Ingatkah kita kepada tagline kempen ubat penahan sakit popular Panadol? Setiap orang yang menonton tv rasanya boleh menyebut tagline itu dengan jelas: Adakah saya ada masa untuk sakit kepala? Jawabnya, ramai orang sudah rasa sakit kepala dengan kenyataan Muhyiddin, yang mengundang kontroversi besar.

Muhyiddin seumpama telah mengetuk paku yang betul untuk bengkokkan situasi politik negara kerana masih berkhayal untuk jadi Perdana Menteri sekali lagi. Pengerusi DAP Johor, yang juga Timbalan Setiausaha Agong DAP Pusat, Liew Chin Tong menjelaskan: “Ia adalah cerminan menyedihkan tentang fantasi yang tidak kesampaian. (Sinar Harian, 24 Ogos 2024)

Apakah Muhyiddin sedang berfantasi? Jawabnya ada benar dan kebenaran itu tidak boleh disangkal oleh sesiapa pun yang mendengar atau membaca laporan berasaskan ucapan Muhyiddin. Kita mendengar banyak kali Muhyiddin cuba mengangkat bakul sendiri untuk melenyapkan kesan gelisah masyarakat ketika beliau melaksanakan PKP dan seterusnya menjadikan Proklamasi Darurat dengan khabar baik bahawa ekonomi negara pada masanya adalah lebih cergas dan meningkat naik berbanding ketika ini.

Anak sekolah pun tahu bercakap. Muhyiddin sebenarnya cuba sembunyikan kegagalannya. Muhyiddin cuba menidakkan usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan perpaduan sehingga nilai ringgit sudah menunjukkan keteguhan dan menjadi mata wang yang semakin mengukuh. Pelaburan asing mula mengalir masuk dan indeks BSKL sudah melepasi paras psikologi.

Sebagai parti pembangkang, semua kelebihan-kelebihan itu cuba dinafikan. Bahkan Muhyiddin cukup gemar memperbodohkan orang lain, termasuk Anwar Ibrahim yang dikatakan sebagai orang yang ‘tidak layak’ (sebelumnya, menggelar Anwar sebagai PM Ikat Tepi), setelah SD yang diserahkan sehari selepas keputusan PRU ke-15 diumumkan tidak membolehkan dirinya dipanggil untuk mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri sekali lagi.

Muhyiddin cukup bernostalgia dengan Langkah Sheraton. Langkah Sheraton membolehkan dirinya dipilih sebagai Perdana Menteri, dan akibat gagal, Muhyiddin sekali lagi menggunakan ‘jalan belakang’ untuk menjatuhkan kerajaan yang sudah diberikan kuasa secara sah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Muhyiddin dan suku sakatnya berusaha menimbulkan ‘keputusan yang salah’ kerana Anwar dilantik sebagai PMX.

Itulah yang berlaku sejak Anwar berjaya menubuhkan kerajaan perpaduan, yang pada pandangan umum, Muhyiddin tidak layak untuk bercakap kerana beliau sendiri memilih jalan yang bertentangan. Muhyiddin bersama Haji Hadi memilih untuk kekal sebagai pembangkang, Jadi, persoalan sama ada sah atau tidak berkenaan perkara itu tidak timbul lagi.

Kalau Muhyiddin menyatakan bahawa dirinya yang paling layak, apa buktinya? Apakah Akaun Berkanun itu hanya satu-satunya kaedah legitimasi kuasa? Sebenarnya, setelah berkuatkuasanya Akta Anti Lompat Parti, SD tidak lagi menjadi syarat membuktikan seseorang mempunyai ‘nombor yang cukup’.

Akta itu tidak memberikan pengesahan kepada mana-mana wakil rakyat untuk menandatangani surat sokongan kepada seseorang di luar parti yang diwakilinya, kerana keputusan enbloc menjadi kriteria.

Ia berbeza dengan episode ‘kerajaan tebuk atap’ yang dibentuk selepas Langkah Sheraton. Itupun tidak bermakna SD yang dikumpulkan itu sebagai satu-satunya kriteria. Kita tahu, dalam menyelesaikan kemelut itu, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong memanggil semua wakil rakyat untuk menyatakan sokongan di hadapan baginda.

Dari situlah keputusan kemudiannya dibuat, yang akhirnya dipersetujui Muhyiddin untuk mengangkat sumpah sebagai PM 8. Ketika itu belum ada Akta Anti Lompat Parti.

