Tanah Melayu telah merdeka, Tarikh kemerdekaan itu disambut dengan megahnya oleh setiap orang yang benar-benar tahu dan insaf makna kemerdekaan. Mereka inilah yang merasakan alangkah indah dan bermaknanya hidup di bumi bertuah ini. Namun, ada segelintir tidak segan silu mengkritik negara sendiri, walhal sebahagiannya mempunyai kehidupan yang cukup mewah dan tidak mengalami jiwa gundah gulana, bebas bermobilasi, punya rumah besar, kereta besar dan bebas mengumpul harta.
Orang-orang yang hampir atau memenuhi kesenangan dirilah yang paling kritikal mengkritik pengisian kemerdekaan, kerana dirinya masih berada bersama-sama bayang-bayang ilusi dan fantasi. Kita mungkin tahu apa yang diperkatakan, kerana dia sebenarnya masih merasakan ketika dirinya mentadbir negara dalam tempoh yang panjang, menjadi orang paling berkuasa, dia telah melakukan banyak perkara sehingga dirinya turut dikaitkan membantu anak-anak menjadi orang yang kaya.
Ya! Selama lebih dua dekad sebagai PM 4. beberapa hari lalu Dr Mahathir mempersoalkan makna kebebasan setelah melihat apa yang berlaku dalam pemerintahan sekarang, sangat kurang sesuai dengan makna kemerdekaan. Mungkin dia merujuk apabila rakan-rakannya diminta untuk membela diri kerana salah laku, salah guna kuasa dan ada kisah kepemilikan aset yang tidak sempurna (dalam konteks moral dan hukum). Dia juga mungkin marah kerana kekayaan anak-anak juga turut dijadikan ‘sasaran’, walhal dia mengatakan anaknya tidak salah, berniaga secara betul. Ketika dia adalah PM 4, perihal rasuah, salah guna kuasa cukup banyak diucapkan dengan harapan Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang bermaruah.
Sebenarnya, kerana kemerdekaan itulah Dr Mahathir boleh jadi PM sebanyak dua kali, dengan mencipta diri sebagai seorang PM terlama sejak Malaysia Merdeka. Kali pertama, selama 22 dua tahun (16 Julai 1981 – 31 Oktober 2003) dan kali kedua, selama 22 bulan (10 Mei 2018 – 24 Februari 2020). Secara jelasnya, Dr Mahathir menjadi PM (melalui UMNO/BN dan PH) selama lebih 24 tahun.
Suatu tempoh yang cukup panjang, walaupun pada suatu ketika (1969) mengkritik Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj kerana lama sangat berkuasa (menjadi PM selama 13 tahun, 1957-1970) sehingga tindakan-tindakan yang dibuat tidak lagi efisyen, mengambil masa yang lama untuk membuat sesuatu keputusan, dan lebih suka bekerja dalam suasana santai, kurang serius (happy go lucky) selain memberikan ruang yang lebih besar kepada bukan Melayu.
Edaran surat peribadinya cukup menyentak ‘hati kecil’ Tunku Abdul Rahman, dan kritikan-kritikan pedasnya menyebabkan ramai orang Melayu terpengaruh sehingga Dr Mahathir dilihat seorang tokoh yang benar-benar memperjuangkan nasib orang Melayu. Idealisma politiknya dalam Malay Dilemma (1970) semakin hilang makna setelah berkuasa.
Ya, kita tahu Dr Mahathir banyak melakukan rombakan dasar dan orientasi dasar untuk mempertahankan ‘ketuanan Melayu’ pada peringkat awalnya. Tetapi, setelah lima tahun memerintah, Dr Mahathir mula berfalasi, kononnya orang Melayu ‘tidak cukup kuat berusaha’, orang Melayu malas, orang Melayu mudah lupa, dan orang Melayu telah hilang jati diri termasuk dalam berpolitik apabila menyertai politik kerana mahukan wang. Dr Mahathir menyindir, kerana Dasar Ekonomi Baharu sudah berjalan setengah jalan, lebih 15 tahun kedudukan orang Melayu belum mencapai sasarannya.
