendampinginya sebagai isteri Rasulullah saw. bersama-sama dengan Saudah bint Zam’ah.
Saudah benar-benar memahami kedudukan ayahanda Aisyah iaitu Abu Bakar al-Shiddiq di sisi Rasulullah saw. Kerana itu, Saudah memberi kebebasasn kepada Aisyah untuk mendapatkan hak-haknya sebagai isteri Rasulullah saw. Ia kerahkan seluruh kemampuannya untuk membantu dan menolongnya mengurusi urusan rumah tangga dan urusan lainnya. Ia selalu berusaha agar segala tingkah lakunya diredhai oleh Aisyah sehingga Aisyah lebih banyak dapat beristirehat dan hidup tenang mendampingi Rasulullah saw.
Sebaliknya, kerana perbezaan usia yang cukup jauh, Aisyah memperlakukan Saudah seperti ibu kandungnya sendiri. Dan, memang seperti itulah perasaan Aisyah kepada Saudah. Baginya, Saudah adalah ibu yang amat mengasihinya dan sentiasa melindunginya.
Tidak lama kemudian, beberapa wanita lain masuk dalam kehidupan Rasulullah saw. sebagai isteri-isterinya iaitu Hafshah bint Umar ibn al-Khaththab, Zainab bint Jahsy, dan Ummu Salamah, yang masing-masing memiliki hak di sisi Rsulullah saw. meski demikian, Saudah sama sekali tidak merasa tersisihkan dan sempit hati. Ia sepenuhnya redha dan tulus menemani mereka menjalani kehidupan sebagai isteri-isteri Rasulullah saw.
Tetapi Rasulullah saw. adalah manusia biasa. Beliau tidak dapat menguasai dan mengatur perasaannya. Beliau telah berusaha membuka hatinya bagi Saudah, tetapi beliau tidak dapat menguasai dan mengatur hatinya. Rasulullah saw. telah memberikan hak-hak Saudah sebagai isterinya, sebagaimana beliau memberikannya kepada isteri-isteri yang lain, termasuk hak nafkah-lahir dan batin. Namun, sekali lagi, Rasulullah saw. tidak dapat menundukkan perasaannya untuk bersikap adil sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah atas manusia.
Rasulullah saw. merasa telah menyakiti perasaan Saudah, kerana beliau tak sepenuhnya dapat berbuat adil. Beliau mahu dihinggapi perasaan seperti itu sehingga terlintas fikiran mahu menceraikannya baik-baik sehingga ia tidak lagi merasa sakit hati. Rasulullah saw. mengetahui apa yang dirasakan Saudah meskipun ia tidak mengungkapkannya.
Jadi, apakah keputusan yang diambil oleh Rasulullah saw. atas diri Saudah?
Pada suatu hari…
Rasulullah saw. berkata kepada Saudah dengan ucapan yang lembut mengenai niat untuk menceraikannya. Rasulullah saw. tidak kuasa menyatakan ucapan talak yang sahih-jelas maknanya-sehingga beliau mengatakan. “aku membebaskanmu…”
Kata-kata yang pendek dan ringkas itu terdengar oleh Saudah bagaikan petir yang menggelegar. Ia terkejut bukan kepalang. Ia memahami dari kata-kata itu bahawa Rasulullah saw. hendak menceraikannya. Ia merasa seakan-akan tanah di bawahnya terbelah dan menelan dirinya. Seakan-akan gunung besar ditimpakan ke atas dadanya. Seketika hatinya menjadi sempit, fikirannya berkecamuk kesedihan, duka, dan penyesalan luar biasa.
Sesungguhnya Saudah tidak berniat mendapatkan hak-haknya seperti isteri Nabi saw. Ia merasa cukup puas dengan menjadi isteri dan pendamping Rasulullah saw. dan kelak dibangkitkan di Hari Kiamat juga sebagai isteri Rasulullah saw. bersama-sama isterinya yang lain.
Allah mengetahui perasaan sedih, duka, dan sesal yang memenuhi fikiran Saudah kerana diceraikan oleh suaminya, manusia mulia, junjungan hatinya.Ia berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, aku memohon kepadamu atas nama Zat yang menurunkan kitab-Nya kepadamu, dan aku memuliakanmu dia antara seluruh ciptaan-Nya, janganlah engkau menceraikanku.”
Saudah siap melakukan apa pun demi Rasulullah saw., ia serahkan jiwa raganya untuk mengabdi dan melayani Rasulullah saw. Sebab, hanya keredhaan Rasulullah yang diharapkannya selama ini. Kerana itu ia berkata, “Wahai Rasulullah saw., biarkanlah aku tetap sebagai isterimu. Akan kuberikan malam-malam giliranku kepada Aisyah.Aku tidak mengkehendaki darimu sesuatu pun seperti yang dikehendaki wanit-wanita laim.”
Tidak dapat dielakkan lagi, Rasulullah saw. merasa bingung untuk memutuskan, apakah mempertahankan Saudah sebagai isterinya, sedangkan ia memahami perasaannya kepada Saudah; ataukah menceraikannya baik-baik meskipun itu akan menyakiti Saudah?
Tidak menunggu lama, Allah menurunkan ayat.
Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz” (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabi’at semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuannya akan apa yang kamu lakukan. (Al-Quran Surah Al-Nisa’ Ayat : 128)
Begitulah Allah memutuskan perkara Saudah bint Zam’ah. Allah menurunkan ayat Al-Quran mengenai dirinya.
Rasulullah saw. menyedari kedudukan Saudah yang sangat mengasihinya, dan memahami betapa Saudah selalu berusaha membahagiakan dan melayaninya dengan penuh tulus. Kerana itu, Rasulullah saw. tidak menceraikannya.
Saudah bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Rasulullah saw. Ia segera beranjak ke tempat solatnya, lalu memanjatkan puji-pujian dan ungkapan rasa syukur kepada Tuhannya.
Saudah tetap tinggal di rumah Rasulullah saw. bersama isteri-isteri yang lain sehingga Rasulullah saw. wafat. Saudah sangat berduka ketika ditinggalkan oleh Rasulullah. Tidak hanya Saudah, bahkan semua kaum muslim merasa kehilangan dan berduka. Saudah sentiasa mengingat kebaikan dan kurnia yang diberikan Rasulullah saw. kepada dirinya.
Saudah hidup hingga Tuhan memanggilnya ke sisi-Nya pada 54 H., pada masa kekuasaan Muawiyah ibn Abu Sufyan. Sejarah dan kaum muslim sentiasa mengingat namanya dengan catatan yang baik.
Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada Saudah bint Zam’ah sesuai dengan penderitaan yang dialaminya di pengasingan, dan kesedihannya ditinggalkan suami. Semoga Allah mengasihinya sesuai dengan ketaatan dan ketulusannya mengabdi serta melayani Rasulullh saw. dengan penuh cinta.
*Kisah diatas dipetik dari buku ASBABUN MUZUL KISAH NYATA DI BALIK TURUNNYA AYAT-AYAT SUCI AL-QURAN terbitan ZAMAN.
Catatan: Haura Medina
Recent Comments