Seperti kata Muhammad Asad (1900-1992) semasa berbahas dengan Dr Chaim Weizmann di Jerusalem pada tahun 1920-an. Weizmann merupakan orang yang bertanggungjawab merangka pelan pembinaan negara haram Israel di Palestin selepas diberikan kepercayaan oleh British, selepas kematian Theodore Herzyl.
Tulis Muhammad Asad dalam Jalan ke Mekah (terjemahan daripada Road to Mecca (1954), Kuala Lumpur: Islamic Renainsance Front, 2019, hal. 94-95: “Walaupun aku seorang Yahudi, aku dari awal membantah keras Zionisme. Selain dari rasa simpati peribadi aku terhadap Arab, aku menganggap ia sebagai tidak bermoral, mengambil kira tujuan golongan pendatang yang dibantu oleh Kuasa Besar asing, bersama niat jelas untuk menguasai majoriti penduduk, merampas tanah yang telah lama menjadi tempat tinggal mereka untuk tempoh yang cukup lama.
“Dengan itu, aku lebih cenderung untuk menyebelahi orang Arab bila mana persoalan Yahudi-Arab dibangkitkan – yang pastinya kerap berlaku. Sikap aku ini sekar difahami oleh semua Yahudi yang kutemui dalam beberapa bulan itu. Mereka tak mampu memahami sebagaimana aku melihat orang Arab.
“Yang menurut mereka, hanyalah sekadar manusia mundur sebagaimana peneroka Eropah melihat orang asal Afrika Tengah. Sedikit pun mereka tidak berminat dengan apa yang Arab fikirkan; hampir tiada yang bersusah payah untuk belajar Arab; dam setiap orang terima tanpa soal akan telahan bahawa Yahudi adalah pewaris sebenar Palestin’”
“Aku masih ingat perbincangan ringkas perkara ini dengan Dr Chaim Waizmann, pemimpin gerakan Zionis [WZO] yang tersohor …Dia sedang bercakap tentang kesulitan kewangan yang sedang mengendalakan impian “Tanah Air Kebangsaan Yahudi”, dan kekurangan sambutan dari orang luar negara terhadap impian ini; dan aku dapat rasakan bahawa sepertimana Zionis yang lain, cenderung untuk memindahkan tanggungjawab moral akan apa yang berlaku di Palestin kepada ‘dunia luar’.
“Aku pastinya telah melakukan faux pas dengan membangkitkan persoalan itu, hingga Dr Waeizmann paling wajahnya perlahan ke arahku, meletakkan cawan yang dipegangnya dan mengulang soalanku: “Dan, bagaimana dengan orang Arab…?”
“Begini – bagaimana kau boleh bercita-cita untuk menjadikan Palestin sebagai tanah air kau bila terpaksa berdepan penentangan keras orang Arab, yang hakikatnya majoriti dalam negara ini?
“Pemimpin Zionis itu mengangkat bahunya dan menjawab dengan selamba: Kita menjangkakan mereka tidak akan lagi majoriti dalam beberapa tahun akan datang.
“Mungkin juga. Kau telah berdepan dengan masalah ini bertahun-tahun dan mesti lebih tahu keadaan sebenar berbanding aku. Tapi selain dari kesukaran politik yang berpunca dari penentangan Arab, atau pun tidak – tidak pernahkah kau fikir tentang aspek moral? Tidakkah kau fikir adalah menjadi satu kesalahan di pihak kau untuk mengusir orang yang telah lama tinggal di sini?
“Tapi ini negara kita’ jawab Dr Waeizmann, mengangkat keningnya.” Apa yang kita lakukan hanya mengambil balik apa yang telah dinafikan secara salah’.
“Tapi kau telah tinggalkan Palestin untuk hampir 3000 tahun! Sebelum itu, kau telah memerintah negara ini, bukan juga keseluruhannya, untuk tempoh kurang 500 tahun. Jika begitu hujahnya, bukankah orang Arab boleh menuntut Sepanyol kembali untuk mereka? – kerana mereka memerintahnya hampir 700 tahun dan hanya kehilangannya untuk tempoh 500 tahun sahaja?
