Sebulan lalu, kita dikejutkan dengan laporan semacam ‘amaran’ kepada rakyat Amerika Syarikat’ agar memikirkan semula hasrat untuk melancong ke Kuala Lumpur sepanjang tahun 2024. Forbes Advisor, dalam tinjauan pendapat terbaharu, melaporkan Kuala Lumpur sebagai bandar raya ke-29 berisiko tinggi dan ke-5 di Asia Tenggara untuk dilawati oleh rakyat Amerika Syarikat.
Forbes Advisor menggunakan istilah ‘risiko’ bukan menggunakan istilah ‘bahaya’ atau ‘tidak selamat’. Namun laporan media, seperti dapat kita baca, oleh kerana skor yang diraih itu kedua terendah daripada 30 buah bandar raya ‘tiada risiko’, maka gemparlah sesetengah pihak sehingga Menteri Dalam Negeri berjanji akan mengkajinya. Sebanyak 60 buah bandar di seluruh dunia ditinjau pendapat oleh Forbes Advisor, yang laporannya mula dikeluarkan pada minggu ketiga bulan Julai 2024.
Oleh kerana Kuala Lumpur berada dalam kedudukan ke-29, yakni di tangga kedua dalam separuh ranking teratas, berdasarkan urutan paling menarik untuk untuk dikunjungi dan tidak mempunyai risiko bagi rakyat Amerika Syarikat, maka timbullah tafsiran bahawa Kuala Lumpur adalah bandar yang ‘tidak selamat’ atau ‘bahaya’ untuk dikunjungi.
Lantas, kerana laporan itu muncul, ada sedikit sebanyak kesan yang mungkin boleh mengakitbatkan sektor pelancong di Malaysia akan terjejas kerana mungkin pelancong dari belahan benua Amerika Syarikat akan berada di Singapura (Bandar Raya Paling Selamat), dan tidak akan memasuki Malaysia (sebagai destinasi kedua atau seterusnya), mereka mungkin akan ke Jepun atau terus ke beberapa buah negara Eropah kerana tiga bandar raya di Asia Tenggara yang lain, iaitu Manila (Filipina), Bangkok (Thailand) dan Jakarta (Indonesia) masuk kategori berisiko walaupun tidak sebahaya Yangon (Myanmar).
Pada saya, rumusan itu memberikan satu bentuk ‘amaran awal’ kepada Kuala Lumpur jika berhasrat menarik lebih ramai pelancong daripada Amerika Syarikat dan masyarakat barat, terutama dari segi kawalan beberapa perlakuan yang dikaitkan dengan jenayah dilakukan selain mempertingkatkan ‘daya tarikan’ untuk memenuhi impian mereka.
Kita tahu, antara nilai budaya dan hasrat pelancongan adalah sangat berbeza, sebahagian besarnya ialah perihal rumah-rumah hiburan dan kebebasan-kebebasan yang lain, walaupun dari perspekti kos di Malaysia adalah lebih murah berbanding di Singapura, Tokyo mahupun di Hong Kong.
Malaysia mengharamkan kegiatan pelacuran, tetapi aktiviti itu terus berjalan secara ‘bawah tanah’atau terselindung. Ia berselindung di sebalik rumah urut, kelab malam, pusat refleksiologi, karaoke, dan kegiatan muncikari yang semakin canggih secara dalam talian.
Oleh kerana aktiviti seumpama itu diharamkan, maka ada risiko yang besar bagi pelancong untuk mendapatkan khidmat tersebut, kerana pihak berkuasa sentiasa melakukan serbuan, atau pengintipan dan menggempurkan sarang-sarangnya.
Laporan-laporan penangkapan warga asing dan juga warga tempatan yang menawarkan khidmat sebegitu, hampir setiap minggu kita membaca atau menontonnya di media. Kita juga dengar, ada wanita-wanita yang memasuki negara ini sebagai ‘pelancong sosial’ turut menjalankan aktiviti seks di negara ini.
