Dr Mahathir cuba berusaha agar kisah silam anak-anaknya meraih kekayaan, juga Daim menjadi kaya tidak dipersoalkan, dan dalam masa yang sama menggunakan asas sejarah untuk menilai makna kemerdekaan dan kebebasan yang patut dipunyai oleh setiap rakyat. Itulah kontradiksi Dr Mahathir, walhal beliau sedar, dan berkali-kali mengambil pandangan seorang sejarawan Sepanyol-Amerika Syarikat, George Santayana (1863-1952) “Those who cannot remember the past are condemmed to repeat it.”

Ungkapan itu sangat diingati dan cukup berpengaruh. Namun tidak ramai yang sedar bahawa Dr Mahathir mudah lupa dengan apa yang pernah diperkatakannya ketika dirinya adalah orang yang berkuasa di tanah air. Dalam satu ceramahnya di Kemaman Terengganu (1980-an) beliau memberikan ingatan kepada ahli-ahli UMNO agar sentiasa meletakkan perjuangan parti dengan mengetepikan kepentingan diri, dengan mengambil contoh sejarah sebuah parti politik terbesar di India, atas sebab-sebab tertentu (kepentingan peribadi atau fraksi), parti itu akhirnya bertabrakan (berpecah-belah).

Antara sebabnya kerana mengejar kemewahan. Di awal kemunculan sesebuah parti, ia memperjuangkan semangat kebangsaan (nasionalisme), namun setelah lama berkuasa, ia mula dijangkiti persoalan mengejar kemewahan dalam kalangan elit-elitnya. Itulah juga yang berlaku dalam UMNO, di awal kemunculannya sangat kuat memperjuangkan ‘ketuanan Melayu’. Setelah Dr Mahathir menerajui UMNO, muncul persoalan politik wang sehingga menyebabkan ‘ketuanan Melayu’ hanya sebuah slogan yang tidak memberikan apa-apa makna lagi. (Firdaus Zainal, Megalothymia Politik Ketuanan Melayu, 2023; Firdaus Zainal, Kejatuhan Kuasa Politik Melayu, 2024; dan AB Sulaiman, Ketuanan Melayu: A Story of the Thinking Norm of the Malay Political Elite, 2018).

Tahun 1987, UMNO dihadapkan dengan cabaran yang besar. Tengku Razaleigh Hamzah yang bergandingan dengan Tun Musa Hitam, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Rais Yatim, Tan Sri Shahrir Samad, dan lain-lainnya (dikenali Team B) cuba mencabar. Tema yang dijadikan mesej kempen mereka ialah “kemungkaran politik dan ekonomi sehingga menyebabkan orang Melayu semakin dikembirikan atau hilang daripada radar perjuangan politik. (Ucapan Dasar Tengku Razaleigh Hamzah di Hotel Hilton Kuala Lumpur beberapa hari sebelum pemilihan UMNO 1987)

Beberapa entiti perniagaan milik UMNO, mula dipindahkan menjadi milik bukan Melayu, dan juga milik perseorangan, Antaranya, pemilikan saham dalam Kumpulan NSTP (asalnya milik Fleet Communication), penjualan saham dalam Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB), peralihan saham milik UMNO dalam UMBC, PERNAS dan sebagainya.

UMBC dikaitkan dengan Tun Daim Zainudin yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kewangan dan Bendahari UMNO. Daim sekarang sedang diadili mengenai kepemilikan aset-asetnya (termasuk Menara Ilham), dan pernah dianggap sebagai orang yang terkaya di Malaysia, yang disembunyikan.

Ketika berlakunya kemerosotan nilai mata wang Asia, Dr Mahathir mendakwa puncanya adalah disebabkan serangan penyangak mata wang, George Soros dan rakan-rakannya. Ini kerana, pada pertengahan 1990-an, diramalkan beberapa buah negara Asia yang sedang membangun akan muncul sebagai ‘ekonomi harimau’, dan ia akan menyebabkan negara-negara barat akan menerima tempiasnya. (John Naisbitt, Megatrends Asia:Eight Asian Megatrends Are Reshaping Our World, 1996).

