Kenapa seseorang itu ‘ada masa untuk sakit kepala’? Sakit kepala sering kita anggap sebagai perkara biasa, maka kadangkala kita tidak memerlukan rawatan atau hanya cukup sekadar menelan panadol. Kita mengandaikan sakit kepala itu tidak merbahaya atau memudaratkan, kecualilah jika sakit kepala itu sampai ‘tidak boleh tidur’ dan aktiviti harian terganggu. Beberapa kali telan panadol pun tidak hilang.

Begitulah juga perihal ‘sakit kepala’ dalam politik. Dalam politik ‘sakit kepala’ boleh dinamakan sebagai ‘politik toksik’. Toksik secara umumnya difahami sebagai ‘racun’ dan ‘racun’ itu boleh memberikan pelbagai kesan negatif, hinggalah membawa maut. Politik juga akan jadi begitu, bila pemikiran seseorang tersumbat dengan ‘racun pemikiran’, pendirian politiknya akan berubah, sama ada menjadi seorang yang naturalis (bencikan politik) atau berhijrah ke parti politik lain (mualaf politik) dan menubuhkan sebuah parti politik yang baharu.

Di Malaysia banyak sejarah yang menyebabkan ramai orang ‘ada masa untuk sakit kepala’ akibat pertelingkahan politik, dan juga anarkisme politik, sejak rakyat negara ini mengenali makna parti politik. Orang Melayu tidak terkecuali, pada awalnya, kemunculan parti politik adalah untuk menjadi alat bagi menyatakan negara ini sedang bergelora dengan semangat kemerdekaan. Hasrat itu akhirnya menyebabkan kolonial terpaksa melupakan hasratnya untuk menguasai pentadbiran Tanah Melayu berdasarkan acuan yang lebih mirip mengongkong dan mengawal secara langsung termasuk persoalan kepimpinan orang Melayu.

Kolonialisme menyebabkan semakin lama semakin ditolak, dan dalam masa yang sama semangat itu bangkit dengan tenaga yang lebih  berani dan cekal biarpun langkah pemerintah tetap menyekatnya secara langsung mahupun tidak langsung. Itulah yang terjadi apabila orang Melayu bangkit menentang Malayan Union pada tahun 1946.

Setelah rancangan itu dialirkan kepada satu bentuk dasar yang lain, akhirnya penjajah mula sedar, mereka tidak lagi boleh bertahan untuk menyongsong arus kebangkitan nasionalisme di Tanah Melayu. Mereka menawarkan solusi, yakni memberikan syarat bahawa setiap rakyat di negara ini menunjukkan kesatuan yang jelas, bukan hanya bersandarkan kepada kepentingan dan kehendak orang Melayu semata-mata, biarpun orang Melayu terus menggunakan ketetapan bahawa mereka adalah penduduk asal dan wajar diberikan keutamaan.

Tekanan ialah menerima apa sahaja yang telah menyebabkan Tanah Melayu menjadi sebuah masyarakat majmuk, di mana setiap kaum termasuk dua kumpulan besar yang berasal sebagai buruh pelabuhan, pekerja lombong, penoreh getah dan sebagainya diterima sebagai rakyat negara ini. Hasil rundingan, perbincangan dan persetujuan, maka orang Melayu, orang Cina dan India menerima hakikat bahawa mereka wajib hidup secara bergandingan untuk kemerdekaan. Setelah itu muncullah gabungan tiga parti politik terbesar yang bercirikan kaum dalam satu gabungan dan dinamakan Perikatan.

Setelah gabungan tiga kaum terbesar ini membentuk kekuatan, maka beberapa tahun kemudian muncul pula parti politik yang bersifat agama dan multietnik. Parti-parti ini akhirnya membentuk cabaran baharu selepas Perikatan ditabalkan sebagai pemerintah dan kesannya menyebabkan politik menjadi semakin tidak sesuai lagi dirawat dengan panadol, biarpun kekuatan panadol extend adalah lebih kuat daripada panadol biasa.

Selepas 13 Mei 1969, kekuatan Perikatan tidak cukup untuk membendung arus pertelingkahan politik, maka atas inisiatif Tun Abdul Razak Hussein yang menggantikan Tunku Abdul Rahman mencuba sistem parti politik gabungan yang lebih besar, yang kemudiannya berjaya dibentuk pada tahun 1974 dengan nama Barisan Nasional. Ia merupakan kejayaan yang sangat menarik sehingga pada suatu ketika BN mempunyai gabungan yang cukup besar dan dinamakan sebagai satu bentuk smart partnership politik yang cukup berkesan.