Dalam episod pasca PRU 15, ia berbeza sedikit. Kalau selepas Langkah Sheraton terbentuknya pakatan untuk bergabung, maka cadangan penggabungan dicadangkan kembali oleh SPBYDA bagi membolehkan kestabilan politik diwujudkan. Muhyiddin dipanggil untuk tujuan tersebut, tetapi Muhyiddin tidak bersetuju.

Anwar kemudian dipanggil, Anwar setuju. Zahid dipanggil, tapi Zahid tidak memberikan keputusan ketika itu, sebaliknya meminta penangguhan sehingga esok, sebabnya, perlu dirujuk kepada keputusan AMT parti.

AMT memberikan persetujuan dengan syarat isu 3R tidak dibangkitkan dan DAP wajib menghormatinya jika mahukan BN bekerjasama. Janji itu telah dibuat dan Setia Usaha Agongnya, Anthony Loke berjanji untuk tidak melakukannya. Itu adalah apa yang diberitahu oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

DAP janji hormati empat perkara dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam dan institusi Raja. Menurut Zahid:

Jangan takut. Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan) dan Dr Zambry (Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datu Seri Dr Zambry Abdul Kadir) bersama saya antara tujuh individu yang bertemu pemimpin DAP sebelum kerajaan Perpaduan dibentuk.

Soalan pertama saya (pada DAP) sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO adalah apa pendirian mengenai Islam kita setuju bekerjasama dengan DAP? Bagaimana dengan kedudukan Bahasa Melayu? Apa pandangan DAP terhadap institusi Raja? Ini semua soalan yang saya tanya pada mereka.

“Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke) jawab bahawa pimpinan baharu DAP akan patut dan setuju dengan segala yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk empat perkara ini. Apa lagi soalan nak dibangkitkan” dan kerana itu tidak perlu dibimbangkan dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan kerana beliau tidak akan menjual UMNO dan BN. (Berita Harian, 6 Disember 2022).

Tapi, PN terus menjaja bahawa kerajaan perpaduan adalah tidak menepati konsepnya. Presiden PAS memberikan huraian yang cukup panjang, dan kerajaan perpaduan yang dibentuk ketika ini adalah berbeza dengan ‘unity government’ yang pernah dicadangkan pada suatu ketika, yakni ketika dirinya merasakan PAS sedang bertelagah dari dalam.

Walaupun dirinya adalah Presiden PAS yang dipilih oleh perwakilan, apa yang diutarakannya sentiasa mendapat ‘pukulan kilas’ oleh sekelompok lagi kepimpinan PAS yang bukan dipilih oleh perakilan,  kelompok yang dilantik.  Orang yang paling kuat mahu menentukan PAS ialah Mursyidul Am PAS, yang juga MB Kelantan, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Unity government cukup menyebabkan PAS seakan-akan terbelah jika penyelesaian tidak ditemui. Atas sebab itu Mursyidul Am PAS mengeluarkan kenyataan tegas untuk ‘membuang buah busuk’, suatu tindakan yang meletakkan Presiden PAS dan timbalannya Nasharudin Mat Isa dalam situasi yang serba salah.

Hubungan kerjasama dalam Pakatan Rakyat mula timbul ketidakserasian apabila Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng meminta agar PAS memberikan penjelasan mengenai ‘unity government. MB Kelantan (Nik Aziz) membangkitkan usahanya menyiram dan membajai parti (alias, nakhoda parti) selepas PAS dipecat daripada BN (1977),  Justeru, beliau sangat tercabar dengan cadangan ‘unity government’, dan pada hari ini, Presiden PAS sangat alergik bila kerajaan yang dibentuk oleh Anwar Ibrahim itu adalah kerajaan perpaduan.

Akibat alergik itu, seperti disebut oleh bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairudin Aman Razali, siang dan malam PAS dan Bersatu cuba memahat rumah yang sudah siap dibina. Tindakan itu seumpama rumah siap, pahat sentiasa diketuk siang dan malam tanpa henti.

Namun, yang sangat mendukacitakan ialah terlalu kerap ketukan itu tidak menyebabkan paku benar-benar mengikat, hanya sekadar mahu menjadikan paku yang lurus menjadi bengkok. Apabila paku bengkok, maka ia ditinggalkan. Pada imaginasi mereka, dengan lebih banyak paku bengkok, rumah akan senget dan akhirnya runtuh.

Sayangnya, rumah yang diketuk pakunya siang dan malam hingga kini hampir dua tahun belum ada petanda akan runtuh. Sebaliknya, penukul yang digunakan mengetuk dinding, atap dan tiang semakin terserpih. Ini bermakna, hujah-hujah yang dilontarkan tidak mampu meruntuhkan rumah sebaliknya, para penukul semakin kehilangan arah, sasau dan kadangkala hidup dalam dunia fantasi.

