Orang yang ahli dalam ilmu pengetahuan agama Islam disebut ulama. Dengan ilmu pengetahuan yang dimilikinya, seorang ulama memiliki rasa takwa, takut dan tunduk kepada Allah s.w.t. Ulama adalah orang yang mempunyai pengetahuan tentang ayat-ayat Allah s.w.t. baik yang bersifat kauniyyab (berdasarkan gejala alam semesta) mahupun qur’aniyyah (bersangkutan kandungan al-Quran).

Ulama diakui sebagai cendekiawan yang memegang autoriti dalam hal pengetahuan agama Islam. Dalam bahasa Arab, kata `ulama’ merupakan bentuk jamak daripada kata `alim’, iaitu orang yang mempunyai ilmu yang luas serta mendalam.

Pada mulanya, kata `alim’ dan `ulama’ merupakan sebutan bagi semua kelompok dan orang yang berkecimpung dalam lapangan ilmu pengetahuan. Pada abad kedua Hijrah muncul aneka ragam disiplin ilmu agama dan ilmu umum. Sejak itu sebutan ulama tenggelam dalam sebutan baru yang telah disesuaikan dengan disiplin ilmu yang digeluti oleh seseorang.

Umpamanya, orang yang menekuni fikih disebut fakih; yang mendalami kalam disebut mutakalim; dan yang menekuni filsafat disebut filsuf. Kemudian akhirnya sebutan ulama menunjuk kepada sekelompok orang yang secara khusus menekuni ilmu pengetahuan dan urusan keagamaan.

Ada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang menyatakan: Sesungguhnya ulama adalah pewaris Nabi. Meskipun Ibnu Hajar al-Asqlani ahli hadis, beliau meragui kesahihan hadis ini, tetapi jiwa hadis ini sesuai dengan apa yang tercantum dalam al-Quran dalam surah Fatir ayat 32 yang bermaksud: Kemudian kitab itu kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih di antara hamba-hamba kami… Ketika para Nabi sudah tiada maka tugas para ulama ialah tabligh (menyampaikan).

Justeru ada empat tugas yang harus dilaksanakan oleh ulama dalam kedudukan mereka sebagai pewaris Nabi.

Pertama, menyampaikan ajaran kitab suci al-Quran (tabligh), justeru sepertimana Rasulullah s.a.w. diperintahkan: Wahai rasul, sampaikan apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu, dan jika engkau tidak (melakukannya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya: Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. (Surah al-Maidah ayat 67).

Kedua, menjelaskan isi kandungan kitab suci al-Quran, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: Dan kami turunkan kepadamu al-Quran agar kamu jelaskan kepada manusia. (Surah al-Nahl ayat 44). Ia juga menuntut ulama untuk terus menerus mengajar kitab Allah dan sekali gus membaca dan mempelajarinya (Surah Fatir ayat 35) atau dalam istilah al-Quran menjadi Rabbaniyin yang hanya menyembah Allah Taala dengan ilmu dan amal yang sempurna (maksud surah Ali-Imran ayat 79). Maknanya ulama atau ilmuwan dituntut untuk memberi nilai rabbani pada ilmu mereka.

Dan ingatlah dalam menyampaikan ilmu Allah ini, jangan mengharapkan untuk memperoleh imbalan yang lebih banyak kerana sifat seumpama ini akan menjerumuskan ulama kepada sifat yang tidak baik dalam penelitian dan penerapan ilmunya mahupun dalam pengabdiannya. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya (Surah Al-Muddaththir ayat 6).

Adanya keupayaan dan kekuatan mempelajari kitab Allah ini melahirkan fungsi ketiga ulama iaitu memberi keputusan dan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi dalam masyarakat sesuai dengan firman Allah: Dan dia (Allah) menurunkan bersama Nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang (mengandungi) keterangan-keterangan benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan. (Surah al-Baqarah ayat 213).

Segala apa jua pandangan, keputusan atau jalan penyelesaian seharusnya tidak terawang-awang di angkasa dalam erti hanya indah didengar namun tidak menjejak alam nyata agar dapat difahami semua orang. Di sinilah lahirnya fungsi keempat, iaitu memberi contoh sosiolisasi dan keteladanan. Justeru Nabi s.a.w. dijadikan Allah sebagai teladan (lihat surah al-Ahzab ayat 21) atau sebagaimana keterangan isteri baginda Aisyah r.a., Sikap dan tingkah laku Rasulullah s.a.w. adalah al-Quran. Dari hakikat ini pewaris Nabi dituntut bukan sekadar menampilkan satu peribadi yang baik tetapi yang terbaik.

Allah juga mengecam, mereka yang memiliki ilmu (ulama) tetapi ucapan dan tindakannya tidak sejalan dengan tingkat pengetahuannya. Dari segi realiti ucapan mereka lebih bercirikan sifat-sifat kemunafikan.

Seseorang yang berilmu seharusnya dapat membentengi dirinya daripada segala kehendak nafsu yang cenderung kepada keburukan.

Namun hakikatnya segelintir daripada mereka ini alpa dan terus menerus mengejar dan berusaha mendapatkan yang diingini oleh nafsu jahat itu. Imam Al-Ghazali telah membahagikan ulama kepada dua kelompok iaitu ulama dunia dan ulama akhirat. Ulama dunia adalah orang yang mencari kedudukan, kehormatan dan kesenangan duniawi dengan menggunakan ilmunya. Adapun ulama akhirat bersikap sebaliknya.

Orang yang paling alim di kalangan manusia harus mengatur umatnya kerana ia akan bertindak berdasarkan maslahat terbaik bagi seluruh umat dan keluar daripada kejahilan yang akan menyebabkan mudarat yang lebih luas bagi setiap anggota. Orang yang paling alim juga harus tulus dan menahan diri (zuhud) daripada mencari kekayaan duniawi dan bukan untuk dirinya sendiri. Berdasarkan bimbingan mereka, manusia dijamin akan sentiasa berada dalam payung pemerintahan yang dirahmati Allah.

Tugas ulama adalah untuk menyebarkan firman Allah kepada manusia, membimbing umat, mengumpulkan sedekah-sedekah agama untuk fakir miskin serta melakukan tanggungjawab sosial berupa pelaksanaan amar makruf nahi mungkar di tengah-tengah masyarakat sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Nabi.

Catatan: Ibnu Fattah

 

Translate »