Namun, setelah berada di tampok kekuasaan hala tuju kepimpinan mula melencong arah perjuangan sehingga menyebabkan BN terpaksa akur dengan kemerosotannya pada PRU ke-12 (2008) dan politik gabungan menjadi semakin kritikal. Kuasa yang dimilik menjadi semakin mengecil dan setiap keputusan yang dibuat dipersoalkan dengan pelbagai perspektif, yang di antaranya dibawa masuk fahaman-fahaman asing yang juga sedang berkembang dalam peratautan politik antarabangsa dan serantau.

Pola pemikiran politik yang ditemui dalam kajian-kajian ilmiah masyarakat barat mula dirujuk sebagai pola aksi politik yang harus diberikan keutamaan biarpun sistemnya cukup bertentangan dengan falsafah politik perkongsian kuasa masyarakat tempatan. Akhirnya, semakin lama semakin hilang nilai budaya luhur politik, dan politik benar-benar menjadi medan pertarungan kuasa, pengekalan kuasa dan pelbagai tindakan lobi yang menjengkelkan.

Bukan sahaja UMNO berhadapan dengan pola politik sedemikian, bahkan UMNO turut mencabar pemain-pemain politik yang berbeza kerangka ideologinya. Namun, dua kali percubaan UMNO telah gagal (PRU ke-14 dan PRU ke-15) setelah kejayaan silamnya seolah-olah tidak memberikan apa-apa kelebihan lagi.

Dari dalam UMNO mengalami perpecahan yang besar sehingga memunculkan beberapa buah parti politik serpihan, yang kemudiannya, UMNO terpaksa menelan hakikat yang dirinya semakin hilang keyakinan daripada orang Melayu sendiri. Persoalannya, kehilangan kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO adalah kerana penyertaan politik bukan lagi dianggap wadah penyatuan Melayu, tetapi persoalan menjadikan diri sebagai seorang yang dianggap berkuasa, ada priority (kekhususan) dalam menghadirkan kata putus, selain mencari kekayaan peribadi.

Sorotan menarik secara ilmiah kejatuhan kuasa politik Melayu memberikan kita gambaran bahawa semakin lama UMNO berkuasa, semakin banyak persoalan untuk meletakkan kedudukan orang Melayu lebih baik daripada bukan Melayu menjadi persoalan yang sangat menyakitkan. Timbul pula pertentangan yang dilihat sebagai suatu bentuk perbezaan yang ketara, yang akhirnya menjadi benang merah dalam politik sehingga ada acuan kebersamaan diperkenalkan.

Firdaus Zainal misalnya memberikan rentang sejarah yang cukup menarik tentang Kejatuhan Kuasa Politik Melayu dalam kerangka perjuangan politik orang Melayu yang semakin hilang sifatnya dan sekarang terpaksa menumpang kekuatan parti-parti yang lahir daripada serpihan-serpihan itu ‘menumpang kuasa’. Beliau melihat sifat dan perubahan UMNO dari dalam dan juga rempuhan ideologi politik yang terhasil daripada ‘rasa kecewa’ dan kejayaan parti-parti serpihan menjaja fantasi mereka, walaupun kadangkala tidak boleh dipraktikkan secara universal. (Firdaus Zainal, Kejatuhan Kuasa Politik Melayu: Bagaimana Orang Melayu Hilang Kuasa, Nilai, Negeri Sembilan: Ilham Books, 2024; Firdaus Zainal, Megalothymia Politik Ketuanan Melayu: Perjuangan Orang Melayu Mencari Ketuanan di Bumi Melayu, Nilai, Negeri Sembilan: Ilham Books, 2023; dan Firdaus Zainal, Hegemoni UMNO: Pembangunan dan Keruntuhannya Menurut Teori Ibnu Khaldun, P.Jaya: SIRD, 2022)

Dalam bukunya yang lain, Firdaus Zainal turut memperkatakan dengan kekentalan perjuangan politik bukan Melayu untuk membolehkan kedudukan mereka mendapat pengiktirafan dan kebersamaan dengan kaum Melayu, terutama oleh kelompok kaum Cina walaupun pada permukaannya dilihat berbeza dan saling bertentangan. (Firdaus Zainal, Isothymia Politik Cina: Perjuangan Orang Cina Menuntut Kesaksamaan, Nilai, Negeri Sembilan: Ilham Books, 2023).