Sebagai rujukan, pada pertengahan 1980-an, ekonomi dunia mengalami kemelesetan yang ditandai oleh penguncupan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat. Sebagai petunjuk, kita di Malaysia turut mengalami keadaan buruk, banyak premis-premis perniagaan ditutup manakala beberapa komoditi tidak dapat dijual (getah, minyak kelapa sawit dan barangan elektronik), sehingga menyebabkan kehidupan kaum tani (peneroka FELDA, pekebun getah dan pekerja kilang) begitu perit.

Namun Malaysia sedikit beruntung kerana eksport minyak banyak membantu. Dalam keadaan itulah Dr Mahathir menggunakan hasil Petronas untuk memulihkan ekonomi, termasuk melakukan ‘bail-out’ yang sampai kini masih dipersoalkan sebagai tindakan membantu kroni dan memunculkan makna proksi dalam beberapa entiti perniagaan. Ia kemudiannya dikembangkan menjadi crony-capitalism.

Akhirnya sejarah yang ditinggalkan oleh Dr Mahathir sebagai legasi, turut membabitkan sisi-sisi ekonomi yang buruk, yang menimbulkan pelbagai kritikan dalam usahanya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju selepas tamatnya DEB (1971-1990), dengan dasar penswastaan dan persyarikatan Malaysia. Namun, Dr Mahathir juga mengakui bahawa Wawasan 2020 telah gagal, walaupun setengah daripada masa pelaksanaannya adalah ketika dirinya adalah PM 4 (1991-2003). Setengah masa kedua adalah semasa Tun Abdullah dan Najib, dan dua tahun terakhir, beliau kembali berkuasa (2018-2020).

Isu yang sangat besar itu ialah bagaimana projek-projek penswastaan tidak mulus pelaksanaannya sehingga kerajaan perlu menyuntik wang setiap tahun bagi kelangsungannya. Paling dipertikaikan ialah Proton, PLUS dan MAS. MAS kemudiannya dibeli semula oleh kerajaan. PLUS dibeli sahamnya oleh KWSP, Khazanah dan beberapa entiti pelaburan kerajaan. Proton kemudiannya dibeli 49 peratus sahamnya oleh Geely Automobile daripada China.

Ketika saham Proton dijual kepada Geely, Dr Mahathir cukup marah, kerana Proton adalah jenama negara yang sangat disayanginya. Dr Mahathir kemudiannya memulakan kempen menyerang kepimpinan kerajaan, sebagai tidak ada nilai-nilai patriotik, menjual aset-aset negara. Kemudian, beliau menyerang kepimpinan Najib dengan Forest City, yang dibangunkan kediaman mewah dan dibeli sebahagian besar oleh bukan Melayu (dan warga asing). Forest City kini dilihat sebagai ‘kawasan berhantu’ dan sedang dipulihkan untuk dijadikan “financial hub” seperti Dubai, United Emirate Arab oleh PMX.

Namun, pada masa yang sama, ramai pula rakyat Malaysia mempertikaikan pandangan dan pendirian Dr Mahathir, dengan mendesak agar siasatan dibuat semula. Dr Mahathir telah menyebabkan negara kerugian berpuluh billion ringgit menerusi perniagaan mata wang asing, bail-out, membuka ruang pihak swasta menyertai sektor tenaga elektrik (IPP, Independent Power Producers) kepada TNB dengan harga yang mahal (almarhum Tan Sri Ani Arope pernah mendedahkan perihal bagaimana TNB dipaksa membelinya, boleh baca dalam Rogayah Abdul Razak dan Faridah Abdul Manaf, penyunting, Memoirs of Tan Sri Ani Arope, 2013). Kisah-kisah lain yang menyebabkan Malaysia alami kerugian besar telah didedahkan oleh wartawan Asian Wall Street Journal, Barry Wain (1944-2013), Malaysian Maverick: Mahathir Mohamed in Turbulent Times (2009).

Setelah melepaskan jawatan pada tahun 2003, Dr Mahathir menjadi pengkritik yang cukup lantang mempersoalkan dasar dan orientasi pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Beberapa catatan mengenai serangan tersebut boleh dibaca dalam Wong Sulong, Being Abdullah Ahmad Badawi: The Authorised Biography (2016).

