Lokasinya di Kuala Lumpur; bentuk ceritanya berbeza. Cerita pertama ialah tragedi yang menyebabkan seorang wanita (pelancong asing) yang khabarnya dua hari lagi akan pulang ke negara asalnya (India) jatuh ke dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India, berhampiran Malayan Mansion dan proses pencariannya sudah memasuki hari ketujuh, belum ada petunjuk positif untuk menemuinya sama ada dalam keadaan selamat atau mati.
Wanita (juga seorang ibu), Vijayaletchumy, 48 pada pagi Jumaat (23 Ogos 2024) dalam perjalanan ke sebuah kuil berhampiran, dan setibanya di laluan pejalan kaki di situ, blok-blok batu yang diatur sebagai laluan pejalan kaki itu tiba-tiba tenggelam menyebabkan dia terjatuh. Hal itu turut menyebabkan salah seorang pemuda yang sedang berehat di bangku simen ikut terjatuh, namun pemuda itu mampu melompat naik.
Wanita malang itu dilaporkan terjatuh ke dalam lubang berkedalaman 8 meter (25 kaki) dan lebih malang lagi, lokasi tersebut merupakan luring kumbahan Indah Water Konsortium (IWK). Jumaat itu benar-benar merupakan hari sedih buat keluarga Vijayaletchumy, yang kemudiannya turut dikongsikan oleh masyarakat umum apabila berita tanah jerlus tersebar luas menerusi media sosial.
Pihak berkuasa yang mendapat maklumat tersebut terus menggerakkan proses pencarian dan penyelamat, dengan menggunakan pelbagai kaedah, tetapi sehingga hari kelima belum menemuinya. Di tengah-tengah kesedihan itu, mucul pelbagai andaian, yang cuba menakut-nakutkan masyarakat awam, dan amat mendukacitakan dakwaan bahawa di dalam tanah di Kuala Lumpur ada gua besar yang kosong, yang menunggu masa untuk runtuh.
Sabtu lalu, muncul di media sosial teori ‘gua kosong’ itu diberikan oleh seorang pakar geologi (kaji bumi) bernama Dr Sarah Jamal yang mengajar (berkhidmat) di Universiti Malaya. Sebaik sahaja maklumat itu tersebar, Universiti Malaya mengambil tindakan cepat dengan menafikan bahawa Dr Sarah Jamal adalah pakar geologi yang sedang berkhidmat. Turut dinafikan bahawa tiada ada kakitangan UM yang bernama Dr Sarah.
Masyarakat awam merasai sedikit lega apabila dakwaan Dr Sarah itu adalah palsu. Selepas itu, muncul pula sebuah peta yang menggambarkan situasi geologi Kuala Lumpur dan beberapa kawasan berhampiran (sempadan antara Wilayah Persekutuan dan Selangor).
Peta itu memberikan maklumat bahawa hanya ada beberapa kawasan yang dikatakan selamat, iaitu sekitar Taman Tun Dr Ismail yang terletak antara Segambut dan Damansara, tetapi Segambut dan Kepong termasuk lokasi yang tidak selamat. Lokasi yang paling tidak selamat ialah Ampang, yang sebahagiannya ada di Selangor dan sebahagiannya ada di Kuala Lumpur, termasuk Keramat, Cheras dan Pudu.
Sekali lagi masyarakat merasa takut kerana peta itu turut menegaskan bahawa Kuala Lumpur tidak lagi selamat dari segi geologi, dan sebelumnya, Forbes Advisor 2024 meletakkan bandar raya yang sangat kita kagumi sebagai bandar raya ke-29 (daripada 60 buah bandar raya yang gemar dikunjungi oleh rakyat Amerika Syarikat) berisiko (disamakan dengan tidak selamat atau bahaya), dank ke-5 di Asia.
