Salah satu laporan wawancara Malaysiakini (29 Ogos 2024) dengan Duta Amerika Syarikat di Malaysia, Edgard D Kagan bertajuk “Bekal senjata dan perdamaian: Duta AS ulas konflik Asia Barat” cukup menggambarkan hipokrasi Washington dalam menangani krisis yang sudah pun menjejaki tahun ke-76 sejak tertubuhnya negara haram Israel pada 14 Mei 1948.

Laporan kedua yang disiarkan dengan tajuk “Duta AS Puji ‘kejayaan demokrasi’ Malaysia”, tidak menimbulkan reaksi balas yang boleh menyebabkan dirinya ‘tidak senang duduk’, atau memerlukan reaksi selanjutnya. Cukup sekadar senyum sendirian (seorang diri).  Katanya: “Bagi kami, apa yang Malaysia dan rakyat Malaysia lalu dalam banyak cara adalah adalah kisah kejayaan demokrasi.

“Ini berlaku ketika banyak persoalan ditimbulkan mengenai demokrasi dan keberkesanannya di seluruh dunia serta negara-negara authoritarian berhujah sistem mereka lebih baik.” (Malaysiakini, 31 Ogos 2024). Hanya bercakap dalam kerangka sistem, walhal sebenarnya terlalu banyak ilusi dan delusi seperti Amerika Syarikat yang mendakwa negaranya adalah sebuah negara demokrasi totok. Demokrasi di Amerika Syarikat semakin terjebak dengan olah dan ranjau oligarki.

Bagaimana tidak? Amerika Syarikat terkenal sebagai negara pengeluar dan pengeksport senjata terbesar dunia. Oleh kerana sebahagian pendapatan bergantung hasil penjualan senjata, Amerika Syarikat akan sentiasa memainkan peranan untuk menimbulkan pertelingkahan dalam kalangan negara-negara yang berbeza pendekatan politiknya, dengan mempromosikan sistem demokrasi. Tujuannya adalah jelas, selain menimbulkan huru-hara dalam sesebuah negara, Amerika Syarikat berhasrat menjatuhkan sesebuah kerajaan yang dibentuk secara sah di sesebuah negara, dalam kerangka sistem yang menjadi acuan pemerintahan masing-masing.

Mungkin kita akan kembali mengingati bagaimana nilai-nilai demokrasi dikembangkan oleh Amerika Syarikat (wilsonisme), yang pada zaman pentadbiran Jimmy Carter cukup lunak diperkatakan ke seluruh dunia. Harapannya, negara-negara yang menggunakan sistem monarki dan komunis tidak menjadi stabil, dan dalam masa yang sama turut membantu kumpulan ‘pemberontak’ yang muncul dalam negara tersebut. Kita mungkin bagaimana berlakunya demonstarsi di Dataran Tianamen (1989, yang dirujuk oleh kerajaan China sebagai Huru-hara Politik Musim Bunga), dan pembabitan Amerika Syarikat dalam membantuk pemberontak Libya ke atas Muammar Gadafi dalam siri Revolusi Arab yang bermula di Tunisia pada akhir tahun 2010.

Tunisia merupakan ‘boneka Amerika Syarikat’, namun akibat kegagalan pemerintah menyediakan peluang pekerjaan dan sebahagian besar rakyat hidup dalam kemiskinan, dan tekanan undang-undang menyebabkan simpati rakyat meluas terhadap insiden seorang anak muda, Mohamad Bouzizi. Bouzizi mengambil keputusan membakar dirinya sebagai bantahan terhadap celaan yang dikenakan ke atasnya setelah barangan jualannya dirampas oleh pihak berkuasa.

Seterusnya Amerika Syarikat terpukul dengan tunjuk perasaan rakyat Mesir terhadap pemerintahan Hosni Mubarak. Hosni Mubarak merupakan pemerintah yang disokong oleh Amerika Syarikat kerana dasar-dasar Mesir yang tidak lagi menjadi lawan Israel setelah kecundang dengan Perang Enam Hari (1967) dan jalinan diplomatik yang dipersetujui oleh Anwar al-Sadat pada tahun 1977/1978. Ekoran tindakan Anwar al-Sadat melawat Israel, berucap di Knesset dan seterusnya menandatangani perjanjian damai (yang dirancang oleh Amerika Syarikat semasa Jimmy Carter, 1977), membolehkan beliau dan Perdana Menteri Israel, Menachin Begin dianugerahkan Hadiah Nobel (Keamanan) pada tahun 1978.