Kini semakin banyak terdedah perihal aksi politik sehingga melahirkan fenomena politik toksik dalam masyarakat setelah setiap orang seboleh-bolehnya memainkan peranan sebagai citizen journalist, yang cara penulisan atau penyampaiannya tidak ada lagi sangkutan dengan prinsip kewartawanan, yakni ‘telling the truth’dan ‘fair comments’. Mereka menyiarkan apa sahaja yang mereka boleh siarkan asalkan matlamat dan tujuannya dapat dicapai sama ada secara jelas atau dalam keadaan terselindung (embedded).

Nampaknya, apa yang sedang diperkatakan tentang ‘ucapan Muhyiddin’ mengenai kuasa budi bicara SPBYDA mempunyai niat yang cukup terselindung, biarpun Muhyiddin berkata, ia adalah ‘fakta’. Ia merupakan satu episode politik toksik, yang pada pandangan umum, Muhyiddin tidak perlu membangkitkan persoalan sedemikian, kerana beliau turut diberikan peluang untuk berbincang sebelum pemuktamadan solusi pembentukan kerajaan perpaduan. Muhyiddin bukan ditolak, tetapi Muhyiddin sendiri yang menolaknya. Muhyiddin menolak kerana Muhyiddin merasakan apa yang dibuatnya itu sesuatu yang tepat dan wajar, pada pendapatnya sendiri.

Muhyiddin membangkitkan perihal itu kerana Muhyiddin merasakan ia mampu meraih kemenangan calon Bersatu, walhal keputusan menerima bekas ahli PAS sebagai calon telah menyebabkan ahli Bersatu sendiri mengambil keputusan meninggalkan parti. Ertinya, sedikit sebanyak telah mempengaruhi perjalanan dan operasi jentera kempen Bersatu sendiri. Oleh kerana menerima bekas calon PAS, jentera parti itulah yang dilihat cukup terkedepan, walaupun akhirnya diakui silap bila melantik Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengarah Pilihan Raya DUN Nenggiri.

Fantasi Muhyiddin pada mulanya untuk menyatakan bahawa telah berlaku kesilapan yang besar apabila Anwar Ibrahim dilantik sebagai PM 8 walhal parti pimpinannya tidak mempunyai sokongan yang mencukupi secara individu. Tetapi, Muhyiddin lupa, PH mempunyai jumlah kerusi yang lebih besar berbanding apa yang dimiliki oleh PN, walaupun kedua-dua gabungan itu tidak melepasi majoriti mudah.

Dalam situasi parlimen tergantung, SPBYDA mempunyai kuasa budi bicara yang tidak boleh dipertikaikan, kerana budi bicara itu ada legitimasi undang-undang. Begitu juga apabila permohonan pertama Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat pada bulan Oktober 2021 ditolak oleh SPBYDA, setelah Muhyiddin terkejut dakwaan Anwar “kerajaan Muhyiddin tumbang’ dan dirinya ‘ada nombor yang memberansangkan.’

Walaupun timbul pelbagai desakan, cabaran dan kecaman, Muhyiddin tetap bertanggungjawab sebagai pentadbir, biarpun emosi rakyat semakin terkepung dan terkurung dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bahkan Muhyiddin pernah berbangga jika dirinya digelar Bapa PKP.

Keadaan menjadi semakin parah apabila Bersatu mula melenturkan PKP demi mencari kekukuhan kuasa dengan merancang PRN Sabah, yang akhirnya menyebabkan pandemik COVID-19 menjadi semakin mematikan. Peningkatan kes-kes jangkitan baharu itu kemudian digunakan oleh Muhyiddin untuk mendapatkan kebenaran kali kedua mengisytiharkan darurat. Akhirnya Muhyiddin berjaya, dan Muhyiddin sekurang-kurang mendapat panadol untuk menghilangkan desakan agar dirinya berundur.