Muhyiddin menjaja fantasinya, dan kali ini mempertikaikan keputusan SPBGYDA tidak memanggilnya mengangkat sumpah, walhal 115 SD yang berjaya dikumpulan ‘lebih daripada cukup’ untuk menjadikan dirinya sebagai PM sekali lagi. Sebenarnya, sebahagian rakyat pun tidak merasakan Muhyiddin akan berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan sempurna.

Bahkan, Dr Mahathir yang berpengalaman selama 22 tahun pun gagal mentadbir negara (mengulangi atau lebih baik daripada kejayaan semasa menjadi PM 4). Dalam tempoh beberapa bulan, political bashing menjadi semakin meluas. Akhirnya Dr Mahathir dianggap sebagai pemimpin yang gagal.  Gagal membentuk barisan kabinet yang seia sekata dan gagal mematuhi persetujuan yang dipersetujui sebelumnya.’

Antaranya melaksanakan reformasi pentadbiran, sebarang pelantikan dalam jawatan utama perkhidmatan awam perlu melalui Jawatankuasa Khas, bukan atas keputusan mutlak Perdana Menteri, dan yang paling dahsyat ialah serangan dari dalam apabila Dr Mahathir menerima ‘katak’ menganggotai Bersatu dan hadir ke majlis yang dianjurkan oleh gabungan IPTA berkenaan orang Melayu dan masa depannya.

Dakwa Muhyiddin, dirinya ‘cukup nombor’ dan ‘lebih daripada cukup’. Tetapi, Muhyiddin terkilan apabila tidak dipanggil angkat sumpah. Sebab itu dia cerita di Felda Perasu, ketika berkempen untuk PRK DUN Nenggiri, pada hari terakhir kempen (15 Ogos 2024), sebelum hadir di, ‘grand finale’ pada malamnya di Bertam Baru.

Ceritanya, dakwa Muhyiddin adalah fakta, jadi tidak ada sebab untuk menuduhnya cuba mempertikaikan kuasa budi bicara SPBYDA. Maka, panggilan Muhyiddin untuk memberikan keterangan oleh PDRM adalah fakta, PDRM bertindak atas fakta, yakni laporan yang diterima dan proses itu adalah fakta yang wajib Muhyiddin lalui.

Cuplikan video mengenainya tular di media sosial. Namun, MP Machang, Wan Ahmad Faysal mendakwa, video itu sengaja disunting dan ditular dengan tujuan memburuk-burukkan Muhyiddin.

Apa yang cuba diperjelaskan oleh Wan Ahmad Faysal sebenarnya tidak berusaha menjawab tuduhan, sebaliknya sekadar menegaskan bahawa beliau menjadi saksi dan melihat sendiri 115 SD, kerana beliau adalah salah seorang yang menandatanganinya. Sayangnya, Wan Ahmad Faysal yang dijolokkan sebagai Mat Jargon tidak mengulas perihal ‘fitnah’ dan menolak dakwaan Muhyiddin ‘menghina SPBYDA’.

Fakta 115 SD pun tidak diberikan penerangan yang mendalam, hanya sekadar nombor sahaja. Tidak dijelaskan siapakah yang menanda tanganinya, yakni 113 orang lagi setelah ditolak dirinya dan Presiden Bersatu.

Jika diambil andaian semua 73 (1 wakil rakyat belum dimuktamadkan kerana diadakan pilihan raya berasingan setelah salah seorang calon yang bertanding meninggal dunia, iaitu di Padang Serai, Kedah), masih perlu dijelaskan siapakah 40 atau 42 orang yang dimaksudkan?.

Dalam fantasi Muhyiddin, dengan mendedahkan jumlah SD yang berjaya dikumpulkan, rakyat akan percaya dan pengundi Nenggiri akan mengekalkan kemenangan PN di kerusi itu. Sayangnya, di Daerah Mengundi (DM) Bertam Baru, lokasi ‘grand finale’, calon PN berlogokan PAS terpaksa akur dengan kekalahannya.

Hanya tiga (DM) calon Bersatu cengkerang PAS menang, iaitu di Ladang SEDC, Pasir Tumboh dan Kesedar Limau Kasturi. DM Bertam Baru, calon Bersatu cengkerang PAS tewas  dengan majoriti 177 undi.