Namun, kerana pembelotan tersebut, Anwar al-Sadat akhirnya dibunuh ketika sedang menyaksikan perbarisan tentera Mesir di Terusan Suez pada 6 Oktober 1981 oleh Leftenan Khalid Islambuli, setelah mendapat fatwa daripada Omar Abdel Rahman (ulama buta yang sebuah pertubuhan Islam).

Kita tahu, dalam kes pembunuhan Muammar Gadafi, Amerika Syarikat cukup terserlah pembabitannya dengan menghulurkan senjata kepada para pemberontak. Amerika Syarikat juga menjadi ‘sedikit gila’ apabila Dinasti Pahlavi berjaya diturunkan oleh seruan-seruan pemimpin agama dalam buangan (Ayatulllah Rahullah Khomeini), dan seterusnya sampai ke kemuncak selepas Tragedi World Trade Center (WTC). Dalam beberapa telahan, tragedi WTC itu dianggap sebagai ‘perubahan sikap Washington’ dalam menghadapi ‘kebangkitan semula Islam’ kesan daripada Revolusi Islam Iran.

WTC seolah-olah merupakan ‘perancangan Washington’ untuk melumpuhkan kebangkitan Islam di seluruh dunia, dan Bush perlu memastikan pusat pengaruh tersebut dilumpuhkan secepat mungkin. Dengan merencanakan WTC, Bush Jr dapat mengkambinghitamkan aktivis-aktivis Islam, yang kemudiannya dituding jari kepada Osama Benladin (al-Qaeda). Osama Benladin dituding kerana syarikat pembinaan Benladin Group telah mencabar pemerolehan kontrak infrastruktur oleh firma-firma Amerika Syarikat kerana hubungan istimewanya Osama dengan keluarga monarki Arab Saudi.

Dalam masa yang sama, Israel terus menggunakan maklumat risikannya untuk mempengaruhi keputusan dasar Washington terhadap Timur Tengah. Irak digembar-gemburkan sebagai sebuah negara yang mempunyai kekuatan ketenteraan yang mampu mengancam kedudukan dan peranan Israel. Ini menyebabkan akhirnya Bush Jr mengisytiharkan perang terhadap negara-negara Islam dengan mengibaratkan ia sebagai ‘Perang Salib Baharu’.

Setelah mendapat kecaman, Bush Jr menukarkan kempen tersebut sebagai ‘memerangi keganasan’. Amerika Syarikat terus berselindung di sebalik kemahuan buruknya, ‘melawan Islam’ setelah menerima pemikiran bekas penasihat dasar luar Amerika Syarikat, Samuel P Huntington dengan teori ‘clash of civilisation’, dan hingga kini, persoalan Islamophobia terus menjadi sebahagian bentuk kempen dasar luar Washington, dalam usaha mempertahankan ‘keselamatan Israel’.

Seharusnya Duta AS tersebut mampu membaca dengan hati-hati kenapa Amerika Syarikat semakin dibenci dan berhadapan dengan kecaman masyarakat antarabangsa masa kini. Amerika Syarikat dibenci kerana hipokrasinya cukup tinggi, masakan boleh mewujudkan perdamaian sedangkan dalam masa yang sama memberikan senjata dan pelbagai bantuan untuk membunuh rakyat Palestin. Sejak serangan balas dilakukan, Israel tidak pernah berhenti menyerang Gaza, tanpa pedulikan serangan itu bertentangan dengan hukum perang antarabangsa.

Israel membunuh kanak-kanak, wanita, orang awam, bukannya berperang dengan Hamas. Seharusnya IDF berperang dengan Hamas, bukan melancarkan serangan tanpa memikirkan lokasi tersebut adalah kem pelarian, hospital, sekolah, dan sebagainya. Kini, Israel mula dipetikaikan oleh rakyatnya sendiri, dan sejak minggu lalu, lebih 700,000 menuntut Benjamin Neetanyahu segera menamatkan peperangan.