Dalam keadaan itu, Muhyiddin sekali lagi membina fantasi politiknya. Sayangnya, Muhyiddin tersangkut kerana fantasi itu menyebabkan dirinya semakin lantang dikecam, dan akhirnya terpaksa melepaskan jawatan. Senario sedemikian sebenarnya patut dilihat sebagai sebab-sebab yang tidak memungkinkan Muhyiddin dilantik untuk kali kedua, kerana Bersatu sebenarnya tidak mempunyai keberanian untuk berhadapan dengan tekanan daripada sebahagian wakil rakyat yang menyokongnya ketika membentuk kerajaaan Perikatan Nasional/

UMNO menunjukkan sikap protes, kerana peranan UMNO dilihat sedang dikembirikan walaupun secara jelasnya, ikut memberikan sumbangan terbesar dalam kerajaan Perikatan Nasional (kedudukan kerusi yang berbaki selepas berlakunya exodus). Sekelompok wakil rakyat UMNO yang cukup selesa dengan jawatan menteri tidak senada dengan kepimpinan parti, akhirnya mereka ini disingkirkan menjadi calon pada PRU ke-15. Hanya Ismail Sabri Yaacob, walaupun dijadikan ‘poster boy’, selepas pembentukan kerajaan perpaduan, beliau dikembirikan. Kini, Ismail Sabri bergerak secara solo dan sedang menanti hasil pengajiannya di peringkat ijazah kedoktoran di UUM.

Dalam kepimpinan UMNO, Ismail Sabri tidak mempunyai apa-apa jawatan di peringkat pusat. Beliau yang tidak mempertahankan jawatan sebagai Naib Presiden UMNO pada pemilihan 2023, tetapi masih kekal sebagai Ketua Bahagian UMNO Bera dan Ahli Parlimen Bera. Belum ada niat bersara daripada politik, tetapi mengambil sikap ‘berjarak’ dengan kepimpinan UMNO dibawah pimpinan Zahid Hamidi. Sesekali muncul memberikan pandangan mengenai parti, tetapi pandangan dan komennya tidak disifatkan sebagai ‘politik toksik’.

Politik toksik yang menyerang UMNO lahir dalam kalangan mereka sudah berada di luar UMNO< termasuk yang digantung atau dipecat dan meninggalkan UMNO. Selepas PRU ke-15, bekas MB Perlis, Tan Sri Shahidan Kassim cukup mewarnakan politik toksik kerana meramalkan UMNO akan hancur apabila namanya tidak dipilih sebagai calon. Shahidan menyertai PAS, sebuah parti yang pernah dikecam dan dilondehnya, namun kerana diberikan peluang bertanding, hadirnya dilihat membawa gelombang kebangkitan dan kejayaan buat PAS di Perlis. PAS berjaya menguasai DUN Perlis buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia.

Sejak UMNO menjadi sebuah parti kerdil, semakin melebar politik toksik yang dihadapkan kepada parti yang pada suatu ketika cukup dihormati sebagai parti yang kuat, berkuasa dan sangat hegemonik. Banyak parti politik yang muncul akibat perbalahan dalam parti asal bercadang untuk menyertai BN, yang dipelopori oleh UMNO. Itulah fenomena politik yang telah dan sedang berkembang sehingga memaksa UMNO mencari solusi terbaiknya untuk dilihat tidak terhapus dalam dekad akan datang.

Politik toksik menjadi salah satu tema yang cukup signifikan dalam pembentangan solusi PAU 2024, di mana sekurang-kurang dua orang pemimpin tertinggi UMNO bercakap mengenainya. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Khalid Nordin mencadangkan agar UMNO mengisytiharkan perang atas segala bentuk politik toksik dan batil bagi mengangkat martabat orang Melayu.

Katanya: Bangsa yang tidak yakin dengan diri sendiri akan menjadi bangsa yang lemah, bangsa yang takut dan mudah ditakut-takutkan tidak akan memajukan dirinya. Hanya bangsa yang yakin, yang kuat pendiriannya akan menjadi bangsa yang unggul dan berketahanan.

Seruannya itu bertujuan mengajak orang Melayu agar terus yakin dan tidak termakan dengan politik toksik serta batil yang sedang dilakonlayarkan oleh musuh politik mahupun oleh orang politik dalam UMNO sendiri, juga bekas pendokong UMNO.