Para pelancong juga berhasrat untuk merasai ‘nikmat seks’ di Malaysia walaupun sebahagian besar mereka yang terbabit menawarkan khidmat itu bukanlah rakyat tempatan. Dalam operasi khidmat seks, ada kelas-kelasnya. Ada kelas atasan dan ada kelas bawahan (kelas kambing). Juga ada kelas ‘sederhana’ atau ‘pertengahan’. Kelas tinggi membabitkan bayaran khidmat beribu ringgit sekali atau semalaman. Kelas menengah dari beberapa ratus ringgit hingga mencecah empat angka. Kelas rendah daripada beberapa ringgit hingga beberapa ratus.
Kegiatan sebegini semakin canggih operasinya. Mereka bukan lagi dikumpulkan rumah-rumah pelacuran seperti terdapat di beberapa buah ‘sarang pelacuran’ di negara jiran, yang membolehkan pelanggan melihatnya secara fizikal. Mereka menggunakan platform media sosial, yang dilengkapi dengan gambar dan sedikit deskripsi mengenai ‘anak ayam’ yang sedang ‘dijual’ itu.
Pelanggan tidak perlu bersusah payah pergi mencari, hanya perlu pilih mana yang dianggap berkenan di hati. Runding harga dibuat dalam talian. Jika bersetuju, ‘anak ayam’ itu akan dihantar ke hotel ataupun premis yang dijanjikan. Pelanggan juga boleh berunding di premis-premis kelab hiburan, termasuk ketika waktu ‘happy times’ dimulakan.
Perkahwinan itu dianggap sebagai ‘benteng’ ataupun ‘strategi’ untuk mengatakan pembabitan dalam aktiviti tersebut akan dapat diselamatkan daripada tindakan undang-undang dan ada pihak yang akan melindunginya. Bagaimanapun, taktik itu tidak menawarkan peluang untuk tidak didakwa atau dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa. Ia tetap haram dan menyalahi undang-undang. Ia tetap merupakan aktiviti budaya yang tidak dapat diberikan apa-apa ruang toleransi dan kompromi.
Saya petik salah sebuah laporan yang disiarkan dalam media dalam talian tempatan yang memakai tajuk “KL Berada di Kedudukan Kelima Ibu Negara Paling Bahaya Untuk Dikunjungi di Asia Tenggara” : Biarpun penduduk di Malaysia berasa selamat menjadi warga negara di sini, tetapi difahamkan dari laporan Forbes Advisor, bandar Kuala Lumpur tidak selamat seperti yang disangkakan ramai.” (https://beautifulnara.com/kl-berada-di-kedudukan-kelima-ibu-negara-paling-bahaya-untuk-dikunjungi-di-asia-tenggara/)
Apa reaksi Menteri Dalam Negari ketika mengulas mengenai rumusan tinjauan pendapat responden Amerika Syarikat oleh Forbes Advisor itu? Kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail : “laporan itu bertentangan dengan Indeks Keamanan Global (2024) GPI yang menunjukkan Malaysia di tempat ke-10 negara paling aman di dunia dan tersenarai sebagai negara ketiga paling aman di rantau Asia Pasifik.
“Kayu ukur Global Peace Indeks jelas, saya belum baca kayu ukur untuk Forbes (Advisor), saya tidak kata saya nafikan, tapi belum baca, tetapi meneliti kayu ukur yang diguna pakai oleh GPI.
“Misalnya ada demonstrasi kejam yang menyebabkan kematian nyawa dan nilai persepsi terhadap penjenayah di negara ini, ada berpuluh kayu pengukur termasuk peruntukan per kapita termasuk keselamatan keselamatan yang sangat komprehensif.” (Berita Harian, 23 Julai 2024).