Keluarga mangsa tahanan oleh Hamas menuntut Benjamin Neetanyahu memikirkan keselamatan tahanan tersebut, bukan meneruskan agenda politiknya. Atas tuntutan tersebut, walaupun Benjamin Neetanyahu memohon maaf, kedudukannya sebagai PM Israel yang paling ganas dan narsis akan terus dianggap ‘gila perang’. Ia mungkin akan menyebabkan Benjamin Neetanyahu diambang tragedi   oleh rakyatnya sendiri. Ada yang menganggap itulah karma yang sedang menunggu nyawa Benjamin Neetanyahu.

Bahkan, ada dalam kalangan ahli akademik memberikan penegasan bahawa demokrasi sebenar (tulen) ‘sudah mati’, ia mati kerana tekanan pelobi dan kehendak untuk berkuasa sehingga matlamat menghalalkan cara. Kita mungkin tersentak dengan tindakan Donald Trump pada tahun 2016 sehingga tahun itu diisytiharkan sebagai tahun post-truth (langkau kebenaran).

Kita juga turut tersintak pada hari-hari terakhir Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45 apabila cuba mempertikaikan kemenangan Joe Biden, dan menganjurkan demonstrasi pada hari Presiden ke-46 mengangkat sumpah jawatan di Capitol Hill (6 Januari 2021). Para penunjuk perasaan enggan mengakui kemenangan Joe Biden, dan berusaha untuk menggagalkan proses angkat sumpah. Sekitar 174 anggota polis cedera, dan empat daripadanya bunuh diri dalam tempoh tujuh bulan. Kerosakan dianggarkan berjumlah USD$2,7 juta (RM 11.8 juta).

Untuk pemilihan yang akan diadakan bulan November 2024 nanti, Trump sedang menyusun langkah untuk mengalahkan lawannya Kamala Haris, wanita keturunan India-Amerika yang kini menjawat jawatan Naib Presiden, gandingan Joe Biden dalam pemilihan lalu. Joe Biden telah membuat keputusan tidak akan mempertahankan jawatan untuk penggal kedua, atas beberapa alasan, termasuk usianya yang sudah menjangkau 82 tahun (lahir 20 November 1942) pada saat pemilihan itu diadakan (5 November 2024).

Joe Biden pernah tersasul dan dianggap cukup tua untuk mengendalikan pentadbiran sebuah negara yang mempunyai penduduk seramai 345.7 juta orang, di mana hampir keseluruhannya berasal daripada kaum imigran pelbagai negara dan warna kulit. Namun, penduduk kulit putih masih menganggap diri mereka lebih ‘bertuah’ daripada keturunan kulit berwarna, dan percubaan Kamala Haris akan menjadi sejarah kedua calon wanita bersaing dengan Donald Trump.

Sebelumnya, Donald Trump bersaing dengan Hillary Clinton, bekas wanita pertama Amerika Syarikat. Hillary Clinton tewas. Jika kali ini, Kamala Haris menang, beliau merupakan wanita pertama menjadi Presden Amerika Syarikat.  Tentunya, sepanjang kempen nanti ada hal cukup menyebalkan demokrasi di Amerika Syarikat kerana plot kempen dan strategi kempen sangat bersifat menyerang, akan ada isu-isu yang dibangkitkan secara tidak benar akan berlaku.

Semua orang tahu, masyarakat dunia semakin menunjukkan sokongan kepada Palestin manakala Amerika Syarikat dan sekutunya begitu hipokrit bila melihat diri mereka sebagai entiti yang paling layak merintis jalan damai Palestin-Israel, dan dalam masa yang sama membantu Israel membunuh rakyat Palestin. Dua calon Presiden Amerika Syarikat yang sedang meraih populariti – Donald Trump dan Kamala Haris – sudah menunjukkan komitmen mendokong Israel, bahkan Kamala Haris berjanji memenuhi apa sepatutnya Israel perlu demi ‘kebaikan Israel’.