“Dr Weizmann mula hilang sabar:” Mengarut, orang Arab hanya menakluk Sepanyol; ia tidak pernah menjadi tanah air asal mereka, maka memang wajarlah mereka kemudiannya dihalau oleh orang Sepanyol akhirnya.
Muhammad Asad menyambung perbahasan (hal.96): “Maafkan saya, aku menyangkal, ‘tapi aku lihat ada bahagian sejarah yang dikesampingkan di sini. Apatah lagi, Yahudi juga datang sebagai penakluk di Palestin. Sebelum mereka datang, di sini ada beberapa kabilah Semitik dan bukan Semitik- Amorite, Edomite, Philistine, Moabite dan Hittite.
“Kabilah-kabilah itu kekal tinggal di sini bahkan hingga zaman pemerintahan raja-raja Israel dan Judah. Mereka terus tinggal di sini selepas orang Rom halau keluar nenek moyang kita [orang Yahudi]. Mereka tinggal di sini hari ini.
“Orang Arab tinggal di Syria dan Palestin selepas penaklukan mereka dalam kurun ke-7 hanyalah mninoriti kecil dari populasi; yang apa yang disebut hari ini sebagai Palestin atau “Arab” Syria hakikatnya adalah orang asal peribumi yang menjalani proses Arabisasi.
“Sebahagian mereka menjadi Muslim dalam tempoh masa beberapa kurun, sebahagian kekal Kristian. Muslim biasanya berkahwin campur dengan orang dari Tanah Arab yang seagama. Tapi kau [Waizemann, merujuk tuntutan mereka, WZO] tak boleh nafikan bahawa sebahagian besar di Palestin, yang bertutur bahasa Arab, sama ada Muslim atau Kristian, adalah keturunan langsung penduduk asal sini; asal dalam erti kata hidup di negara berkurun-kurun sebelum Yahudi datang?”
Muhammad Asad (nama asalnya ialah Leopold Weiss, keturunan Yahudi dari Austria, mengunjungi Jerusalem pada tahun 1922 setelah mendapat pelawaan, jaminan dan tajaan bapa saudaranya, Dorian Figenbaum seorang doktor (psychoanalyst) yang bertugas di sebuah hospital di Jerusalem).
Gambaran catatan tersebut memberikan kita satu bentuk pemahaman sejarah yang menepati dengan sejarah sebenar Palestin, bukannya sejarah yang cuba dipalsukan oleh WZO sebagai strategi untuk menguasai dan menjarah Palestin.
Hal inilah yang cuba dipintas oleh cara berfikir Duta AS tatkala mempertahankan pendirian Amerika Syarikat mengenai Palestin, yang semakin ditolak oleh masyarakat antarabangsa. Perubahan persepsi itu telah menyebabkan ‘muka buruk’ buat Amerika Syarikat selagi negara itu kekal mempertahankan negara haram Israel.
Amerika Syarikat menanggung malu yang besar, kerana sikap dan kecenderungan untuk menyelamatkan Israel telah mengeruhkan hubungannya dengan banyak negara, sehingga dikenalpasti sebagai aktor negara (pelaku) keganasan sebenar dalam zaman moden.
Natijah itulah menjadikan pengaruh Amerika Syarikat dalam politik antarabangsa semakin hilang manakala China semakin dilihat berupaya untuk bertindak sebagai mediator.