Beliau turut berjanji akan memberikan reaksi setelah semua rumusan itu diteliti dalam masa terdekat. Namun, semasa rencana ini dtulis (18 Ogos 2024), kenyataan rasmi mengenai dapatan tinjauan pendapat Forbes Advisor 2024 belum dikeluarkan. Tentunya, lebih banyak input diperlukan, sama ada untuk menyangkal penemuan tinjauan itu adalah mengambilnya sebagai satu bentuk ‘amaran awal’ bagi memperkemaskan strategi kawalan keselamatan pelancong di seluruh negara, bukan sahaja di Kuala Lumpur.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohamad Sharif, datuk bandar Kuala Lumpur wanita pertama yang memulakan tugasnya pada 15 Ogos 2024 telah berjanji akan meneruskan hasrat menjadikan Kuala Kuala Lumpur ‘maju dan sejahtera’, termasuk tidak bertolak ansur dengan kakitangan yang rasuah (termasuk melindungi aktiviti haram di Kuala Lumpur) dan menaikkan imej Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan yang menarik.
Pada suatu ketika, iaitu dalam tahun-tahun 1970-an dan 1980-an, kita akan menemui banyak pemandangan yang ikut mencacatkan kemegahan Kuala Lumpur, kerana terdapat banyak kawasan setinggan, yang ketika itu dilihat sebagai fenomena biasa ekoran proses pembandaran (urbanisasi). Kuala Lumpur mengalami perubahan yang pesat pada tahun 1970-an, apabila berlakunya penghijrahan rakyat luar bandar ke bandar setelah peluang pekerjaan cukup banyak ketika itu, termasuk dalam sektor perkilangan, perniagaan dan juga perkhidmatan.
Hari ini, sebahagian besar kawasan-kawasan setinggan sudah tiada. Sudah didirikan pelbagai jenis rumah dan pusat-pusat kemudahan. Tetapi, ia tidak bermakna Kuala Lumpur bebas sepenuhnya dengan petempatan setinggan, masih ada beberapa tempat. Disebabkan kekurangan tanah di Kuala Lumpur, tumpuan pembinaan rumah-rumah haram berlaku di sekitar pinggiran Kuala Lumpur, termasuk beberapa kawasan di Selangor.
Kalau sebelumnya, ramai penghuni rumah setinggan adalah rakyat tempatan, kini, sekitar Kuala Lumpur ada petempatan haram yang dibina dan didiami oleh rakyat asing. Rakyat asing mula memasuki negara ini sebagai pekerja buruh binaan, pekerja ladang, pembantu rumah dan pembantu kedai pada awal tahun 1980-an, yang menyaksikan perkembangan pesat pelbagai sektor (pembuatan, perkilangan, perkhidmatan, perniagaan dan pembinaan). Buruh asing dibawa masuk secara legal, dan tidak kurang pula buruh asing masuk secara haram.
Fenemona itu telah mencetuskan pelbagai kejutan budaya dan masalah sosial, termasuk peningkatan aktiviti jenayah. Disebabkan tuntutan kediaman yang tinggi, sebahagian pendatang asing mencari ‘ruang kosong’ yang boleh mereka dirikan rumah. Mereka sebahagiannya meneroka secara haram, dan ada juga yang menyewa tapak daripada penduduk tempatan. Akhirnya, beberapa kawasan menjadi koloni warga asing, menggantikan warga tempatan sebagai setinggan.
Kemudian, oleh kerana Malaysia berhasrat menjadi pusat pendidikan serantau, maka muncul pelbagai institusi pendidikan swasta di kebanyakan bandar besar. Para pelajar luar negara diberikan kemudahan visa pelajar ‘cukup mudah’ telah menyebabkan negara terutama di bandar besar mula dibanjiri oleh anak muda dari benua Afrika, yang rakyat Malaysia panggil “awing” atau “mek hitam”. Sebahagian besar mereka benar-benar merupakan pelajar, tetapi sebahagian yang lain, tidak kekal sebagai pelajar asing di Malaysia.