Bagi Khalid: Kita ada Raja Berperlembagaan. Kita ada pelbagai institusi kerajaan yang hampir semuanya diketuai oleh orang Melayu. Kita ada penjawat awam dan jangan lupa, kita ada Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara. Kesemua instrument ini yang menjadi ekosistem dan benteng yang sangat kukuh dalam melindungi orang Melayu.”

Namun sayangnya Khalid tidak merungkaikan wacana bagaimana untuk mengembalikan maruah orang Melayu yang dikaitkan dengan perlakuan-perlakuan yang cukup menggambarkan nilai kemelayuan itu semakin hancur. Antaranya, bagaimana rasuah semakin menjadi budaya, yang kini semakin menunjukkan pola yang cukup parah dan menepati ‘harap pegar, pegar makan padi’.

Begitu juga persoalan-persoalan jenayah yang semakin ramai membabitkan orang Melayu. Kalau dahulu kita dengar, jika pembunuhan kejam berlaku disebabkan rompakan, perselingkuhan suami/isteri, tetapi kini, ahli keluarga sendiri yang bertindak membunuh atas pelbagai alasan. Sebahagiannya disebabkan oleh penagihan dadah dan sebahagian kecilnya disebabkan oleh pelakunya berhadapan dengan masalah mental. Jika masalah mental menjadi puncanya, bagaimana cerdik pandai dalam UMNO boleh menyumbang untuk mengatasi krisis psikologi sedemikian.

Seorang lagi pemimpin UMNO yang bercakap mengenai politik toksik ialah Timbalan Presiden, Mohamad Hassan atau Tok Mat.  Sekali imbas, saya tidak faham kenapa ucapan itu mendapat tepukan gemuruh daripada ‘floors’, yang sepatutnya disambut dengan semangat untuk memerangi politik toksik, bukan bertepuk gembira.

Dalam ucapannya, Tok berkata: Pemerhatian saya, politik matang, sopan, bernas dan bersandarkan idea terbaik telah mati di persada politik orang-orang Melayu. Orang Melayu mesti disedarkan, bahawa politik kebencian dan toksik yang melampau ini, akan menjadikan kita anti akal, anti kebenaran dan anti segala-galanya.

Oleh kerana itu, pinta Tok Mat: UMNO mesti kembali menjadi ketumbukan politik yang rasional. Kita mesti menjadi armada yang memerangi politik toksik ini dengan ilmu, hikmah dan kebaikan.

“Jawapan kita, atau serangan balas kita, harus dengan akal, bukan nafsu dangkal/ Harus dengan data, bukan kata nista. Harus dengan hikmah bukan dengan fitnah.

“Masa depan UMNO adaa]lah sangat bergantung, kepada keberkesanan kita memerangai ‘politik toksik’ ini.

Secara umumnya, ucapan Tok Mat kedengarannya cukup kemas dan berbobot. Namun, apakah maknanya kepada setiap ahli UMNO sendiri sebelum mereka mampu berperang melawan ‘politik toksik’ itu? Saya tidak dapat bayangkan, kerana politik toksik itu muncul juga dalam kalangan ahli UMNO. Jadi, sudah sampai masanya ahli UMNO larut dalam keinginan ‘membersihkan diri, tazkiyatun nafs’, sebelum melancarkan perang terbuka terhadap orang lain yang menyebarkan politik toksik.

Ini penting, selagi jiwa dan rohani tidak bersih, politik toksik akan mengambil tempat tanpa mengira siapakah orangnya, dari orang biasa hinggalah elit politik yang berkuasa dan juga para agamawan yang bercapah hala tujunya, tidak terkecuali orang yang kita hormati sebagai penegak keadilan. Keadilan itu perlu difokuskan secara benar dan bertanggungjawab mengembalikan sesuatu ke tempat yang sepatutnya, bukan mencari kekeliruan teknikal dan kesilapan hujah para saksi. Keadilan wajib bersandarkan nilai agama, bukan hanya nilai moral yang seringkali berubah dan tertakluk kepada norma yang hilang makna spiritualiti.

Saya membuat rumusan itu kerana kenyataan-kenyataan memerangi politik toksik itu muncul dalam PAU 2024, kesemua ahli UMNO yang hadir adalah orang Melayu. Orang Melayu adalah beragama Islam, maka mereka sepatutnya menunjukkan suri teladan untuk berkembang sebagai pembentukan geografi politik mulia, matang dan tidak toksik.

