Sejak beberapa tahun lalu, masyarakat sudah terlalu banyak dihidangkan dengan tragedi pembunuhan kejam serta insiden menyayat hati. Data daripada PDRM menunjukkan secara purata, 5 kes bunuh berlaku dalam seminggu di negara ini dalam tempoh tiga tahun sejak 2021 hingga Jun 2024. Jumlah itu membabitkan sebanyak 860 kes dicatatkan PDRM di seluruh negara.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, kesemua 860 kes yang dilaporkan melibatkan 243 kes pada 2021; 240 kes pada 2022, 258 kes pada 2023 manakala 119 kes bagi enam bulan pertama tahun ini. Katanya lagi, berdasarkan analisis, kesemua mangsa melibatkan 657 warga tempatan manakala 290 lagi adalah warga asing serta 13 lagi tidak dapat dikenal pasti identitinya.
Dalam tempoh 3 tahun, sebanyak 302 kes bunuh dipercayai berpunca daripada pertengkaran dan perselisihan faham, manakala sebanyak 56 kes pula akibat cemburu, 51 kes akibat mabuk dan khayal, 43 kes kerana balas dendam dan 39 kes akibat samun serta curi.
Walaupun 95 peratus kes berjaya diselesaikan Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, namun trend jenayah bunuh yang meningkat dari 2021 hingga tahun lalu membimbangkan masyarakat.
Daripada Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Menjelang kiamat nanti, hari banyak dipenuhi dengan al-Harj. Saat itu ilmu menjadi hilang dan kejahilan tersebar di mana-mana.” Abu Musa berkata: “Al-Harj bermaksud pembunuhan menurut dialek orang Habsyi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari Kitab al-Fitan, hadis no 7067)
Dalam riwayat yang lain, daripada Abu Hurairah RA, Baginda Nabi SAW bersabda: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga terzahirnya fitnah, banyaknya penipuan, pasar berdekatan, masa semakin singkat, banyaknya al-Harj. Telah berkata: Apa itu al-Harj? Baginda menjawab: Pembunuhan.” (Hadis Riwayat Al-Albani. Silsilati al-Shahih, hadis no. 2772)
Maka melalui riwayat ini, Nabi SAW telah pun memberi amaran kepada umat Islam khususnya di akhir zaman, tentang tersebarnya al-Harj atau pembunuhan. Bukan sahaja dalam negara kita, malah berlakunya al-Harj di seluruh dunia seperti di Palestin, malah negara jiran terdekat Indonesia juga menyaksikan peningkatan kes-kes pembunuhan.
Justeru kejadian al-Harj yang disaksikan zaman ini, merupakan kejutan kepada kita sebagai satu ummah, tentang dekatnya kita dengan Hari Kiamat. Tambahan pula dengan penyebaran kejahilan dan kehilangan ilmu, baik dalam kalangan umat Islam maupun yang bukan Islam, menguatkan lagi amaran Baginda SAW kepada kita semua.
Pentingnya ilmu bagi umat Islam untuk menangkis kejahilan tidak boleh diperkecilkan. Seorang muslim yang memartabatkan ilmu yang bermanfaat di dalam kehidupan harian, akan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup dan menjaga dirinya daripada mendekati jenayah seperti membunuh.
Umat Islam sentiasa digalakkan agar sentiasa menghayati dan mengkaji ayat al-Quran agar mereka beroleh mutiara ilmu serta hikmah daripadanya. Seperti yang dibacakan oleh Dato’ Dr. Na’im, firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 32 merupakan peringatan yang jelas kepada seluruh umat manusia, betapa besar implikasinya membunuh, kepada jiwa seseorang.
“…Barangsiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.” – (surah al-Maidah: 32)
Merujuk kepada data PDRM pula, kebanyakkan kes bunuh yang dicatatkan berpunca daripada pertengkaran, atau secara asasnya kegagalan untuk mengawal perasaan marah hingga menyebabkan kematian orang lain. Terdapat beberapa pesanan yang Rasulullah SAW titipkan kepada kita sewaktu kita sedang marah. Contohnya yang diambil dari hadith-hadith sahih adalah seperti untuk duduk jika sedang berdiri, dan baring jika sedang duduk, apabila seorang itu sedang marah. Kemudian nasihat Baginda untuk mengambil wudhu’ supaya meredakan kemarahan, dan juga supaya jangan membuat keputusan besar sewaktu marah.
Terdapat banyak faktor dalaman dan luaran yang membawa kepada kegagalan mengawal kemarahan. Antara faktor dalaman adalah ketidakstabilan mental, kemurungan, atau penyalahgunaan dadah dan alkohol. Manakala faktor luaran boleh merangkumi situasi yang menyebabkan tekanan atau kebimbangan, isu kewangan atau pekerjaan, atau masalah hubungan keluarga dan percintaan.
Perlu diingatkan juga, saat manusia marah, syaitan memasuki saluran darahnya, menyebabkan berlaku hilang pertimbangan akal fikiran, manakala wajah mulai merah dengan degupan jantung berlari kencang.
Bagi mengatasi al-Harj dalam umat Islam hari ini, Dato’ Dr. Na’im juga telah menyatakan bahawa JAKIM sedang menguatkan usaha dakwah kepada masyarakat, supaya memahami implikasi tindakan kejam seperti membunuh.
Namun berleluasanya al-Harj di zaman ini, bukan bermaksud seorang muslim harus hidup dalam ketakutan setiap masa. Agama Islam sangat menegaskan pentingnya berfikir dengan menggunakan akal, hatta dalam al-Quran terdapat 13 tempat di mana Allah bertanya “Afalaa Ta’qiluun” yang bermaksud “Tidakkah kamu menggunakan akal kamu?”
Maka gunakan anugerah Allah SWT ini bukan hanya untuk mencari kesalahan pihak berkuasa, menyalahkan orang lain dalam perselisihan, tetapi manfaatkanlah akal untuk mencari solusi. Seorang muslim yang menggunakan akal dengan baik, akan sentiasa berfikir tentang implikasi kepada setiap perbuatannya. Malah beliau akan lebih senang mengawal perasaan marah jika bertengkar dengan insan lain.
Setiap nyawa merupakan anugerah kehidupan yang tidak ternilai harganya. Setiap insan yang hilang nyawanya akibat dibunuh, meninggalkan ahli keluarga yang akan sentiasa rindukan kehadiran mereka. Justeru, berusahalah untuk mengatasi segala pertelingkahan dengan menggunakan akal, supaya tidak berakhir dengan tragedi.
Catatan: Ibnu Majid
Recent Comments