Seorang bekas ahli parlimen Malaysia, Charles Santiago misalnya, menempelak peranan Amerika Syarikat yang dikatakan mempunyai komitmen yang tinggi untuk mewujudkan pelan damai di Timur Tengah. Amerika Syarikat bermain dengan permainan hipokrasi, kerana keupayaan politiknya cukup dikawal oleh oligarki Yahudi, baik dalam bentuk kewangan mahupun pemutus dasar Rumah Putih,
Pertubuhan Zionis Antarabanga (WZO) atau International Jews Orgnisation berjaya ditubuhkan (1897) dan kemundak perjuangannya ialah menubuhkan Negara Yahudi (Der Judenstaat). Setelah cadangan itu dipersetujui, terbentuklah beberapa pakatan yang berusaha menuju kearah itu dengan menggunakan pelbagai bida’ah (mitos). Persoalan bida’ah itulah terus dikembangkan dalam pelbagai bentuk provokasi dan penafian fakta sejarah dilakukan oleh aktivis-aktivisnya.
Beberapa buah buku yang mengkaji perihal bida’ah WZO cukup memberikan kita latar belakang pemalsuan sejarah yang telah dilakukan untuk masyarakat antarabangsa menyebelahi Israel, Akhir-akhir ini, bida’ah mereka semakin terbongkar, dan fakta sejarah yang digunakan mendapat reaksi yang sangat menyakitkan Zionisme.
Misalnya, Roger Garaudy, The Founding Myths of Modern Israel (2000); Ilan Pappe, Ten Myths About Israel (2017); Nur Masalha, Palestine: A Four Thousand Year History (2018); Rashid Khalidi, The Hundred Years’ War on Palestine (2021); Norman Falkenstein, Holocaust Industry (2000); dan Noam Chomsky dan Ilan Pappe, On Palestine (2014).
Ia menjadi cukup bergema dalam politik Amerika Syarikat menjelang Perang Dunia I. John D Rockfeller (1839-1937), seorang usahawan kaya yang banyak memainkan peranan membantu aktivis Yahudi di Amerika Syarikat dan bersengkongkol dengan anak-anak Mayer Amschel Rothschild (1744-1812) dari Eropah. Mereka memulakan lobi untuk menyuguhkan cita-cita menubuhkan negara haram Israel.
Peranan anak-anak Rothschild telah membangunkan Federal Reserve, yang menjadi nadi dasar kewangan Amerika Syarikat sekarang. Penguasah-usaha Yahudi turut menguasai pasaran saham Wall Street di Amerika Syarikat, dan pasaran saham Eropah. Hubungan itu, lobi dan kawalan ke atas Rumah Putih telah menyebabkan dasar yang diamalkan cukup menyebelahi Israel, sehingga sejarah hitam ‘keganasan Israel’ hendak diputihkan sepenuhnya.
John J Mearshiemer dan Stephen M Walt, Dahsyatnya Lobi Israel, edisi terjemahan bahasa Indonesia The Israel Lobby and US Foreign Policy (2007), Jakarta: PT Gramedia Pustaka Utama, 2010, hal. 9 dan 10 mencatatkan:
“Amerika Syarikat telah memainkan peranan penting dan terus meningkat dalam masalah-masalah keamanan Timur Tengah sejak Perang Dunia Kedua, awalnya kerana penemuan minyak, selanjutnya oleh antikomunisme dan, sejalan dengan waktu, oleh hubungan yang tumbuh dengan Israel.
“Keterlibatan signifikan pertama Amerika dalam politik keamanan kawasan itu adalah hubungan baharunya dengan Arab Saudi di pertengahan tahun 1940-an (yang oleh kedua belah pihak dimaksudkan sebagai usaha membendung hasrat Inggeris di kawasan itu), sedangkan komitmen pakatan formal pertamanya adalah ketika Turki menjadi ahli dalam NATO tahun 1952 dan Pakatan Anti-Soviet di Baghdad pada tahun 1954.
Setelah mendokong pendirian Israel pada tahun 1948, pemimpin Amerika Syarikat cuba menempatkan diri dalam posisi seimbang di antara Israel dan negara-negara Arab dan dengan penuh hati-hati mengelak dari membuat komitmen formal apa pun terhadap negara Yahudi itu kerana takut merusak kepentingan-kepentingan strategik.