Tun Musa Hitam juga cuba menjelaskan perihal beberapa dasar yang tidak dipersetujuinya sehingga menyebabkan perletakan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986, dan seterusnya bersama Team B mencabar Team A dalam perebutan jawatan UMNO peringkat pusat 1987, Frankly Speaking (2016). Apa yang menarik mengenai pendedahan tersebut, menyebabkan ‘pembohongan’ sejak Tragedi Memali (1985), ramai yang percaya bahawa keputusan yang dibuat untuk menembak ‘para syuhada’ dilakukan tanpa pengetahuan Dr Mahathir.

Dr Mahathir dikatakan berada di luar negara, seolah-olah Musa Hitam yang ketika itu Menteri Dalam Negeri dan juga Timbalan Perdana Menteri ‘bersalah’. Setelah terburailah ‘pembohongan’, Dr Mahathir mengetahui dan terlibat dalam membuat keputusan ketika berhadapan dengan ‘para syuhada’ yang disifatkan oleh Presiden PAS (sekarang), sehingga menyebabkan pengikut PAS terbunuh.  Yang kemudiannya difatwakan sebagai ‘mati syahid’ dan setelah hampir tiga dekad kemudian, Presiden PAS diminta semula pandangannya mengenai kematian ‘para syuhada’ itu. Dijawabnya, orang yang bertanya itu menanyakan ‘soalan syaitan’.

Perpecahan yang berlaku dalam UMNO sehingga parti itu diharamkan (April 1988) adalah kerana Dr Mahathir berusaha mempertahankan egonya, mulai membawa masuk kelompok korporat dalam parti yang kemudiannya menyebabkan parti cukup membudayakan politik wang. Ertinya, Dr Mahathir tidak menjadikan sejarah keruntuhan sebuah parti terbesar di India sebagai pengajaran dalam tindakan politiknya, walaupun hal itu pernah diperkatakannya pada tahun-tahun awal sebagai PM 4.

Dr Mahathir enggan melaksanakan semula pemilihan setelah ada bukti bahawa perwakilan yang mengambil bahagian dalam pengundian ketika itu adalah ‘tidak sah’, yakni kerana mewakili cawangan yang belum disahkan pendaftarannya. Akibat menjaga ego dan mempertahankan kemenangan yang perbezaan 43 undi, menyebabkan UMNO diharamkan menerusi keputusan undang-undang (Mahkamah TInggi Kuala Lumpur).

Jadi, apabila ‘jiwa merdeka’ yang bersemarak ketika ini dikritik Tun Dr Mahathir kerana tidak ada kebebasan, ramai rakyat Malaysia mula mencari kenapa beliau sanggup berbuat demikian berdasarkan beberapa petunjuk sejarah. Dua PM menjadi sasaran Dr Mahathir sebelum ini, Tun Abdullah (berundur pada akhir Mac 2009) kerana Dr Mahathir mempertikaikannya sehingga kedudukan UMNO/BN ‘hilang dua pertiga kuasa di Dewan Rakyat’ dan ‘empat buah negeri – Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang.

Setelah Najib yang menggantikan Tun Abdullah, menyebabkan Dr Mahathir kembali menyertai semula UMNO (menurut laporan, dipujuk oleh Muhyiddin Yassin). Setelah kembalinya ke pangkuan UMNO, Dr Mahathir bersama anaknya, Mukhriz bekerja keras untuk meraih kemenangan UMNO/BN semuladi Kedah. Ada yang menyatakan, sebagai ganjarannya, Mukhriz akan dilantik sebagai MB Kedah sekiranya UMNO/BN berjaya menewaskan Pakatan Rakyat.

Dalam tempoh yang sama, PAS mengalami pergolakan dalaman.  Ia membuka ruang kepada UMNO/BN dan pada PRU ke-13 (2013), kuasa politik PAS berjaya dinafikan. Mukhriz dilantik sebagai MB Kedah ke-11, dan menjadi titik tolak untuk meneruskan cabaran berada dalam kelompok tertinggi dalam kepimpinan UMNO dengan mencalonkan diri untuk merebut jawatan sebagai Naib Presiden. Dalam persaingan tersebut, Mukhriz kalah. Kekalahan itu menyebabkan Dr Mahathir kecewa lagi.