Orang Melayu, atau orang Islam mestilah mampu mempraktikkan sehingga menjadi budaya apa yang Allah SWT perintahkan sebagai perbanyakkan amar makruf dan menolak kemungkaran (politik kebatilan), yang tersurat dan tersirat dalam al-Qur’an. Salah satunya, bermaksud:

“Janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah pula kamu memanggil-manggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk.” (al-Hujurat (49) ayat ke-11).

Akibat memanggil atau mencela orang lain telah menjadi budaya, maka politik toksik tidak akan dapat disekat daripada terus menjadi acuan sehingga kita terjepit dengan fenomena post-truth (langkau kebenaran) yang dipercepatkan oleh perkembangan pesat media sosial.

Juga harus diingat agar tidak mengulangi apa yang pernah berlaku pada Nabi Lut AS. Seseorang yang berlagak baik berusaha mengusir Nabi Lut AS, dan peristiwa itu dijelaskan dalam al-Qur’an dengan maksud:

“Tidak ada jawapan daripada kaumnya melainkan mereka berkata: Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar ini. Bahawasanya mereka ialah orang-orang yang (mendakwa) menyucikan diri.” (surah a-A’raf (7), ayat ke-82),

Kata Imam Al-Ghazali: “Kekalahan datang dari dalam diri kita, kitalah yang menciptanya dan tidak ada yang lain.” Itulah ertinya, diri sendirilah lebih utama untuk melaksanakan amar makruf dan menolak kemungkaran, kerana itulah sebenar hakikat insan yang sengaja Allah SWT jadikan daripada pelbagai unsur, tanah, air, api dan angin.

Tanah adalah asal kita (Nabi Adam AS), dan tanah adalah tempat kita disemadikan. Air menjadi sumber yang menghidupkan kita, tumbuh-tumbuhan dan yang terakhir dijadikan alat untuk membersihkan diri sebelum dikafankan. Api yang bukan sahaja menerangi kegelapan, mmberikan cahaya dan membolehkan kita memasak makanan yang lazat, tetapi api juga akan membakar kita jika tersalah langkah (di neraka), Angin adalah unsur yang memberikan kita kenyaman, dan angin juga menyebabkan kita mati dirempuh badai, Dalam diri, anginlah yang memainkan peranan untuk membolehkan hati terasa nyaman, sejuk dan tenang; angin juga akan menyebabkan perilaku laku menjadi ganas, kejam dan hipokrasi setelah kejujuran hilang daripada sarangnya.

Anginlah yang melahirkan politik toksik, kerana angin yang muncul akibat fantasi, imajinasi dan bayangan sentiasa dikawal oleh nafsu. Sebab itulah dalam menjalani hidup yang baik, setiap orang Islam, kata Iman al-Ghazali: kenali diri terlebih dahulu sebelum mengenali orang lain. Kenali diri itu membawa kita kepada mengenali Allah SWT. Oleh itu, bersihkan hati, kerana hati yang bersih itulah membawa kepada kebahagiaan sejati (abadi) bukan kerana hati kotor, maka mahu diambil semuanya, sehingga orang lain cukup merasakan sakit hati dan termakan hati. Itulah politik toksik, politik yang sedang kita hadapi sekarang.

Almrahum Buya Shakur (Abdul Syakur Yasin, 1948-2024) berkata: Ketika kamu berbuat baik kepada orang lain yang pernah berbuat baik kepadamu, itu namanya balas budi. Akan tetapi, ketika kam tetap berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat jahat kepadamu, itu tandanya kamu punya keluhuran budi.”

Sebenarnya. orang sangat memerlukan orang yang mempunyai keluhuran budi, kerana budi baik tidak mampu dibalas dan dilihat sebagai faktor pengikat. Apa yang orang mahu ialah  tindakan kita yang menggambarkan ‘keluhuran budi’ bukan cakap berdengar-dengar yang sedap didengar dan diberikan tepukan gemuruh oleh pendengar. Terutama dalam kalangan ‘orang politik’ kerana sejak berzaman orang politik dianggap ‘orang yang paling tidak dipercayai’ maka, berubah orang politik kepada ‘orang politik politik yang sangat dipercayai.’

Jika keluhuran budi menjadi hal yang cukup membumi dan kultus diri, kita memang ‘tidak ada masa untuk sakit kepala.

MONOSIN SOBRI

Translate »