Atas sebab itulah Dr Mahathir mula mengubah perspektif, semakin meninggalkan asas ekonomi negara untuk bergerak cergas dalam sektor perindustrian dan ekonomi komersial, sehingga beliau pernah membuat suatu kenyataan, setiap rakyat Malaysia perlu menjadi ‘moneticed society atau masyarakat yang mengejar dan menghargai wang. Wang itulah yang akan membentuk kekayaan, dan mampu melonjakkan negara sebagai sebuah negara kaya. Maka diperkenalkan apa yang kita kenal merger and acquisition, dengan alasan untuk menahan daripada rempuhan kekuatan syarikat-syarikat asing yang mempunyai modal besar dan wang banyak
Beliau mula memperkenalkan dasar-dasar yang cukup identik dengan wang, termasuk bagaimana menguruskan perniagaan agar menjadi lebih cekap, meraih keuntungan. Lebih penting ialah, dengan kekayaan (maksudnya meraih keuntungan besar, maka muncullah istilah High Investment, High Returns) itu akan dikembalikan kepada kerajaan dalam bentuk cukai. Akhirnya, unit-unit yang awalnya di bawah pengurusan kerajaan diswastakan (privatisation), manakala sebahagiannya dikopratasikan (Malaysia Incorprated), selain mahukan kerjasama antara kaum dalam bidang ekonomi berjalan dalam suasana perkongsian pintar, smart-partnership, bukan dalam bentuk Ali Baba.
Dan, dalam masa yang sama, langkah Dr Mahathir dipersoalkan apabila ‘setiap nasihatnya benar-benar menjadi seperti arahan’; setiap kritikan yang muncul dibalas dengan kecaman, manakala kebebasan bersuara semakin dicengkam dengan beberapa peraturan baharu.
Penjawat awam diperbaharui akuan dengan menandatangani dokumen taat setia, penjawat awam tidak dibenarkan memberi maklumat kepada media (Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88, Pindaan 1984, 1986), ada peraturan-peraturan tatatertib (menggantikan General Order) dan tekanan-tekanan untuk tidak menubuhkan kesatuan sekerja, dengan memperkenalkan skop kesatuan yang lebih kecil. Bagi memperbolehkan pekerja menyuarakan apa yang terbuku, dibentuk Majlis Bersama Jabatan (MBJ, sebagai saluran komunikasi dua hala antara pekerja dan pihak pengurusan).
Dengan pihak luar, terutamanya media, Akta Mesin Cetak terus diperkemaskan bersama-sama lain-lain akta yang bertujuan untuk mengikat. Dr Mahathir pernah menulis sebuah rencana mengenai sistem politik demokrasi di Malaysia, yang dianggap belum matang (immature democracy) dengan berhujah: blow up the slightest crisis to create a picture on instability. Even the slightest opposition to the government soon gets fanned up and inflamed into a violent movement for the overthrow of the government. Any dissatisfaction will increase and render the country unstable.” (Mahathir Mohamad, Freedom of the Press: Fact and Fallacy, New Straits Times, 9 Julai 1981).
Kemudian, apabila berkembang industri penyiaran, menjadikan ukuran rating oleh badan-badan penyelidikan pasaran cukup membuatkan stesen-stesen penyiaran swasta berusaha menjadi peneraju dalam kebanyakan program sehingga berjaya mencabar kedudukan siaran tv kerajaan. RTM sebagai ‘saluran maklumat’ menjadi cukup kritikal, dianggap sebagai stesen tv untuk orang tua, dan singa sedang tidur.
Sebagai PM, Dr Mahathir membuat beberapa kali teguran terhadap media penyiaran, agar lebih menjaga sensitiviti masyarakat dan kehendak politik negara kerana sedang bergerak untuk menjadi sebuah negara maju, menjelang tahun 2020 (Wawasan 2020). (Koleksi Ucapan Dr Mahathir mengenai media boleh dibaca dalam Mohd. Safar Hashim, Mahathir dan Akhbar, 1996).
Ketika berucap di Majlis Jamuan Makan Malam Kelab Wartawan Malaysia (Malaysia Press Club) pada 12 Oktober 1981, Dr Mahathir berkata: For democracy to function effectively and thrive we need an informed public. In a democracy, it is the people who in the final analysis decide the policy and the direction of the Government. And the party elected by them to form the Government is the one which they consider is capable of implementing and pursuing policies which they generally approve.
“The better informed the public is on all issues the better they able to make right decisions as to which party should form the Government. Therefore an important function of the Press in a democratic society is to educate and inform the public on issues so as to enable them to make their choice.