Donald Trump memang sudah diketahui pendiriannya terhadap Israel. Pada masa pentadbirannya (2017 – 2021) beliau membuat keputusan mengisyhtiharkan Jerusalem sebagai ibu negara Israel, mencadang dan memindahkan kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Jerusalem, dan merintis hubungan diplomatik Israel dengan negara-negara Arab (normalisasi), sehingga di beberapa buah negara, teknokrat Israel bebas berniaga di negara itu. (Maud Quessard, Frederic Heurtebize dan Frederick Gagnon, editors, Alliance and Power Politics in the Trump Era, Switzerland: Pelgrave-Macmillan-Springer Nature, 2020)

Oleh kerana berlaku usul mengecam Israel di platform PBB, Donald Trump membuat keputusan untuk tidak menyalurkan bantuan kewangan kepada organisasi di bawahnya. Bahkan, mengancam menarik diri daripada menganggotainya. Hipokrasi Donald Trump benar-benar menyerlah tatkala bertindak membenar dan mempertahankan apa sahaja tindakan Israel ke atas rakyat Palestin dan negara-negara yang membantu atau menyokong pembebasan (kemerdekaan) Palestin

Sebaliknya, apabila Edgard D Kagan mahukan masyarakat dunia memutuskan sejarah konflik tersebut dengan hanya meletakkan tarikh 7 Oktober 2023 sebagai ‘permulaan’, ia dengan jelas mereleksikan peribahasa, buruk muka cermin dibelah. Maksud peribahasa itu ialah, dia sendiri kurang pandai, tetapi orang lain disalahkan.

Ia turut membawa maksud, kesalahan dibuat sendiri, tetapi dilemparkan kepada orang lain. Ya! Amerika sebenarnya yang salah dan banyak menimbulkan suasana tidak aman di Timur Tengah dan seluruh dunia, sehingga digelar ‘negara haus darah’. (James Risen, State of War:  The Secret History of the CIA and the Bush Administration, 2006) Secara khususnya, perlakuan sedemikian merupakan sikap atau perangai orang buruk perilakunya. Sebabnya, dalam kehidupan yang beradab, bermoral dan beretika, manusia adalah makhluk yang lemah, seringkali melakukan kesilapan.

Namun, setiap kali melakukan kesilapan, seseorang itu belajar untuk menempa kejayaan, dan tidak kurang memohon maaf atau mengambil ikhtibar daripadanya. Misalnya, setelah ratusan kali gagal akibat melakukan kesilapan, tanpa rasa bosan dan dengan tindakan pembetulan, Thomas Elva Edision (1847-1931) akhirnya muncul sebagai seorang innovator yang cemerlang.

Namanya terus diingati sampai sekarang di atas penemuan dan inovasinya yang dibuatnya dalam aspek arus elektrik. Beliau juga turut mencipta pelbagai peralatan untuk menerangi kehidupan (cahaya) daripada keadaan gelap, termasuk di waktu malam. Selain itu, beliau turut mencipta kamera gambar bergerak (motion picture camera), sistem telegraf dan telefon. Asas-asas ini akhirnya telah membantu membina teknologi telekomunikasi yang semakin canggih, yang sedang kita ‘mabuk’ menggunakannya, sehingga apa sahaja boleh dijungkirbalikkan (distortion).

Jadi, apa kaitannya peribahasa tersebut dengan laporan wawancara itu? Jawabnya cukup jelas apabila Duta Amerika Syarikat itu berkata: Saya fikir untuk mempunyai kredibiliti, anda perlu mengakui bahawa terdapat kitaran tindakan dan reaksi. Apa yang berlaku pada 7 Oktober mengerikan. Dan penahanan tebusan yang berterusan melanggar undang-undang antarabangsa.” Amerika Syarikat sebenarnya tidak lagi mempunyai kredibiliti untuk menjadi ‘polis dunia’.

Duta Amerika Syarikat hanya melihat apa yang berlaku – Konflik Palestin-Israel – hanya seolah-olah bermula pada serangan Hamas ke atas wilayah haram Israel pada 7 Oktober 2023, yang kini telah melangkaui bulan kesebelas, menyebabkan lebih 41,000 orang rakyat Palestin terkorban dan hampir 100,000 orang lagi cedera.

Kematian di pihak rakyat Israel ialah sekitar 1,200 orang. Ribuah penduduk Palestin menjadi tawanan rejim Tel Aviv. Serangan balas itu seolah-olah menggambarkan bahawa Hamas benar-benar merupakan pengganas, sedangkan masyarakat dunia sudah memberikan pengiktirafan bahawa pengganas sebenar dalam konflik tersebut ialah Israel.