Dapatan tinjauan pendapat itu menyebabkan sebahagian daripada kita mempersoalkan ‘kebenaran’nya, manakala sebahagian lagi mempercayainya kerana ada pengalaman pedih, yang mungkin akan terus berlaku di Kuala Lumpur, seperti keselamatan diri (ragut, pecah rumah, pergaduhan dan konflik perkauman), keselamatan sosial (ditangkap atau didakwa kerana menyiarkan mesej jelek, memburuk-burukkan oragnisasi dan orang perseorangan, dan ikatan sosial yang semakin longgar), dan jaminan-jaminan lainnya (ditangkap semasa berhibur, minum arak di tempat awam atau terbuka, dan melanggani pelacur).
Kesemua tujuh faktor yang dijadikan variable (angkubah) oleh Forbes Advisor itu adalah kelaziman yang sangat dituntut oleh pelancong, terutama pelancong yang berbeza citra budayanya dengan masyarakat Malaysia.
Cerita kedua ialah juga berkaitan dengan ketakutan, tetapi ia tidak merujuk secara khususnya mengenai Kuala Lumpur. Cerita ketakutan kedua ialah bagaimana sesuatu pandangan boleh memberikan kesan yang jika tidak dapat dikawal akan merebak kepada pergaduhan yang juga boleh menghasilkan konflik berpanjangan dan tragedi. Biarpun perbalahan itu dianggap kecil, kesannya sangat besar dalam bentuk psikologi, pemikiran dan ‘rasa dendam’.
Setelah tidak berpuas hati kerana tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, akibat ‘menolak’ atas kepentingan ego sendiri, ia menyebabkan dakwaan-dakwaan politik terus dikeluarkan dalam bentuk kecaman. Sebelum kecam mutakhir dibuat, sebagai reaksi kekalahan dalam PRK Nenggiri, sahabat politik yang kalah cuba menyalahkan parti yang menang, dengan membuat generalisasi yang cukup tergesa-gesa.
Ia menjadi semakin menguat apabila salah seorang pemimpinnya (sahabat utama dan tertinggi dalam pakatan tersebut) dihadapkan dengan persoalan menghasut, yang dikaitkan sebagai satu bentuk percubaan untuk mempertikaikan asas-asas pembentukan kerajaan perpaduan yang ditolaknya sendiri. Pada pandangan kelompok sendiri, kelompok merekalah yang sepatutnya dipanggil untuk mengangkat sumpah jawatan tertinggi sebagai pengurus, pentadbir dan kemuncak kuasa dalam sistem demokrasi, kerana mempunyai ‘bilangan lebih daripada cukup’.
Ada usaha untuk mensabotaj, Namun, bagaimana sabotaj itu dikatakan berlaku, tidak diberikan maklumat yang cukup dan bertepatan dengan kehendak sistem dan peraturan yang sedang berkuat kuasa. Atas sebab itulah didakwa, pembuat keputusan tersebut seolah-olah tidak berlaku adil, memilih kelompok lain untuk mengangkat sumpah jawatan. Persoalan itu menjadi hal cukup kontroversi, menyebabkan 30 laporan polis dibuat.
Polis akhirnya memanggil orang membuat kenyataan tersebut untuk disiasat. Pada 21 Ogos 2023, orang itu dirakamkan percakapannya, dan kemudian, laporan mengenainya dihantar ke pihak pengadilan untuk ditentukan sama ada boleh didakwa atau tidak. Bab penyiasatan selesai, dan kerana proses siasatan itu berlaku dalam tempoh yang cepat, maka didakwalha bahawa ia cukup tergesa-gesa, seolah-olah muncul satu lagi bentuk konspirasi.
Setelah dimulakan pendakwaan, muncul pula komen mengenai kerajaan perpaduan kerana menggunakan Akta Hasutan untuk menyeret orang kena tuduh (OKT). Suku-sakat sekandang OKT membuat pula kenyataan, kerajaan perpaduan menyalahgunakan Akta tersebut, sedangkan ianya sejak sekalian lama dianggap sebagai ‘undang-undang draconian (zalim) dan pernah dijanjikan akan dihapuskan. Keluar pula kenyatan, Akta itu pernah ditangguhkan ketika OKT berkuasa.