“Situasi itu beransur-ansur berubah selama beberapa dasawarsa berikutnya, sebagai tanggapan terhadap peristiwa-peristiwa Perang Enam Hari (1967), penjualan senjata Soviet ke negara-negara Arab, dan pengaruh kelompok-kelompok pro-Israel yang tumbuh di Amerika Syarikat.
“Mengingati transformasi dramatik peranan Amerika Syarikat di kawasan tersebut, tidak begitu masuk akal bila cuba menerangkan dasar-dasar (ketetapan) Amerika Syarikat saat ini – dengan menghubungkannya ke kepercayaan keagamaan zaman lampau atau kepada bentuk-bentuk kiprah (jalan) Amerika Syarikat di masa lalu yang berbeza sama sekali.
“…Amerika Syarikat juga telah menjalankan dasar-dasar umum di Timur Tengah yang mencerminkan keberpihakannya kepada Israel. Sejak awal 1990-an, misalnya, dasar Amerika Syarikat terhadap Iran sangat dipengaruhi oleh keinginan pemerintahan demi pemerintahan yang silih berganti di Israel. “
Jelas Charles Santiago: AS sentiasa buat kerja untuk Israel, jadi, apa ‘nilai bersama’yang anda khayalkan, Kagan?
“Tidak mengejutkan untuk melihat Kagan bercakap tentang ‘keselamatan Israel’ walaupun hakikatnya kereta kebal dan artileri mereka terus membunuh kanak-kanak, wanita dan orang awam.
“Mungkin wang pelobi Yahudi lebih berpengaruh daripada kemusnahan dan kematian?” Sambil meningatkan bahawa pendudukan Israel sentiasa melibatkan keganasan di mana “Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah melihat dengan jelas bagawa ini adalah ancaman kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.”
Tambah Charles Santiago lagi: “Kagan sepatutnya tahu bahawa perbincangan tidak boleh bermula dengan 7 Oktober [2023] tetapi dengan melihat kepada dekad pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Israel.” (Malaysiakini, 1 September 2024).
Menteri Luar Negara, Datuk Seri Mohamad Hasan kesal dengan kenyataan tersebut dan menasihatkan “duta asing di negara ini supaya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan berkaitan isu Palestin yang boleh menyentuh sentiment rakyat Malaysia.
“Saya kesal dengan apa yang diperkatakan (dalam wawancara portal media tempatan bersama Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia…walaupun padangan itu bagi pihak negara beliau, tetapi jangan sampai memperkecilkan pandangan dunia tentang kekejaman dan pembunuhan rakyat Palestin yang tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak.
“Walaupun (mereka) nak menyokong Israel rakan sekutu, tapi tidaklah sampai boleh mengatakan bahawa itu (genosid di Palestin) perkara biasa…Saya harap supaya duta-duta asing berada di negara ini lebih berhati-hati walaupun bercakap atas asas negara mereka.” (Malaysiakini, 30 Ogos 2024)
Beberapa hari sebelum itu, Perdana Menteri menegaskan negara-negara Barat ‘tidak perlu mengajar dunia Islam mengenai makna demokrasi, hak asasi dan kemampanan pembangunan negara. Barat seharusnya berhenti mengawal media antarabangsa, samata-mata untuk mengetengahkan naratif yang tidak tepat mengenai peperangan di Gaza, Palestin.
Kata Anwar, “Kita perlu jelas dan tidak boleh ditentukan negara barat yang mahu memulakan naratif (serangan berterusan di Palestin bermula sejak tindakan ketenteraan Hamas) pada 7 Oktober lalu.
“Pemusnahan berterusan (di Palestin) berlaku sejak 1948, diikuti pencerobohan langsung ke Masjid al-Aqsa pada tahun 1969. Malah, kini pemusnahan berterusan, sama ada infrastruktur atau manusia serta genosid. Ini yang berlaku.” (Bernama, 25 Ogos 2024).