Pendirian Edgar D Kagan itu tidak pelek. Beliau adalah Duta Amerika Syarikat, dan sebelum dipilih menjadi duta, seseorang itu dinilai dari segi tahap intelektual dan prestasi pekerjaannya dalam mempertahankan nilai-nilai Amerika Syarikat. Ini kerana, seorang duta ialah wakil negara di sebuah negara lain, yang peranannya akan mempertahankan apa sahaja keputusan pemimpin mereka, biarpun pada pandangan peribadi adalah salah dan melanggar batas-batas kemanusiaan.

Sebenarnya, masyarakat antarabangsa sangat mengenali wajah sebenar kepimpinan politik Amerika Syarikat, sama ada daripada Parti Republikan mahupun Parti Demokrat, pendirian mereka terhadap Israel tidak pernah berubah, bahkan bila persoalan itu dihadapkan kepada mereka, jelas imej dan pendekatan yang ditunjukkan sangat hipokrasi.

Sikap dan pendirian Washington itu dapat dikesan daripada kecondongannya untuk mempertahankan apa sahaja yang dilakukan oleh Israel, walaupun tindakan mereka adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan nilai-nilai kemanusiaan. Hal itu sudah menjadi sejarah yang cukup jelas, dan lemparan fakta sejarah menjadi semakin bersifat liar, palsu dan penuh persepsi.

Amerika Syarikat merupakan pelopor untuk menjadikan Israel sebagai sebuah negara, dan menggunakan pengaruhnya untuk mendapat pengiktirafan Liga Bangsa-Bangsa (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) sebaik sahaja selesai Perang Dunia II. Amerika Syarikat membantu dan menyediakan ruang yang cukup luas kepada keturunan Yahudi seluruh dunia untuk berhijrah ke sebuah wilayah yang dimitoskan sebagai “tanah yang dijanjikan”.

Dengan menggunakan pengaruhnya, negara haram Israel akhirnya benar-benar menjadi kenyataan apabila PBB mengisytiharkannya sebagai sebuah negara yang merdeka, sedangkan negara yang sepatutnya dimerdekakan ialah Palestin. Israel merupakan gerombolan penjajah yang mula memasuki wilayah Palestin selepas tamat Perang Dunia I, yang merupakan perancangan licik WZO setelah mereka membuat keputusan untuk mendirikan sebuah negara sebagai ‘penyelesaian terakhir’ masyarakat Yahudi.

Namun, gerak kerja yang dilakukan oleh WZO pada ketika itu mendapat tentangan daripada masyarakat Yahudi sendiri, maka mereka mencari jalan bagaimana untuk membolehkan impian tersebut tercapai. Mereka mula menggunakan agama, dengan mengatakan mereka mempunyai hak untuk ke kembali ke Palestin kerana di situlah ‘tanah suci’ bagi agama Yahudi.

Itu adalah fakta sejarah yang cuba diputuskan oleh Duta Amerika Syarikat, kerana perjuangan Palestin untuk melawan penjajah haram Israel bermula dengan agresifnya sebaik sahaja negara haram Israel ditubuhkan (14 Mei 1948) selepas Mandat British untuk Palestin ditamatkan pada 29 April 1948. Sebab itu, sejarawan dan pemerhati politik antarabangsa menolak apa yang sedang dipentaskan oleh Israel, bahawa serangan yang mereka lakukan ke atas Gaza ialah tindakan ‘mempertahankan diri’ dan ‘demi menjaga keselamatan Israel’.

Ia merupakan pemesongan fakta, sebabnya, Palestin bergolak dan menentang kehadiran pendokong-pendokong WZO di tanah leluhur milik mereka. Walaupun kaum Yahudi (Zionis) mendakwa bahawa Palestin juga merupakan ‘leluhur’ mereka, dakwaan itu tidak boleh diterima kerana orang-orang Yahudi yang menuntut itu telah pun meninggalkan tanah itu lebih 3,000 tahun lamanya.

(BERSAMBUNG)

MONOSIN SOBRI

Translate »