Tidak perlu kita ambil pusing berdebat apakah Akta itu zalim atau tidak, perlu atau tidak untuk memperlihatkan munculnya masyarakat sivil di Malaysia. Dalam konteks sekarang, masyarakat sivil pernah dikaitakan dengan masyarakat madani. Kebetulan kerajaan perpaduan sedang giat mempromosikan masyarakat madani, dan kerangka teoritikalnya sudah ada, proses ke arah itu sedang diterjemahkan secara menyeluruh, berintegrasi dan mendasar.
Di tengah-tengah kekalutan itulah muncul dakwaan yang berkembang daripada rasa tidak puas hati suku sakat sekandang, tetapi kali ini dibuat dalam kongkolikong agama. Pemimpin tertinggi dalam kem parti politik yang berideologikan agama (istilah Bassan Tibi, seorang sarjana Syria-Jerman, memangilnya sebagai Islamisme), menyelar sebuah parti lain yang menjadi pernah bermusuh, kemudian berkawan, bermusuh sekali lagi sebagai ‘lebih dajal daripada dajal’.
Ia merupakan pelabelan yang cukup mengecewakan, dan ia merupakan kesinambangungan dakwaan sebelumnya, termasuk boleh membaca doa qunut nazilah kerana parti itu dikatakan ‘zalim’ dan ‘tidak Islamik’, biarpun semua ahlinya adalah beragama Islam (bersyadah dengan dua kalimah syahadah), membca kitab suci yang sama (al-Qur’an) dan kiblat yang sama (Baitullah).
Kata-kata itu kemudian dijawab. Dijawab dengan sindiran tajam sehingga orang yang melabelkan itu terasa goyah. Dalam kegoyangan itulah orang yang mencetuskan label sedemikian mula melabun, dengan harapan kesilapan dalam membuat teguran tidak terbuka luas. Reaksinya sekali lagi menggunakan cebisan sejarah silam, dengan menyifatkan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat tidak melenting apabila ditegur, dikecam atau dihina, sebaliknya sedia bermuhasabah diri.
Cantik reaksi tersebut, namun hakikatnya, orang yang memberikan komen itu sendiri tidak memperlihatkan dirinya cukup bermuhasabah diri dalam beberapa persoalan yang dikaitkan dengan pendirian atau fatwanya sendiri. Orang mula ingat kembali bagaimana ditolak untuk menjawab bila ada yang bertanya tentang fatwa syuhadah Memali (1985) setelah ada fatwa yang berbeza.
Akibat tidak mahu menjawab dan menjelaskan pertanyaan, maka orang bertanya pula diserang dengan berkata: soalan syaitan. Soalan syaitan kerana bertanyakan fatwa yang sebahagian ulama telah mentafsirkan kematian tersebut seumpama ‘mati katak’, bukan sebagai syuhada, kerana fatwa identiknya diterjemahkan sebagai ‘jihad’ apabila bangkit mempertahankan ideologi politik parti tersebut. Inilah bahayanya bila agama yang suci, syumul dan sangat rahmah digunakan untuk membangun sebuah cita-cita politik yang bersifat takfiri.
Perlabelan sedemikian adalah suatu tindakan untuk menakut-nakut umat Islam daripada menyokong parti politik yang berbeza pendekatan dan ideologi, sedangkan kita tahu Islam bukanlah hadir sebagai sebuah ideologi. Islam hadir sebagai cara hidup yang berpandukan wahyu oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat untuk membangunkan kehidupan yang akhlak. Tetapi bila Islam dijadikan ideologi, ia menjadi semakin ketara menjauhi akhlak, termasuk akhlak menegur seseorang yang berbuat silap dan juga seseorang yang memimpin jika kepimpinannya itu tidak berlandaskan politik mulia, gagasan politik yang diutamakan sebagai tanggungjawab oleh Islam.