Sejak Amerika Syarikat menjadi ‘benteng Israel’ dan juga pelindung, apa sahaja yang dibahaskan mengenai tindak-tindak yang dilihat bercanggah dengan undang-undang antarabangsa, akan cuba diputihkan. Jika tidak berjaya, Amerika Syarikat mengambil tindakan ‘membelah cermin’ yang memperlihatkan wajahnya yang buruk dan semakin hodoh.
Ini dapat dilihat daripada keputusan Amerika Syarikat menggunakan kuasa vetonya di forum PBB, sehingga pada suatu ketika, Presiden Donald Trump membuat keputusan menahan sumbangan kewangan kepada badan-badan di bawah naungan PBB. Amerika Syarikat pernah menarik diri sebagai ahli UNESCO.
Menurut Charles Santiago lagi: “Tiada Presiden AS yang mempunyai keberanian untuk menentang kekejaman mengerikan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin. AS memveto resolusi yang mengkritik Israel lebih daripada mana-mana ahli majlis lain – 45 kali pada 18 Disember 2023.”
Wajah hipokrasi negara yang dianggap ‘bapa demokrasi’ sebenarnya sudah lama tercalar disebabkan tindak-tanduknya sendiri. Amerika Syarikat ‘suka mengganggu’ dan jika boleh akan mengawal sebanyak mungkin negara, yang pada pandangannya cukup strategik untuk mengarahkan makna Amerikanisasi selepas geopolitik berubah corak dengan doktrin Perang Dingin ditamatkan pada akhir 1980-an. (Farid Zakaria, The Post-American World, 2008)
Amerika Syarikat berusaha bertindak seperti kuasa dunia yang cukup hegemonik, sehingga berusaha sedaya upaya untuk menentukan sejarah baharu dunia dengan kedudukannya yang dilihat berpengaruh dan kuat. Tetapi, fantasi American Great Again semakin tidak bermaya selepas kekusutan ekonomi dalaman dan berlakunya kebangkitan ekonomi negara-negara di sebelah timur semakin terserlah.
Ketika ini, walaupun Amerika Syarikat masih menduduki tangga teratas ekonomi dunia, cabaran yang sedang dihadapinya ialah bagaimana untuk menyekat kemaraan ekonomi China yang telah berjaya merampas kedudukan Jepun sebagai ekonomi kedua terbesar pada permulaan Abad ke-21.
Pengaruh China semakin berkembang, manakala negara-negara yang dahulunya menjadi ‘adu domba’ Amerika Syarikat mula beralih kepada kesepakatan baharu dalam BRICS – Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan. Kesepakatan itu mula diasaskan pada 16 Jun 2009, dengan empat buah negara – Brazil, Rusia, India dan China – kemudian berkembang kepada lima buah apabila Afrika Selatan menyertainya.
Kini, keanggotaannya bertambah kepada 9 buah negara (penyertaan Iran, Mesir, Ethiopia dan UAE pada 1 Januari 2024). BRICS, walaupun bukan merupakan kesepakatan dedolarization, ia menunjukkan hasrat bahawa negara-negara yang menyertainya menggunakan mata wang masing-masing dalam urusan pembayaran perdagangan antarabangsa, dengan tidak menggunakan mata wang dolar (Amerika Syarikat). Malaysia berhasrat untuk menganggotai BRICS sebagai ‘partner country’. (Harian Metro, 9 Julai 2024).
Menurut ramalan, dalam tempoh kurang 50 tahun lagi pakatan BRICS akan mampu menenggelamkan pengaruh ekonomi Amerika Syarikat, serta melenyapkan dominasi dolar. Kini, pergerakan ke arah itu (dedolarization) sedang diperkemaskan, dan China mula menunjukkan kesanggupannya melakarkan peralihan ekonomi global, dengan memberikan pinjaman dalam bentuk matawangnya, remimbi (yuan). (https://watcher.guru/news/brics-chinese-yuan-beats-euro-to-become-the-second-most-used-currency)
China juga menyediakan kepakaran dalam pembinaan infrastruktur mega kepada negara-negara yang berminat dengan pakej pembiayaan khas. Kemegahan ekport produk Amerika Syarikat turut menjadi persoalan yang sangat menyakitkan di mana produk yang dihasilkan oleh China cukup murah dan berkualiti.