“However, I noticed, that in some cases, a few of our reporters in the enthusiasm and zeal were somewhat carried away with result that reporting tend to be rather non-factual and verging on sensationalism. There have also been cases where the reporting has been anything but objective. While the Press has the right to expose any shortcomings, whether in the Government or in the private sector, it also responsibility to present a balanced picture, We should not forget the success nd the achievements. Unless your reporting is balance reporting will result in the creation of an image of a country that doesn’t seem to be able to do anything right.\
Sambung Dr Mahathir, “As members of the Press, you are no doubt concerned with the freedoom of the Press. You know my views on the freedom of the Press. I don’t believe that obsolute freedom of the press exist anywhere, even in the liberal western countries. There is always some restraints execised if not by the Government at least by the owners, advertisers, employees and others.
“What I say is unpleasant. But if you examine yourself you will admit the frequently reporting by the Press has done a lot of harm, particularly sensationalist reporting. The esposure of the private views have rendered diplomacy not only difficult but less effective. If everyone of us knows of the private thought that we entertain of each other, we will not be on talking terms. Apply this to nations and result will be strained relations if not a war. …Freedom of the Press should exercised with restrain and responsibility.
Kebebasan akhbar dilihat sebagai salah satu bentuk daripada beberapa kebebasan bersuara, kerana akhbar melaporkan apa yang berlaku dan apa yang difikirkan oleh masyarakat. Namun yang menjadi perihal yang ‘tidak sihat’ oleh kerana suara atau pendapat segelintir orang (atau beberapa orang) dibuat sebegitu rupa sehingga peranannya sebagai pencetus pendapat awam cukup berkesan.
Pendapat awam ini digunakan pula sebagai satu bentuk ‘tekanan’ atau ‘desakan’ oleh mereka yang bertindak sebagai pelobi atau kumpulan pendesak. Inilah fenomena kebebasan bersuara yang telah membentuk pandangan umum, sehingga apa yang diperkatakan itu bukanlah sesuatu yang cukup sejagat bentuknya. Kita mungkin teringat mengenai kecaman yang diterima oleh MGG Pilai (1939-2006), yang banyak mempersoalkan dasar politik dan kenegaraan Dr Mahathir (dikenali sebagai wartawan straight-talking dan no-hold-barred).
Inilah yang sedang cuba ditimbulkan oleh Dr Mahathir perihal bagaimana dia merasakan ‘kebebasan’ yang sepatutnya cukup mulus dengan makna kemerdekaan semakin tersekat. Sebahagian pandangan tersebut cukup berbeza ketika beliau memperkatakan tentang amalan buruk sesebuah kerajaan atau perilaku elit politik yang berkuasa. Kita ingat, pada suatu ketika Dr Mahathir sangat kuat menekankan proses membuat keputusan, sehingga beliau tidak menggalakkan anak-anaknya menyertai politik selagi dirinya adalah PM 4. Hanya seorang anaknya, Mukhriz Mahathir yang menyertai politik.
Juga perihal tindakannya yang ‘berjanji’ tidak akan menyalahgunakan kuasa, juga terbabit dengan rasuah. Walaupun dari segi undang-undang ia adalah betul, dari segi moral mungkin ia adalah salah. Itulah hal yang sedang dipersoalkan, kerana Dr Mahathir merasakan makna kebebasan sudah berubah, kemerdekaan sudah hilang fungsinya apabila anak-anak, rakan (ada pihak mengatakan proksi) sedang dihadapi dengan proses pengadilan.
Kata Dr Mahathir, rakyat Malaysia ketika ini “sudah tidak bebas bersuara, tidak boleh bercakap berkenaan 3R (kaum, agama atau raja)” berbanding pada zaman penjajahan. Maknanya, Dr Mahathir sedang berkata mengenai nasionalisme yang muncul ketika sebahagian besar rakyat Malaysia bekerjasama menentang Malayan Union dan seterusnya menuntut kemerdekaan dengan menggunakan isu 3R. Ini jelas menampakkan betapa hipokritnya Dr Mahathir yang pernah berusaha mematikan hal-hal itu dibincangkan secara terbuka semasa menjadi PM ke-4.