Apabila menegur seseorang, mereka gemar menggunakan teladan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan ulama-ulama besar, namun dalam memainkan peranannya untuk meraih pengaruh, tiba pula teladan seperti itu diambil panduan, sebaliknya lebih cenderung menjadi pengadu-domba. Hakikat inilah akhirnya ujaran kebencian, dimensi politik ketakutan menjadi proses politik yang cukup mengecewakan, dan boleh menyebabkan umat Islam berpecah belah, seumpama kisah khawarij yang akhirnya telah membunuh Khalifah Utsman bin Affan RA.
Khalifah Utsman adalah sahabat Rasulullah SAW yang cukup beriman, dan Nabi Muhammad SAW sendiri telah menjamin sebagai salah seorang penghuni syurga. Ertinya, seorang yang dijamin sebagai penghun syurga sekalipun dibenci, difitnah dan akhirnya dibunuh kerana kepentingan politik. Itulah sebabnya, kita haru berhat-hati dengan pendirian ulama politik, kerana mereka sebenarnya akan melakukan apa sahaja demi kuasa, walaupun katanya, cukup beristiqomah seumpa kura-kura hijau, biar lambat untuk sampai ke destinasi, kerana proses mentarbiyah manusia politik bukan sesuatu yang tergesa-gesa.
Cantik bunyinya, walhal apa yang dipraktikkan sangat tergesa-gesa. Jika tidak tergesa, kenapa ada kenyataan menipu seperti undilah kami, kamu akan masuk syurga. Undilah kami, kamu tidak akan masuk neraka. Sokonglah kami, kerana kami membawa Islam. Kami akan jamin Islam akan selamat. Apakah secara lahirnya agama Islam itu tidak selamat? Sedangkan makna Islam itu sendiri sebagai selamat, selamat di dunia dan juga di akhirat jika setiap daripada kita berpegang teguh dan tidak berpecah-belah.
Timbul pula pertanyaan apakah orang yang memberikan nasihat agar orang lain sedia bermuhasabah diri itu benar-benar ikhlas? Dalam satu kisah, at-Tarmidi menyampaikan sebuah riwayat daripada Shufayya al-Ashbahi, yang memasuki Madinah dan melihat seorang lelaki yang dikerumuni orang ramai. Lelaki itu adalah Abu Hurairah RA.
Setelah selesai mengajar, tidak ada lagi orang mengerumuni Abu Hurairah, maka bertanyalah Sufayya al-Ashbahi: “Aku bertanyakan kepadamu dengan kebenaran, bolehkah kamu menceritakan kepadaku sebuah hadis yang kamu dengar daripada Rasulullah SAW yang kamu memahami dan mengetahuinya?”
Abu Hurairah RA pun menjawab: “Aku laksanakan, sesungguhnya aku ceritakan kepadamu hadis yang diceritakan oleh Rasulullah SAW kepadaku di rumah ini tidak ada bersama kami seorang pun selain aku dan baginda”. Lalu Abu Hurairah menangis dan setelah berhenti menangis, beliau berkata: “Sesungguhnya aku menceritakan kepadamu di rumah ini tidak ada berserta kami seorang pun selain aku dan baginda.”