PAS terbahagi kepada dua kelompok, di mana kelompok yang bersedia untuk mengemaskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat, kerana itu adalah peluang untuk meluaskan kuasa dan pengaruh. Ketika itu, satu lagi kelompok mula meniupkan keinginan untuk kembali kepada kepimpinan ulama. Akhirnya, Presiden menyifatkan kumpulan yang tidak bersetuju dengan kepimpinan ulama sebagai ‘spesis yang tidak tahu’ asal-usulnya: Entah datang dari mana? Perbalahan dalaman itu berjaya dikupas dengan baik oleh Mohd Sayuti Omar, Inside Story: Kejatuhan Kerajaan PAS di Kedah (2014).

Namun, sebagai seorang yang sangat merasakan dirinya hebat, betul dan kuat berkhayal, Dr Mahathir kembali menyerang Najib, tokoh yang cukup dipersetujuinya bagi meneruskan legasi UMNO/BN, apabila Mukhriz dilanda defisit kepercayaan dalam kalangan pemimpin UMNO Kedah sendiri. Setelah itu, Mukhriz terpaksa melepaskan jawatan sebagai MB Kedah, yang hanya mampu bertahan kurang tiga tahun (34 bulan, iaitu dari 6 Mei 2013 hingga 3 Februari 2016).

Dr Mahathir marahkan Najib kerana tidak ‘memberikan ruang istimewa’ (jaminan) kemenangan buat Mukhriz dalam salah satu daripada tiga jawatan Naib Presiden yang diperuntukkan untuk ditandingi. Mukhriz melihat, jika kedudukannya sebagai Naib Presiden, peluangnya untuk meningkat lebih jauh lebih terbuka, dan mungkin akan diberikan jawatan dalam jemaah menteri selepas PRU ke-14 (2018). Dalam khayalan itu, Mukriz tewas dan Dr Mahathir mula menjadi pengkritik lantang sekali lagi.

Dr Mahathir buat kali kedua membuat keputusan keluar daripada UMNO. Beliau bergerak menyelar Najib sehingga terbuka peluang apabila Laporan Ketua Audit Negara 2015 (LKAN 2015) mendedahkan berlakunya salah pengurusan dalam 1MDB. 1MDB adalah badan pelaburan kerajaan yang dipengerusikan oleh Najib.

Badan pelaburan itu turut digunakan untuk mengambil alih beberapa pihak yang memiliki IPP, dengan harapan dapat membantu keuntungannya dipulangkan balik kepada rakyat dalam pelbagai bentuk. Hal ini sangat tidak disukai oleh crony-capitalism yang pernah mendapat kepercayaan Dr Mahathir setelah berlakunya ‘grid penyaluran elektrik terpelantik’, yang kemudiannya diatasi dengan penubuhan IPP. Bagi sebahagian pemerhati, IPP itu merupakan tindakan Dr Mahathir dalam amalan crony-capitalism, yang menjadi kerangka dasar Mahathirisme.

LKAN (2015) itu benar-benar menjadi peluru serangan Dr Mahathir dan boleh dianggap sebagai ‘orang mengantuk disorong bantal’. Muhyiddin (Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri) dan Shafie Afdal (Naib Presiden UMNO) kemudiannya ikut mengkritik Najib secara terbuka di atas silap pengurusan 1MDB sehingga dianggap tidak mampu membayar balik hutang-hutangnya.

1MDB kemudiannya muncul sebagai skandal yang cukup besar dalam sejarah badan pelaburan kerajaan di dunia, yang kemudiannya menjadi sebab kejatuhan Najib dan UMNO/BN pada PRU ke-14. Hingga kini, proses undang-undang mengenai skandal itu masih berjalan, sama ada dalam negara dan luar negara. Perancang utamanya, Jho Lo (Low Teek Jho) masih belum ditemui manakala ketika kembali berkuasa, Dr Mahathir menyatakan, tidak perlu ‘berperang’ dengan negara di mana menjadi tempat persembunyian anak seorang taikun yang pernah mendapat kepercayaannya sendiri (Tan Sri Larry Low Hock Peng, pemilik MWE Holdings)

Pakatan Harapan yang diterajui sementara oleh Dr Mahathir berjaya mengalahkan penyuasaan UMNO/BN selama enam dekad, dan orientasi kepimpinan politik Malaysia semakin menjadi sangat rawan berkrisis. PH kemudiannya dilanda ‘pengkhiatan dari dalam’ sehingga memaksa Dr Mahathir meletakkan jawatan pada 24 Februari 2020, tidak cukup majoriti dan sedikit sebanyak untuk memesongkan tuntutan Otai Reformasi agar peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim diteruskan.