Ertinya, di DUN Nenggiri yang dikatakan kawasan tradisi milik BN benar-benar menyebabkan mimpi PN untuk mengekalkan kerusi tersebut dihanyutkan oleh air Sungai Nenggiri, yang sedang ditakung untuk membangunkan Empangan Nenggiri. BN menang 17 daripada 20 DM.

Asalnya, pendedahan itu dianggap sebagai peluru terakhir yang mampu ‘membunuh harapan’ buat calon BN, yang lebih energetik dan membumi berbanding calon Bersatu yang bercengkerangkan PAS.

Permulaan itu sudah membuatkan PN gelisah, dan muncul dengan harapan baharu, boleh menang sekiranya rahsia bagaimana ‘strategi politik’ telah menghancurkan impian besar, yang sebenarnya ‘pintu belakang’

Atas sebab itu, Bukit Aman sudah merakamkan penjelasan Tan Sri Muhyiddin Yasin berhubung kenyataannya yang didakwa menghina Seri Paduk Baginda Yang di Pertuan Agong (SPBYDPA) kerana tidak memanggilnya mengangkat sumpah sebagai PMX walaupun ‘lebih daripada cukup bilangan’ yang diperlukan (21 Ogos 2024). Laporan tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, sama ada untuk diteruskan pendakwaan atau di sebaliknya.

Dalam ucapan pada 15 Ogos 2024 Muhyiddin seperti kesal kerana tidak dipanggil ‘angkat sumpah’, dan dalam masa yang sama, tidak pula menjelaskan secara tuntas apakah sebab-sebabnya, kecuali berkata ada 115 SD (Akuan Berkanun) yang menyebelahinya. Pada pandangan umum, walaupun Muhyiddin mengakui bukan berhasrat ‘menghina SPBYDA’, ia tetap ada kemiripan arah itu, bila direnungi dan difahami sendengnya bahasa dan ritma  yang dilafazkan.

Muhyiddin menegaskan, apa yang diucapkan itu adalah ‘fakta sejarah’ dan bukannya berniat menghina institusi, kerana “saya hormatinya’. Alasan Muhyiddin itu tidak dapat diterima, sebab Muhyiddin tahu bahawa keputusan sebenar adalah kuasa budi bicara para sultan, raja-raja dan Yang di Pertuan Agung dalam sistem Raja Berperlembagaan, serta Demokrasi Berparlimen.

Rakyat masih ingat, bagaimana kecewanya pemimpin DAP apabila Paduka Sultan Perak tidak bersetuju, kerana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak, meletakkan syarat, Menteri Besar adalah seseorang yang mendapat kepercayaan majoriti dan beragama Islam, biarpun kerusi yang dimenangi oleh DAP adalah lebih besar.

Sebaliknya, calon yang dipersetujui adalah daripada PAS, iaitu Nizar Jamaludin, biarpun kerusi milik PAS adalah terkecil dalam Pakatan Harapan di Perak pasca PRU 12 (2008). Ada percubaan untuk membantah dan membawanya ke mahkamah. Namun, akhirnya percubaan itu selesai apabila memutuskan Paduka Sultan Perak tidak terkhilaf, dan persetujuannya adalah sah.

Kita juga ingat, ada kedengaran mereka yang mempertikaikan keesahan kuasa budi bicara SPYDPA melantik Muhyiddin selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan gagal, Ertinya, kuasa budi bicara itu sah dan wajib dipatuhi setelah ia sudah menjadi suatu keputusan. Itulah hakikat sebuah konsep pemerintahan, bukan hanya aerates peratus bergandung kepada jumlah undi yang diterima.

Kita mungkin belum lupa bagaimana seorang anak muda (Pita Limjaroe) gagal mendapatkan kuasa untuk dilantik sebagai PM Thailand meskipun parti pimpinannya (Move Forward Party) menang kerusi terbesar (151 kerusi) dan berjaya membentuk gabungan sehingga melebihi majoriti mudah. Namun, pencalonannya telah ditolak berdasarkan keputusan Mahkamah Perlembagaan Thailand.

Begitu juga bagaimana seorang PM yang sudah berkuasa (Sretta Thavisin) akhirnya dibatalkan kuasanya setelah berhadapan dengan etika bila melantik seseorang yang melanggar undang-undang menganggotai kabinet kerajaan campuran.

Usia kuasanya sangat singkat, dan akhirnya, anak kepada bekas PM Thailand yang dikenakan tindakan undang-undang (Thaksin Shinawatra) dilantik sebagai PM Thailand, Paetphong Shinatwatra

(BERSAMBUNG)

MONOSIN SOBRI

Translate »