Setelah beberapa kali menangis dan menjelaskan tidak ada orang lain, selain dirinya dan Rasulullah, dalam keadaan selepas jatuh tersembam, Sufayya memangku badan Abu Hurairah dan tidak lama kemudian, Abu Hurairah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda dengan maksud:
“Allah Taala apabila tiba hari kiamat, Dia turun menghadapi hamba-hamba-Nya untuk memutuskan antara mereka, dan setiap umat membongkok. Orang pertama yang dipanggil adalah orang yang menghafal al-Qur’am, orang yang terbunuh di jalan Allah dan orang yang banyak wangnya. Lalu Allah SWT berfirman kepada orang yang menghafal al-Qur’an :Bukankah Aku mengajar kepadamu apa yang Aku turunkan atas utusan-Ku?” Dia menjawab: Ya! Wahai Allah.” Allah bertanya: Apakah yang telah kamu lakukan daripada apa yang kamu ketahui?” Dia menjawab: “Aku bangun waktu-waktu malam dan waktu-waktu siang untuk mengamalkannya.” Allah berfirman kepada: “Kamu bohong” dan malaikat berkata: Kamu bohong” dan Allah berfirman kepadanya: Tetapi kau menghendaki agar kamu disebut orang yang sifulan itu ahli baca al-Qur’an dan telah disebut demikian itu.”
“Dan dihadapan orang yang memiliki banyak wang, Allah bertanya: Bukankah Aku melapangkanmu sehingga Aku tidak membiarkan kamu memerlukan pertolongan seseorang?”. Dia menjawab: Ya! Wahai Allah.” Allah bertanya: Apakah yang telah kamu lakukan terhadap apa telah Aku berikan kepadamu?”. Dia berkata: Aku menyambung hubungan keluarga dan bersedekah.” Allah berfirman kepadanya: “Kamu bohong,” dan malaikat berkata kepadanya: “Kamu bohong”, dan Allah berfirman: “Tetapi kamu menghendaki agar kamu disebut sebagai seorang yang dermawan dan telah disebut demikian.”
“Dan, kemudian dihadapkan orang yang terbunuh di jalan Allah lalu Allah bertanya: Untuk apa kamu terbunuh?”. Dia menjawab: Engkau perintahkan (kami) berjihad di jalan-Mu, lalu aku berperang hingga terbunuh.” Allah menjawab kepadanya: Kamu bohong” dan malaikat berkata: Kamu bohong.” Allah berfirman: Tetapi kamu menghendaki disebut orang yang pemberani lau telah disebut demikian.” Kemudian, Rasulullah SAW memukul lututku lalu bersabda: Wahai Abu Hurairah, mereka bertiga adalah makhluk Allah yang pertama dinyalakan api neraka pada hari kiamat.” (at-Tarmidhi, hadis no 2499; Ibnu Majah, dan Abdul Baqi meriwayatkan pada hadis no.4251; dipetik dari Muhd Salih al-Munajid, Kaedah Rasulullah SAW Menegur Kesilapan, P.Jaya: Dakwah Corner Bookstore (M) Sdn Bhd., certakan ketiga, 2021, hal. 15-16).
Maksudnya, dalam membuat sebarang komen, menyatakan pendapat dan mencari sesuatu pengaruh, ingatlah bahawa setiap kata-kata itu mestilah mengandungi kebenaran, buka berlagak seperti semua diri kita tahu, walhal apa yang kita katakan itu sebenarnya apa yang kita tidak tahu, kita mungkin terpengaruh atau menjadi taksub kerana termakan apa yang dinamakan sebagai indoktrinasi.
Dalam kes mengapa Kuala Lumpur digambarkan sebagai ‘tidak selamat’, ia mungkin ada kaitannya untuk ‘melarang secara halus’ agar rakyat Amerika Syarikat tidak melancong ke mana-mana bandaraya di mana negara berkenaan mendokong Palestin, sebabnya dalam persepsi mereka Palestin adalah negara yang dianggap pengganas.
Dalam mempercayai sesuatu label, kenyataan dan penentuan seseorang, sesebuah organisasi ataupun pertubuhan, kita hendaklah berusaha melihat secara saksama ‘track record’ bagi membolehkan kita mempunyai pandangan yang tepat dan memadai. Tidak cukup dengan hanya mendengar pelbagai ujaran, kerana penyebarnya ada ‘udang di sebalik batu’, ada agenda yang hendak diraih sehingga menimbulkan budaya jumud, budaya yang terkongkong dan tidak menepati makna Islam itu sendiri sebagai cara hidup yang dinamik dan sesuai untuk setiap zaman.