“Malangnya, apabila perubahan dibuat ada di antara kita yang cuma mencari kesalahan…Tidak ada bukti anggapan itu benar, tetapi tidak mengapa. Bukti boleh dicipta…Sedih sekali…Usaha kerajaan untuk menjadikan negara dan bangsa Malaysia lebih mulia dihalang oleh orang-orang yang berpengaruh ini di Malaysia sendiri. Sayang sekali. Tetapi jangan tegur dan jangan syarah mereka.
“Akhbar mahu populariti dan tidak sanggup, seperti kata Mat Salleh (Inggeris), ‘buck the trend’ Nanti dikata mengampu kerajaan dan lain-lain lagi.
“Saya kagum kerana buat kali pertama akhbar berani menganalisa kepimpinan Encik Lim Kit Siang. Saya harap ada lagi yang berani seperti ini.
“Kerajaan tidak suka diampu. Tetapi yang benar, katalah benar. Yang dianggap hero, mungkin juga salah. Katakan dan sebutkan. Don’t create a public opinion and then fear this creature of your own creation.”
Dr Mahathir sedang cuba membentuk ‘pendapat awam’ untuk membenarkan dakwaan bahawa masa kini sudah tidak ada lagi kebebasan, kerana anak-anak, rakan dan ‘musuh politik’ (pada suatu ketika kerana memecatnya) telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan-tuduhan menghasut, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram. Ia adalah hal yang lazim dihadapi setelah ada aduan dibuat, ada bukti atau asas untuk dibicarakan. Ia adalah satu bentuk proses keadilan, jika tidak bersalah, tidak perlu takut dan menakut-nakutkan orang lain.
Bahkan, persoalan sedemikian bukan tidak pernah berlaku pada zaman Dr Mahathir sebagai PM paling lama. Kita tahu, kerana ada unsur-unsur 3R dibangkitkan, digunakan Akta Kesalamatan Dalam Negeri (ISA Act) untuk menahan seseorang tanpa diberikan peluang untuk mempertahankan diri.
Rakyat Malaysia belum lupa, pada tahun 1987, di masa PM 4 berkuasa, lebih 100 orang ditahan di bawah ISA (Operasi Lalang), dan seterusnya ketika demonstrasi jalanan apabila Anwar dipecat pada tahun 1998. Dua peristiwa itu berlaku semasa Dr Mahathir adalah PM 4, yang akhirnya dicop sebagai seorang diktator, yang juga turut digelar Mahazalim dan Mahafir’aun. Ada yang ditahan selama beberapa minggu, dan tidak kurang pula beberapa tahun tanpa berpeluang untuk mempertahankan diri.
Kisah mereka yang ditahan itu boleh dibaca, kerana sebahagian daripada ‘banduan politik’ tersebut telah menulis sendiri memoir, autobiografi (dengan kerjasama orang lain) semasa dalam tahanan. Antaranya, Lim Guan Eng (Wan Hamidi Hamid, Lim Guan Eng: Dari Penjara ke Tampuk Kuasa, 2008); Syed Hussein Ali, Dua Wajah:Tahanan Tanpa Bicara (tahanan ekoran Demonstrasi Baling, selama hampir enam tahun (1974-1986), di mana pada suatu ketika, Dr Mahathir memegang dua jawatan, iaitu PM dan Menteri Dalam Negeri, diterbitkan pada tahun 1996); Saari Sungib (Saari Sungib, Sengsara Kem Kemunting: Kisah Hidup Dalam Penjara ISA (2011) dan Hamdi Ibrahim, Abu Urwah: Lagenda Tanpa Sorotan (2020); Ibrahim Ali, Perjuangan Tanpa Nokhtah (2016); dan beberapa buah buku politik mengenai Lim Kit Siang.
Kisah-kisah zaman Dr Mahathir cukup banyak kontradiksi dan paradoks mengenai apa yang sedang dibicarakan ketika beliau terumbang-umbing dalam politik negara, ketika beliau merasakan dirinya masih mempunyai pengaruh dan tidak lagi bersama UMNO.
Secara peribadinya, Dr Mahathir bukan sahaja berusaha menghancurkan UMNO (parti yang telah memberikan ruang untuk berkuasa selama 22 tahun) dan kini sedang menyerang kerajaan perpaduan (kerana Anwar merupakan watak yang pernah dikecam dan dikecam sekali lagi apabila menjadi PM X), atas kegigihan untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa ‘tanpa memilih bulu’.