Strategi itu menyebabkan Dr Mahathir dikecam dalam kalangan menteri kabinetnya sendiri, atas alasan, semasa berusaha memimpin PH, Dr Mahathir memerlukan mandat  Majlis PH, tetapi semasa hendak meletakkan jawatan (akibat Langkah Sheraton), tidak pula berbincang dengan Majlis PH.

Dr Mahathir telah banyak kali membelakangkan apa yang dipersetujui bersama, termasuk persoalan pelantikan jawatan utama sektor awam, perlu diputuskan oleh sebuah jawatankuasa khas di peringkat Parlimen, bukan merupaka prerogative Perdana Menteri. Dr Mahathir tetap ada jawapannya, kerana jawatankuasa tersebut belum ada ‘kuasa undang-undang’, dan untuk mendapatkan kuasa tersebut, Perlembagaan Malaysia perlu dipinda. Pindaan belum dibuat. Alasan kedua, jika keputusan melantik dibuat oleh jawatankuasa tersebut, ia akan menyebabkan kekosongan tidak dapat diisi dengan cepat, dan ia akan menyebabkan beberapa masalah pentadbiran kemudiannya.

Semua orang tahu, Dr Mahathir cukup terkenal dengan sikapnya yang ‘tidak pedulikan pandangan orang lain’ sehingga pernah dalam banyak perkara didakwa cukup diktator. Idealisme politiknya, Mahathirisme semasa menyandang PM 4 mahu diteruskan ketika menyandang PM 7. Ia menjadikan bibit-bibit perpecahan dalam PH, yang kemudiannya menyumbang kepada lahir fraksi-fraski dalam parti, termasuk dalam Bersatu yang dipimpinnya sendiri.

Semasa dibawah Dr Mahathir, kelihatan peranan Muhyiddin seperti terkunci seperti pernah dialami oleh Presiden PAS ketika Mursyidul Am PAS mengatakan dirinya orang yang berkuasa dan berjaya memulihkan parti setelah mengalami masalah besar akibat dipecat daripada BN (1977). Muhyiddin tidak banyak menonjol sepanjang 22 bulan sebagai Menteri Dalam Negeri, yang dikatakan berhadapan dengan masalah kesihatan.

Namun, Muhyiddin mempunyai perancangannya sendiri. Kebetulan Azmin Ali sangat tidak bersetuju dengan tekanan Otai Reformasi dan segelintir pemimpin DAP agar proses peralihan kuasa dipercepatkan, sebagaimana didakwa pada asasnya untuk tempoh enam bulan.

Ia menyebabkan gelora dalam PKR cukup membuak-buak. Azmin mahukan proses peralihan kuasa selepas PRU ke-15, cukup sepenggal Dr Mahathir menjawat jawatan PM 7. Ini kerana Azmin cukup merasakan bahawa kedudukannya dalam kabinet Dr Mahathir cukup menarik, kerana beliau bukanlah calon yang disenaraikan menganggotai kabinet kerana masih memegang jawatan MB Selangor. Bagi kelompok pro Anwar, Azmin merupakan penghalang terbesar, mereka cukup terkilan apabila Langkah Kajang gagal.

Langkah Kajang pada awalnya untuk Anwar menguasai Selangor. Namun, kerana Anwar masih berhadapan dengan kes liwat II, meletakkan isterinya sebagai calon PRK Kajang, Dr Wan Azizah menang dalam PRK tersebut, dan dicalonkan sebagai calon tunggal MB Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid.

Tan Sri Khalid ditolak oleh sekelompok pemimpin PKR kerana enggan menyediakan peruntukan bagi PKR dalam perbelanjaan parti, kerana bagi Tan Sri Khalid, kewangan negeri tidak wajar dihabiskan untuk kegunaan parti. Lalu, akibatnya Khalid diserang bertubi-tubi sebagai seorang yang gagal.