Benar kita boleh merasa takut bila sesuatu tragedi berlaku, tetapi tidak bermakna ketakutan itulah yang akan membunuh ikhtiar dan menyangkal makna takdir. Takdir akan tetap hadir, tetapi, ia tidak akan mematahkan semangat untuk kita berfikir, mengatasi cabaran dan berserah kepada Allah SWT Yang Maha Kuasa dan menentukan segala-galanya. Kita masih yakin, Kuala Lumpur adalah tempat tinggal yang selamat, dengan syarat setiap daripada kita tidak terus membebani berat bumi dengan sampah-sarap, bebanan berat dan konflik berpanjangan, termasuk konflik dengan alam sekitar sehingga Kuala Lumpur sangat rawan dengan banjir kilat dan sebagainya.
Setakat ini, tidak ada tegahan oleh mana-mana pakar untuk membina kediaman, premis perniagaan di kawasan yang berbatu kapur, yang menjadi asas utama geologi semula jadi Kuala Lumpur. Apa yang perlu ditegaskan, setiap kali pembangunan ingin dilaksanakan, ia wajib dinilai secara mutlak sebagai ketentuan keselamatan, termasuk permukaan dan sifat geologi tanah di Kuala Lumpur.
Jika ada penambahan sistem yang hendak dilaksanakan, sistem itu perlu dilaksanakan secara tepat dan berkesan, bukan sekadar menampal mana-mana jalan yang dibelah untuk laluan paip, luring kumbahan, kabel telekomunikasi, kabel elektrik dan sebagainya, dan bila berlaku tanah jerlus, cukup sukar untuk dilakukan proses pencarian dan penyelamat.
Berfikirlah secara bijaksana, bukan sekadar menampakkan kecerdikan diri sendiri. Bertindaklah secara berhemat, kerana apa yang kita ucapkan mencermin diri dan personaliti yang kita miliki. Berlapang dadalah menerima musibah, kerana musibah ujian yang dapat mematangkan seseorang agar lebih mengenali diri, dan bersyukur di atas rahmat-Nya.
Tindakan menyalah, menuding jari dan mengecam orang lain tidak akan menyelesaikan masalah, malah tindakan itu boleh menimbulkan konflik, yang jika tidak dapat dikawal, boleh mengundang perbalahan, kekacauan dan boleh menyebabkan Kuala Lumpur menjadi ‘bandar berhantu’ dan parti politik hilang daripada matlamat asalnya, menyatukan pendapat dan keinginan agar lebih kuat dan dihargai, bukan dibenci dan dihina umpama sebuah sarkas yang direprentasikan oleh pelbagai binatang buas.
Dalam kumpulan binatang buas, singa sekalipun walaupun dianggap sebagai raja, singa cukup setia mempertahankan rukun hidupnya, saling membantu dan bukan bercakaran seumpama Black Widow, lelabah yang sanggup membunuh pasangannya selepas selesai bersenggama, kerana takutkan lelabah jantan mencari pasangan yang lain.
Saya melihat dua kisah tersebut cukup mengecewakan apabila ianya terus dieksploitasi dan pihak yang memberikan pandangan tidak saling bermuhasabah diri, sebaliknya meminta orang lain bermuhasabah, dan dalam masa yang sama, terus mempertahankan tindakan sendiri yang tidak sepatutnya dibuat, kerana Islam sangat mementingkan persaudaraan, tegur menegur secara berhemah dan sepatutnya orang beriman mendoakan agar yang dianggap salah dibukakan pintu hatinya untuk kembali menunaikan tanggungjawab memperbanyakkan amar makruf, serta menyingkirkan nahi mungkar.
MONOSIN SOBRI
Recent Comments