Ketika mengulas mengenai tekanan kerajaan perpaduan untuk menghalang isu-isu berkaitan 3R dibincangkan secara terbuka, Dr Mahathir membandingkan kebebasan antara zaman penjajahan dengan zaman kerajaan perpaduan, dengan berkata: Tapi sekarang pelbagai sekatan dikenakan. Sentuh 3R polis akan ganggu dan dakwaan dibuat. Walhal 3R tidak melalui proses membuat undang-undang. Pernyataan oleh PM adalah undang-undang. Lulusan Dewan Rakyat tidak perlu.
Katanya lagi, semasa era British, rakyat bebas untuk mengkritik kerajaan British “Kita boleh rapat umum dan demo jalanan tanpa kelulusan oleh Kerajaan, Badan sukarelawan, iaitu NGO boleh diadakan, Kita boleh cakap berkenaan 3R dan tidak dipanggil oleh polis ataupun ditahan di zaman sebelum merdeka.” Tetapi, ketika penyokong-penyokong Anwar melakukan demonstrasi jalan, komen Dr Mahathir adalah berbeza, dan serentak dengan itu popular kenyataan: “demonstrasi bukan budaya kita”. Ulasan dan komen mengenainya cukup tidak adil dan memperlihatkan anarkisme sedang melintasi jalan politik Malaysia.
Agaknya Dr Mahathir terlupa, oleh kerana British ingin mengekalkan kedudukannya sebagai penjajah (membolot hasil kekayaan, dengan cekapnya berjaya melaksanakan dasar pecah dan perintah) kebangkitan politik turut menerima tekanan yang tajam. Beberapa parti politik diharamkan sebagaimana dihadapi oleh Hizbul Muslimin, yang kemudiannya menybabkan sebahagian agamawan mnyertai UMNO. Pada tahun 1951, Inggeris cuba mengimbangi suara politik (nasionalisme Melayu) dengan membenarkan PAS didaftarkan sebagai sebuah parti politik yang membawa ideologi Islam.
Itu menunjukkan gambaran kebebasan bersuara tidak mendapat kebebasan sepenuhnya. Hanya pertubuhan yang dapat dilihat mampu membuka rundingan dengan British diberikan kepercayaan untuk beraksi di pentas politik selepas Malayan Union ditarik balik. Sebaliknya, parti-parti yang berhaluan kiri tidak mendapat ruangan yang sama, malah ditekan dengan pelbagai akta yang kini masih dikuatkuasakan di Malaysia, dengan pindaan-pindaan tertentu. Ia termasuklah Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Keterangan, Kanun Keseksaan dan sebagainya.
Kita tahu, Dr Mahathir bukan sahaja meneruskan kuat kuasa undang-undang tersebut, bahkan turut melakukan pindaan termasuk perihal kedudukan imuniti Raja-Raja Melayu. Rakyat masih ingat bagaimana Dr Mahathir berusaha untuk membataskan kuasa Raja-Raja Melayu sehingga tercetus krisis Perlembagaan beberapa kali (1985) dan campur tangan politik dalam badan kehakiman (1988). Ingatkah kita kepada kontroversi video VK Lingam?
Pertengahan April 2024, Dr Mahathir mendakwa bahawa undang-undang kini “mengancam rakyat”, ianya dibuat kepada mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan yang dibuat oleh kerajaan menerusi mahkamah, dan tuntutan yang dibuat oleh meraka yang didakwa di mahkamah sukar dipatuhi. (Astro Awani, 17 April 2024).
Kenyataan itu mungkin merujuk kepada tindakan SPRM agar dua orang anaknya (Mukhriz dan Mirzan) mengemukakan penyata kewangan (pemilikan aset) yang bertahun-tahun dikumpulkan, yang terlalu lama (40 tahun), tidak ada rekod dan sudah dilupakan.
Nampaknya, Dr Mahathir yang pernah terkenal dengan alasan “saya tidak tahu” dan “saya tidak ingat” bila ditanya mengenai sesuatu tindakan yang dibuatnya, cuba berkata sekali lagi, “barang lama dikenang jangan”, “yang lepas, biarkan sahaja” kerana ia ‘sudah lama’. Apa yang penting ialah pada masa kini, seperti ada perumpamaan menyebut: lupakanlah yang semalam (forget the past)” kerana hari inilah yang akan menentukan masa depan.
(BERSAMBUNG)
MONOSIN SOBRI
Recent Comments