Atas ketidakmampuan bersaing, Amerika Syarikat memulakan tekanan-tekanan bersifat politik (dakwaan digunakan untuk mengintip), anti persaingan (mengenakan tariff yang tinggi) dan dasar perlindungan yang ketat (melarang import produk daripada China, seperti kereta elektrik (EV) kerana bimbangkan industri tempatan akan lumpuh.
Gahnya Tesla turut meresahkan Elon Musk (dicabar oleh BYD, Geely, dan juga jenama Eropah yang diproduksi dengan kerjasama syarikat automotif China, seperti MG dan #Smart). Dianggarkan terhadapat sejumlah 137 jenama automotif dari China.
Kemegahan smartphone jenama i-Phone sedang dikeronyok oleh jenama telefon pintar keluaran China (Oppo, Honor, Vivo, Xiaomi dan sebagainya, walaupun Huawei dan Z’tronic dikenakan sekatan sejak tahun 2017 semasa pentadbiran Donald Trump). Perang Perdagangan dengan China yang dilancarkan pada tahun 2017 masih belum ditamatkan, dan besar kemungkinan akan menjadi lebih meluas sekiranya Donald Trump menang dalam pemilihan nanti.
Persoalannya sekarang, apakah Amerika Syarikat akan hilang keupayaannya sebagai polis dunia? Jawabnya, sudah cukup menyakinkan akan hilang selagi sikap pendiriannya terus hipokrit dan senyawa dengan peribahasa Muka Buruk Cermin Dibelah. Amerika Syarikat juga dilihat seperti ‘tewas’ dengan Rusia apabila tidak lagi cergas membantu Ukraine.
Sepatutnya, untuk kembali berpengaruh, Amerika Syarikat wajib memperbaiki (merawat) ‘muka buruk’, bukan dengan cara ‘cermin dibelah’, kerana cermin hanya memantulkan apa yang ada di depannya. Setelah cermin dibelah, ia belum menampakkan wajah hodoh bertukar menjadi cantik, atau lebih sempurna daripada kecantikan Amber Heard. Secara luaran, Amber Heard dianggap ‘paling cantik’ tetapi dari dalam diri, beliau adalah seorang wanita yang semakin hendak dilupakan oleh rakyat Amerika Syarikat kerana personalitinya dilihat ‘sudah hancur’.
Tapi, awas, kalau hanya obses untuk jadi cantik dengan menempelkan pelbagai kosmetik (pembedahan plastik), ia tidak akan kekal cantik, kerana kecantikan sebenar ialah apa yang ada dari dalam jiwa dan nurani itu sendiri. Kecantikan yang keluar dari dalam diri sehingga wajah cukup berseri-seri: raut wajah seumpama bulan mengambang, kulit putih bak sutera, rambut ikal mayang dan mata bersinar-sinar umpama bintang kejora. Semakin besar dan lama Amerika Syarikat bergelut dengan politik – sphere of influence– semakin menampakkan wajahnya yang hodoh.
Kalau Rasputin dianggap sebagai manusia yang gila, maka Amerika Syarikat akan menjadi contoh ‘negara gila’. Michael Moore, seorang sutradara filem dokumentari terkenal, cukup lantang mengecam Bill Clinton dan George Bush Jr sebagai White Stupid Men. Kemenangan Donald Trump turut menjadi kecaman Michael Moore dalam filem dokumentarinya, Trumpland (2016).
Sepatutnya, Amerika Syarikat tidak campur tangan atau memberikan dokongan terhadap kebrutalan Israel. Seelok-eloknya, tinggalkan Israel dan berikan tekanan untuk settler-colonialism itu keluar daripada bumi Palestin. Itulah makna kecantikan yang wajib Amerika Syarikat raih, demi untuk mengelak daripada ‘membelah cermin’.
MONOSIN SOBRI
Recent Comments