Mereka mula membina koloni, dengan menyewa rumah-rumah yang dimiliki oleh rakyat tempatan sehingga muncul fenomena ‘port Awang Hitam’ di Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan sekitarnya. Fenomena ini terus berlanjutan, masih berbaki hingga kini. Kemunculan mereka menakutkan penduduk tempatan, kerana mereka turut melakukan pelbagai aktiviti yang bertentangan dengan nilai, budaya dan undang-undang.
Pada suatu ketika, jenayah dalam kalangan pendatang asing cukup menggerunkan kerana ia merefleksikan ‘keadaan tidak selamat’, rasa bimbang dan takut, serta suasana tidak harmoni. Sedikit sebanyak indeks jenayah meningkat, kerana sumbangan pendatang asing dalam aktiviti-aktiviti jenayah (bergaduh, merompak, pecah rumah, bergaduh sesama rakan senegara, pembunuhan (cemburu, perebutan teman wanita, hutang, mabuk dan sebagainya).
Faktor-faktor inilah telah menjadikan kehidupan di bandar semakin ‘rasa tidak selamat’ sehingga kawasan kediaman perlu kepada perkhidmatan kawalan keselamatan atau muncul istilah “gated community” atau komuniti berpagar. Tentunya, seseorang yang berhasrat membeli rumah kediaman, selain menyenaraikan kemudahan yang ada (berhampiran, seperti stesen LRT/MRT/Komuter, sekolah dan sebagainya) turut menghitung apakah ada jaminan tentang keselamatan untuk tinggal di situ.
Jika kita melihat iklan atau tawaran pembelian rumah, sebahagiannya memasukkan elemen kawalan keselamatan, sama ada dalam situasi dua peringkat mahupun pelbagai tahap. Namun, tidak kurang juga para pembeli memasang pelbagai alatan keselamatan, seperti ‘alarm system’ dan kamera litar tertutup selain berpakat membayar syarikat kawalan keselamatan untuk mengawal pintu masuk dan keluar.
Kalau dahulu, rondaan malam untuk mengawasi keselamatan dilakukan secara bergilir-gilir menerusi Rukun Tetangga, kini, istilah itu kurang kedengaran lagi. Semuanya telah diswastakan oleh persatuan penduduk sendiri. Sebagai langkah kawalan awal, setiap kenderaan penduduk diwajibkan menampal sticker dan diberikan kad akses untuk membuka palang kawalan keselamatan automatik.
Secara luarannya, fenomena ini dilihat semakin tersekat manakala penghuninya berada dalam keadaan tidak selamat, seolah-olah muncul fenomena polis dalam kawasan kediaman sendiri. Ia cukup berbeza dengan corak dan suasana sebelum Kuala Lumpur menjadi port warga asing, yang pada hari cuti umum, mereka berkumpul dan bertemu rakan-rakan senegara di Sogo, KLCC, sebelumnya di Kompleks Kota Raya, Sinar Kota, Chow Kit dan sebagainya.
Kebanjiran penduduk di Kuala Lumpur, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, dikatakan sudah mencecah 2.16 juta orang (Banci Penduduk 2022), dan menjadi sebahagian daripada 8.815 juta orang penduduk Lembah Klang (unjuran 2024). Keluasan Kuala Lumpur ialah 244 kilometer persegi, purata kepadatan ialah 6,696 orang bagi setiap kilometer persegi.
Bayangkan jika setiap penduduk Kuala Lumpur diletakkan secara berbaris, bererti dalam jarak setiap meter ada seramai sekitar 7 orang orang (tepatnya, 6.7 orang). Ia tidaklah sesesak penduduk Jakarta (15,906 orang setiap kilometer persegi), Manila (71,263 orang) mahupun Yagon (8,600 orang). Walaupun Bangkok mempunyai kepadatan penduduk yang lebih rendah (1,302 orang setiap kilometer persegi), kesesakan dan kes-kes jenayahnya adalah lebih besar berbanding Kuala Lumpur.