Kemelut MB Selangor akhirnya membawa kepada perkenan Sultan Selangor untuk memilih Azmin Ali. PAS pula memberikan kenyataan, persetujuan awalnya ialah untuk Tan Sri Khalid, dan parti itu tidak menyokong pencalonan Dr Wan Azizah. Akibatnya, Pakatan Rakyat mula mengalami keretakan, dan seterusnya terbubar apabila PAS mengambil keputusan keluar daripada gabungan pada tahun 2016.

Selepas itu, PAS turut mengalami perpecahan apabila sekelompok professional dalam PAS kalah dalam pemilihan dan setersunya membawa kepada penubuhan Parti Amanah Nasional (Amanah) pada tahun 2016. Amanah kemudiannya mengambil tempat yang dikosongkan oleh PAS apabila Pakatan Harapan berjaya dibentuk (2017).

PRU ke-14, PH yang memenangi pilihan raya diberikan mandate untuk memerintah. Namun, kerana pengalaman Dr Mahathir tidak mampu untuk menjadikan parti-parti dalam PH bergerak seiring dan senada, akhirnya berakhir selepas 22 bulan.

Akibatnya, konsep pemerintahan berdasarkan kerajaan campuran (yang dibentuk selepas PRU) menjadi kaedah yang semakin mendapat perhatian. Keunggulan sesebuah parti politik untuk menguasai majoriti bersendirian nampaknya sudah menunjukkan petanda tidak lagi relevan. Ia menjadi semakin benar apabila keputusan PRU 15 benar-benar menyebabkan situasi “Parlimen tergantung”.

Lebih menarik lagi, Dr Mahathir yang dianggap sebagai negaawan kecundang dan hilang deposit walhal kawasan yang dipilihnya cukup banyak legasi yang ditinggalkannya. Ertinya, legasi itu tidak dikenang sebagai faktor penentu kemenangan. Sebaliknya, pengundi lebih memilih kerelevanan seseorang pada masa kini.

Ia mungkin benar seperti pendapat seorang penasihat jualan terkemuka Amerika Syarikat, Zig Ziglar, orang tidak akan menilai seberapa banyak unit yang pernah anda berjaya jual; orang akan memilih anda sekiranya seseorang itu mampu menyelesaikan masalah pada masa kini. Nostalgia kejayaan masa lalu tidak akan membantu kejayaan masa depan, kerana orang yang kuat bernostalgia itu hidup dengan fantasi dan khayalan.

Itulah gambaran yang dapat kita bayangkan apabila membaca komen-komen Dr Mahathir ketika rakyat Malaysia sedang memperkatakan ‘jiwa merdeka’. Dr Mahathir dilihat sedang meniupkan ‘jiwa prahara’, yakni sedang meniupkan semangat agar rakyat menolak kerajaan perpaduan.

Ada yang berkata, kerana Dr Mahathir belum terpadam dendamnya terhadap Anwar, apabila Anwar yang pernah disekatnya sebanyak dua kali (1998 dan 2020), akhirnya berjaya menjadi PM. Muhyiddin pula sedang bertukar posisi, seolah-olah karma sedang dialaminya. Suatu waktu menyifatkan Anwar sebagai PM tepi, dan berbangga kerana dirinya sudahpun menjadi PM walaupun untuk tempoh 17 bulan.

Sekarang, orang terus berkata, Muhyiddin benar-benar PM Ikat Tepi, setelah mempersoalkan kuasa budi bicara SPBBYDA, yang tidak memanggilnya mengangkat sumpah sekali lagi, walhal sudah ada 115 SD. Inilah politik Malaysia, politik yang semakin menjurus kepada politik prahara.

Ribut politik yang cukup merugikan negara, memecahbelahkan rakyat dan kadangkala menyebabkan ramai orang terus melihat politik itu cukup kotor, banyak kaedah politik benar-benar membudayakan matlamat menghalalkan cara, biar pun kadangkala sepatutnya tidak berlaku ketika kita sama-sama mengenangkan ‘jiwa merdeka’.

MONOSIN SOBRI

Translate »