Pada tahun 2022, Indeks Jenayah Kuala Lumpur dilaporkan berkurangan sebanyak 10 peratus (kekerasan dan harta benda) daripada 4,173 kes pada tahun 2021. Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Uzir Mahidin, indeks jenayah yang merangkumi jenayah kekerasan dan harta benda menunjukkan penurunan 10 peratus dan 2.4 peratus kepada 10,348 kes dan 40,465 kes pada tahun 2022. (Malaysia Gazette, 2 November 2023).
Namun, kita sedar, penurunan itu ada kaitannya pandemic COVID-19, sebabnya pada tahun 2022, Malaysia masih belum sepenuhnya dibebaskan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mungkin apabila PKP dibatalkan secara keseluruhannya, indeks jenayah akan menjadi meningkat kerana setiap orang bebas bergerak, dan sebahagiannya menjadi aktif semula dalam kegiatan hariannya, termasuk penjenayah.
Sebab itulah hampir setiap minggu kita dikejutkan dengan insiden kematian akibat dibunuh, yang diselang seli dengan kejayaan pihak keselamatan menembak perompak dan sebagainya. Jika dimasukkan dengan jenayah rasuah, jenayah komersial dan penipuan, kita akan boleh ‘sesak nafas’, sebabnya setiap hari ada berita yang tidak sepatutnya berlaku di Malaysia, terutama dalam kalangan masyarakat berbudaya dan tinggi tahap keagamaannya.
Melihat semula kepada kisah penghijrahan masyarakat Malaysia ke Kuala Lumpur, kita mungkin masih ingat bagaimana culture shock berlaku. Budaya kekampungan tidak pernah lekang membentuk subbudaya Kuala Lumpur sehingga mampu dijolok sebagai bandar raya metropolitan. Atau dalam fenomen penghijrahan ke bandar, ada pakar soisologi dan geografi menamakannya sebagai fenomena kampung di bandar raya.
Sekitar tahun 1970-an sehingga dekad pertama Abad ke-21 (2000 hingga 2009), kita masih mendengar ungkapan lazim bahawa apa yang tidak ada di Kuala Lumpur hanya “ibu dan ayah”. Kenapa tidak ada “ibu dan ayah?”. Sebabnya, pada awal penghijrahan, berlaku dalam kalangan lelaki untuk mencari peluang pekerjaan, kemudian berkembang kepada tenaga kerja wanita sebaik sahaja sektor perkilangan membangun dengan pesatnya di sekitar Sungai Way (Selangor), Kepong (kecil dan sederhana), Keramat dan Rawang (Selangor).
Mereka berhijrah ke Kuala Lumpur seorang diri (atau bersama isteri) untuk memulakan kehidupan baharu, kerana peluang pekerjaan (sebagai buruh kasar atau kurang mahir dan juga graduan bagi memenuhi pekerjaan di sektor awam dan swasta) ekoran perubahan sifat ekonomi, dari agraria kepada industri, perniagaan dan perkhidmatan. Sebagai memenuhi tuntutan kepada proses industrialisasi, yang hadir bersamanya urbanisasi (pembandaran).
Sebagai sebuah bandar raya pertama (diisytiharkan pada tahun 1972), Kuala Lumpur tumbuh sebagai sebuah bandar yang sangat majmuk sifatnya, sehingga kepelbagaian budaya, etnik, ragam kehidupan boleh sahaja dilihat dengan mudah. Awalnya, Kuala Lumpur yang dibuka oleh Sutan Puasa (Sutan Naposa bin Raja Ira Koling bin Sutan Naga Marunding bin Namora Sende Tua Lubis, 1822-1920) seorang usahawan perlombongan dan pedagang bijih timah berketurunan Mandailing dari Sumatera.
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments